Isnin, 31 Oktober 2011

Amalan Menurun Berdasarkan Islamkah? (Bahagian 2)

5 ulasan


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Pertama sekali saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Ibrahim kerana bertanya hal sensitif ini. Seperti selalu, saya mahu maklumkan bahawa saya kurang gemar menjawab persoalan sensitif disebabkan maudhu’ jawaban saya nanti akan bertentangan dengan arus perdana. Dan kerananya, saya telah hadapi bermacam fitnah dan tuduhan hampir seumur hidup. Susah benar rupanya untuk berkata benar ditengah masyarakat kita yang begitu menebal kepercayaan tahyul, mistik, bid’ah dan khurafat.

Alhamdulillah, saya mendapat respons amat baik dari para jamaah dan pembaca dalam artikel yang pertama minggu lepas. Ada yang meminta dengan segera artikel siri 2, akan tetapi, hanya minggu ini saya poskan kerana sememangnya saya menetapkan artikel hanya seminggu sekali. Disertakan sambungan artikel ini siri 2. Semoga kita bersama mendapat manfaat darinya. InsyaAllah.

Sambungan

Allah Swt. telah menceritakan mengenai makhluk disebut Qarin ini menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Kabiir :

“51. Berkatalah salah seorang daipada mereka (ahli syurga) : Sesungguhnya aku dahulu di dunia mempunyai seorang teman”. 52. Yang berkata : Apakah kamu sungguh-sungguh termasuk orang-orang yang membenarkan hari berbangkit?. 53. “Apakah bila kita telah mati dan kita telah menjadi tanah dan tulang belulang, adakah kita benar-benar (akan dibangkitkan) untuk diberi pembalasan?”. 54. Berkata pulalah ia “mahukah kamu meninjau temanku itu?”. 55. Maka ia meninjaunya, maka dia melihat temannya itu di tengah-tengah neraka menyala-nyala. 56. Ia berkata pula : Demi Allah, sesungguhnya kamu benar-benar hampir mencelakakanku”.
Surah As Saaffah (37) : ayat 51-56

Siapa yang dimaksudkan “teman” itu dijelaskan oleh Allah Swt. di dalam ayat dibawah :

“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya”.
Surah Az Zukhruf (43) : ayat 36

Berkenaan Qarin ini juga, di dalam sebuah hadis,

“Nabi Muhammad Saw. bersabda kepada Abdullah bin Mas’ud rhu. : Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin dan juga Qarin daripada bangsa Malaikat. Mereka (sahabat) bertanya : Engkau juga Ya Rasulullah. Sabda Baginda : Ya, aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuIslamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja”.
Hadis sahih riwayat imam Ahmad rh. dan Imam Muslim rh.

Di dalam suatu hadis lain ;

“Daripada Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar Rha., beliau menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah Saw. keluar dari rumahnya (Aisyah). Aisyah berkata : Aku merasa cemburu. Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya : Wahai Aisyah, apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?. Aku berkata : Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah. Sabda Baginda : Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitanmu?. Aku bertanya : Apakah aku ada syaitan?. Sabda Baginda : Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin. Aku bertanya lagi : Adakah engkau pun ada syaitan, ya Rasulullah?. Jawab Baginda : Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.

Orang yang berada dalam keadaan menurun sebenarnya adalah orang yang redha dirinya diresapi oleh makhluk-makhluk halus atau Qarin ini. Dan Qarin ini pula akan meresapi tubuh orang yang redha, menyerunya dan sedia menjadi temannya. Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia sendiri sebagai Qarin. Oleh kerana dia sendiri yang menyerujemput makluk halus tersebut, maka dia akan mendapatlah apa yang dimahukan itu. Ini dijelaskan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Hakiim :

“Barang siapa yang mengambil syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah teman seburuk-buruknya”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 38

Maka itu, jawaban paling jelas dan tepat ke atas persoalan tuan adalah, amalan menurun ini bukan datangnya dari ajaran Islam dan inilah aqidah yang saya pegangi.

Amalan ini bukan merupakan amalan atau sunnah Rasulullah Saw., bukan juga perbuatan para Khulafa ur Rasyidiin, para tabiin, tabiut tabiin atau ulama salaf. Pra syarat untuk mematuhi ajaran Islam dan menjauhi segala larangan itu ini yang menempelkannya sebagai Islam sebenarnya tidak perlu pun dimasukkan dalam amalan menurun ini.

Penggunaan kalimah dan sebutan Islam (yang telah disebutkan) merupakan sesuatu perkara yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam, bukan hanya untuk membuat amalan menurun, tetapi amalan setiap masa. Terbukti bahawa orang yang mengamalkan dan mempercayai amalan menurun ini, sekiranya tidak patuh kepada ajaran suci Islam seperti tidak solat dan puasa serta melakukannya untuk menonjolkan diri, tetap juga berupaya melakukan dan memperolehi sesuatu seperti yang dihajati, sama juga seperti mereka yang patuh pada syarat-syarat yang dikenakan.

Kalaulah amalan ini merupakan satu cabang ilmu yang memberi manfaat, kenapa tidak dihantar sahaja mereka yang mempelajarinya ke mana-mana negara untuk berperang atau bertempur dengan mereka yang sedang memusuhi dan memerangi ummat Islam. Andainya amalan ini sesuatu yang hakiki dalam ajaran Islam, barang tentunya Rasulullah Saw. ada mengajarkannya kepada para sahabat ataupun tabiin yang terkemudian daripadanya dan mereka pun ada membuatnya.

Dikesempatan ini ingin saya nyatakan : orang yang menurun dan golongan yang mempercayai amalan menurun ini, sama ada sedar atau tidak sedar telah memohon perlindungan kepada makhluk selain Allah Swt. untuk melakukan sesuatu tujuan seperti yang dihajatkan. Orang yang seperti ini, adalah golongan yang ingkar serta berpaling daripada ketentuan Allah Swt. dalam menghadapi sesuatu keadaan. Sesungguhnya Allah Swt. telah berpesan supaya mengerjakan solat dan bersabar dalam menghadapi musibah sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Kariim :

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 153

Setelah menyampaikan penjelasan mengenai perintah bersyukur, Allah Swt. pun menjelaskan makna sabar dan bimbingan untuk memohon pertolongan melalui kesabaran dan solat. Kerana seseorang hamba itu adakalanya ia mendapat nikmat dan mensyukurinya atau ditimpa bencana kemudian bersabar atasnya. Rasulullah Saw. menjelaskan dalam sebuah hadis :

“Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin itu, Allah tidak menentukan sesuatu hal melainkan kebaikan baginya. Jika mendapatkan kebahagiaan, ia lalu bersyukur, maka yang demikian itu adalah baik baginya. Dan jika mendapatkan kesusahan, lalu ia bersabar, maka yang demikian itu adalah baik baginya”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh.

Allah Swt. juga menerangkan bahawa sebaik-baik saranan yang dapat membantu dalam menjalani berbagai musibah adalah kesabaran dan solat sepertimana firman Allah Swt. :

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang yang khusyuk”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 45

Kesabaran itu ada dua macam. Pertama, sabar dalam meninggalkan berbagai hal yang diharamkan dan perbuatan dosa. Kedua, sabar dalam berbuat ketaaan dan mendekatkan diri kepada Allah Swt. Jenis yang kedua ini lebih besar pahalanya dan inilah yang dimaksudkan. Ada juga kesabaran jenis ketiga, yaitu kesabaan dalam menerima dan menghadapi berbagai musibah dan cubaan. Yang demikian itupun wajib, seperti istighfar dari berbagai aib. Sebagaimana dikemukakan oleh Abdurrahman bin Zaid bin Aslam mengenai dua pintu kesabaran, yaitu kesabaran dalam menjalankan hal-hal yang disukai oleh Allah Swt. meskipun terasa amat berat bagi jiwa dan raga. Dan kedua, sabar dalam menghindarkan diri dari hal-hal yang dibenci oleh Allah Swt. meskipun sangat diinginkan oleh hawa nafsu. Jika seseorang telah melakukan hal itu, maka ia benar-benar termasuk orang-orang yang sabar yang InsyaAllah akan beroleh keselamatan.
Tafsir ul Qur’an ul Adziim, Imam Ibnu Katsir rh. Jilid 1, halaman 303-304

Sesungguhnya hanya Allah Swt. yang mempunyai sifat qudrah, yang berkuasa memberi perlindungan dan kebaikan. Apabila seseorang itu menyeru makhluk-makhluk halus untuk tujuan pertolongan, perlindungan dan sebagainya, orang yang berkenaan telah menyamakan, atau mensyirikkan qudrah Allah yang Maha Esa dengan sesuatu yang baru. Inilah perbuatan syirik, orang yang terlibat dinamakan "musyrik" iaitu orang yang menyekutukan Allah dengan sesuatu. Dosa syirik tidak diampuni oleh Allah Swt. kecuali dengan bertaubat nasuha dan bersyahadah semula.

Orang yang 'menurun' berada dalam keadaan tidak sedarkan diri atau separa sedar. Dalam keadaan apa sekalipun, tahap kesedaran diri ketika itu berada dalam keadaan begitu minimum. Ini merupakan kelalaian nyata yaitu melupakan Allah Swt. dengan segala pergerakan dikuasai oleh makhluk yang meresap. Individu berkenaan ketika itu hanyalah merupakan bahan atau objek bagi makhluk yang meresap itu melakukan sesuatu seperti yang dihajati. Atas pemahaman seperti ini, apabila seseorang itu memohon pertolongan kepada orang yang berada dalam keadaan 'menurun', ia sebenarnya telah memohon pertolongan kepada makhluk yang menguasai diri manusia ketika itu, iaitu jin atau jin-jin, yang juga iblis dan syaitan.

Dalam suasana apa pun, saya bepesan kepada semua dan kepada diri saya sendiri, ingatlah sungguh-sungguh akan pesanan Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Haliim :

“124. Dan barangsiapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkannya pada hari qiyamat dalam keadaan buta. 125. Berkatalah ia : Wahai Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya seorang yang melihat?. 126. Allah berfirman : Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan. 127. Dan demikianlah Kami membalas kepada orang yang melampau batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal”.
Surah Tahaa (20) : ayat 124-127

Kepada semua tekong, pendokong, pemuja dan pengekor amalan menurun ini, baik sekali difahami dan dihayati, diucapkan dengan kalam sehingga menusuk ke lubuk hati, akan kalamullah ini :

“Wahai Pencipta kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi”
Surah Al A’raaf (7) : ayat 23

والله اعلم

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Moga Ustaz Mad dan semua rakan Jamaah dalam suasana tenang, dalam rahmah dan restu Allah SWT sentiasa.

Saya nak ucapkan terima kasih atas artikel ini. Memang memberi manfaat dan banyak memberitahu hal yang dulu tak tahu. Berkenaan tanggapan dan fitnah orang sekeliling tu, harap Tn Hj bersabar dan teruskanlah berda'wah. InsyaAllah, yang benar akan terserlah jua suatu ketika nanti. Saya ulang balik apa yang disebut oleh ustaz tadi, bersabar dan solat.

Sedikit pertanyaan, pernah terjadi perbincangan dengan rakan-rakan, yang akhirnya merumuskan bahawa tak dapat kata putus sebenar sama ada menurun ini dibenarkan oleh Islam atau tidak. Cuma sekarang saya dah clear. Tetapi ramai yang mengatakan boleh itu berdasarkan menurun ini turut diamalkan oleh orang-orang alim yang pastinya lebih arif tentang hukum hakamnya.

Saya mohon pandangan sedikit lagi.

Sekian

Tanpa Nama berkata...

Wa'alaika,

Saya hanya orang biasa-biasa, yang selamanya tetap sebagai penuntut ilmu tanpa henti. Saya menulis ini pun bagi menjawab soalan dan kemusykilan dikalangan rakan-rakan agar adanya perkongsian ilmiah dan demi mendapat manfaat bersama. Tidak lari jua saya ini dari salah dan silap. Apa pun, terima kasih atas maklumbalas dan peringatan puan. Respons lanjut memang sangat saya hargai.

Kurang perlu rasanya saya menjawab pertanyaaan puan lagi, kerana jawabannya telah terangkum dalam penulisan saya terdahulu. Ia sekadar pengulangan apa yang telah saya nyatakan.

Sebagai tambahan, yang belum saya masukkan ke dalam artikel terdahulu, kepada golongan yang mempercayai dan amalkan ritual menurun ini, ingin saya mohon penjelasan ke atas beberapa persoalan :

1. Bolehkah dibuktikan secara nyata dan empirical bahawa makhluk Allah Swt. yang memasuki badan orang menurun itu benar-benar roh para auliyaa’ seperti yang didakwa. Atau sekadar makhluk ghaib lain yang mengaku sebagai Tok Syeikh, Tok Wali, orang Alim, orang sufi, orang zuhud dan berbagai lagi.
2. Apa terjadi kepada roh tuan punya diri sewaktu jasadnya dimasuki oleh makhluk lain tersebut. Kemana dia pergi dan berada. Apa dia buat pada masa itu.
3. Sekiranya berlakulah kematian tuan punya diri semasa proses situ, apa statusnya dalam hukum syara’.
4. Sekiranya berlaku perkataan mahupun perbuatan melanggar hukum dan peraturan syara’ ataupun hukum ta’zir semasa ritual menurun itu, pihak manakah yang akan menanggung dosa, menanggung hukum dunia dan akhirat.

Saya memerlukan jawaban berdasarkan dalil syara’ yang qat’ie.

Wassalam.
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Tanpa Nama berkata...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Buat semua jemaah yang mengikuti perbincangan ilmiah kita,saya harap kalian semua berada dalah keadaan sihat wal afiat .tujuan saya membalas e mail ini adalah untuk menyatakan ucapan terima kasih saya kepada
ustaz mad yang menulis artikal yang sungguh bermenefaat ini.dan tidak dapat dinafikan sebahagian besat umat melayu mungkin masih keliru dengan isu ini.dan saya sendiri pun kurang faham sehingga
artikal yang sensasi ini dibentangkan.barulah terasa yang kebanyakan umat melayu memang cenderung pada amalan tersebut mungkin kerana kurang faham.alhamdulilah kini baru saya faham significant dan senonimnya senario menurun ini kerana .ada pihak yang menyatakan mendapat ilmu ini menerusi mimpi atau pun dari keturunan.maka teranglah yang ianya adalah sebahagian dari amalan nenek moyang kita yang terpesong akibat kurang ilmu.dan ianya sama sekali tidak ada kena memgena dengan ajaran
islam.

Shabas saya ucapkan dan teruskanlah menulis untuk berkongsi maklumat.

wassalam


Warmest Regards
" Knight Malaysia "

Tanpa Nama berkata...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Salaam semua,

Saya turut nak merakamkan ribuan terima kasih atas kiriman artikel lengkap dan ilmiah ini. Banyak memberi pengetahuan dan cerita sebenar. Cuma memang ia terbalik daripada pemahaman biasa dalam masyarakat kita ni. Namun, Islam adalah agama suci dan begitulah faktanya menurut Islam.

Mohon keizinan untuk dimajukan kepada rakan-rakan yang lain, bagi perkongsian ilmu.

Terima kasih sekali lagi. Sekian

Tanpa Nama berkata...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih atas maklumbalas tuan-tuan. Keizinan diberikan untuk dimajukan artikel ini kepada rakan-rakan lain. Sampaikanlah ilmu Allah Swt. dan rasulNya ini kemana-mana pun. Hakcipta tak terpelihara. Cuma, pastikan ia sentiasa sama dengan ayat-ayat asal, saya hanya bertanggungjawab penuh ke atas karangan sendiri sahaja. Dan tidak boleh sama sekali digunakan untuk mendapat untung dan komersial.

Seterusnya, saya nak mohon penjelasan lagi ke atas beberapa persoalan :

1. Benarkah roh para auliyaa’ dan aqrab dengan Allah Swt. ini mahukan asap dan bau kemenyan dan persembahan pulut kuning, ayam panggang, bertih, telor dll. untuk dimakan, kemudian barulah boleh datang.

2. Benarkah roh para auliyaa’ dan aqrab dengan Allah Swt. ini menjadi tok nujum dan tukang tilik masa depan, hari bagus tak bagus, untung sial nasib orang : perbuatan yang jelas syirik kepada Allah Swt.

3. Adalah fitnah amat berat bahawa para auliyaa’ dan aqrab dengan Allah Swt. ini melakukan perbuatan syirik, maka siapakah yang datang meresap sebenarnya.

Saya memerlukan jawaban berdasarkan dalil syara’ yang qat’ie.

Wassalam.

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam