بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح
لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita
seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang
mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari
Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.
Bersama ini saya sertakan artikel jawaban yang saya poskan pada
Ahad 22 April 2012, terhadap satu soalan yang dikemukakan. Selalunya
maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya
siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah
bersama. Tambahan pula sekarang ini, isu ini sudah sejuk. InsyaAllah tidak akan
terlibat dengan kontroversi.
Sent
: Sunday, April 22, 2012 6:37:23 AM
Subject: Demo PTPTN
Assalamu’alaikum
Pak Lang, saya nak bertanya sikit, yang mudah-mudah saja, untuk mendapatkan
kepastian sebenarnya.
Malam
tadi kami kat sini dok bincang macam-macam idea macam mana nak berpendirian
mengenai demo PTPTN. Sampai lewat pagi. Jadi ramai juga yang subuh gajah. Ceritanya
hampir semua kami ini mendapat pinjaman PPTN pun. Sebab tu, dok bercakap itu
ini hal PTPTN ini pun bagus juga untuk kami
Ada yang sokong kata bagus, ada yang nak joint demo, ada yang bantah
kata mengarut, paling ramai yang tak ambil pusing hal ni, dia orang nak mengaji
saja, nanti bekerja dan bayar setakat yang mampu.
Saya
nak mohon sedikit pandangan, macam mana nak berpendirian dalam hal ini. Kalau
nak ikut ikutkan kami student ni, macam-macam pandangan ada. Malah yang
pelik-pelik pun ada, sampai takder satu apa pun yang betul pun ada, semuanya
betul dan molek belaka saja pun ada, habis semua orang jadi kafir pun ada juga.
Macam tu lah agaknya cara student pikir.
Harap
dapat berikan sedikit pandangan.
Wassalam.
Maklumbalas
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
Moga
dalam sihat-sihat saja ya Along. Terima kasih lah kerana mengacau pagi-pagi
buta ni. Takpe, dah cancel jogging pun, nak mencoret serba sikit pandangan kat
sini. Anyway, nanti petang main bola.
Komen
no. 1 : Bagus benarlah adanya aktiviti bersembang tak tentu hala tuju sampai
pagi, berselang seli dengan hisap rokok lagi, pastu pakat buat subuh gajah (itu
pun kalau buat). Mungkin di alaf baru ni, inilah ciri-ciri student yang bakal
dapat 1st Class Hons. agaknya. Sekadar nak tanya, baca buku ilmiyah
sanggup tak berjaga malam macam ni?
Saya
bukan lagi student U, zaman itu sudah pun berlalu 16 tahun dulu. Apa yang
dialami dulu hampir semuanya tak sama dengan sekarang. Terlalu banyak beza. Generasi
dulu tak tahu guna duit pinjaman untuk beli pre-paid, beli HP hebat, beli
gadget, beli I-pad. Mereka betah naik bas mini dan bersesak-sesak berjam-jam,
naik keretapi kelas 3 (gayut di tangga sepanjang perjalanan), beratur panjang
dan berebut buku kat library kerana masa tu mahaguru yahoo.com tak ada
(sekarang hanya tekan butang, mahaguru sediakan semua ilmu, yang serba lengkap
lagi). Berebut manual typewriter untuk buat assignment. Study group hanya kat
bawah pokok ketapang. Hambat lecturer kat mana saja untuk dapat detail sesuatu
perkara. Teringin nak pakai kain baju jenama gah, hanya mampu beli di kedai
bundle. Kumpul duit beberapa lama, maka dapatlah : motor kapcai second hand. Demikianlah
sedikit ulang-sorot cerita dulu-dulu, yang menjurus kepada : serba tak senang, waima
nak dapat ilmu dan sekeping ijazah pun. Namun ada juga dikalangan generasi ini
anak taukeh balak atau pun pegawai tinggi, maka tak samalah dia dengan mereka-mereka
yang marhaen ni.
Suasana
sekarang sudah berbeza sangat, study group kat KFC, McD, atau pun paling lekeh
di kedai mamak (ada WiFi). Semua artikel ilmiyah, buku-buku dan assisgment
telah disediakan oleh mahaguru yahoo.com, cuma perlu layari kemudian copy &
paste saja. Buku-buku juga hanya perlu di download, tak perlu lagi bersesak di
kedai photostat. Segalanya sangat mudah. Gadget, HP, laptop, pakaian, fasiliti
dan amenities yang dinikmati para pelajar jauh lebih hebat waima berbanding
orang yang sudah bekerja pun. Demikianlah hebatnya pelajar masakini berbanding generasi
dulu-dulu. Namun tetap juga saya akui, zaman telah pun berubah, mana mungkin
kita berundur ke belakang, sesukar mana pun zaman dulu-dulu, segalanya kini
hilang ditelan waqtu, sekadar menjadi lipatan sejarah.
Namun,
ada perkara dalam hal berbeza ini yang ingin sangat saya ketengahkan. Generasi pelajar
dulu yang menuntut ilmu dengan susah payah, serba tidak senang dan, sama juga seperti
pelajar sekarang, mereka turut sama memikul beban hutang pinjaman pendidikan.
Bezanya adalah, generasi ini tidak pernah menuntut dilupuskan semua hutang atau
menuntut segalanya dinikmati percuma. Mereka menerimanya dengan redha segala
tanggungjawabnya, sedia membayarnya, mensyukurinya dan memanfaatkan ia
sebaiknya untuk ilmu (diakui sungguh – yang merapu pun ada).
Tidak
mereka kira pun jumlahnya (sama ada pelajar dalam negara mahu pun luar negara -
yang barang tentu jumlah hutang lebih besar). Mereka tukarkan segala bebanan dan
kekurangan itu kepada keazaman dan usaha untuk mendapat kecemerlangan dalam
akademik dan sahsiah, supaya dengannya hutang itu boleh ditukarkan kepada
dermasiswa, diberikan apa-apa pengecualian setimpal atau pun diberi keringanan
(diskaun). Tuan boleh rujuk ke MARA dan JPA (PTPTN tiada pada masa itu), berapa
orang daripada generasi ini yang tidak membayar balik. Dipersilakan dengan penuh
hormatnya.
Justeru
itu, amat sukar untuk saya memberikan pandangan dalam hal ini. Julat pemikiran
dan zaman telah berubah. Perspektif dan paradigma orang-orangnya juga jauh
tidak sama. Apa yang bakal saya katakan nanti, mungkin benar dan mungkin juga salah.
Jadikanlah ia pandangan orang lama yang tetap kekal sebagai pandangan sampai
bila-bila pun, boleh saja diterima atau boleh saja dicampakkan ke dinding. Saya
sendiri pun hakikatnya kurang berminat nak mengulas isu semasa yang
berbelit-belit, memeningkan dan bercampur unsur busuk politik. Maka itu, saya sekadar
menjawab soalan sahaja sebenarnya.
Mari
kita selusuri secara langsung kepada soalan yang ditanyakan.
Saya
ikuti juga sikit-sikit perjuangan dan tuntutan para mahasiswa masakini menerusi
media cetak juga media elektronik. Memang bermacam-macam hal yang saya lihat,
perhati dan dengari. Oleh kerana terlalu banyaknya cakap-cakap, dalam berbagai
nada dan maksud (termasuk memperli, memaki hamun, menghina, mencela dsb.),
menjadikan apa yang dicari, yang dimaksudkan dan yang diperjuangkan itu tak
menentu hala sebenarnya.
Sepanjang
pengetahuan saya, turutan isu yang dibangkitkan :
1. PTPTN dituntut hapuskan
4% caj pengurusan
2. PTPTN dituntut hapuskan
1% caj pengurusan
3. PTPTN diminta beri
diskaun atau tukar status pinjaman kepada dermasiswa kepada pelajar yang
cemerlang
4. PTPTN dituntut beri
kelonggaran jumlah dan tempoh membayar kepada peminjam
5. PTPTN mengamalkan riba
yang haram (disebabkan jumlah yang semakin meningkat)
Akhir-akhir
ini menjadi begini pula :
6. PTPTN adalah along
(maksudnya pemeras ugut peminjam, lintah darat, zalim, jahat dsb.)
7. PTPTN dituntut lupuskan
semua hutang dan ditukar jadi dermasiswa
8. PTPTN dibuat untuk
kayakan kroni
9. Kolej swasta kaya dengan
duit PTPTN
10. Bubarkan PTPTN dan berikan pendidikan percuma
Secara
kritikal dengan jelas saya mahu katakan, perkara 1 – 5 menunjukkan ciri
tuntutan yang ilmiyah, matang dan munasabah. Yang perkara 6 – 10, jelas
nampaknya ini bukan inisiatif pelajar, tapi dari pihak lain sebenarnya. Jika
dilihat dari segi turutannya juga, ketara sekali bersifat “sudah dapat betis
nak paha”.
Kepada
tuan penanya, ingin saya bertanya pula, yang mana satukah yang benar-benar
pelajar mahukan? Sila nyatakan dengan jelas. Pernahkan survey sistematik/komprehensif
dibuat dan consensus dikalangan pelajar dibuat terlebih dahulu tentang apa sebenarnya
yang mahu dituntut, berbanding terlalu banyak pihak yang mengaku bertindak kononnya
bagi pihak pelajar sekarang ini. Atas kapasiti apa pula satu dua kerat manusia
ini mengaku mewakili pelajar. Asas wakalah apa yang dipakai? Atau pun, selepas
ini ada lagi berpuluh-puluh perkara yang mahu dituntut.
Kalau
pun kata-kata saya ini sangat pedas, provokatif dan tak sedap didengar, yang
mahu saya serukatakan adalah, para pelajar mesti berdiri atas kaki sendiri,
tuntutlah sesuatu yang jelas dan munasabah bersandarkan keupayaan dan
kewibawaan diri demi kepentingan dan keperluan pelajar sendiri, bukannya
terbelenggu dalam kata-kata retorik dan hipotesis palsu. Dengan sebegitu banyak
tuntutan itu ini, bersimpang siur, sekadar menjelaskan kedangkalan cara fikir
lantaran tidak dapat menetapkan hala tuju. Juga hanya menyerlahkan sikap lalang
yang berubah-ubah, jelas terpengaruh dan diperkotak-katikkan mengikut arus
semasa sahaja. Ini bukanlah mentality, daya keintelektualan, sahsiah dan
kualiti kesarjanaan pelajar yang mahu dibentuk dalam mana-mana negara pun. Tak
pernah ada satu cabang ilmu mahu pun sebuah institusi pengajian yang melatih
pelajar untuk menjadi begini.
Setakat
ini sahaja saya nak berbicara hal ini. Dikhuatiri lagi banyak saya berbicara,
bertambah banyak pula kontroversi. Seterusnya, kita masuk ke bab lain.
Kepada
para pelajar, saya mahu sampaikan sabda junjungan mulia Rasulullah Saw. :
Dari
Abdullah bin Amru bin Al As Rhu. ia berkata, bahawasanya Rasulullah Saw.
bersabda : Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni, kecuali hutangnya".
Hadis sahih riwayat Muslim rh. no. 4860
Dari Abu Hurairah Rhu. ia mengatakan bahawa Rasulullah Saw. bersabda
: Jiwa (roh) seseorang Mukmin itu tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya
dilunasi".
Hadis riwayat imam Tarmidzi rh, imam Ibnu Majah rh. dan imam Baihaqi
rh.
Lebih
buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk
tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi Saw. :
Dari Abu Hurairah Rhu. ia mengatakan bahawa Rasulullah Saw.
bersabda : Siapa pun yang mengambil (meminjam) harta orang lain
dengan niat membayarnya kembali, Allah akan membayarnya atas namanya. Dan siapa
pun yang mengambil wang orang lain dengan niat merosakkannya, Allah akan membinasakannya".
Hadis
sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 2387
Dari
Salamah bin Akwa’ Rhu. dia menceritakan bahawasanya janazah seseorang dibawa
kehadapan Rasulullah Saw. untuk baginda solati. (Lalu) Nabi Saw. bersabda :
Apakah dia memiliki hutang?. Orang-orang menjawab : tidak. Maka baginda
mensolatinya. Janazah lain dibawa kehadapan baginda, (lalu) Nabi Saw. bertanya
: Apakah dia mempunyai hutang?. Mereka berkata : Ya. Baginda (menolak
mensolatinya dan) bersabda : Kalau begitu, kerjakanlah solat oleh kamu.
(Kemudian) Abu Qatadah Rhu. berkata : Ya Rasulullah! aku yang akan membayarkan
hutangnya. Maka baginda pun memimpin solat janazah untuknya.
Hadis
sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 2295
Malah
betapa Islam menitikberatkan hal hutang ini sehinggakan pembahagian harta
simati pun hanya dibuat selepas hutang dilangsaikan telebih dahulu. Begitulah
perintah Allah Swt. dalam kalamNya :
Firman
Allah yang bermaksud: “Allah mensyari’atkan tentang (pembahagian harta pusaka)
anak-anakmu…….. (pembahagian-pembahagian tersebut dibuat) sesudah diselesaikan
wasiyat yang dia (simati) buat, dan sesudah dibayar hutangnya……….”.
Surah
An Nisaa’ (4) : ayat 11
Demikianlah
ketetapan hukum Allah dan rasulNya bahawa hutang wajib dbayar. Dan perintah itu
qati’e tanpa boleh dipertikaikan. Amat pelik dan menjengkelkan apabila
sekumpulan orang yang berhutang, bukannya berusaha untuk membayarnya atau pun
mendapatkan keringanan padanya, tetapi menuntut ia dilupuskan pula. Ini kerja
mengarut dan menentang hukum syara’, wajar tidak dilayan sama sekali.
Kepada pihak
PTPTN dan Pemerintah, ingin juga saya berpesan :
"Hai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan
bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan".
Surah Ali
Imran (3) : ayat 130
Imam Ismail
bin Umar Ibnu Katsir rh. ketika menafsirkan ayat ini berkata : Allah Ta'ala
melarang hamba-hamba-Nya kaum mukminin dari praktik dan memakan riba yang
senantiasa berlipat ganda. Dahulu, di zaman jahiliyyah, bila piutang telah
jatuh tempo mereka berkata kepada yang berhutang, ‘engkau melunasi hutangmu
atau membayar riba’, bila ia tidak melunasinya, maka pemberi hutang pun
menundanya dan orang yang berhutang menambah jumlah pembayarannya. Demikianlah
setiap tahun, sehingga boleh saja piutang yang sedikit menjadi berlipat ganda
hingga menjadi besar jumlahnya beberapa kali lipat. Dan pada ayat ini Allah
Ta'ala memerintahkan hamba-Nya untuk senantiasa bertaqwa agar mereka selamat di
dunia dan di akhirat".
Tafsiir ul
Qur’an ul Adziim (Tafsir Ibnu Katsir),
Jilid 1 halaman 404
"Wahai orang-orang yang beriman,
bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu
benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap
kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak
menganiaya dan tidak (pula) dianiaya".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 278-279
Juga juga sabdaan junjungan mulia Nabi Saw. :
“Dari Abu Hurairah Rhu. bahawasannya Rasulullah Saw. bersabda :
Jauhilah olehmu tujuh dosa besar yang akan menjerumuskan (pelakunya ke dalam
neraka). Para sahabat bertanya : Ya Rasulullah, apakah dosa-dosa itu?. Baginda
bersabda : Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah
kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan harta anak yatim, memakan riba,
melarikan diri dari medan peperangan, dan menuduh wanita mukmin yang menjaga
(kehormatannya) lagi baik (bahwa ia telah zina)”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (2615) dan imam Muslim rh. (89)
“Dari
Jabir Rhu ia berkata bahawasanya, Rasulullah Saw. telah melaknat pemakan riba,
orang yang memberikan/membayar riba (nasabah), penulisnya dan juga dua orang
saksinya. Dan baginda juga bersabda : ‘Mereka semua sama (dalam hal
dosanya)’".
Hadis
sahih riwayat imam Muslim rh. no. 1219
Riba jika dilihat dari segi istilah
bermaksud mengambil atau mengenakan tambahan ke atas harta atau nilai pokok
atau modal secara batil. Secara umumnya riba boleh disimpulkan sebagai
pengambilan tambahan, baik dalam transaksi jual beli mahupun pinjam-meminjam
secara batil (tindas menindas) yang bertentangan dengan prinsip muammalat
Islam.
Ingatlah sesungguhnya bahawa Allah
Swt. telah berpesan :
“Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu
sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan
jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu......”
Surah An Nisaa' (4) : ayat 29
Dan
pesanan junjungan mulia Nabi Saw. lagi :
“Dari
Abu Said Al Khudri Rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Emas hendaklah dibayar dengan emas, perak
dengan perak, gandum dengan gandum, tepung dengan tepung, kurma dengan kurma,
garam dengan garam, dengan ketentuan (kualitinya) harus sama dan serupa (jumlahnya),
dan harus dilakukan (bayaran) dengan kontan (tunai). Barang siapa yang memberi
tambahan atau meminta tambahan, sesungguhnya ia telah berbuat riba. Penerima
dan pemberi itu sama-sama bersalah”.
Hadis
sahih riwayat imam Muslim rh. no. 1584 (Bab : Tentang Riba)
Tindakan
atas apa alasan sekalipun tidak dapat menghalalkan perbuatan mengenakan bunga
yang sentiasa beranak pinak ke atas pinjaman pelajar. Ini jelas suatu perbuatan
riba yang diharamkan oleh syara’. Buruk benar mencari kesenangan menerusi segala
macam birokratik dengan menjarah jerih perih hamba rakyat. Justeru itu,
tuntutan pelajar supaya unsur riba ini dibatalkan memang munasabah. Memang
tuntutan pelajar dalam kes ini wajar sangat diberi perhatian.
Akhirul
Kalam : Pada hemat saya, persoalan sebenarnya hanyalah berkisar di antara
wajibnya membayar hutang kepada semua peminjam dan haramnya mengenakan caj
berlebihan (riba) oleh PTPTN. Apa jua perbincangan seharusnya berkisar kepada
persoalan ini. Dimasa yang sama, para peminjam memang berhak mendapat apa-apa
jua keringanan dalam pinjaman dan tempoh masa bayaran balik yang setimpal. Isu
selain daripada hal-hal disebutkan ini tidak lebih dari sensasi kepentingan politik,
bukannya hakiki manifestasi hasrat para pelajar.
Yang
mahu saya peringatkan adalah, tuntutlah sesuatu yang munasabah lantaran PTPTN
bukanlah badan kebajikan penuh akan tetapi sebuah badan pemberi pinjaman
pelajaran yang hakikatnya telah membantu ramai pelajar selama ini mendapat
peluang pendidikan. Malah mesti juga difahami bahawa, PTPTN mendapat mendapat
dana dari beberapa bank komersil yang mesti dibayar semula manakala setiap
bayaran semula dari pelajar adalah pusingan modal untuk kegunaan sekumpulan
pelajar lain.Justeru itu, para penerima pinjaman ini wajib melatih diri menjadi
warga yang bersyukur.
Saya
mencadangkan kepada pemerintah supaya mewujudkan satu forum pelajar di
peringkat kebangsaan supaya pandangan dan permintaan pelajar dapat didengari
secara serius. Tidak semua perkara yang dibangkitkan oleh para pelajar ini tidak
berasas malah banyak pula yang bernas selaras dengan tahap daya keintelektualan
mereka. Mekanisme sedia ada semasa kurang berkesan sebenarnya. Pengalaman saya
sendiri sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dahulu, lebih
banyak idea dan pandangan yang dikemukakan pelajar kepada unit HEP,
dibakulsampahkan sahaja tanpa ada sebarang susulan membina dan kebanyakan suara
pelajar itu diperlekehkan sahaja.
Sekiraanya
tuan berminat untuk berdemontrasi, rasanya tiada siapa pun yang dapat menghalang
lantaran demontrasi aman adalah sah disisi undang-undang. Yang mahu saya
tekankan adalah, tolong fikirkan dalam-dalam dengan fikiran bukan perasaan,
adakah dengan berdemontrasi itu matlamat yang dihasratkan akan dapat dicapai,
atau pun sekadar mahu mendapatkan liputan, sensasi dan popularity, sedangkan
halatujunya entah dimana, malah menguntungkan sesetengah pihak yang menangguk
di air keruh, mempergunakan kenaifan para pelajar demi keuntungan hasrat mereka
sendiri.
Gunalah
akal dan fikiran dalam menuntut apa pun, bukannya nafsu dan perasaan. Tuan
telah berada di puncak menara ilmu, tiada lain telah sepatut dan selayaknya
berdiri di atas kaki sendiri dalam menentukan apa yang buruk dan apa yang baik.
Juga dengan waras tuan sudah tahu setiap perbuatan akan ada balasannya yang
setimpal. Ingatlah juga, sebagai seorang mukminin sewajibnya kita menyikapi
setiap perbuatan dalam konteks taqwa dan iman, bukannya seronok-seronok di
dunia sahaja, bahawa tidak dapat kita lari dari mekanisme pahala membawa ke
syurga manakala dosa pasti membawa ke neraka.
Maka
itu, tuan pilihlah yang terbaik lantaran pilihan itu ditangan tuan sendiri.
Gunalah akal dan fikiran yang sihat dalam menuntut dan berperilaku apa jua pun,
bukannya berlandaskan nafsu dan perasaan, selaras dengan ketinggian martabat
ilmu yang telah tuan miliki. Setakat ini sahaja komentar saya. Yang lain dari
itu, ditangan dan pilihan tuan sendiri. Akal yang waras berlandaskan taqwa dan
iman, pasti akan mendapat petunjuk yang haq dari Yang Ma’bud, Allah ‘Azza wa
jalla.
والله
اعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan
Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
4 ulasan:
Assalamu’alaikum Pak Lang,
Terima kasih atas maklumbalas. Memang memberi jawaban yang bernas sungguh. InsyaAllah memberi pengajaran kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk mengambil pendirian sepatutnya. Lepas saya hantar kepada di orang, ramai yang dah kendur sikit semangat nak pergi joint demo. Mungkin lepas nih nak belajar rajin-rajin bagi dapat diskaun atau pun usaha saja untuk bayar hutang.
Apa pun saya ucapkan ribuan terima kasih. Sebelum terlupa, saya mohon izin untuk kongsi artikel ni dengan kawan-kawan.
Wassalam.
Salam perkenalan semua.
Saya dah lama dalam group ini, malah semua e-mail tuan-tuan saya simpan semua. Saya mohon maaf kerana tidak respon kerana buzy.
Tentang Pinjaman PTPTN ini ada baik buruknya. Kebaikannya adalah ia adalah sumber pinjaman anak-anak bangsa kita yang kebanyakkannya adalah dari golongan sederhana. Kalau tak pinjam, harapan anak-anak untuk melanjutkan pelajaran amatlah tipis. Nak pinjam dari adik beradik dah macam mencari musuh, mencari dosa… Pendek kata pinjam dari Ah Long lagi baik dari “Ah Long” ker “Ah Ngah” sendiri.
Sekali difikir-fikir, ia saperti bangsa asing sabotaj bangsa kita. Maaf yer saya bukan Assobiyah, saya bukanlah taksub dengan kaum sendiri. Bangsa asing semua beruang … oops Ber uang. Anytime boleh biayai pelajaran anak-anak mereka.
Kita nak korek duit dari mana? Pelajaran anak-anak ketinggalan. Dalam masa sekarang pun, berapakah peratus anak-anak kita yang pandai pun bekerja sebagai professional. Yang ramai-ramai itu pun sebab kerja dengan Gomen. Kerja dengan GLC. Kalau kerja dengan swasta berapa peratus lak yang bertaraf pegawai tinggi, mendapat jawatan, gaji dan layanan selayaknya?
Dengan berbekalkan SPM nak minta jadi Pengurus? Dengan SPM nak kerja makan gaji berpendapatan RM 10,000.00 sebulan? RM 15,000.00 sebulan? Saudara-saudara yang dikasihi sekelian, Zaman Mat Jenin sudah jadi sejarah. Janganlah kita mengulangi sejarah.
Saudara-saudara yang saya kasihi ….. kalau nak turunkan kadar interest PTPTN saya setuju seratus peratus. Itu pun kalau ikut proper channel.
Maaf kiranya, perkataan saya menyinggung perasaan. Ini adalah luahan hati saya agar cucu cicit saya tidak kencing atas kuburan saya.
Terima kasih.
Sdr. Ghazali yang dihormati,
"Suatu perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap orang Islam ialah bahawa badan manusia itu sendiri terbentuk dari beberapa anggota dan deria, seperti tangan, mata, telinga dan sebagainya. Semuanya ada fingsi tertentu dalam berdakwah. Jadi tiada alasan yang menasabah jika ada orang Islam yang mengatakan bahawa dia tidak mampu untuk bergiat dalam dakwah kerana urusan kerja atau kesuntukkan masa. (Syeikh Abbas As-Saisi)
Firman Allah yang bermaksud : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakan dan mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakan”.
Surah Al-Baqarah 2 : ayat 286
Mengenai pinjaman PTPTN, saya hargai luahan hati sdr yang ikhlas dan penuh dengan kebenaran. Memang begitulah realitinya.
Dari penglibatan saya bersama kerajaan negeri P.Pinang semasa era Dr. Lim Chong Eu, betapa banyaknya industri tumbuh seperti Intel, NS dll di mana bangsa cina melalui perancangan Gerakan secara sulit telah menempatkan bangsa cina memonopoli kedudukan atasan di firma-firma elektronik dll sehingga ada yang mengamalkan struktur gaji yang berbeza di antara pekerja atasan cina dan melayu dan jawatan yang paling atas masa itu hanya di HR. Jadi masa itu bukan tiada orang melayu yang berkelayakan tetapi polisi rahsia ini yang tidak membenarkan. Di dalam kerajaan negeri pula ketika itu kakitangan atasan dikuasai oleh sama ada kaum cina atau serani.
Ini hanya dapat diubah apabila Gabenor sekarang menjadi exco kerajaan negeri dan agenda memelayukan pentadbiran negeri dan kerjaan tempatan dimulakan. Apa yang saudara lihat di kerajaan negeri dan GLC adalah jauh berbeza dari senerio zaman 70han. Walaupun ada kebimbangan saya setelah kerajaan DAP ambil alih, (kerana pada saya DAP, Gerakan, MCA sama saja bila berdepan agenda bangsa mereka) tidak saya kesan ianya berlaku.
Jadi apa perlu kita lakukan. Peluk tubuh dan melihat saja episode demi episode berlalu atau berbuat sesuatu mengikut kemampuan yang ada. Namun jika berseorangan, dua atau tiga mungkin tak mampu tetapi jika kita gerakkan sebagai jamaah, saya rasa Allah sedang menunggu untuk menolong kita. Perlulah kita mulakan kerja hari ini untuk dituai oleh anak cucu kita nanti. Yang lepas biarlah ia berlalu, kita fokus untuk masa depan.
"Seorang muslim sejati, dia tidak menyalahguna setiap kelebihan dan nikmat yang diberikan Allah. Bahkan dia menggunakan kesempatan itu untuknya memperbetulkan mana yang silap, mendidik, membangkitkan semangat, menyebarkan dakwah dan sebagainya. Dia mampu mempastikan hala tujunya itu ke arah jalan yang betul, jalan yang boleh membantunya untuk mempertingkatkan amal ibadah dan ketakwaan (anak cucunya) terhadap Allah".
Syeikh Abbas As-Saisi
Apakah langkah kehadapan yang perlu dirancang dan dilaksanakan????
Wassalam
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Tuan-tuan yang dihormati,
Saya sangat gembira atas ulasan yang diberikan. Begitulah apabila kita meletakkan taqwa dan iman dalam menyikapi sesuatu, pasti ia menjadi waras dan tenang. Paling baik adalah kita akan berkata benar seterusnya menginsafi apa yang telah dan sedang berlaku. Dari situ akan mencari jawaban kepada persoalan dan berusaha membaikinya supaya generasi akan datang tidak merasai apa yang kita alami kini.
InsyaAllah, jika ada umur panjang dan kesempatan boleh kita selidiki caranya dan merangka tindakannya mengikut lunas Islam, lantaran Allah St. menegaskan bahawa : sesiapa yang berpegang teguh kepada Islam, pasti akan menang.
“Dia-lah yang mengutus rasul-Nya dengan membawa Al Huda (petunjuk-Al Qur’an) dan agama yang Haq (syari’at yang ditunjukkan menerusi As Sunnah) agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama (yang lain). Dan cukuplah Allah sebagai saksi”.
Surah Al Fath (48) : ayat 28
“Dia-lah yang mengutus rasul-Nya dengan membawa Al Huda (petunjuk-Al Qur’an) dan agama yang Haq (syari’at yang ditunjukkan menerusi As Sunnah) agar Dia memenangkannya di atas segala semua agama (yang lain) meskipun orang-orang musyrik benci”.
Surah As Saff (61) : ayat 9
Wassalam
Catat Ulasan