بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua rakan jamaah serta para pembaca. Seraya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. Moga Allah Swt. Yang Maha Esa Yang Maha Dermawan, meredhainya. Saya mohon berlindung diri dengan Allah Tabaraka Wata’ala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan, serta memohon pimpinanNya sentiasa dalam menghasilkan artikel ini.
Saya mulai kalam saya kali ini dengan kalamullah :
“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”.
Surah Al Hadid (57) : ayat 22-23
Allah Swt. memperingatkan manusia lewat Kalam suciNya, tiada satu pun musibah yang menimpa didunia ini seperti kekeringan, berkurangnya harta, bencana, sakit dan kefakiran yang menimpa, melainkan musibah itu telah tertulis dalam Lauh Mahfuz sebelum Dia menciptakannya. Sesungguhnya, menetapkan semua itu dalam Kitab Allah adalah perkara yang amat mudah bagiNya. Allah mengkhabarkan hal itu kepada manusia supaya tidak bersedih dengan kenikmatan duniawi yang luput dari mereka, serta agar tidak terlalu gembira secara sombong terhadap apa yang diberikanNya. Allah Swt. tidak menyukai,yakni menghukum setiap orang yang sombong terhadap apa yang telah diberikan kepadanya, dan membanggakan dirinya dihadapan orang lain dengan harta atau kedudukannya.
Sebagai orang yang beriman atau sekurangnya seboleh mungkin berusaha menjadi Muslim terbaik, kita sentiasa dianjurkan supaya memerhatikan keajaiban alam fana ciptaan Allah Swt. yang kita duduki ini. Para diri yang insaf, sedar dan bersyukur akan pasti mengakui bahawa sesungguhnya, Dia menundukkan semua yang ada dilangit seperti matahari, bulan, hujan dan angin serta segala yang ada di bumi dan lautan seperti harta dan perbendaharaan, supaya manusia bersyukur atas nikmat yang ditundukkanNya itu. Pastinya, dalam penundukan semua itu ada tanda-tanda yang jelas atas Kekuasaan dan Keesaan Allah bagi mereka yang mahu berfikir.
“Allah-lah yang menundukkan lautan untuk kamu agar kapal-kapal dapat belayar di atasnya dengan perintahNya, agar kamu dapat mencari sebahagian kurniaNya dan supaya kamu bersyukur. Dia (Allah) menundukkan (memudahkan) bagi kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi (sebagai rahmat) daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”
Surah Al Jatsiyah (45) :ayat 13
Dalam tempoh beberapa tahun terakhir ini, negara kita telah pun mengalami rangkaian berbagai musibah atau bencana alam, dari yang "biasa-biasa" hingga yang "luar biasa". Mulai dari banjir saban tahun, tanah runtuh, rebut petir dan gelombang tsunami. Jumlah korban yang meninggal akibat beragam bencana tadi juga kian meningkat. Dengan yang demikian, bertambah pula daftar jumlah janda, duda, anak-anak yatim/piatu, dan para orang tua kehilangan waris-warasnya. Kerugian material dan fiscal akibat berbagai bencana alam tadi tentu juga amat besar.
Pastinya musibah alam sama ada cepat atau lambat, tetap akan terus terjadi. Belum termasuk lagi musibah bikinan manusia sendiri seperti jenayah, pembunuhan, kemalangan berbagai bentuk dari yang disenghajakan atau berpunca dari kelalaian manusia sendiri. Semua ini membikin kerumitan dalam hidup manusia, menjelaskan betapa jauhnya manusia kini dari landasan Rabbaniyah dan yang pasti, semua fenomena ini mencerminkan dunia sedang menuju zaman akhirnya yang tidak dapat ditentukan bilakah masanya. Pada hemat saya, gegaran gempa bumi yang terjadi baru-baru ini, adalah suatu fenomena luar biasa.
Pada hari Rabu, 11 April 2012 / 9 Jamadil Awwal 1433H, kira-kira 4.30 petang waktu Malaya, berlaku sekali lagi gempa bumi berskala besar, dipercayai mencecah kekuatan 8.7 magnitude skala Richter di Lautan Hindi, berhampiran bahagian utara Pulau Sumatera. Buat kesekian kalinya, gempa kali ini dapat dirasai dengan begitu ekstensif di bahagian tengah dan utara Semenanjung. Jarang benar situasi gegaran sekuat ini berlaku di Semenanjung lantaran dari segi lokasi, Semenanjung terletak di luar kawasan lingkaran api dan rekahan plat bumi, cuma mungkin faktor jarak yang kurang dari 1000 km dari pusat gempa menyebabkan gegaran turut dirasai. Semakin kuat kekuatan gempa, akan semakin kuat gegaran dirasai.
Fenomena alam semesta milik Allah Swt. ini, secara saintifiknya berlaku disebabkan oleh rekahan dan penganjakan sebahagian besar lapisan luar batuan bumi secara tiba-tiba. Selalunya ia terjadi di sepanjang sesar iaitu lingkaran rekahan di dalam lapisan luar batuan bumi yang lemah di mana, bahagian batuan menggelongsor berulang kali melepasi antara satu sama lain. Tekanan di dalam bumi menyebabkan bongkah batuan yang besar di sepanjang sesar menjadi terikan. Apabila terikan menjadi terlalu kuat, batuan akan merekah, pecah dan bergerak hingga membentuk kedudukan baru yang stabil sementara. Proses ini menyebabkan berlakunya gegaran kuat bumi yang disebut gempa bumi. Apabila gempa bumi berlaku, batuan yang merekah dengan hebat itu akan membebaskan getaran yang dikenali sebagai gelombang seismos. Gegaran kuat dapat dirasai di muka bumi seterusnya boleh mencetuskan gejala tanah runtuh, menyebabkan kerosakan dan kemusnahan serta kehilangan nyawa. Sekiranya ia terjadi di dasar lautan pula, ia mampu menggerak dengan kuat gelombang air di dasar lalu mencipta siri ombak besar pemusnah yang dikenali sebagai tsunami di permukaan.
Kesan dari gegaran bumi ini, sebahagiannya kita lihat dan sebahagian kita dengari, manusia bertempiaran menyelamatkan diri, meninggalkan apa saja dari makanan, pekerjaan, perdagangan, kediaman, rakan malah apa jua, lantaran dek rasa takut tak keruan dan kegusaran. Suasana yang aman bertukar menjadi hiruk pikuk, manusia mencari-cari apa saja ruang yang dirasakan selamat. Malah saya turut menerima satu sms “tolong doakan keselamatan kami, semua orang menjerit-jerit dan berlari turun sana sini, rumah kami nak runtuh (rumah mereka jenis pangsa)”. Terdengar juga khabar angin bahawa berlaku kes kematian di sebuah pasaraya akibat pertembungan rempuhan manusia yang berasak-asak untuk keluar menyelamatkan diri.
Begitulah situasi huru-haranya di tempat kita yang hanya menerima tempias gegaran sahaja. Entah bagaimanalah rasa dan situasinya di tempat paling hampir dengan pusat gegaran. Hanya Allah Swt. yang mengetahuinya. Gegaran kecil ini, natijahnya menyerlahkan hakikat diri manusia, betapa saat itu hilangnya segala kesombongan, kebanggaan, kemasyhuran dan kebongkakan sesiapa jua, melainkan tertumpu pada hanya satu perkara, yaitu menyelamatkan diri sendiri semampu mungkin, seboleh-bolehnya dari ajal dan maut.
Buat peringatan kepada diri saya sendiri dan semua jamaah yang dirahmati Allah Swt., situasi yang berlaku ini adalah satu gambaran kepada sebahagian kecil daripada fenomena qiyamat al Kubra (besar) yang dikhabarkan oleh Allah Swt. dan rasulNya menerusi banyak KalamNya. Malah kisah itu lebih menggerunkan dan menginsafkan diri-diri yang mahu berfikir dan meletakkan dirinya sebagai benar-benar sebagai hamba kepada Yang Khaliq.
Sudah seharusnya kita, para mukminin dan muslimin menyikapi rangkaian bencana demi bencana tersebut dengan landasan ketaqwaan dan keimanan yang haq kepada Allah Swt. Tidak dapat tidak, kita mesti meyakini bahawa segala macam bencana alam tersebut pada dasarnya adalah qiyamat sughra (kecil) sekaligus menjadi petanda bahawa qiyamat kubra (besar, di akhir zaman) memang akan terjadi bahkan kian mendekat. Sebab di balik bencana banjir, gempa bumi, tsunami, gunung berapi meletus dan kemusnahan bikinan tangan manusia, terdapat peringatan tentang gambaran qiyamat kubra. Lantaran Allah Swt, telah berpesan bahawa, qiyamat itu tidak terjadi dengan tiba-tiba melainkan setelah didatangkan tanda-tandanya :
“Maka tidaklah mereka tunggu-tunggu melainkan sa’ah (hari qiyamat), yaitu kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila sa’ah (hari qiyamat) telah datang”.
Surah Muhammad (47) : ayat 18.
Ini disebabkan, berbagai fenomena musibah alam tersebut telah mencerminkan dan menjadi petanda akan berlakunya proses qiyamat kubra dengan kondisi yang tentunya jauh lebih dahsyat, lebih mencekam, menggentarkan hati dan lebih menakutkan seperti tersurat dan tersirat dalam banyak ayat Al Quran. Diantara perkhabaran dari Yang Ma’bud tentang peristiwa berlakunya As Sa’ah (qiyamat) itu adalah :
Swt. menjelaskan bahawa pada hari berlaku As Saah (qiyamat) itu, ia begitu dahsyat yang mana bumi akan diganti dengan bumi yang lain, begitu juga halnya langit sedia ada akan ditukar dengan langit yang lain.
"(Yaitu) pada hari bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit, dan mereka manusia berkumpul (di Padang Mahsyar) menghadap Allah Yang Maha Esa, Maha Perkasa".
Surah Ibrahim (14) : ayat 48
Pada hari qiyamat itu Allah Swt. perjalankan segala gunung ganang dari tempatnya dan bumi menjadi rata sehingga tidak ada yang menutupinya dari sebarang makhluk pun.
"Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami memperjalankan gunung-gunung, dan kamu akan melihat bumi itu menjadi rata, dan Kami kumpulkan mereka (seluruh manusia), dan tidak Kami tinggalkan seorang pun dari mereka".
Surah Al Kahfi (18) : ayat 47
Langit-langit akan digulung sempama gulungan kertas sahaja yang menggambarkan betapa dahsyatnya kejadian qiyamat. Malah pada saat itu juga, lembaran amal juga akan digulung (ditutup) dan tiada gunanya lagi kekesalan dan taubat.
"(Ingatlah) pada hari langit Kami gulung seperti mengulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan yang pertama, begitulah Kami akan mengulanginya lagi. (Suatu) janji yang pasti Kami tepati ; sungguh, Kami akan melaksanakannya”.
Surah Al Anbiyaa’ ((21) : ayat 104
Seluruh bumi dan makhluk yang ada padanya akan digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya sehingga musnah luluh menjadi debu-debu yang berterbangan di angkasa.
"Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya. Dan gunung ganang dihancur luluhkan sehancur-hancurnya. Maka jadilah ia debu yang berterbangan”.
Surah Al Waqi’ah (56) : ayat 4, 5 dan 6
Seterusnya Allah Swt. menceritakan pula keadaan manusia di dalam situasi berlakunya As Sa’ah (qiyamat), suatu hal yang besar itu. Apabila ia sampai dengan kegoncangan yang amat dahsyat, sehinggakan tiap-tiap ibu yang sedang menyusui pun melupakan apa yang dia menyusukan, dan tiap-tiap yang mengandung akan keguguran kandungannya lantaran amat takut, dan semua manusia kelihatan seperti mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Demikian diceritakan di dalam ayat-ayat berikut :
"Wahai manusia! bertaqwalah kamu kepada Pencipta kamu, sesungguhnya kegoncangan As Sa’ah (qiyamat) itu adalah satu hal yang besar. (Ingatlah) pada hari apabila kamu melihat (goncangan itu), tiap-tiap ibu yang menyusui anaknya akan melupakan apa yang dia menyusukan, dan tiap-tiap yang mengandung akan keguguran kandungannya, dan kamu akan melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu (yang) sangat keras."
Surah Al Hajj (22) : ayat 1-2
Apabila suara yang memekakkan (tiupan sangkakala) pada hari qiyamat itu telah datang, yang memekikkan lagi mencekam bagi yang mendengarnya, pada hari itu seseorang akan berlari kerana takut pada hari itu. Lari dari saudaranya, ibunya, bapanya, suami/isterinya dan anak-anaknya. Masing-masing pada hari itu, disibukkan oleh urusannya sendiri sehinggakan tidak dapat mengurusi orang lain kalau pun insan yang paling rapat dan disayangi. Wajah orang-orang yang berbahagia (ahli syurga) pada hari itu berseri-seri, bergembira lagi senang. Sementara itu, wajah penduduk neraka, gelap gelita dilitupi oleh kehinaan. Mereka itulah orang-orang kafir terhadap nikmat Allah Swt. dan mendustakan ayat-ayat Allah dan melanggar segala dosa dan kedurhakaan yang diharamkanNya.
“Maka apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua). Pada hari itu manusia lari dari saudaranya. Dan dari ibu dan bapanya. Dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap seorang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan (sendiri) yang menyibukkannya. Pada hari itu ada wajah yang berseri-seri. Dan pada hari itu ada (pula) wajah-wajah yang tertutup debu (suram). Tertutup oleh kegelapan (ditimpa kehinaan dan kesusahan). Mereka itulah orang-orang kafir yang durhaka”.
Surah Abasa (80) : ayat 33-42
Junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. sebagai Rasulullah untuk sekalian alam pernah bersabda, dengan diutusnya baginda maka berakhirlah era nubuwwah dan risalah (syari’ah) yakni bahawa sesudah baginda tidak akan ada lagi nabi atau rasul yang diutus oleh Allah Swt., baginda adalah khataman nabi (nabi terakhir) dan selepasnya adalah qiyamat.
“Dari Anas bin Malik Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Aku diutus (oleh Allah) dan jaraknya dengan hari kiamat sebagai dua jari ini (Beliau bersabda demikian sambil menunjukkan dua jarinya yakni jari telunjuk dan jari tengah)”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. imam Muslim rh. dan imam Tarmidzi rh.
Tujuan dari perumpamaan ini ialah bahawa dalam jarak waktu antara diutusnya Nabi Muhammad Saw. dengan tibanya hari qiyamat sudah tidak ada lagi nabi yang lain. Jadi antara kedua peristiwa itu amat berdekatan sekali, yang satu menyusul yang lain. Jelaslah bahawa diutusnya Nabi Muhammad Saw. itu sendiri adalah menjadi tanda sudah dekatnya hari qiyamat tersebut. Namun yang demikian, hal ini tidak memberi ketetapan tentang dapat diketahuinya dengan tepat waktu terjadinya hari qiyamat itu, lantaran hanya Allah Swt. saja yang mengetahuinya.
Artikel serba dhaif ini yang menyentuh secara langsung peristiwa gempa bumi, bagi menjelaskan ia adalah sebahagian tanda-tanda qiyamat sugra, yaitu tanda-tandanya yang kecil, bukan peristiwa qiyamatnya. Tanda-tanda ini terjadi mendahului hari qiyamat dalam masa yang cukup panjang dan merupakan berbagai kejadian yang biasa terjadi. Seperti, terangkatnya ilmu, munculnya kebodohan, maharajalelanya minuman keras, perzinaan, riba dan sejenisnya.
Dan yang penting lagi, bahawa pembahasan ini merupakan da’wah kecil menuntut dipertingkatkan keimanan kepada Allah Swt. dan Hari Akhirat, dan membenarkan apa yang disampaikan oleh Rasulullah Saw., disamping itu juga merupakan seruan untuk bersiap-siap mencari bekal bagi kehidupan setelah mati nanti, kerana qiyamat itu telah dekat dan telah banyak tanda-tandanya yang nampak.
Fenomena gempa bumi, juga merupakan salah satu tanda akan berlakunya qiyamat al kubra sepertimana yang telah dijelaskan oleh Nabi Saw. dalam banyak hadis, antaranya :
“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawa Rasulullah Saw. bersabda : ……. Tidak akan datang qiyamat sehingga banyak terjadi gempa bumi".
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh., Sahih Bukhari, Kitab Al-Fitan, Jilid 13 : 81-82
Dalam satu riwayat lain, keterangan entang gempa bumi ini diperjelaskan lagi :
Dari Salamah bin Nufail As Sukuni Rhu. ia menceritakan : Kami sedang duduk-duduk di sisi Rasulullah Saw. lalu baginda menyebutkan suatu kisah, ……………. Sebelum terjadinya hari qiyamat akan terdapat kematian-kematian yang mengerikan, dan sesudahnya akan terjadi tahun-tahun gempa bumi".
Hadis riwayat imam Ahmad rh. (Al Musnad Jilid 4 : 104), imam Al Bazaar rh, dan imam Abu Ya’ala rh. Imam Ibnu Hajr Al Haytsami rh. dalam Muntakhab Al-Kanz. mencatatkan yang perawi-perawinya adalah perawi-perawi kepercayaan". Sila rujuk kitab Majmu'uz Zawa'id, Jilid 7 halaman 306.
Imam Al Hafiz Ahmad Bin Ali Bin Muhammad Ibnu Hajr Al Asqolany rh. berkata, "Telah banyak terjadi gempa bumi di negara-negara bahagian utara, timur dan barat, tetapi yang dimaksud oleh hadits ini ialah gempa bumi secara merata dan terus menerus".
Kitab Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari, Jilid 13 halaman 87
Hal ini diperkuatkan lagi di dalam satu riwayat lain :
“Dari riwayat Abdullah bin Hawalah Rhu. ia berkata bahawa : Rasulullah Saw. pernah meletakkan tangan beliau di kepala aku, lalu baginda bersabda, Wahai putra Hawalah, jika engkau melihat perselisihan telah terjadi di tanah suci, maka telah dekat terjadinya gempa-gempa bumi, bala bencana, dan perkara-perkara yang besar, dan hari qiyamat pada waktu itu lebih dekat kepada manusia dari pada kedua tanganku ini terhadap kepalamu".
Hadis riwayat imam Ahmad rh. (Al Musnad, Jilid 5 : 188) dan imam Al Hakim rh. (Al Mustadrak, 4 : 425, dan beliau berkata : ini adalah hadits yang sahih isnadnya, hanya saja Bukhari dan Muslim tidak meriwayatkannya". Perkataan imam Al Hakim ini disetujui oleh imam Adz Dzahabi rh. dan Syeikh Al Albani rh. mensahihkan hadis ini dalam Sahih Al Jami'us Saghir, Jilid 6 halaman 263, hadits nomor 7715. Juga dicatatkan dalam kitab Muntakhab Kanzul 'Ummal, 'Aunul Ma'bud Syarah Sunan Abu Daud, Kitab Al Jihad, Bab Fi Ar Rajuli Taghzuu wayaltamisu Al Ajra wa Al Ghanimah, Jilid 7 halaman 209-210
Maka itu, sesungguhnya kejadian gempa bumi dan lain-lain musibah alam adalah kejadian fenomena alam yang telah terlebih dahulu tertulis di Lauh Mahfuz, dibawah pengetahuan dan kekuasaan Allah Azza Wajalla sebelum ia dijelmakan ke sebagai peristiwa reality di alam fana ini. Yang terjadinya ia, sebagai membuktikan betapa kebesaran perancangan Allah Swt. yang memberikan tanda-tanda dan peringatan kepada manusia terhadap hari qiyamat al kubra, hari pembalasan yang semua amal baik dan buruk dihitung. Yang beriman diberikan syurga dengan penuh segala kenikmatan dan yang kufur dihumban ke neraka yang penuh siksaan. Namun, hanya hanya yang bertaqwa, beriman dan boleh berfikir sahaja yang dapat mengambil pelajaran darinya.
Sesungguhnya di dalam Al Quran ul Haaq, ada banyak rangkaian ayat suci yang menyeru manusia supaya memerhati, merenung dan memikirkan mengenai kejadian dan fenomena di sekeliling alam ini. Namun, yang pasti semua hakikat itu sebenarnya menjurus kepada menyerlahkan tanda mengenai kewujudan Pencipta Yang Maha Agung, Maha Perkasa dan KekuasaanNya. Firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Jabbar membawa maksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah) dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang yang tidak menaruh kepercayaan kepada-Nya’’.
Surah Yunus (10) : ayat 101
Berdasarkan kepada maksud ayat suci di atas, jelas bahawa Allah Swt. menyeru ummat manusia supaya melihat, memerhati dan memikirkan apa yang ada di langit dan di bumi serta seluruh kejadian alam. Seruan itu diisytiharkan oleh Allah Swt. kepada ummat manusia seluruhnya supaya mereka dapat mengetahui akan kebesaran Allah dan juga mengakui akan kewujudan-Nya sebagai Pencipta dan Yang Maha Esa bagi alam semesta ini.
Dalam satu lagi ayat yang lain, Allah Swt. berfirman yang maksudnya :
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal’’.
Surah Ali Imran (3) : ayat 190
Ayat itu jelas menunjukkan bahawa, Allah Swt. mencipta segala kejadian alam ini selain untuk kepentingan manusia sejagat, malah turut bertujuan untuk mengajak manusia supaya dapat berfikir, mendapat peringatan dan mengambil iktibar mengenainya. Oleh itu, hanya orang waras dan matang yang akan mengemukakan pelbagai pertanyaan mengenai kejadian yang berlaku dalam alam ini dan akhirnya jawaban murni itu, hanya akan menjelma apabila manusia menggunakan akal yang sihat berlandaskan taqwa dan iman.
Entah kenapa, sedikit goncangan telah menyebabkan begitu ramai yang huru hara dan tidak keruan, yang menimbulkan segala macam kekalutan, lantaran rasa takutnya akan bencana dan kematian. Akan tetapi, Kalamullah dan sabdaan nabiNya, yang tersurat dan tersirat sejak 1400 tahun dahulu, penuh dengan kata peringatan dan ancaman juga tentang dahsyatnya qiyamat al kubra dan siksaan neraka, sekadar dipandang sepi dan diabaikan. Begitulah rupanya kita-kita ini, ummat akhir zaman.
Setakat ini sahaja yang mampu saya nukilkan, moga memberi manfaat.
والله اعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
3 ulasan:
Terima kasih Edd kerana menghantar artikel peringatan nih kat abang. Bagus sungguh artikel kali nih. Dah baca barulah terfikir balik, betul sungguh bagai apa yang dikata. Kita yang sering sering lalai dan tak menghayati peringatan dan amaran Allah swt. tentang kiamat. Terima kasih sekali lagi.
Teruskanlah usaha dakwah ini, dan Abang mohon izin untuk hantar kepada kawan-kawan lain. Moga Edd akan dapat kerja dalam tempoh terdekat. Yakin dan bersabarlah, dalam setiap dugaan Allah tu, akan ada hikmahnya, pasti ada rezeki kalau pun dalam serba kesusahan. InsyaAllah.
Wassalam
Wan Ridzuan
Salaam syeikh.
Terima kasih atas peringatan yang diberikan.
Moga kita sama-sama dapat muhasabah diri dan memperbaiki segala kekurangan diri dalam mengabdikan diri terhadap ALLAH SWT.
Amiin
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Ustaz Mad yang dihormati,
3 kali saya baca untuk memahami maksud sebenarnya. InsyaAllah, sekarang dapat saya fahami. Terima kasih atas nukilan yang memberi kesedaran ini. Moga Allah Swt. merahmati segala usaha da'wah ustaz yang tak pernah berhenti ni. Dan mudahan juga akan mendapat peluang kerja yang baik dalam tempoh terdekat. Saya hanya mampu mendoakan.
Wassalam
Catat Ulasan