Sabtu, 21 April 2012

Amalan Menurun (bahagian 1)

0 ulasan

From: Knight Malaysia <prtdi@yahoo.com>
To: edd zahir <edd_zahir@yahoo.com>
Sent: Friday, 7 October 2011 11:48 PM

Perkara : Amalan Menurun Berdasarkan Islamkah??? (bahagian 1)

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga Ustaz Mad dan semua rakan Jamaah dalam suasana tenang, dalam rahmah dan restu Allah SWT sentiasa.

Saya masih keliru dan tidak tetap untuk membezakan antara amalan kebatinan Melayu yang bercanggah dengan ajaran Islam dengan yang sesuai dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, di tamantempat saya tinggal ada seorang lelaki pertengahan umur mengubat dengan cara menurun. Beliau dipanggil ustaz dan mendakwa boleh mengamalkan perubatan Islam. Saya dapati, beliau ini mula-mula bakar kemenyan, kemudian membaca Al Qur’an kemudian membaca jampi mentera dengan memberi salam dan bismillah, dan lain-lain ayat yang tidak kedengaran jelas. Dia juga ada menyebut 2 kalimah syahadah sebelum menjadi tidak sedar kemudian baru memulakan pengubatan. Ianya cukup popular. Berduyun-duyun orang datang, terutamanya pada malam Jumaat, termasuk pak-pak haji dan orang-oang alim juga. Banyak orang yang sakit sembuh setelah menemuinya.

Ramai yang beranggapan yang amalan menggunakan ayat-ayat suci ini adalah berdasarkan Islam. Saya memang keliru. Adakah amalan menurun untuk mengubat orang ini berdasarkan Islam? Secara peribadi saya rasakan amalan ini amat pelik.

Maklumbalas amat saya hargai. Wasalam.


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Pertama sekali saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Ibrahim kerana bertanya hal sensitif ini. Seperti selalu, saya mahu maklumkan bahawa saya kurang gemar menjawab persoalan sensitif disebabkan maudhu’ jawaban saya nanti akan bertentangan dengan arus perdana. Dan kerananya, saya telah hadapi bermacam fitnah dan tuduhan hampir seumur hidup. Susah benar rupanya untuk berkata benar ditengah masyarakat kita yang begitu menebal kepercayaan tahyul, mistik, bid’ah dan khurafat.

Memang susah berhadapan dengan golongan manusia yang fahami Islam ini berdasarkan dongengan dan dengar cakap sahaja bukan kepada fakta tinggalan Allah SWT dan sunnah rasulNya. Dan kerananya, segala dongengan dan sangkaan itu menjadi lebih besar dan utama berbanding fakta. Maka kita yang mengajukan fakta ini pula dituduh wahabi, kaum muda, ajaran sesat atau pun tak betul belaka. InsyaAllah untuk kebaikan semua, saya cuba juga untuk menjawab persoalan ini kalaupun amat berat hati sebenarnya.

Kepada semua rakan jamaah serta para pembaca yang saya hormati, saya mendoakan agar Allah Swt. menerima semua amalan kita, sentiasa membimbing kita kepada as siraatul mustaqim dan memelihara aqidah kita dari segala bentuk persekutuan ke atas Allah Swt. dan rasulNya.

Baik sekali saya mulakan dengan membicarakan asas amalan menurun itu. Sebenarnya amalan menurun ini merupakan amalan semua masyarakat manusia merentasi bangsa dan agama. Dari dulu hingga sekarang, dimana-mana jua kita boleh menemui amalan menurun ini. Malah dalam berbagai nama, bentuk dan rupa. Kerana itulah amat jelas sekali kekeliruan dan kepeningan kepada orang banyak, sekiranya mahu ditetapkan yang mana Islam atau tidak Islam kerana asas perbuatannya adalah sama sahaja.

Dalam konteks negara kita, amalan menurun ini telah pun ada sebelum kedatangan Islam lagi. Cuma setelah adanya kesedaran Islam, amalan menurun ini tidaklah pupus sepenuhnya, akan tetapi cara dan ritual menurun itu diubahsuai dan diasimilasikan dengan dimasukkan unsur-unsur Islam kepadanya. Begitulah hakikat perbuatannya, dan jadilah “Islam” itu sebagai tempelan dan topengan menyembunyikan hal sebenar disebaliknya. Dengan adanya tempelan dan topengan itu, maka secara mudah diterimalah segalanya sebagai Islam tanpa soal.

Dalam amalan masyarakat Melayu Islam, salah satu sebab utama kenapa orang ramai sangat percaya kepada amalan menurun ini adalah kerana para pengamal menurun ini “mengIslamkan” perbuatannya dengan menambahkan pelbagai rangkaian kata jampi mantera atau serapah dengan kalimah-kalimah yang mempunyai unsur-unsur Islam seperti penggunaan kalimah salam, bismillah, salawat, nama-nama Allah, malaikat dan nabi, juga sebutan tahmid (Alhhamdulillah) dan tahlil (Laa ilaha illAllah) serta ungkapan “dengan berkat kalimah Laa ilaha illAllah”.

Ada juga yang membaca ayat-ayat suci dipermulaan upacara. Selalunya kalam-kalam Islam itu diperdengarkan manakala jampi serapah menyeru jin syaitan ditutup. Disedapkankan lagi dengan ucapan meyakinkan khalayak bahawa apa jua yang diperbuat itu segala-galanya ikhtiar belaka. Selain daripada itu segala-galanya terserah kepada Allah. Maka itu, berduyun-duyunlah diterima oleh orang ramai bahawa itulah perubatan Islam. Begitulah ceteknya pemahaman tentang Islam apabila diterima bulat-bulat sesuatu perkara secara permukaan sahaja tanpa diteliti perincian sebenar. Maka tidak hairanlah mudah benar orang menanggapi bagawa segala perkara adalah berdasarkan Islam dengan disebabkan adanya tempelan sebegini, walhal hakikat sebenarnya bukanlah begitu.

Makna sebenar amalan ‘menurun' adalah satu proses, yang mana manusia menggunakan jampi serapah atau persembahan (pulut kuning, ayam, pisang, berteh, telur, limau dll.) untuk memanggil atau menyerujemput makhluk halus, yang terdiri daripada jin atau yang seumpama dengannya, supaya masuk atau meresap ke dalam tubuh manusia bagi tujuan tertentu.

Seseorang yang diresapi makhluk halus semasa ritual menurun itu akan berupaya melakukan tindakan, perbuatan dan aksi-aksi pelik dan luarbiasa yang tidak boleh diperbuat oleh manusia normal. Justeru itu, pada diri para peminat hantu, mistik, tahyul dan khurafat, hal-gal sebegini dianggap hebat, digeruni dan dipuja-puji sangat-sangat. Setelah makhluk halus yang diseru tadi masuk dalam dalam tubuhnya, individu yang diresapi itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri keseluruhannya, separa sedar atau tahap sedarkan diri hanya sedikit.

Resapan jin ke dalam tubuh badan manusia ini sememangnya boleh berlaku. Sesungguhnya Allah Swt. telah memberikan kemampuan kepada jin dan syaitan untuk berubah dari sifat asal mereka kepada kepada bentuk jasad yang lain. Kerana itu mereka boleh menyerupai berbagai bentuk termasuk menyerupai manusia atas sebab untuk memperdaya dan menyeru manusia supaya mengikut kehendak mereka. Dalam sebuah hadis panjang, Rasulullah Saw. bersabda kepada Abu Hurairah Rhu. yang dilantik menjaga harta zakat di bulan Ramadhan berkenaan seorang pencuri harta tersebut :

“……. Setelah Abu Hurairah memberitahu perkara itu kepada Nabi, maka Baginda Saw. bersabda : Sesungguhnya dia berkata benar biarpun (sesungguhnya) dia seorang penipu. Tahukah engkau, dengan siapakah engkau berbicara selama tiga malam itu, hai Abu Hurairah? Lalu Abu Hurairah berkata : Tidak. Baginda Saw. bersabda : itulah syaitan”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. Kitab Sahih Bukhari, Jilid 3 no. 504

Dengan izin Allah Swt. jin dan syaitan berupaya berubah menjadi angin dan udara sehingga mereka dapat masuk ke dalam tubuh manusia dan berjalan di dalam urat-urat manusia sebagaimana darah yang mengalir di dalamnya. Hal ini disabdakan oleh junjungan mulia Nabi Saw. :

“Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia di tempat peredaran darah”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari dan imam Muslim rh.

Manusia-manusia yang lalai dari mengingati Allah Swt. ataupun yang sengaja menyeru jin dan syaitan datang kepadanya akan dikuasai oleh syaitan sehingga dia boleh melakukan berbagai perbuatan pelik dan luar jangka termasuk membahayakan dirinya sendiri atau orang lain. Sesungguhnya ruang untuk syaitan dan sejenisnya berbuat begitu sentiasa ada berdasarkan sabdaan Rasulullah Saw. :

“Dari Anas bin Malik Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Ketika Allah Swt. membentuk Adam di syurga, Allah pun meninggalkannya sesuai dengan kehendakNya. Maka iblis pun mengawasi (Adam) dan memperhatikan bagaimana keadaannya. Ketika melihat ada sisi yang kosong, maka dia pun mengetahui bahawa Allah Swt. telah menciptakan satu ciptaan yang tidak mampu menahan diri”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 2611) dan imam Ahmad rh. (Jilid 3 no. 229)

Dalam satu hadis lain, Rasulullah Saw. mengkisahkan mengenai perangai iblis serta syaitan dan keturunannya terhadap manusia, begini :

‎"Salah satu fitnah (cubaan) dajjal adalah dia berkata kepada orang Badwi : Bagaimana menurutmu jika aku membangkitkan kembali ayah dan ibumu yang telah mati, apakah kamu mahu bersaksi bahawa aku adalah tuhanmu?. Orang Badwi menjawab : Ya. Lantas, syaitan menyerupai ayah dan ibunya dan berkata : 'Wahai anakku, ikutilah dia karena dia adalah tuhanmu".
Hadis sahih riwayat imam Ibnu Majah rh, imam Khuzaimah rh. dan imam Hakim rh.

Kebiasaannya dalam masyarakat kita, amalan menurun ini diperlakukan bagi beberapa hasrat tujuan yang antaranya :

Perubatan : untuk mengenalpasti penyakit dan punca penyakit, merawat pesakit dengan mengurut, menjampi atau mendoa kesembuhan, membedah batin, menghalau hantu rasukan, membuang sihir, membuang saka dan sebagainya. Malahan turut juga diperguna untuk tujuan sebaliknya yaitu berniyat jahat seperti mensihirkan orang, mengganggu, mendapatkan pendinding dari bala dan lain-lain.

Persembahan dan Adat Istiadat : diperguna dalam persembahan teater tradisional, main kuda kepang, ulik mayang, tarian bubu, tarian dabus dan sebagainya yang mana setiap satunya mempunyai seseorang yang digelar khalifah yang berupaya membuat aksi pelik-pelik dan tahan sakit semasa persembahan. Disebut-sebut bahawa orang yang telah diresapi roh itu sebagai telah “naik syeh” dan persembahan akan menjadi lebih menarik dan glamer.

Perkhidmatan : mencari benda hilang, menilik nasib atau untung rugi atau sial atau tak sial, mencari harta karun, meneka nombor ekor, minta naik pangkat, minta disayang, minta laris berniaga dan sebagainya.

Pertahanan Diri atau Persilatan : orang yang menurun ini boleh tiba-tiba menjadi pandai bersilat, pandai guna senjata, pecaya telah menjadi kebal, menjadi kuat, tahan sakit dan sebagainya. Ada beberapa jenis silat Melayu yang percaya dan beraqidah bahawa semasa mengamalkan silat menurun ini mereka dibimbing oleh para orang alim, wali-wali dan malaikat. Sekiranya mereka mati dalam keadaan itu, mati mereka adalah syahid dan masuk syurga. Begitulah aqidah yang diajar dalam amalan silat Abjad, silat Kalimah, silat Nasr ul Haq dan berbagai lagi. Mudah sungguh mati syahid ye!

Amalan ilmu kebatinan dan amalan menurun ini, yang didakwa sebagai diresapi oleh roh-roh datuk nenek, roh syeikh-syeikh, wali-wali dan para auliyaa’ yang ghaibah, berbeza-beza pada pandangan fizikal dan kegunaannya,  tetapi konsep atau ciri-ciri yang wujud dalam semua amalan itu tetap sama, di mana tubuh manusia ketika itu hanya merupakan rangka jasad yang dikuasai oleh makhluk halus yang meresap dalam tubuh manusia.

Demikianlah amalan menurun ini dalam masyarakat kita yang ruang litupnya sebegitu meluas, multi purpose serta meliputi berbagai bidang. Tidak hairanlah amalannya juga begitu meluas, dipercayai dan diamalkan oleh ramai orang. Tambahan pula amalan ini dikepalai oleh orang-orang yang terpercaya dalam masyarakat seperti pak lebai, pak haji, orang alim termasuk juga para asatizah yang keliru dan mengelirukan orang. Para pengikutnya pula terdiri dari berbagai lapisan golongan, bermula daripada manusia biasa-biasa sehinggalah yang berpangkat besar, berpendidikan tinggi, bergelar itu ini dan dari baka hebat-hebat dan dihormati orang. Lantaran itu biasa sangat kita mendengar dalil hawa nafsu begini : “takkanlah perbuatan itu salah, sedangkan professor, datuk dan tengku pun buat sekali”.

Satu lagi perkara utama yang menjadikan ritual menurun ini laku, dipercayai dan diamalkan penuh glamer dalam masyarakat kita adalah wujudnya kepercayaan bahawa orang yang menurun itu sebenarnya diresapi oleh roh orang-orang alim, wali-wali, roh para anbiyaa’ ataupun malaikat, maka timbullah tanggapan dan sangkaan bahawa mana mungkin amalan itu terlarang dan kata-kata atau pedoman serta tunjuk ajar dari para auliyaa’ itu salah pula. Lantaran itu, amat popular sekali, para makhluk halus yang meresapi tubuh manusia itu mengaku dirinya Nabi Khidir ahs,, Sheikh Abdul Qadir Jailani rh., Wali Songo, para wali lain dan sebagainya.

Bahasa kiasan yang selalu digunakan semasa upacara pula adalah seperti Tok Syeh, Tuan Guru ataupun bahasa perhubungan yang indah dan sopan seperti Atuk, Nenek, Anak atau Cucu. Kerana itulah ramai orang yang cetek pengetahuan merasakan semua amalan ini benar belaka. Malah ramai pula diantara mereka itu sekiranya ditegur pun, takkan mahu mendengar kata kerana lebih percayakan kata-kata Tok Syeh menurun itu.

Sepanjang pengalaman saya sendiri, ada pihak tertentu yang berkerjaya mengubat orang, turut mengajar ilmu-ilmu pelik, mitos dan star wars yang didakwa kononnya diperolehi daripada para auliyaa’ yang telah mati, yang bertemu semasa dalam mimpi ataupun secara laduni. Demikianlah aqidah dan kepercayaan yang dipegang kukuh tanpa usul periksa lagi. Benarkah aqidah sebegini?

Hakikat yang tidak diketahui atau jarang disebutkan kepada orang ramai adalah, fahaman juga aqidah bahawa roh orang mati boleh meresap ke dalam jasad/tubuh orang yang masih hidup serta mendapat ilmu pengetahuan serta amalan secara mimpi dari orang telah mati ini merupakan satu kepercayaan batil dan tak penah diajar oleh agama suci Islam. Aqidah sebegini ini ada dalam fahaman agama Buddha, Hindu dan berbagai fahaman purbakala. Ia telah menyerap masuk ke dalam amalan masyarakat Melayu Islam ratusan rahun dahulu, diamalkan dan diubahsuai dengan memasukkan unsur-unsur Islam ke dalamnya. Mahasuci Islam agama samawi yang diturunkan oleh Allah Swt. ini daripada semua fahaman batil ini.

Ia leluasa berkembang biak lantaran tiada ketegasan pihak-pihak agamawan dan pentadbiran untuk memperkukuhkan kekuatan dan kesucian ilmu aqidah mulia Islam, sebagai teras paling utama dalam pendidikan dan pengajaran di dalam masyarakat Islam. Malah usaha membanteras dan mencegahnya juga tidak membawa ke mana-mana, seolah-olah tiada kesungguhan kalau pun Islam yang mulia ini telah berakar umbi di negara kita sudah lebih ratusan tahun.

Lantaran itulah, bukan sekadar tuan penanya, malah jutaan lagi ummat Muslimin jadi tak ketahuan punca, tak tahu nak membezakan sebenarnya ; yang mana Islam dengan yang mana bukan Islam dalam sebegitu banyak amalan sehari-hari. Kerana itu juga, ramai yang ambil jalan mudah dengan mengIslamkan apa jua yang ada unsur Islam sikit-sikit kalau pun jelas hanya topengan dan tempelan. Lebih menjengkelkan lagi, ramai pula para agamawan yang tersohor, dikelek orang ke sana sini, menjadi pendokong dan tekong pula dalam amalan merapu meraban ini. Lantas, bagaimanalah orang-orang awam yang pasti tidak faham ini mahu diperbetulkan.

Sesungguhnya Allah Swt. berfirman di dalam Al Qur’an ul Haaq :

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan (wahai Muhammad), roh itu dari perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit".
Surah Al Israa’ (17) : ayat 85

Persoalan roh ini adalah hal ghaib yang mana ia hak mutlak Allah Swt. Pengetahuan yang diberikan kepada manusia hanyalah amat sedikit menerusi kalamNya sendiri (Al Qur’an ul Majiid) dan juga menerusi as sunnah RasulNya. Maka amat batil dan jahat orang yang memperkatakan tentang urusan roh ini mengikut kata mimpi, hearsay dari mulut ke mulut dan sangka-sangkaan dan dongengan sahaja dengan bukan bersumberkan dalil sahih syara’, waima datang dari sesiapapun.

Orang yang telah kembali ke rahmatullah atau kembali ke alam Barzah, rohnya tidak boleh kembali lagi ke dunia fana dan hidup bercampur baur dengan manusia biasa. Allah Swt. menahan roh itu ditempatnya tersendiri. Allah Swt. menegaskan hal ini menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Hamiid :

"Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waqtu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain (orang yang tidur) sampai waqtu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir”.
Surah Az Zumar (39) : ayat 42

Di dalamnya terdapat dalil bahawa jiwa (roh) itu terkumpul di alam yang tinggi. Sebagaimana yang tercantum di dalam hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Ibnu Mandah Rhu. dan yang lainnya. Sedangkan di dalam riwayat daripada Abu Hurairah Rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :

“Jika salah seorang daripada kalian berbaring di pembaringannya, maka kibaskanlah bahagian dalam kainnya, kerana dia tidak tahu apa yang ada di bawahnya, kemudian ucapkanlah ; Dengan Nama Engkau Ya Rabbku, aku letakkan lambungku dan dengan Engkau aku mengangkatnya. Jika Engkau tahan jiwaku, maka rahmatilah dia dan jika Engkau melepaskannya, maka jagalah dia seperti Engkau menjaga hamba-hambaMu yang salih”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Sebahagian Salafus Salih berkata : Roh-roh yang mati akan digenggam ketika mereka mati, dan (juga) roh-roh yang hidup ketika mereka tidur. Lalu mereka saling mengenal sesuai dengan kehendak Allah untuk saling mengenal. Ibnu Abbas Rhu. berkata : jiwa-jiwa orang yang mati akan ditahan dan jiwa-jiwa orang yang hidup dilepas dan tidak keliru.
Tafsir ul Qur’an ul Adziim, Imam Ibnu Katsir rh. Jilid 8, halaman 156-157

Nota : Huraian lanjut bahawa roh para syuhada dan orang mukmin umumnya, berada di alam Barzakh dan di syurga dibuat oleh Imam Ibnu Katsir rh. (Jilid 1, halaman 303-305) dalam menafsirkan ayat 154, surah Al Baqarah (2). Beliau merujuk kepada hadis daripada imam Muslim dan imam Ahmad rh. bahawa para roh itu tidak akan dikembalikan ke dunia sehingga Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari ia dibangkitkan.  

Jelasnya, roh manusia manusia yang meninggal dunia telah kembali kepada Allah Swt. yang disebut berada dalam alam Barzakh yaitu sebahagian dari alam Akhirat. Justeru itu, insan yang telah pergi kepadaNya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia lantaran Barzakh itu sendiri bermaksud dinding pemisah atau penghalang, yang memisahkan di antara dua alam sepertimana firmanNya :

“……… Dan dihadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai gari mereka dibangkitkan (qiyamat)”.
Surah Al Mu’minuun (23) : ayat 100

Maka itu, aqidah bahawa roh boleh kembali ke dalam tubuh badan manusia dan berinteraksi sebagaimana manusia biasa di alam fana/dunia ini merupakan satu aqidah yang terkeluar dari ajaran Islam dan tidak boleh dipegangi sama sekali. Sesiapa yang ada aqidah sebegitu hendaklah segera bertaubat.

Maka, yang sebenarnya memasuki dan meresap ke dalam tubuh manusia yang menurun ini bukanlah roh para auliyaa’ seperti yang disangka dan dipercayai oleh orang ramai. Akan tetapi sebenarnya adalah Qarin, yaitu salah satu jenis daripada jin ataupun syaitan. Perkataan Qarin berasal daripada bahasa Arab yang berarti teman, pasangan atau pendamping. Secara istilah (syara’), Qarin berarti roh-roh jahat, yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehingga dia meninggal dunia.

Setakat ini dahulu nukilan saya buat masa ini.

والله اعلم , bersambung

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: