Ada seorang ibu yang baru melahirkan anak dan kebetulan jatuh pada bulan Ramadhan.
Jadi sebulanlah dia tidak dapat berpuasa. Setelah sepuluh tahun berlalu baru dia terdetik nak menggantikan puasa tersebut. Jadi macam mana caranya?
Maklumbalas Abang Mad sangat dihargai.
Semoga saudara berada dalam rahmat dan restu Allah swt sentiasa. Terima kasih kerana masih bersama rakan-rakan dalam group email ini. Maklumbalas kepada soalan adalah seperti berikut.:
Wanita yang melahirkan anak dalam bulan ramadhan maka gugurlah kewajiban untuk solat dan puasa pada masa itu disebabkan beliau berada dalam keadaan nifas. Nifas membawa maksud : perempuan yang melahirkan anak dan perempuan yang haidh. Perkara takrifan ini dinyatakan dengan jelas oleh Imam Ahmad bin Yahya, seorang ulama' dari Kufah yang amat arif dalam ilmu nahu dan lughah arab dalam kitab Lisanul Arab jilid 6:238 dan 239. Secara fizikalnya pula, darah nifas adalah darah haidh yang tertahan keluar sepanjang tempoh bunting, kerana itu hukumnya adalah sama. Rasul Saw. Menggunakan lafazh nifas yang disamaertikan (sama kedudukan) dengan haidh berdasarkan hadis berikut :
“Dari Ummu Salamah Rha. Ia berkata : Antara aku berbaring bersama Rasul Saw. Di permaidani, tiba-tiba aku berhaidh, lalu aku pergi mengambil pakaian haidhku, Nabi Saw. Bertanya, adakah engkau bernifas? Aku menjawab, ya.”
Wanita yang nifas dan haidh ini tidak perlu mengganti solat sepanjang dalam tempoh haidg dan nifas tersebut berdasarkan hadis berikut :
“Dari Ummu Salamah Rha. Ia berkata : Adalah seorang isteri dari perempuan-perempuan Nabi Saw. tunggu dalam nifas selama 40 malam, Nabi Saw. memerintahnya tidak mengganti solat nifas.”
Wanita yang nifas dan haidh wajib mengganti puasa berdasarkan hadis berikut :
“Dari Mua'dzah Rha. Ia berkata : Aku pernah bertanya kepada Aisyah Rha. yaitu aku berkata, Mengapa perempuan haidh mengganti puasa, tidak mengganti solat? Jawab Aisyah Rha. : Adalah kami mengalami yang demikian bersama Rasul Saw., lalu kami diperintah mengganti puasa tetapi tidak diperintah mengganti solat.”
Kerana itu, wanita yang nifas dan haidh itu wajib mengqadha (mengganti) puasa yang ditinggalkan mengikut berapa jumlah hari yang ditinggalkan. Memandangkan dalam kes ini, ia telah berlalu selama 10 tahun dan mungkin juga ada dalam tempoh itu telah ponteng puasa Ramadhan yang lain, maka kiralah semua jumlah harinya seikhlas mungkin (supaya benar tepat bilangannya) dan teruslah berpuasa. Boleh dibuat puasa qadha (ganti) itu secara berterusan atau berselang hari sehingga cukup jumlahnya.
Soalan daripada : izanahani@yahoo.com
Yang dihormati Ustaz Mad,
Sepanjang pengetahuan saya, saya dimaklumkan oleh ustaz@ustazah di sekolah dahulu dan juga ramai ulama' lain, jumlah hari tidak berpuasa adalah menjadi berganda mengikut tahun, sekiranya tidak diganti puasa ramadan wajib itu sebelum ramadan yang depan.
Soalan saya adalah,
1. Ustaz tidak mengambilkira perkara itu dalam jawapan di bawah.
Saya mohon maaf sekiranya kurang senang dengan soalan ini, saya sekadar mengingatkan.
Terima kasih.
Makumbalas
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima kasih atas maklumbalas serta atas teguran @ peringatan yang dibuat. Saya sangat senang malahan mengucapkan syukur kerana mendapat peringatan. Janganlah dirisaukan. Tahniah kerana puan masih mengingati ilmu yang diperolehi di zaman belajar dahulu serta mendampingi ulama'.
Maklumbalas saya begini,
1. Saya memang tidak ambilkira hal qadha puasa berganda mengikut tahun kerana hukum sebegitu berdasarkan syara' tidak ada. Begitulah sepanjang pengetahuan dan pembelajaran saya. Saya pun diajar seperti mana puan diajar tetapi, orang yang mengajar itu tidak pernah memberikan dalil untuk hal qhada puasa berganda sekalipun saya bertanya.
2. Tidak ada dalil syara’ pun (qadha berganda mengikut tahun) dan juga hukumnya.
Adalah amat baik sekiranya puan mendapatkan keterangan daripada para ulama' muktabar lagi mursyid tersebut yang beri'tiqad bahawa adanya hukum qadha puasa yang sebegitu lantas mengamalkannya dan mengajarkannya pula kepada orang awam. Adalah amat molek kiranya puan dapat berkongsi dengan saya dan rakan-rakan segala macam dalil sohih serta qati'e berdasarkan Al Qur'an dan Sunnah Nabi Saw. Berkenaan qadha puasa berganda tersebut. Ilmu Allah Swt. dan Rasul Saw. amat luas berbanding saya yang amat dhaif, kemungkinan besar saya telah pun terlepas pandang.
Soalan daripada : pedu_00@yahoo.com
Salaam ustaz, saya nak bertanya lebih sedikit, bukankah perempuan yang menyusukan anak boleh membayar fidyah, tak perlu qadha. Harap dapat beri detail tahap mana yang wajib qadha dan tahap mana yang boleh fidyah itu.
Sekian. Moga saya telah membantu.
Maklumbalas
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima kasih atas maklumbalas puan ke atas artikel saya.
Firman Allah Swt. dalam Al Qur'an, Surah Al Baqarah (2) ayat 184 :
Haidh dan nifas termasuk dalam kes sakit, oleh kerana sakit ini (haidh dan nifas) adalah sementara maka ia wajib ganti (qadha). Sekiranya sakit yang tidak ada kemungkinan sembuh (iaitu kekal), maka ia diganti dengan fidyah. Harap sudah difahami 2 keadaan berbeza ini yang hukumnya juga tidak sama.
1. Terdahulu telah dinyatakan secara detail dengan nas-nas yang sohih bahawa perempuan haidh dan nifas tidak boleh puasa, dan wajib qadha pada jumlah hari yang ia tinggalkan puasa itu.
2. Perempuan yang menyusui anak dan bunting sarat boleh bayar fidyah sebagai ganti puasa berdasarkan dalil berikut :
Firman Allah Swt. dalam Al Qur'an, Surah Al Baqarah (2) ayat 184 :
Ayat ini menegaskan bahawa orang yang "susah payah" boleh meninggalkan puasa diganti fidyah. Penjelasan sohih mengenai makna "susah payah" ini dijelaskan oleh Abdullah Ibnu Abbas Rhu. menerusi hadis berikut :
“Dari Sa'id bin Jubair Rhu. ia meriwayatkan dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu. bahawasanya ia berkata : Ayat ini adalah satu kelonggaran bagi orang laki-laki yang tua dan perempuan yang tua sedang kedua-duanya boleh puasa tetapi dengan susah payah supaya mereka berbuka, tetapi wajib memberi makan sebagai ganti tiap-tiap hari seorang miskin, dan (juga bagi) perempuan yang hamil dan menyusui, apabila dia takut (bahaya bagi anak-anak mereka), hendaklah mereka berbuka dan memberi makan.”
Dalil sohih yang di atas telah menjelaskan yang perempuan bunting sarat dan menyusui anak boleh meninggalkan puasa dan diganti dengan fidyah. Selain itu terdapat 2 lagi keterangan sohih dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. dan Abdullah Ibnu Abbas Rhu. juga yang tidak saya sebutkan disini.
Dalam kes asal dari Sdr. Musyadie, perempuan yang menzahirkan anak dalam Ramadhan, penjelasan lanjut saya adalah begini :
3. Pertimbangan utama adalah kepada sakit (ya'ni nifas), kalaupun dia ada menyusui anaknya dalam tempoh nifas itu. Maka, sepanjang tempoh nifas itu wajib ke atasnya qadha. Secara nyata, inilah asas kepada jawapan saya dalam siri yang pertama dahulu.
4. Bagi hari-hari selepas ia suci dari nifas, maka pertimbangan ke 2 iaitu menyusui anak boleh diambilkira dan setiap hari tidak dia puasa padanya boleh diganti fidyah. Sebagai contoh, nifas telah kering pada hari ke 20, maka mengikut hukum adalah wajib ke atasnya berpuasa pada baki 10 hari, tetapi oleh kerana menyusui anak yang jika tidak disusukan akan memberi bahaya kepada anak itu, boleh ia ganti dengan fidyah pada hari-hari yang tiada ia puasa padanya.
Perkara 3 dan 4 ini sengaja tidak saya sebutkan dahulu kerana tak ditanya pun.
Peringatan : perempuan yang menyusui anak bermaksud yang memberikan susu ibu (breast feeding) kepada anaknya, lain-lain jenis tidak terlibat.
Moga saya telah pun memberi jawapan seperti yang dikehendaki.
Assalamualaikum Tn Ustaz,
Terima kasih kerana memberi maklumbalas. Penerangan yang diberikan telah memberi kefahaman. Sekadar untuk pemahaman lebih lanjut, ada satu soalan dalam sebuah akhbar harian yang hampir begini,
Seseorang tidak pernah puasa dulunya, memang secara sengaja. Sekarang insaf dan bertaubat dan nak tahu bagaimanakah untuk mengganti semua puasa yang ditinggal dulu. Ringkasan jawapan dato' ustazah tersebut adalah wajib ganti hari ditinggalkan dan fidyah sekali, kalau tak mampu puasa kena bayar fidyah juga.
Bersandarkan penerangan jawapan tuan ustaz, saya fahami yang ia tak sama dengan jawapan dalam akhbar tersebut.
Harap dapat memberikan kepastian.
Wasalam
Jawapan.
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
A. Rasulullah Saw. ada senghaja membuka puasa sunnat, apabila ada makanan. Hadis sohih riwayat Imam Muslim dalam Kitab Sahihnya Jilid 8 : 35. Dari Ummul Mukminin A'isyah Rha. dan tiada qadha padanya.
B. Rasulullah Saw. menyuruh para sahabat Baginda Rhu. berbuka puasa sunnat kerana dijemput makan di rumah sahabat lain. Hadis sohih riwayat Imam Baihaqy rh, Jilid 4 : 429 dari Abu Sa'id al Khudry Rhu. dan tiada qadha padanya.
C. Ada sahabat Rhu. senghaja membuka puasa Ramadhan dengan bersetubuh. Maka didenda berpuasa 2 bulan terus, atau sekiranya tidak mampu hendaklah memberi makan 60 orang miskin kerana bersetubuh itu. Hadis sohih riwayat Imam Bukhari rh. dan Imam Muslim th. dari Abu Hurairah Rhu.
Maka itu, sepanjang pengetahuan saya dalam kes senghaja tidak puasa Ramadhan itu tiada keterangan untuk diperbuat qadha atau fidyah, melainkan orang itu telah berdosa kerana melanggar hukum Allah Swt. dan Rasul-Nya. Justeru itu, berdasarkan keterangan syara’ (Al Qur’an dan As Sunnah) tiada kewajiban untuk qadha ke atasnya.
Berkenaan jawaban Dato' ustazah itu, baiklah ditanya kepada dia sendiri dan dia sendiri patutnya memberi jawaban bagaimana dia mengistinbatkan hukum wajib qadha dan bayar fidyah sekaligus itu. Saya tak boleh menjawab bagi pihak dia, dan sepanjang pengetahuan saya yang serba kekurangan ini, tidaklah pernah saya terjumpa dalil hukum seperti itu. Namun begitu, jika ditemui keterangan sohih dan qot’ie dari syara’ yang menetapkan hukum wajib qadha dan fidyah sekaligus itu, wajib ia ditaati.
والله اعلم
والسلام
0 ulasan:
Catat Ulasan