Rabu, 4 April 2012

Harta Sepencarian (Bahagian 1)

0 ulasan

Sent: Sun, June 6, 2010 2:54:39 AM
Subject: Pertanyaan hal faraid
   
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Salam Hormat Ustaz Mad, Saya ingin bertanya sikit,

Beberapa bulan dulu ada sebuah pertubuhan pengurusan harta memberitahu bahawa bekas isteri (janda) boleh menuntut harta sepencarian daripada harta suami yang meninggal dan telah ada kes diluluskan oleh mahkamah syariah. Dikatakan ini untuk memberikan keadilan.

Lebih kurang 3 minggu lepas ada seorang balu menuntut di mahkamah syariah harta sepencarian dengan suami yang telah meninggal di mahkamah. Sekarang dia menuntut semula harta yang telah pun dibahagi secara faraaid antara dia, seorang anak perempuan dan adik beradik suaminya.

Adakah tuntuan harta sepencarian seperti itu boleh dibuat dan adakah boleh tuntutan semula dibuat sedangkan harta telah dibahagikan mengikut syarak iaitu hukum faraaid. Adakah hukum faraaid itu tak betul? Rasanya kekeliruan ini lazimnya terjadi.

Harap dapat beri ulasan dan penjelasan.

والسلام 

Warmest Regards
" Knight Malaysia "
Subject: Pembahagian Harta Pusaka - Harta Sepencarian
Date: Monday, 7 June, 2010, 7:47 PM

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih kepada tuan yang bertanya. Saya dapati tuan suka bertanya yang pelik-pelik. Soalan yang pelik ini menyebabkan nak menjawabnya juga serba salah. Tambahan lagi dalam kes harta sepencarian yang saya sedar sangat bahawa saya ada pandangan yang berlawanan dengan arus perdana. Salah tulis nanti membuat kecoh seantero Malaya pula. Bahagian paling sukar adalah memastikan jawaban adalah tidak pelik disebalik soalan yang pelik-pelik. Namun untuk perkongsian ilmiyah antara semua jamaah dan pembaca, saya tulis juga serba sikit. Baik sekali rasanya saya memberikan ulasan bermula dari asas apa yang dikatakan Harta Sepencarian.

Takrifan dan Maksud Harta Sepencarian, supaya tidak teka meneka sahaja.

A. Sejumlah harta alih dan tidak alih yang dikumpul atau diperolehi oleh suami dan isteri secara bersama sepanjang perkahwinan mereka.
B. Sejumlah harta alih dan tidak alih yang dikumpul atau diperolehi oleh salah seorang dari suami atau isteri, tetapi dibantu dan disokong secara moral, fizikal dan mental oleh pasangan dalam tempoh perkahwinan.
C. Sejumlah harta yang diperolehi sebelum perkahwinan tetapi diusahakan, dijaga, dibayar dan dimajukan secara bersama dalam tempoh perkahwinan.
D. Ada lagi takrifan lain yang tidak saya masukkan di sini (berbeza ayat tetapi membawa maksud yang sama.

Perhatian : Takrifan dan maksud ini dipetik dari amalan beberapa buah negeri dengan ubahsuaian supaya ringkas dan mudah difahami.

Asal Usulnya - Konsep harta sepencarian ini telah lama diamalkan dalam alam masyarakat Melayu. Dalam adat perpatih misalnya, telah ada konsep ini dan ia dinamakan "harta carian laki bini". Dalam tempoh pemerintahan Inggeris di Malaysia, hal ini telah pun diamalkan khasnya dalam kes perceraian. Para hakim Inggeris pada masa itu telah membahagi dua (sama banyak) kepada pasangan terlibat. Ini membuktikan bahawa hal Harta Sepencarian ini telah wujud lebih awal daripada mana-mana Enakmen Keluarga Islam yang diamalkan di semua negeri Melayu sekarang ini.

Tujuan - Asasnya adalah untuk memberikan keadilan yang saksama kepada pihak-pihak yang terlibat secara bersama dengan harta itu (kes ini suami dan isteri yang bercerai hidup). Hal ini sebenarnya merujuk khusus kepada kes perceraian yang mana, kedua-dua pihak iaitu suami atau isteri terlibat dalam segala harta (seperti takrif dan maksud di atas) dalam sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Kerana itu, Harta Sepencarian itu tertakluk kepada hal perkahwinan sahaja dan tidak diamalkan dalam perkara lain.

Menerusi kaedah pemberian Harta Sepencarian ini, nasib dan masa depan salah satu pihak dan juga kedua-dua pihak akan terbela dan terjaga apabila berlaku perceraian antara mereka. Sehubungan dengan itu, secara umumnya konsep Harta Sepencarian ini digunapakai apabila wujudnya perceraian antara pasangan, dan itulah yang diamalkan dalam tempoh sebegitu lama. Dalam amalan biasa dan selalunya, pembahagian adalah 50-50 antara 2 orang yang terlibat itu. Boleh juga berlaku pembahagian yang bukan 50-50, yang tertakluk kepada keputusan akhir hakim  mahkamah.

Asas/Dalil Syara' - Amalan Harta Sepencarian ini tiada asas langsung dari hukum Syara' (Al Qur'an, as Sunnah, ijmak sahabat dan ijmak para salafus solih). Namun ia telah diamalkan secara sah dan diinstitusikan dalam Enakmen Keluarga Islam dan Kehakiman Syaria'h semua negeri di Malaysia dan diperingkat kebangsaan. Berikutan itu, Mahkamah Syaria'h diberi kuasa eksklusif dan eksekutif untuk membuat keputusan berkenaan Harta Sepencarian. Kerana itu, ia dianggap sebagai sebahagian daripada Hukum Syara' oleh masyarakat umum dan meluas diamalkan.

Untuk makluman, perkahwinan dimulakan dengan a'qad nikah (Ijab dan Qabul) mengikut ketentuan syara'. Namun, lafaz dan perbuatan a'qad nikah itu tidak langsung menyebut dan mengandungi maksud perkongsian pemilikan harta benda. Lantaran itu, a'qad nikah bukanlah satu kontrak kepada persetujuan perkongsian dan pembahagian harta secara langsung, tetapi "menghalalkan" perhubungan antara lelaki dan wanita diikuti tanggungjawab lain oleh keduanya selaras dengan anjuran dan ketetapan oleh syara'. Namun, konsep umum perkahwinan yaitu perkongsian dua jiwa dalam satu rumahtangga mewujudkan adanya unsur perkongsian dalam semua aspek hidup pasangan suami isteri termasuk harta benda.

Kenapa Diamalkan Jika Bukan Asas Syara'? - Ini adalah persoalan yang sering benar ditanya dan nak menjawabnya juga sangat sukar kalau pun amat menarik untuk diperhalusi. Ini disebabkan ia melibatkan beberapa qai'dah dalam mengistinbatkan hukum syara' serta usul fiqh, yang amat panjang lebar untuk ditulis disini serta memeningkan bagi yang tiada asas. Saya ringkaskan jawaban kepada persoalan ini, begini ;

1. Amalan pembahagian Harta Sepencarian telah diamalkan dan direkodkan oleh penjajah Inggeris dahulu lagi. Ini adalah berdasarkan 2 sebab iaitu ;

A. para hakim Inggeris telah menggunapakai peraturan setempat yang ada pada masa itu, dan inilah yang dikatakan adat (‘addah) dan kebiasaan (‘uruf). Sebagai contoh, menggunapakai Adat Perpatih seperti dinyatakan di atas tadi. Penggunaan hukum adat ini diterima pakai oleh masyarakat Melayu Islam, yang antara lain berdasarkan pepatah "adat bersendikan hukum dan, hukum bersendikan syara'". Maka, jadilah ia sebenarnya hukum adat, bukan hukum syara'. Begitulah hakikatnya.

B. Pengaruh ideologi, fahaman dan dogma yang dipercayai oleh hakim Inggeris itu. Maklumlah, ratusan tahun dulu lagi Eropah dan barat telah pun dikuasai antara lain oleh ideologi Liberalisme dengan bertunjangkan hak kesamarataan dan keadilan hakiki sesama manusia (sebenarnya dalam konteks amalan dan kepercayaan mereka sendiri). Maka, dihukumkan pembahagian 50-50 supaya adil dan saksama antara yang terlibat. Sekalipun hukuman ini nampaknya adil dan diterima pakai oleh manusia, namun tetap jua ia bukan hukum syara', tetapi peraturan ciptaan manusia.

2. Ke atas amalan semasa dan diinstitusikan dalam Enakmen Keluarga Islam pula, ia adalah berdasarkan persetujuan yang disepakati antara cendiakiawan, profesional, ulama' dan umara', sekarang ini disebut Fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Negeri atau Kebangsaan. Ini sebenarnya adalah hak dan tanggungjawab "ulil amri" untuk membuat sesuatu hukum apabila terjadi sesuatu hal yang menimbulkan kemaslahatan dan kemudharatan dalam masyarakat yang memerlukan keputusan, sedangkan hukuman asas ke atas perkara itu daripada Syara' tidak ada atau kabur. Ini adalah tanggungjawab hakiki 'ulil amri' demi membendung kemudharatan dan memastikan hak semua hamba rakyat mendapat kea'dilan, terbela dan dilindungi secara maksima.

Berikutan itu, berbalik kepada persoalan di atas, saya secara peribadi amat bersetuju dan sedia menerimapakai klausa Harta Sepencarian yang diinstitusikan dalam perundangan dan kehakiman syaria'h di Malaysia. Namun tetap jua, bahawa ia adalah berteraskan fatwa ‘ulil amri' ke atas kemaslahatan umum, maka ia adalah hukuman ta'zir (hukum dibuat oleh pemerintah) dan bukannya hukuman Syara'. Ini hakikatnya yang kita kena terima.

Rasional Amalan Dibuat - Dalam konteks dunia semasa (seringkali sekarang kita terdengar kisah keruntuhan rumahtangga secara pelik dan tak masuk dek akal), memang amat perlu malah mungkin wajib kepada 'ulil amri' untuk membuat keputusan Harta Sepencarian ini memandangkan terlalu banyak kes penganiayaan, salah guna, salah laku, maksiat dan segala macam hal memualkan telah berlaku. Sekiranya klausa Harta Sepencarian ini tidak diinstitusikan, diyakini akan banyak terjadi ketidaka'dilan dalam masyarakat khususnya kepada kaum wanita dan anak-anak yang lemah.

Semua orang berhak untuk mendapat kea'dilan untuk dirinya menerusi firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Haaq ;

"dan janganlah kami irihati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi perempuan (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan. Dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".
Surah An Nisaa' (4) : ayat 32

Seterusnya Allah Swt. memberikan perintah dan berpesan kepada seluruh ummat Islam di dalam Al Qur'an ul Hakiim ;

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka diantara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu (membunuh diri sendiri dan juga membunuh orang lain), sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada kamu".
Surah An Nisaa' (4) : ayat 29

Tugas 'ulil amri' pula memastikan semua ummat Islam mendapat kea'dilan hakiki selaras dengan hukum Syara' dan tidak membiarkan ummat Islam menganiaya antara satu sama lain atau membiarkan sebahagian ummat teraniaya. Inilah peranan hakiki 'ulil amri' dan ia berkuasa penuh untuk melaksanakan dan mengamalkannya serta, menjatuhkan hukuman setimpal ke atas sesiapa yang melanggar hukum itu.

Perlaksanaan Hukum Harta Sepencarian - Harta yang diperolehi selepas kematian salah seorang atau selepas berlakunya perceraian tidak dianggap sebagai Harta Sepencarian. Oleh kerana itu, perlaksanaan hukum Harta Sepencarian sejak dahulu lagi adalah diantara mereka. Lantaran itu secara asasnya, persoalan harta sepencarian ini adalah melibatkan antara  yang masih hidup dan bukannya ke atas harta tinggalan orang yang telah mati.

Adalah amat penting diketahui dan dijaga adab peraturannya, bahawa setiap pemilik harta yang sah, berkuasa penuh ke atas pemilikan itu dan tiada sesiapa pun yang berhak mengubah status tersebut melainkan dia sendiri. Sebarang perubahan ke atas status itu mestilah dengan keizinan dan keredhaan pemilik yang sah itu. Kerana itulah tuntutan dan keputusan dibuat semasa beliau masih hidup supaya beliau boleh memahami benar2 apa yang dituntut, membalas hujah-hujahnya dan redha dengan segala keputusannya.

Persoalan pertama saya : Membuat tuntutan (kes ini harta) ke atas seseorang yang telah mati dengan dia tidak bisa membalas, adilkah begitu?

Persoalan : Tuntutan Harta Sepencarian Ke Atas Harta Orang Yang Telah Mati
Saya sendiri sebenarnya amat terkejut apabila membaca pernyataan oleh pertubuhan pengurusan harta tersebut. Sepanjang pengetahuan saya,  pernyataan tersebut tiada pula keterangan yang diberikan untuk meng'sahih'kan tuntutan itu berdasarkan hukum Syara'. Secara pemahaman rasional, saya merasakan bahawa kes tuntutan harta sepencarian ke atas harta simati adalah logik dan munasabah pada aqal, atas dasar demi menjamin keadilan dan kesamarataan, namun dari segi hukum ketetapan syara' ianya tidak begitu.

Begitu juga saya ada membaca tuntutan harta sepencarian oleh balu seorang pelukis terkemuka, yang meninggal dunia dengan meninggalkan pusaka sekitar RM 2 juta. Semua pewaris Syari'i telah dinamakan sebagai defenden. Lebih mengejutkan pula adalah tuntutan itu dibuat setelah mahkamah menghukum pembahagian secara syara' (iaitu faraaid) ke atas harta pusaka tinggalan simati. Memang amat pelik sebenarnya kes ini, kerana ia secara terang terangan menentang ketetapan hukum Syara' dan hak para waris yang ditetapkan oleh Syara' pula dipertikaikan.

Mungkin manusia sekarang telah pening benar sampai tidak dapat membezakan antara 2 perkara yaitu :

1. Hukum Syara' - hukum yang diperintahkan secara langsung dan qati'e oleh Allah Swt. dan Rasul-Nya, yang tiada ragu padanya melainkan mesti ditaati, tanpa soal. Ia dilaksanakan dengan penuh taqwa secara individu dan secara perintah dan kawalan oleh 'ulil amri (meliputi semua juzuk dalam Islam : ibadah (sholat, puasa, zakat dan haji), munakahat, jinayat, muammalat dan faraaid).
 
2A. Apabila mahkamah syari'ah telah memutuskan sesuatu hukum berdasarkan Syara' yang qati'e, maka mahkamah telah menjalankan fungsinya untuk memastikan hukum Allah swt. dan Rasul-Nya itu terlaksana. Tiada ragu padanya melainkan mesti ditaati, tanpa soal. Hukuman pembahagian faraaid mengikut tatacara Syara' bukannya hukum buatan manusia yang layak dipertikaikan seperti hukum nikah kahwin Musang Berjanggut yang, boleh padam.

2B. Apabila mahkamah telah memutuskan sesuatu keputusan yang melibatkan perkara yang tidak qati'e, misalnya memberi nafkah kepada anak adalah wajib dan ia adalah qati'e serta tidak boleh dipersoalkan, tetapi jumlah yang perlu dibayar adalah tidak qati'e dan memerlukan penelitian lanjut hakim syari'e yaitu berdasarkan kemampuan terbaik seseorang bapa setelah mengambilkira berbagai faktor. Keputusan hakim ke atas jumlah boleh dirayu dan disemak semula sekiranya berlaku ketidakpuasan hati dan mungkin juga ada fakta-fakta lain yang tertinggal dalam perbicaraan sebelumnya yang menghasilkan keputusan kurang tepat.      


Maka itu, adalah amat pelik dan menghairankan apabila keputusan dalam hal qati'e (seperti faraaid dan wajib memberi nafkah) pula yang menjadi pertikaian. Ini mencerminkan cara pemahaman terhadap Islam yang tak tentu hala dan semberono. Sekadar nak bertanya, boleh dan sanggupkah kita membuat tuntutan di mahkamah untuk :

A. Menolak tatacara pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraaid sedangkan tiada persetujuan dari para waris.
B. Memohon kelulusan mahkamah bahawa Bapa tak perlu memberi nafkah kepada anak

Atau, mungkin juga orang ramai fahami bahawa Mahkamah Syari'ah sangat berkuasa pula sehingga berkuasa mengubah sesuatu yang qati'e dari Allah swt. dan Rasul-Nya sehingga mereka tergamak untuk menuntut bagi mencabar dan mengubah sesuatu yang telah jelas hukumnya dan mahukan mahkamah berpihak kepada dia pula. Saya menyeru supaya hal ini diperjelaskan kepada masyarakat umum supaya mahkamah syari’ah (bukan mahkamah hutan) tidak dijadikan tempat menegakkan benang basah dan membuat tuntutan palsu.

Seringkali saya dengari ucapan "tidak salah untuk membuat tuntutan, lagipun mahkamah yang akan membat keputusan". Ingin saya maklumkan bahawa, kerana sikap sebeginilah mahkamah syari'ah sampai tidak cukup masa, meladeni kes yang tidak sepatutnya seterusnya banyak kes perlu lain tertangguh. Kewajaran niyat, fakta dan landasan hukum mesti disemak terlebih dahulu sebelum kes dibawa ke mahkamah. Sesuatu tuntutan yang jelas bertentangan dengan hukum syara’, tak perlu dibawa kes itu ke mahkamah.
 
Ketetapan Syara' Ke Atas Harta Tinggalan Simati (Harta Pusaka)
Sesungguhnya ketetapan Allah swt. dan Rasul-Nya adalah jelas dan qati'e dalam hal harta pusaka (tinggalan simati) ini. Firman Allah Swt. di dalam Al Qur'an ;

"Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu, bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan, dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari 2, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan, jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka ia memperoleh separuh harta, .............".
 Surah An Nisaa' (4) : ayat 11

"Dan bagimu (suami-suami) seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya...........".
Surah An Nisaa' (4) : ayat 12

Terdapat lagi beberapa ayat suci Al Qur'an ul Aziiz yang secara jelas dan qati'e menunjukkan tatacara pembahagian harta pusaka dan menyatakan dengan jelas siapakah pewaris yang berhak ke atasnya. Selain itu Rasul Saw. turut memberikan contoh dan perintah sahih dan qati'e dalam pemberian pusaka ini.

"telah bersabda Rasul Saw. kepada saudara lelaki Sa'ad bin Ar Rabie' (yang meninggal dunia) : Berilah kepada 2 anak perempuan Sa'ad dua pertiga dan dan kepada ibu keduanya satu perlapan; maka selebihnya untukmu".
Hadis sahih riwayat Imam yang lima kecuali imam Nasaaie rh.

Kesimpulan - Berdasarkan huraian yang saya nyatakan di atas, harta yang ditinggalkan oleh simati adalah secara otomatik menjadi harta pusaka yang pembahagiannya tertakluk kepada tatacara yang ditetapkan oleh Allah Swt. dan Rasul-Nya. Demikian itulah tugas hakiki mahkamah syari’ah yaitu menjalankan hukum itu, bukannya berbuat suatu hukum lain yang bertentangan dengannya.

Maka tiada lagi timbul padanya Harta Sepencarian. Harta itu tetap miliknya simati dan tiada siapa pun yang berhak menuntut itu ini tanpa persetujuan beliau sendiri, malah tiada siapa pun yang berhak pula mewakili simati. Entah macam manalah mekanisme simati membuat lantikan. Harta itu hanya boleh dibahagikan kepada waris yang berhak seperi yang ditetapkan syara’.

Satu lagi, penuntut harta sepencarian juga sebenarnya merupakan salah seorang waris yang telah ditetapkan syara’. Dalam kes sebegini, terjadilah penuntut juga adalah salah seorang dari orang kena tuntut. Dalam kata lain dia menuntut kepada diri dia sendiri. Sekiranya dengan tuntutan itu dia akan mendapat lebih bahagian, barang tentu dia akan setuju, namun bagaimana dengan waris yang lain. Saya bukanlah seorang pengamal undang-undang atau terlibat dengannya yang dengan mudah boleh memahami hal pening sebegini. Namun pada saya amalan ini adalah hal amat pelik dan tak masuk dek akal yang sihat.

Berikutan beliau (pemilik harta) telah meninggal dunia, maka kuasa pemilikan dan keputusan ke atas harta pusaka itu telah jatuh secara otomatik dan mutlak kepada waris-waris yang ditetapkan oleh Syara'. Maka, harta tinggalan simati (pusaka) wajib diuruskan begini,

1. Dipecahbahagikan kepada waris-waris yang telah ditetapkan oleh Syara', mengikut bahagian masing-masing. Perkara ini tidak boleh dipertikaikan sama sekali.

2. Sekiranya ingin membuat pembahagian yang lain dari tatacara di tetapkan Syara' itu, semua waris yang ditetapkan Syara' itu mesti bersetuju dan redha dengan pembahagian itu. Tidak boleh sama sekali ada waris yang ditinggalkan dan dikesampingkan. Apabila ada persetujuan semua waris dan saling meredhai, maka sahlah pecahbahagian itu sekalipun tidak mengikut tatacara pembahagian faraaid yang ditetapkan syara’.

Saling meredhai antara waris ini adalah sikap mulia yang mencerminkan tolak ansur,  timbang rasa dan keluhuran hati yang sangat diagungkan. Allah Swt. telah berfirman di dalam Al Qur'an ul Haliim :

"bagi tiap-tiap harta peninggalan dari harta yang ditinggalkan ibu bapa dan karib kerabat, Kami jadikan pewaris-pewarisnya. Dan (jika ada) orang-orang yang kamu telah bersumpah setia dengan mereka, maka berilah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah menyaksikan segala sesuatu".
Surah An Nisaa' (4) : ayat 33

Demikianlah maklumbalas dan ia adalah pandangan peribadi saya ke atas persoalan yang ditanyakan. Kerana itulah awal-awal lagi telah saya sebutkan yang ada unsur melawan arus sebenarnya, dan kerana itu, saya amat berat hati untuk memberikan maklumbalas. Namun pernyataan ini boleh diterima atau pun ditolak, serta boleh diolah lagi. Saya bukanlah mujtahid atau fuqaha’ yang pernyataan saya ini setaraf pula dengan fatwa. Dalam kata lain saya mahu menegaskan bahawa hukum ta’zir tidak boleh memadamkan suatu hukum syara’ yang telah sarih dan qat’ie.

Setakat ini dahulu, buat masa ini. Pandangan dari rakan-rakan lain sangat saya hargai. Apa yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, apa-apa tidak benar itu datang dari saya yang amat dhaif ini.

Sekian.  

والسلام



0 ulasan: