Ahad, 8 April 2012

Soal Jawab Puasa (Siri 2)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini. Bersama ini saya sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama.

Soalan daripada : : izanahani@yahoo.com

Tn. Ustaz Yang dihormati,

saya ingin tahu lebih lanjut berkenaan maksud sebenar perkataan ustaz,

1. Tuan mengatakan secara tegas bahawa menghukum wajib. Sunnat, harus dan sebagainya dalam kes kada puasa dan memberi fidyah mesti berdasarkan dalil. Sedangkan,

2. Tuan sendiri ada menyebut 'tiada halangan malah menggalakkan' pula, bukankah ia juga suatu hukum dan apakah dalil kepada kata-kata tuan itu.

Maaf sekiranya kurang menyenangkan.

Wassalam.

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya ucapkan terima kasih juga kepada puan kerana mahu terus bertanya. InsyaAllah saya tidak terasa hati pun atas pertanyaan, saya akan usaha memberi penjelasan supaya sebarang kemusykilan dapat diperjelaskan dan kita semua dapat menjalankan a'mal berdasarkan sumber yang sohih dan qati'e.

Merujuk kepada kes "wajib qadha dan fidyah serentak atau tidak mampu puasa kena bayar fidyah juga" ke atas perbuatan senghaja tidak Puasa Ramadhan,

1. Memang saya menyeru dengan tegas supaya manusia yang menetapkan 'wajib...atau...kena' itu, memberikan dalil ke atas hukum yang disebutnya. Pernyataan itu adalah suatu penjatuhan/penetapan hukum syara’. Puasa Ramadhan adalah ibadah khusussiah yang diperintah dan ditetapkan oleh firman Allah Swt. dan ditunjukkan contoh amalannya oleh Nabi Saw. Di dalam Al Qur'an ul Haliim, Allah Swt. berfirman : "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa". Surah Al Baqarah (2) : ayat 183, dihurai lagi dalam ayat 184 hingga 187 termasuk hal ciri-ciri orang yang dibenarkan meninggalkannya dengan sebab-sebabnya.

Seterusnya Puasa Ramadhan itu adalah rukun terbinanya Islam seperti sabda Rasul Saw. :

“Telah berkata Abu Hurairah Rhu., pada suatu hari Rasul Saw. duduk beserta para sahabatnya, lalu datanglah seorang lelaki dan bertanya : Wahai Rasulullah! Apakah Islam itu? Nabi Saw. menjawab, Islam adalah engkau menyembah Allah sendirinya dengan tidak engkau mempersekutukan sesuatu dengannya, dan engkau melakukan solat yang difardhukan, dan engkau memberikan zakat yang difardhukan dan engkau mengerjakan puasa di bulan Ramadhan". Hadis sohih riwayat Imam Bukhari rh. dan Imam Muslim rh. Dalam riwayat sohih yang lain disebut juga mengerjakan haji.

Ia berstatus salah satu perkara yang Wajib diterima dan dilaksanakan tanpa soal oleh semua manusia yang mengucap dan mengakui Dua Kalimah Toyyibah (bersyahadah) seperti firman Allah di dalam Al Qur'an ul Haaq :

"Sesungguhnya jawaban orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulnya, agar Rasul menghukum (mengadili) diantara mereka ialah ucapan Kami Mendengar dan Kami Taat. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung".
Surah An Nur (24): ayat 51

Tatacara perlaksanaan puasa telah diperjelaskan oleh sunnah Rasul Saw. menerusi sebegitu banyak hadis sohih dan hadis hasan termasuk perkara yang membolehkan meninggalkannya dan disertakan kaffarah (denda)nya, dengan tiada satu pun dalil memberi kelonggaran tidak puasa dengan senghaja. Oleh itu, tiada lain bahawa orang yang meninggalkan Puasa Ramadhan dengan senghaja tentu sekali bukanlah golongan manusia yang termasuk dalam "Kami Mendengar dan Kami Taat".

Keterangan paling jelas adalah senghaja berbuka ketika berpuasa (dinyatakan terdahulu) lengkap dengan kafarahnya sekali. Perkara 'senghaja tidak Puasa Ramadhan' saya tegaskan bahawa ia bukan lagi persoalan 'qadha dan fidyah' tetapi telah menjadi persoalan iman, i'tiqad dan wala' terhadap Allah Swt. dan Rasul Saw. seterusnya kepada agama suci Islam itu sendiri. Yang harapnya bahasa kiasan ini lebih lembut digunapakai.

Ummat Muslim yang senghaja melanggar perintah Allah Swt dan Rasul Saw., adalah wajib ke atasnya bertaubat nasuha, memohon ampun kepada Allah Swt. dan insaf sungguh-sungguh atas kesalahan dilakukan, mengubah perlakuan itu dan tidak sama sekali akan melakukannya lagi. Itulah perkara yang mesti dilakukannya atas perbuatan senghajanya itu. Allah swt. Memerintahkan ummatnya memohon ampun dan bertaubat atas segala kesalahan seperti firmanNya di dalam Al Qur'an ul Majiid :

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Penciptamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai .......".
Surah At Tahrim (66): ayat 8

Oleh karena, tiada contoh dan perintah dari Allah Swt. Dan Rasul Saw. (denda qadha dan fidyah seperti disebutkan) ke atas orang yang senghaja meninggalkan Puasa Ramadhan itu, maka saya ingin tahu bagaimanakah 'wajib...atau...kena...' itu diperolehi serta apakah dalil sohih yang mendasari hukuman itu. Adakah Allah Swt. dan Rasul-Nya terlepas pandang hal ini dan tak cukup beri petunjuk sehingga manusia lain perlu menambah hukum hakam baru. Kenapa tidak disuruh orang itu bertaubat nasuha seperti yang dituntut Allah Swt. dan Rasul-Nya atas kesalahan senghaja ingkar perintah.

2. Perkataan 'tiada halangan malah menggalakkan' saya maksudkan seruan untuk individu itu melakukan amalan puasa sunnat. Ia bukanlah pernyataan menjatuhkan hukum. Kata-kata seruan menggalak manusia melakukan sesuatu yang telah ada dalil sohih (puasa sunnat) berbeza sama sekali dengan kata-kata menjatuh hukum seperti 'wajib...atau...kena...' itu.

Moga penjelasan ini memenuhi hasrat puan.

والله اعلم

Soalan daripada: : izanahani@yahoo.com

Salam Ustaz Mad,

Harap ustaz tak marah atas kata-kata saya dulu. Memang saya menuntut penjelasan supaya lebih faham. Jawapan dari ustaz amat-amat saya fahami.

Saya ingin bertanya sedikit lagi, bukankah hukum yang masyhur dan diamalkan dikalangan kita, bahawa tidak boleh melakukan puasa sunat selagi puasa qada tidak selesai. Dalam kes begini, agak berat bagi orang perempuan contohnya macam mana nak buat puasa 6 bulan syawal walhal banyak hari tidak puasa ramadan kena ganti kerana haid dan nifas lepas tu menyusukan anak lagi.

Jawapan dari ustaz amat dihargai.

Sekian.

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih juga puan, kerana masih bertanya lagi. Saya benar-benar mohon maaf, jika ada yang tak kena kat mana-mana. Apa pun, menuntut penjelasan itu amat baik, supaya dapat memahami sesuatu berdasarkan fakta dan dalil yang benar, malah orang yang menjawab pun mesti sedia dengan dalil dan nas kepada perkataannya. Sebenarnya cara sebegini membantu kedua-dua pihak.

Harap janganlah panggil saya ustaz. Saya yang dhoif ini, sekadar membantu serta memberikan pengetahuan yang saya termampu sahaja. Sekiranya saya salah dan tidak benar, maka tolaklah kata-kata saya itu, berpeganglah pada hukum yang benar dan sohih.

Saya kelaskan soalan puan kepada :

A. Tidak boleh melakukan puasa sunat selagi puasa kada tidak selesai.

Saya tidak pasti dari mana asalnya hukum itu. Saya pun diajar seperti itu juga dulu, tapi tidak diberitahu mana sumbernya. Namun begitu, ingin saya nukilkan sebuah hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal rh. :

"Barangsiapa dapati Ramadhan sedangkan ia berhutang sesuatu dari Ramadhan (yang lalu) yang belum ia tunaikan, tidak diterima daripadanya (puasa Ramadhan yang baru), dan barang siapa puasa sunnat, padahal ia berhutang puasa yang belum ia tunaikan, maka sesungguhnya tidak diterima (puasa sunnat) daripadanya sebelum ia puasakan hutangnya itu".
Hadis berstatus ahad dalam kitab Al Fathur Rabbani tetapi dihasankan oleh Imam Ahmad rh.

Hadis ini status Ahad dan ianya ini diriwayatkan oleh seorang sahaja. Dalam turutan rawinya terdapat seorang rawi yang diragui. Kerana itu, hadis ini tidak dapat digunapakai sebagai sumber hukum dan dijadikan dalil kepada amalan puasa syara’.

Dalam menerangkan perkara qadha puasa ini, seorang ahli fiqh di kalangan tabi'in rh. dari Kufah iaitu Imam Ibrahim An Nakhai'e rh. Ada menyebutkan :

"Apabila berturut-turut pada seseorang dua Ramadhan yang ia mesti puasa padanya, jika ia sembuh diantaranya tetapi belum mengganti yang pertama alangkah buruknya perbuatannya itu, maka hendaklah ia minta ampun kepada Allah Swt. dan hendaklah ia puasa (juga)".
Diriwayatkan dari Sa'id bin Mansur rh., dicatatkan dalam kitab Fathul Bari oleh Imam Al Hafiz Ibnu Hajar Al Asqolani rh., Jilid 4 : halaman 136

Jelasnya, perbuatan melewatkan qadha puasa Ramadhan sehingga melepasi Ramadhan yang depan adalah perbuatan yang dicela dan tidak disukai (mencirikan sikap sambil lewa terhadap perintah Allah Swt.). Ia bukanlah sesuatu yang haram dilakukan atau, wajib qadha sebelum membuat apa-apa puasa sunnat atau wajib qadha sebelum Ramadhan yang depan.

B. Mahu buat puasa 6 Syawal tapi banyak penghalang seperti dinyatakan.

1. Sekiranya puan rasa terhalang oleh kerana belum ganti puasa Ramadhan, keterangan yang saya berikan di atas telah menjelaskan bahawa puasa 6 boleh dibuat sekalipun puasa qadha Ramadham belum dibuat.

2. Sekiranya dalam keadaan haid dan nifas, maka tidak boleh berpuasa melainkan pada hari-hari lain yang suci daripadanya dalam bulan Syawal itu.

3. Sekiranya puan menyusukan anak, maka tak perlulah berpuasa pada hari itu dan berpuasalah pada hari-hari yang lain.

4. Sekiranya puan memang menyusukan anak sepanjang bulan Syawal, maka tak perlulah berpuasa sunnat 6 hari itu, tiada qadha ke atasnya dan tiada dosa juga kerana meninggalkannya, berikutan ianya adalah sunnat sahaja. Insyaallah, umur panjang dan murah rezqi, boleh buat di tahun yang lain.

5. Hari 1 Syawal diharamkan berpuasa (hari tasyrik). Maka puan boleh berpuasa dari mana-mana baki 29 hari dalam bulan Syawal itu sebanyak 6 hari, bersambung atau berselang.

Moga jawaban saya telah memuaskan kemusykilan puan.

والله اعلم

Soalan daripada : abdul_shukor@asemal.com.my

Berdasarkan petikan di bawah ini, adakah hadith ini sohih? Saya diberi oleh seorang rakan dan macam-macam penceritaan disebutkan berdasarkan hadis ini. Yang pelik-pelik pun ada sampai kami ak dapat nak pastikan yang mana betul.

Saya minta penjelasan supaya jelas dan tak keliru lagi.
__________________

Assalamualaikum,

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan : Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya

Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita
bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah
Rasullullah dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat.

Oleh itu, SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja mahupun yang di sengajakan , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, insya ALLAH.

"SELAMAT BERPUASA"
--------------------------------------

Maklumbalas 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya telah cuba membuat semakan dari beberapa buku dan kitab, serta bertanya kepada beberapa rakan. Namun sumber asal pernyataan ini tidak dikenalpasti. Oleh itu, tidak dapat saya memberikan ulasan buat masa ini.

Mungkin ada rakan-rakan lain yang boleh memberi maklumbalas. InsyaAllah, akan saya cuba lagi dimasa yang lain.

Setakat ini yang mampu saya beri bimbingan. Yang benar itu datang dari Allah swt. Dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

والسلام

Maklumbalas 2 : daripada Abu Hafiez mohdpoziatan@yahoo.com

Setelah membuat semakan, adalah didapati, lafadz hadis yang dinukilkan dan diperolehi oleh Saudara Abdul Shukor, berasal dari :

Berdasarkan penelitian ke atas hadis yang paling hampir Matan dengan hadis tersebut, didapati bahawa hadis ini secara palsu dipetik dari satu hadis lain, buktinya diterangkan seperti di bawah :

RIWAYAT YANG ASAL (HADIS SOHIH)

Maksud hadis :

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah Rhu., ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu baginda menaiki anak tangga mimbar. Baginda berkata : Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, baginda berkata lagi : Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, baginda berkata lagi : Amin. Dan ketika baginda turun (dari mimbar) kami pun bertanya : Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu Baginda menjawab : Sesungguhnya Jibrail ahs. telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya : Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi : Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan solawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi : Celakalah orang yang mendapati ibu bapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.”
Hadits riwayat imam al Bazzar rh. dalam Majma'uz Zawaid 10/1675-166, imam Hakim rh. 4/153. Disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi rh. Diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari rh. dalam Adabul Mufrad no. 644 (rujuk Sohih Al Adabul Mufrad No. 500 dari Jabir bin Abdillah Rhu.

Sempena syahri Ramadhan al Mubarak ini, ingin juga saya nukilkan sebuah hadis bagi pengajaran kita bersama :-

"Dari Abu Hurairah Rhu. Ia berkata, telah bersabda Rasulullah Saw. : Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta dan kelakuan bodoh, maka Allah Swt. tidak perlu kepada perbuatannya meninggalkan makan dan minum (puasa) itu".
Hadis sohih ini diriwayatkan oleh imam Abu Dawud rh. (rujukan Bulughul Maram oleh al Hafiz imam Ibnu Hajar Asqolani rh. : hadis no. 682)

Hadis ini membawa maksud tidak ada faedahnya seseorang berpuasa, tetapi berbuat dosa dan ma'siat. Jadi, ingatlah bahawa, puasa itu tidak hanya menahan diri dari makan dan minum dan melarang diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkannya, tetapi jua, menahan diri dari melakukan segala perbuatan dosa dan yang dilarang oleh Allah Swt. dan rasul-Nya. Mukmin yang benar itu adalah seseorang yang menghayati syahri Ramadhan ini dengan benar-benar taqwa, membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa jua yang dilarang.

Tidak wajar sama sekali kalam dan sabdaan Nabi Saw. ini diperlakukan seperti ini. Semestinya matan sesebuah hadis dinukilkan sepenuhnya dan martabatnya dinyatakan. Pemahaman ke atas hadis itu mestilah mengikut matannya yang tepat. Lebih baik lagi dengan merujuk kepada tafsir dan syarah yang dibuat oleh para imam muktabar seperti kitab Fathul Bari syarah bagi himpunan Sohih Bukhari oleh imam Ibnu Hajar Asqolani rh. dan kitab Syarah Sohih Muslim oleh imam Nawawi rh. Tidak boleh lafaz hadis dipetik sesuka hati lantaran ia akan memberi makna berbeza dan tidak mengikut maksud sebenarnya. Ini adalah suatu penipuan atas nama Nabi Saw. dan ia satu dosa yang mencampakkan pelakunya ke neraka. 
Mudah-mudaham kes ini menjadi iktibar kepada kita semua.

Semoga Madrasah Ramadhan tahun ini, menjadikan kita semua hamba-Nya yang sentiasa dahaga dan cintakan ilmu secara yang benar. Juga, menjadikan kita sebagai ummat Muhammad Saw. yang lebih baik, lebih dari tempoh masa yang sebelumnya. Insya Allah.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام


0 ulasan: