Ahad, 8 April 2012

Soal Jawab Puasa (Siri 3)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini. Bersama ini saya sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama.

Soalan daripada : mnazir@yahoo.com

Moga Abang Mad dalam keadaan sihat dan gembira menyambut puasa Ramadan ini.

Saya ingin bertanya berkenaan tren orang sekarang membuat majlis berbuka besar besaran, kat hotel atau tempah ruang khas di mana-mana dewan atau padang.

Hal sebegini tidak berlaku dahulu, adakah dia bid'ah yang diharamkan? Lepas tu, sebenarnya adakah dibenarkan dalam Islam dan kita boleh menyertainya.

Harap dapat beri panduan.

Sekian.

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih saya ucapkan kepada tuan yang masih terus bersama jamaah. Kalau pun dah lama tak jumpa, saya doakan juga supaya tuan sentiasa dalam restu Allah Swt. dan terus menjadi seorang ahli sunnah yang istiqomah.

Baiklah sekali saya huraikan dari segi sejarah terlebih dahulu, bagi menjawab kemusykilan ini.

Amalan membuat majlis makan semasa berbuka puasa serta selepas Solat Tarawih, (moreh) memang telah menjadi amalan sejak ratusan tahun dulu lagi. Saya tidak tahu bagaimana asalnya datang perkataan moreh itu dan punca amalan itu dibuat. Terdapat beberapa sebab amalan memberi makan ini diperbuat,

Dahulu, ramai orang miskin dan dhoif, kurang kemampuan untuk memberikan pakaian dan makanan baik-baik di bulan Ramadhan. Kerana itu, ada seorang dua atau sekumpulan dermawan yang menganjurkan majlis makan sebegini dimasjid, dirumah atau tempat tertentu supaya ramai orang tidak berkemampuan ini dapat makan dan minum lebih baik. Disebabkan bulan Ramadhan ini, bulan kemuliaan untuk semua orang dan amat digalakkan membuat amalan solih, maka keraplah majlis makan ini dibuat, malah dianggap sebagai salah satu daripada cabang ibadah yang umum.

"dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata, telah bersabda Rasulullah Saw. : Barangsiapa beribadah pada bulan Ramadhan kerana iman dan menginginkan ganjaran, nescaya dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Hal memberi makan minum ini terutamanya kepada golongan fakir miskin ini, tidak terhad dalam bulan Ramadhan sahaja sebenarnya, ia berlaku sentiasa. Cuma orang kita ini suka menyebutnya kenduri dan menyambutnya dalam majlis-majlis. Kerana itu, timbullah macam-macam bentuk kenduri. Mungkin orang kita ini suka glamour pada nama kenduri dan majlis-majlis, mungkin juga suka dipuji-puji orang. Walhal niat asalnya adalah memberi makan orang susah jua, mengeluarkan sebahagian dari harta yang baik-baik kepada orang yang layak menerimanya. Seterusnya memberikan kegembiraan, mengurangkan kesedihan dan memberi rizqi yang baik kepada orang fakir miskin. Itulah niat asal dan murninya, kerana itu, majlis-majlis glamour tidak pun diperlukan sebetulnya, malah merugikan kos penganjuran saja.

Sesiapa yang biasa melalui zaman 1950an hingga 1980an, akan tahu dan pernah merasai satu zaman ramai orang dhoif termasuk di negara kita ini. Sesungguhnya makanan dan minuman yang disediakan di masjid dan majlis-majlis ini, memberi makna besar kepada masyarakat pada masa itu. Ramai keluarga yang tidak mampu menyediakan makanan sebaik yang disediakan di majlis. Maka itu, sambutan ke atas majlis makan sebegini amat hebat, berpusu-pusu orang datang, boleh jadi satu keluarga juga turut hadir kerana mereka mendapat makanan lebih baik disamping dapat menjimatkan kos hidup. Pasti sekali kanak-kanaklah yang paling bergembira ria.

Selaras dengan perubahan zaman, banyak orang dah semakin senang, maka, jumlah orang makan kat masjid pun dah semakin kurang berikutan makanan di rumah lebih sedap dan lebih selesa. Tetapi masih ramai juga orang di masjid-masjid terutamanya orang bujang, pelajar, musafir dan sebahagian ahli qaryah yang masih mahu berbuka di masjid.

Oleh kerana hidup makin senang, duit makin banyak, ramai juga individu atau firma yang membuat majlis di hotel atau tempat tertentu. Tentu sekali kosnya lebih besar tetapi tiada salahnya kerana mereka mereka mampu berbuat begitu. Sekali lagi, prinsip asasnya untuk memberi makan minum tu sama juga, sebagai satu cabang ibadah dan juga, boleh tolak cukai pendapatan (operation expanditure). Selalunya untuk kakitangan (termasuk bukan muslim) dan jemputan.

Yang harus ditegur dan diperhatikan betul-betul adalah :

1. Niat untuk ibadah kepada Allah swt. Mesti betul lurus.
2. Janganlah majlis itu diadakan kerana riya' (menunjuk-nunjuk).
3. Buat sekadar mampu, tidak bermegah dengannya atau atas rasa nak bersaing tunjuk lebih kepada orang lain.
4. Makanan mesti halal, tidak boleh ada makanan haram.
5. Jangan sekali-kali berlaku sehingga meninggalkan ibadah seperti solat.
6. Tiada paksaan pula untuk sesiapa hadir atau tidak hadir, apatah lagi paksaan untuk membayar.
7. Tetap juga saya menyeru, berilah keutamaan kepada orang fakir miskin.
8. Tidak boleh ada unsur maksiat seperti percampuran bukan mahram, persembahan atau apa-apa upacara yang mendorong kepada kelalaian dan terlarang.

Menurut pandangan saya, tiada halangan untuk majlis-majlis seperti itu diadakan, cuma kelurusannya kepada jalan Allah Swt. mesti dijaga. Sekiranya niat, penyediaan dan amalan bertentangan dengan syarat-syarat syara', tidak saya ragu-ragu untuk mengatakan bahawa ia haram dibuat.

Sesungguhnya memberi makan ini termasuk di dalam memeberi sedekah jariyah kepada ummat manusia, sepertimana firman Allah Swt. :

"Kamu sekali-kali tidak akan memperolehi kebajikan hingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai, dan apa saja yang kamu belanjakan, maka Allah Maha Mengetahuinya".
Surah Ali Imran (3) : ayat 92

"Sesungguhnya sadaqah akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menolak kematian secara buruk".
Hadis riwayat Imam at Thabarani rh.

Lantaran itu, kepada yang mampu, berilah makan kepada yang memerlukan sebagai sadaqah atau pun sebagai hadiah kepada orang ramai secara umum. Sesungguhnya Allah Swt. merahmati orang yang murah hati dan sedia memberikan kegembiaran kepada orang lain.

Moga saya telah membantu untuk mengurangkan kemusykilan tuan.

والله اعلم

Soalan daripada : tkijang@gmail.com

Assalamualaikum Abang Mad dan jamaah semua.

Terima kasih atas kuliah Abang Mad berkenaan puasa. Soalan saya begini :

1) Apakah hukuman bagi orang yang bersetubuh di siang hari?
2) Seorang yang tidak berpuasa disebabkan kebenaran syara’, misalnya dalam musafir, bolehkah dia bersetubuh di siang hari?
3) Bagaimana yang dikatakan menjaga tutur kata di bulan Ramadan?

Sebenarnya ada perbincangan cakap-cakap saya dengan kawan-kawan tentang hal ini. Macam-macam idea yang kami dapat, tapi tak mampu kami buat kesimpulan melainkan cakap-cakap sajalah. Harap dapat Abang Mad berikan penjelasan dan akan saya kongsikan dengan semua rakan nanti.

InsyaAllah akan memberi kebaikan. Wassalam.

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih tuan kerana terlibat sama dalam perbincangan ini. Agak lama juga dah kita tak berjumpa, insyaAllah lain kali di lain masa. Rajin-rajinlah datang kuliah. Agak panjang soalan tuan ni, namun saya cuba menjawab juga, begini :

1. Bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan

Berdasarkan hukum syara’, tidak boleh melakukan persetubuhan di siang hari Ramadhan. Perbuatan itu membatalkan puasa dan pelakunya dikenakan kafarat, seperti huraian berikutnya.

Saya ingin membawa sebuah kisah menarik dari sebuah hadis panjang. Syarah dari hadis ini amat menarik untuk ilmiah kita bersama.

"Telah bercerita Abu Hurairah Rhu. : Seorang datang kepada Nabi Saw. dan berkata : Orang yang dibelakang ini telah bersetubuh dengan isterinya di siang hari Ramadhan. Nabi Saw. bertanya : Dapatkan kamu memerdekakan budak? Jawabnya : Tidak. Ditanya lagi : Dapatkah kamu berpuasa 2 bulan berturut-turut?. Jawabnya : Tidak. Ditanya lagi : Dapatkah kamu memberi makan 60 orang miskin?. Jawabnya : Tidak. Tiba-tiba datang orang membawa karung berisi kurma, maka Nabi Saw. bersabda kepada orang itu : Bersadaqahlah dengan ini untuk dirimu. Orang itu bertanya : Apakah kepada orang yang lebih miskin daripada kami!, padahal! disekitarku tiada keluarga yang lebih miskin daripada kami. Sabda Nabi Saw. : Makanlah dengan keluargamu".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh. Ini dari lafaz riwayat Bukhari.

Dalam satu hadis lain :

" Telah bercerita Abu Hurairah Rhu. : Seorang datang kepada Nabi Saw., dan orang itu berkata : Binasalah aku ya Rasulullah. Nabi Saw. pun bertanya : Apakah yang membinasakan dirimu?. Jawabnya : Aku telah bersetubuh dengan isteriku di siang hari Ramadhan. Lalu Nabi Saw. menanyakan : Apakah kamu dapat memerdekakan budak? Jawabnya : Tidak. Ditanya lagi : Dapatkah kamu berpuasa 2 bulan berturut-turut?. Jawabnya : Tidak. Ditanya  lagi : Dapatkah kamu memberi makan 60 orang miskin?. Jawabnya : Tidak. Kemudian ia tetap duduk, lalu ada orang datang membawa sekarung kurma. Nabi Saw. bersabda kepadanya : Ini sadaqahkan. Jawabnya : Kepada orang yang lebih fakir dari kami!, sebab di daerah kami tiada keluarga yang lebih fakir daripada kami. Maka tertawalah Nabi Saw. Sehingga terlihat gigi serinya dan bersabda : Bawalah ini dan berilah makan kepada keluargamu".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh. Ini dari lafaz riwayat Muslim.

Hadis ini turut dinyatakan di dalam Kitab al Lu'lu' wal Marjan, Himpunan hadis sohih disepakati oleh imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh., Jilid 1 : 356-357. Dipetik juga oleh imam Al Hafiz Ibnu Hajar Asqolani rh. dalam kitab Bulughul Maram, hadis no. 695. Juga oleh imam Malik bin Anas rh. dalam kitab al Muwattha'.

Pengajaran dari hadis ini adalah, sesiapa yang bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan, hendaklah dihukum seperti tingkatan yang ditetapkan ini,

1. Memerdekakan seorang hamba
2. Sekiranya tidak sanggup, wajib padanya berpuasa 2 bulan berturut-turut, yaitu tidak boleh berselang satu hari pun.
3. Sekiranya tidak sanggup, maka wajib memberi makan 60 orang miskin bersamaaan dengan satu hari makan.

Dari hadis ini diketahui juga satu hukum bahawa larangan bersetubuh di siang hari Ramadhan adalah satu larangan yang mutlaq dan tersendiri di siang hari, yang ia meliputi seorang yang berpuasa. Keputusan ke empat, yaitu orang itu dilepaskan dari hukuman oleh Rasulullah Saw. hanyalah satu rukhsah juga keistimewaan yang diberikan kepada orang itu sahaja dan tidak diaplikasi ke atas orang lain. Dalam satu riwayat oleh imam Malik bin Anas rh., dinyatakan bahawa orang itu adalah Arab dusun (Badwi) yang terkenal dengan dengan kedegilan dan sukar diajak kepada Islam.

2) Seorang yang tidak berpuasa disebabkan kebenaran syara’, misalnya dalam musafir, bolehkah dia bersetubuh di siang hari?

Jawabannya adalah tidak boleh. Asas kepada jawaban ini adalah seperti berikut :

A.           Allah Swt. telah menyebutkan dengan jelas di dalam Al Qur’an ul Kariim bahawa dihalalkan bagi muslimin mencampuri isteri-isteri mereka pada malam hari sahaja di sepanjang bulan Ramadhan,

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa (Ramadhan) bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka itu adalah pakaian bagi kamu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat menahan nafsu kamu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kapada kamu. Maka sekarang campurilah mereka ……”.
Surah Al Baqarah (2) : sebahagian ayat 187

B.           Saya telah menyemak hal ini dan mendapati tiada perbuatan sebegini diperbuat oleh salafus solih untuk dijadikan contoh tauladan penghukuman.

C.           Sepanjang pengetahuan saya yang serba dhoif ini, tiada pun hal ini dibicarakan oleh para ilmuwan dan fuqaha’ terdahulu untuk dijadikan pedoman hokum daripadanya. Sekiranya ada sesiapa yang memperolehi maklumat ini, harap dikongsikan bersama.

Larangan total bersetubuh di siang hari Ramadhan dikemukakan juga oleh Syeikh Yusuf Al Qaradhawi. Antara pernyataannya - perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara senghaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu.  Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadis yang ertinya :

".......sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu".
Hadis riwayat imam Bukhari rh.
(rujuk Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, halaman 112)

Pesanan saya, hal puasa ini adalah sesuatu yang telah termaktub hukumnya. Tidaklah boleh kita mengunakan akal untuk memuat sesuatu hukum baru, tambah-tambah lagi hukum yang dibuat untuk memuaskan hawa nafsu sendiri. Ini perbuatan amat tidak baik. Maka itu, janganlah dok mencari-cari atau merekacipta alasan supaya tak boleh berpuasa, dengan tujuan untuk membolehkan bersetubuh pula.

3. Orang Berpuasa Harus Menjaga Lidah

Salah satu lagi tuntutan Islam semasa bulan Ramadhan adalah mahukan semua ummat Islam yang berpuasa menjaga tutur kata dan lidah. Sesungguhnya Ramadhan itu adalah bulan kesucian, bulan pengampunan dan bulan kemuliaan. Sesungguhnya, amat sia-sia malah berdosa sesiapa yang tidak menjaga tutur kata dan lidahnya dari menuturkan kata-kata fitnah, berbual sia-sia, menuturkan kata hasad dengki, menuturkan kata-kata benci dan menghasut sesama manusia. Pastinya juga orang yang tak menjaga lidah ini, senghaja menjadikan puasanya "kurus kering" dan layak beliau menggantikan "hantu yang kena tambat".

Rasulullah Saw. telah menyatakan pentingnya dan adab menjaga lidah dan perilaku di bulan Ramadhan melalui banyak pesannya, yang antaranya :

“Dari Abu Hurairah Rhu. Ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. telah bersabda : Apabila salah seorang daripada kamu dalam keadaan berpuasa dalam satu hari, maka janganlah ia berbuat keji dan jangan pula berbuat hal yang sia-sia. Lalu apabila ada yang mencela atau menentangnya, maka hendaklah ia mengatakan, Sesungguhnya aku sedang berpuasa,  sesungguhnya aku sedang berpuasa”.
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.

"Dari Abu Hurairah Rhu. Ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. telah bersabda : Puasa itu bagaikan perisai (dinding), maka jangan berkata keji (rayuan) atau berlaku masa bodoh (menjerit-jerit) dan sebagainya. Dan jika ada orang mengajak berkelahi atau memaki, hendaknya (kamu) berkata : Aku puasa, aku puasa. Demi Allah yang jiwaku ada ditangannya, bau mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih harum disisi Allah dari bau kasturi. Dia meninggalkan makan dan minumnya dan syahwatnya kerana-Ku, puasa itu untukku dan Akulah yang memberikan pahalanya, dan biasa setiap kebaikan sepuluh kali lipat gandanya".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Hadis ini membahas tentang sunnahnya seorang yang sedang berpuasa apabila diundang untuk makan dan ia tidak ingin berbuka, atau ia dicela atau ditentang oleh orang lain, maka hendaknya mengatakan “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Seorang yang berpuasa juga  hendaknya membersihkan diri dari perbuatan keji dan sia-sia.

“Sesungguhnya aku sedang berpuasa” membawa maksud “Orang itu tidak mengucapkan dengan lisannya, tetapi bergumam pada dii sendiri agar menahan dirinya dari membalas celaan orang lain terhadap dirinya, orang yang menentangnya atau membalas serangannya sehingga ia menjaga puasanya daripada perbuatan-perbuatan kotor.

Perlu diketahui, bahawa larangan untuk berbuat keji, sia-sia, permusuhan dan saling mencela tidak khusus untuk orang yang berpuasa sahaja, akan tetapi berlaku pada setiap peribadi pada setiap masa, berdasarkan hukum asal dalam larangan tersebut, hanya saja untuk orang berpuasa lebih ditekankan.
Tafsir oleh imam Nawawi rh. kitab Syarah sohih Muslim, Jilid 5, halaman 711-713

Sedikit kesimpulan dari saya, berpuasa tidak hanya menahan lapar tetapi juga adalah cara untuk membersihkan diri dari segala perbuatan dan perkataan keji dan sia-sia. Lantaran itu jagalah lisan. Moga hasil usaha amat sedikit ini boleh jua memberi manfaat, meningkatkan ilmiah serta iltizam rakan-rakan, untuk menjadi Muslim yang sejati.

Mudah-mudahan saya telah membantu.

والله اعلم                                                                                                                 

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

0 ulasan: