Sabtu, 21 April 2012

Harta Sepencarian (Bahagian 2)

0 ulasan

Sent: Sat, June 12, 2010 2:44:40 AM
Subject: Pembahagian Harta Pusaka - Harta Sepencarian

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih ustaz, atas penjelasan yang panjang lebar dan lengkap. Saya membaca beberapa kali bagi memahami sebenar maksud yang mahu disampaikan. banyak kemusykilan saya terjawab dengan jawapan tu. Saya ingin tahu lebih sedikit,

Dalam kes yang ustaz sebutkan, saya rasa yang menjadi isu adalah hal keadilan pengagihan harta. Ada persatuan wanita islam yang mengeluarkan statement tentang keadilan secara terperinci termasuk secara amalan perundangan. Kerana itu ramai yang melihat yang pembahagian secara faraaid dikatakan tidak adil dengan berbagai faktor dikemukakan yang pada hemat saya, dipandang betul dan logik oleh masyarakat.

Saya tak mau nak kupas panjang lebar tapi situasi memang agak memeningkan tambahan pula orang dok guna mahkamah pula untuk memuaskan hati mereka. Harap dapat beri ulasan kerana perkara ini realiti yang dah berlaku.

Sekian.

والسلام

Warmest Regards
" Knight Malaysia "
To:
Sent: Thursday, 1 July 2010 11:19:12
Subject: Pembahagian Harta Pusaka - Harta Sepencarian

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih juga kerana terus bertanya, letih juga sebenarnya untuk saya membuat semakan lanjut. Namun, InsyaAllah saya cuba juga memberikan maklumbalas sekadar yang saya mampu.

Dalam artikel sebelum ini, beberapa kali saya ulang sebut "saya boleh fahami". Yang saya maksudkan adalah begini.

Kondisi : seorang suami mati (harta 1 juta) dengan meninggalkan 1 isteri, 1 anak perempuan dan adik beradik (L dan P). Maka pembahagian secara syara' yang qati'e adalah seperti berikut :

Isteri               =   1/8          =    1/8     = RM 125,000
Anak P           =   1/2          =    4/8     = RM 500,000
Adik beradik   =   bakinya  =    3/8      = RM 375,000 (L dapat 2, P dapat 1 bahagian)

Apabila menggunakan logik aqal dan sentimen berteraskan pengiraan di atas, adalah jelas sekali bahawa tidaklah adil seorang isteri mendapat jumlah sebegitu kecil. Mereka itu menyalurkan pernyataan ini berdasarkan antaranya hujah berikut :

1. Isteri telah menyumbang sepenuh tenaga, material, moral dan rohani sejak puluhan tahun sehingga suami mendapat apa yang ada.

2. Puluhan tahun isteri bersama suami harungi hidup penuh kesusahan.

3. Isteri telah mengorbankan banyak perkara dalam hidupnya sepanjang bersama.

4. Jumlah pembahagian itu tidak setimpal langsung dengan jumlah pengorbanan yang dibuat oleh isteri ke atas suami semasa hidupnya.

5. Isteri juga perlukan harta dan wang untuk meneruskan hidup sehingga akhir hayat.

6. Kenapa anak sendiri yang disara hidup (sebahagiannya) oleh ibu sendiri mendapat lebih dari ibu.

7. Kenapa adik-beradik yang tidak menyumbang apa-apa dapat lebih. Seronoklah diorang, duduk saja pun dapat habuan besar.

8. Keadilan bagi kedua-dua pihak itu adalah 50 /50 atau yang hampir kepadanya, kadar 1/8 (12.5%)  bukanlah adil sama sekali malah merupakan penganiayaan dan hinaan ke atas isteri yang telah memberikan sepenuh sumbangan (masa susah dan senang) dan pengorbanan seumur hidup kepada suaminya.

9, Hujah yang paling sempoi - walaupun Islam telah menetapkan kadar Faraaid itu, prinsip asasnya adalah keadilan. Apabila didapati telah berlaku ketidakadilan, pembetulan mesti dibuat supaya keadilan ditegakkan demi kebaikan isteri yang ditinggalkan.

Memang hujjah sebegini mudah disebutkan dan didakwa oleh orang yang masih hidup. Walhal, fakta paling nyata sama ada suami/isteri itu seorang yang patuh taat pada suruhan dan perintah dalam rumahtangga, atau pun seorang yang ingkar dan perosak dalam rumah tangga hanya dapat dijawab pasangan yang lagi satu. Mekanisme penghujjahan dan persaksian ini paling layak dan tepat dilakukan oleh mereka yang hidup sahaja. Lantaran itu, selayaknya hukum harta sepencarian ini dilaksanakan pada pasangan yang bercerai hidup supaya mereka sendiri boleh saling memberi justifikasi terbaik untuk dipertimbangkan.   

Dalam kata lebih tepat dan menyeluruh, sistem pembahagian faraaid ini dituduh tidak adil. Inilah justifikasi dan hujah berdasarkan logik, dogma dan paradigm liberalisme masakini yang saya maksudkan "saya boleh fahami". Hakikatnya, pernyataan ini telah diungkit dan digembar-gemburkan oleh sekumpulan manusia rosak otak, buta kare tentang Islam sebenarnya.

Ini merupakan satu paradigma pemikiran bikinan musuh Islam yang telah menular masuk ke dalam urat saraf dan otak-otak ummat Islam. Pemikiran itu adalah mempertikaikan kaedah dan jumlah pembahagian Faraaid ke atas harta pusaka (tinggalan simati) sedangkan perkara itu telah ditetapkan secara qati'e di dalam Al Qur'an dan al Hadis yang sahih. Mereka merasakan apa yang mereka dapati dari paradigm mereka itu adalah lebih adil dan saksama. Lebih merapu lagi, golongan manusia inilah yang tergedik-gedik dok mengwar-warkan seantero Malaya bahawa mereka lah yang lebih Islam dan pandai-pandai belaka. Dengan kertas kelulusan berjela-jela, pangkat yang besar tinggi diikuti gelaran hebat itu ini, tidak hairanlah pernyataan dan da'yah mereka sering mendapat perhatian.

Kaedah penyelesaian yang sekarang ini diwar-warkan begitu begini juga, tidak menjurus kepada menjawab kepada hal yang dibangkitkan. Saya memahami ada negeri yang Enakmen Keluarga Islamnya menyebut "harta sepencarian boleh dituntut sebelum Mahkamah membuat hukuman faraaid atas harta simati". Apa yang difahami dari klausa ini, bukanlah harta simati itu secara otomatik menjadi harta pusaka, melainkan setelah mahkamah yang menetapkannya. Kerana itu, saya ingin utarakan beberapa soalan,

1. Bila pula Allah Swt. dan Rasul-Nya memberi hak kepada Mahkamah sehingga berkuasa penuh pula ke atas harta simati, berhak mengubah hukum ke atas harta simati (harta pusaka) dengan memutuskan harta sepencarian terlebih dahulu sebelum membuat hukum faraaid.

2. Bukankah jelas sekali perintah Allah Swt. (Al Qur'an Surah An Nisaa' [4] : ayat 11 dan 12) bahawa harta simati itu mesti difaraaid setelah ditolak hutang dan wasiat. Tidak timbul sama sekali padanya harta sepencarian atau, ditolak dulu harta sepencarian kemudian bakinya di faraaidkan.

3. Adakah ketetapan qati'e ini telah di Mansukh kan oleh ayat-ayat yang lain atau ditakhsiskan oleh hadis-hadis. Sekiranya ada, ia patut dimaklumkan kepada mayarakat umum dan hukum sebegini pasti telah pun diamalkan oleh para salafus solih dan golonan ummat terdahulu.

Implikasi dari kaedah penyelesaian secara begini pada saya adalah :-

1. Orang akan berpusu-pusu membuat tuntutan dengan pelbagai alasan direkacipta. Masing-masing merasa berhak ikut pemikiran masing-masing. Sikit-sikit mahkamah. Maka, mahkamah pula kena fikir dan buat kerja selesaikan masalah dan kehendak dia. Bukannya dia nak selesaikan masalah sendiri.

2. Mahkamah akan terlalu banyak kerja melayani permintaan tak munasabah ini. Kekadang berbulan dan  bertahun tanpa selesai dengan cerita-ceriti yang berbelit-belit dan  berputar-putar.

3. Sebenarnya "Orang yang Menuntut" itu menuntut hak daripada siapa? bukankah "Orang yang Kena Tuntut" itu telah mati!

4. Malah, sekiranya para waris menjadi pihak yang dituntut, bukankah yang menuntut itu sendiri pun adalah sebahagian dari orang kena tuntut.

5. Atas dasar apa pula "keadilan" mahu dipaksikan sekiranya tuntutan itu diperakukan. Adakah waris-waris lain (mengikut turutan syara') redha akannya. Adilkah apabila satu orang mendapat hak seraya mengurangkan hak orang lain pula sedangkan semua waris telah ada bahagian masing-masing yang ditetapkan secara qati'e.

6. Setakat mana juga tahap "keadilan" dengan frasa berikut "keputusan mahkamah adalah muktamad"? sedangkan para waris tidak redho.

Kes tuntut menuntut, adil tak adil, saksama tak saksama ini tak akan berakhir sama sekali selagi mana kita terus menggunapakai aqal manusia sebagai asas penyelesaian dan sebagai neraca penentu tahap keadilan. Tidak mustahil malah telah berlaku pun, akan sentiasa ada idea baru dari pihak tak berpuashati. Perkara ini takkan ada pengakhiran malah makin memeningkan dan merumitkan. Masalah yang kita sangka telah selesaikan, rupanya menjadi punca kepada masalah lain pula. Hasrat dan niyat baik disertakan kaedah-kaedah perlaksanaan yang datang dari aqal manusia ini, tidak sama sekali boleh melepasi keadilan yang telah ditetapkanNya.

Jadi, berhentilah buat kerja macam ni.

Mari kita lihat dari satu perspektif lagi. Kiranya tuntuan harta sepencarian itu diluluskan dan si isteri kepada si mati mendapat 50% dari hartanya, yang berlaku adalah begini :

Isteri telah mendapat RM500,000

Bakinya dianggap harta pusaka dan dipecahbahagikan mengikut faraaid,

Isteri               =   1/8          =    1/8     = RM   62,500
Anak P           =   1/2          =    4/8     = RM 250,000
Adik beradik   =   bakinya  =    3/8      = RM 187,500 (L dapat 2, P dapat 1 bahagian)

Bermaksud si isteri mendapat keseluruhan 562,500 @ 56.25% dari harta si mati. Sekadar nak bertanya, adakah pembahagian sebegini pula dianggap adil? Justifikasi apa pula yang menetapkan keadaan sebegini adalah adil. Kes ini asalnya menampakkan si anak (keadaannya 1 orang sahaja) mendapat agak banyak, namun apa pula akan terjadi sekiranya melibatkan jumlah anak yang banyak (misalnya 6 orang). Bukankah jumlah 1/8 yang tetap diperolehi si ibu memang lebih banyak dari anak-anak ini. Kerana itulah saya sebutkan, prinsip keadilan jika diambilkira dari akal-akalan manusia, ia tak akan menyelesaikan masalah, tetapi menimbulkan masalah.

Apa yang terjadi adalah anak atau anak-anak akan berhujjah semula menuntut keadilan mengikut perspektif mereka pula, begitu juga adik beradik. Ini merupakan polemic tak berakhir dan tak mustahil asas undang-undang itu sendiri suatu hari nanti akan dirombak bagi mengikut kesesuaian yang baru pula. Dan polemic ini berterusan tanpa akhir. Paling buruk adalah ia membuka ruang manusia membuat penasiran sendiri-sendiri, mempergunakan mahkamah pula untuk membuat keputusan ke atas kehendaknya, dan paling menyedihkan ia menyebabkan perbalahan dalam keluarga.

Aakhirul Kalam - Saya menyeru, hukum harta peninggalan simati ini telah jelas perintahnya dari Allah Swt. dan Rasul-Nya. Ia amat lengkap dan tiada cacat cela, meliputi dari ketika hidup sampailah setelah mati. Maka itu, ikutlah dia, pening-pening dan serabut seperti yang saya nyatakan di atas pun tiada lagi. Penjelasan terperinci telah pun saya nyatakan dalam artikel sebelum ini, mengenai apa sebenarnya yang patut dibuat dalam kes tuntutan harta sepencarian ke atas harta simati.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhaif ini.

والسلام

eddzahir@ 38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


From: Knight Malaysia
Date: Fri, 2 Jul 2010 03:12:24 +0800 (SGT)
Subject: Pembahagian Harta Pusaka - Harta Sepencarian

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasihlah atas penjelasan. Sekadar nak bertanya lebih sikit, yang ustaz maksudkan keadilan sebenarnya apa dia, tidak pun disebutkan.

Saya nak menambah sikit,  banyak perkara berkaitan faraaid ini yang ramai orang kita kabur. Kerana  itulah, banyak kes tanah di Penang ini khususnya jadi masalah. Yang  terbaru saman-menyaman anak dengan bapak kerana hal pusaka dan wakaf.

Saya dengari juga, banyak orang beri komen dan pendapat, sampai yang pelik  pun
ada. Terlalu banyak saya dengar komen dan komplen, tapi takdak pulak  cadangan
membina dan bagus untuk supaya hal kekalutan faraaid ini boleh  diatasi. Saya yakin, sekiranya hal-hal faraaid ini berjalan dengan  baik, masyarakat Melayu Islam akan  berada di tahap lebih baik.

Harap  dapat ustaz berikan ulasan dan cadangan-cadangan membina ke atas hal ini. Komentar banyak-banyak pun seringkali tak dapat mengubah keadaan, tukang komen saja ramai, yang nak buat tu tak ada.

sekian.

Warmest Regards
" Knight Malaysia "

To:
Sent: Monday, 5 July 2010 2:44:11
Subject: Pembahagian Harta Pusaka - Harta Sepencarian

Tuan begitu membuat saya pening, tapi tak apa. Yang saya maksudkan dengan keadilan adalah :

Setiap mukmin wajib merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah apabila ada perbantahan akan sesuatu seperti mana firman Allah Swt. :

”…….. Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali (merujuknya) kepada Allah (Al Kitab) dan Rasul (As Sunnah) jika kamu bena-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Tindakan demikian adalah paling baik (bagi kamu) dan paling elok akibatnya”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 59

Hanya kedua-dua Al Quran dan As Sunnah sahaja yang menjadi penyelamat kaum muslimin dari kesesatan. Rasulullah Saw. berpesan :

“Dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu, ia berkata bahawasanya aku mendengar Nabi Saw bersabda : Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kamu sekelian dua perkara, yang jika kamu perpegang-teguh dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah RasulNya”.
Hadis sahih riwayat Imam Al Hakim rh.

Sebagai mukmin yang bersyahadah dan mengakui Allah dan rasulNya, tiada lain bagi kita melainkan menuruti dan mematuhi apa yang Allah dan rasulNya tetapkan, sepertimana yang Allah Swt. perintahkan di dalam Al Qur’an :

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi wanita yang mukmin, apabila Allah dan rasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasulNya, maka sungguhlah dia telah sesat, (dengan) sesat yang nyata”.
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 36

Maka itu, dalam kes harta tinggalan si mati, ia adalah harta pusaka, yang sewajibnya dibahagikan mengikut tatacara faraaid atau pun adanya pembahagian lain yang diredhai oleh semua warisnya. Kesimpulan yang sama dengan artikel no. 1 dahulu. Itulah keadilan yang sebenar-benarnya.

Sedikit peringatan buat semua termasuk diri saya sendiri, beginilah jadinya apabila pokok pangkal masalah yaitu, perintah Allah Swt. supaya pemilik harta memecah bahagikan harta secara adil kepada semua waris menerusi kaedah yang dibenarkan syara’ semasa hidup lagi, tidak dipatuhi. Maka itu, bukan sahaja si mati mewariskan harta tetapi masalah juga. Dan pewujudan cara untuk menyelesaikan masalah itu pula bukan dengan mengatasi masalahnya yang paling asas (pokok), tetapi dicipta satu hukum baru yang dulu tiada, malah menjadikan ia lebih bermasalah lagi.

Nak selesaikan masalah, atasi dulu punca masalah itu, jika tidak masalah itu tidak akan selesai sampai bila-bila.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhaif ini.

والسلام

eddzahir@ 38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Sent: Mon, July 5, 2010 21:34:03 PM
Subject: Pembahagian Harta Pusaka - Harta Sepencarian

Salaam semua,

Jarang-jarang sekali masalah tentang faraid dibukukan. Di masjid mahu pun di maahad, kuliah tentang masalah yang demikian cukup kurang. Malah kuliah tentang faraid sendiri pun hampir-hampir tiada langsung. Kalau lah soal jawapan Haji Mad ini boleh di bukukan, tentu lebih baik lagi dan memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

Mungkin boleh dimulakan dengan 20 persoalan tentang hukum faraid dahulu, sebab kebanyakkan persoalan faraid semasa adalah tentang masalah baru. Bukan hanya seputar yang di dalam kitab sedia ada sahaja. Isu dan poin masalahnya dah berbeza sekarang ini yang memerlukan penghuraian baru.

Harap ada rakan-rakan yang sudi membantu beliau, untuk menjilidkan serta membukukan semua hasil penulisan beliau nanti, dalam hal faraid juga bidang yang lain, untuk manfaat ramai orang.

Sekian, wassalam.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

0 ulasan: