Ahad, 8 April 2012

Soal Jawab Puasa (Siri 4)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini. Bersama ini saya sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama.

Soalan daripada : tkjudi@yahoo.com

Salaamun’alaik ustaz, mula-mula saya ucapkan terima kasih atas kuliah panjang lebar pasal puasa Ramadan dan juga soal jawabnya. Sangat memberi manfaat.

Soalan saya begini, saya dan rakan-rakan agak terkeliru dengan penetapan waktu imsak, yang kami faham sudah tidak boleh makan, jika makan akan membatalkan puasa.  Bolehkah kita makan pada waktu Imsak sebenarnya? Apa dasarnya pada hukum syara’ ketetapan waktu imsak ini?

Penjelasan dari ustaz sangat kami hargai.

Wassalam

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih tuan kerana masih bersama jamaah. Lama-lama menghilang, tup-tup timbul menerusi email pulak. Alhamdulillah, moga tuan dalam keadaan sihat.

Sering juga saya mendapat pertanyaan begini : Bolehkah atau batalkah puasa kami kerana kami bersahur melewati waqtu imsak. Ini disebabkan kami terlewat bangun. Untuk menjawabnya juga saya perlu berhati-hati. Tetapi untuk maklumat dan amalan bersama, jawaban saya begini,

Yang dimaksudkan Waqtu Imsak (kira-kira 20-30 minit sebelum masuk waqtu Subuh) adalah batasan waqtu yang ditetapkan oleh para fuqaha dan ulama’ sebagai waqtu berjaga-jaga atau waqtu kritikal iaitu menandakan waqtu bersahur telah hampir luput. Itulah sebenarnya. Ia bukan bermaksud yang waqtu bersahur itu telah luput. Bagaimana asal datangnya ketetapan hukum waqtu imsak ini, wallahua’lam, tidak saya ketahui. Cuma sepanjang semakan saya menerusi hadis dan beberapa kitab fiqh lama yang muktabar, tiada pun menceritakan perihal waqtu imsak ini. Tuan boleh merujuk kepada ilmuwan lain yang lebih faqih daripada saya untuk mendapatkan perincian lanjut hal asal muasal penetapan waqtu imsak ini.

Sepanjang pengetahuan saya (mungkin juga agakan sahaja), lantaran saya tidak menemui asal muasal penetapan hukum ini, kefahaman dan penetapan tentang Waqtu Imsak itu adalah mungkin diambil dari hadis ini,

"Telah menceritakan oleh Anas bin Malik Rhu. : Zaid bin Tsabit memberitahu kepadaku bahawa ia telah bersahur dengan Nabi Saw. Kemudian langsung keluar untuk solat subuh. Berapa lama antara sahur dengan solat?. Jawab Zaid : Sekadar seorang membaca 50 atau 60 ayat (maksudnya ayat suci Al Qur’an)".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

"Sekadar orang membaca 50 atau 60 ayat" membawa maksud ia boleh dibuat diantara 20-30 minit dalam keupayaan biasa manusia sekarang ini. Hadis ini adalah menceritakan kisah Zaid Rhu. bersama Rasulullah Saw. melakukan sahur sebelum melakukan solat Subuh. Akan tetapi, hadis ini tidak menyebut pula ia adalah batasan waqtu sahur secara sarih dan qat’ie. Akan tetapi, batasan waqtu sahur sebenar yang sarih dan qat’ie telah ditetapkan menerusi hadis-hadis lain (saya nukilkan 2 daripadanya) :

Berdasarkan sabda dan kalam Rasulullah Saw. bahawa waqtu bersahur itu luput dengan adanya fajar sadiq yaitu telah masuknya waqtu subuh.

"Telah menceritakan oleh Abdullah Ibnu Umar Rhu. bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Sesungguhnya Bilal itu azan agak malam, kerana itu kamu boleh makan dan minum sehingga Abdullah Ibnu Ummi Maktum berazan".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Sesuatu yang mesi difahami oleh masyarakat sekarang adalah, azan Subuh di zaman Nabi Saw. adalah 2 kali. Yang pertama dilaungkan oleh Bilal bin Rabah Rhu. sebelum masuk waqtu Subuh dengan tujuan membangkitkan manusia dari tidur. Manakala azan kedua dilaungkan oleh  Abdullah Ibnu Ummi Maktum Rhu. menandakan telah masuknya waqtu solat Subuh dengan menyeru manusia supaya melakukan solat.

Lantaran itu, hadis di atas dengan jelas memberitahu bahawa batasan waqtu sahur yang ditetapkan oleh Nabi Saw. adalah sehingga masuknya waqtu Subuh. Ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadis lain :

 "Telah berkata ummul mukminin A'isyah binti Abu Bakar Rha. : Sesungguhnya Bilal azan agak malam, maka Nabi Saw. Bersabda : Kamu boleh makan dan minum sehingga azannya Abdullah Ibnu Ummi Maktum, sebab ia tidak azan kecuali sesudah terbit fajar".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Justeru itu, batasan sebenar waqtu sahur adalah masuknya waqtu Subuh dan memakan sesuatu selepas waqtu itu adalah membatalkan puasa. Saya tiada halangan menerima ketetapan waqtu imsak atas tujuan yang telah dinyatakan, akan tetapi penetapan bahawa waqtu imsak adalah waqtu tidak boleh makan dan sekiranya makan dlam waqtu itu membatalkan puasa, adalah suatu hokum yang batil kerana bertentangan dengan dalil-dalil sunnah yang sohih daripada Nabi Saw. sendiri. Penetapan hukum sebegini adalah menentang kalam Nabi Saw. yang satu-satunya penunjuk contoh amalan puasa yang paling baik. Mana mungkin ada sesiapa pun boleh membuat suatu hukum yang lebih baik daripada Nabi Saw. sendiri. Jadi, boleh makan dalam waqtu imsak.

Moga saya telah membantu tuan dan rakan-rakan.

والله اعلم

Soalan daripada : tajdid_hadhari@yahoo.com

Assalamu’alaikum Pak Lang, saya nak bertanya sikit, yang mudah-mudah saja, untuk mendapatkan kepastian hukum sebenarnya.

Saya pernah hadiri satu kuliah dulu berkenaan puasa, dan ustaz itu bagi tahu tidak boleh melakukan puasa pada hari Jumaat, tapi tidak pula disebutkan perinciannya, atau mungkin juga saya tidak mendengar semasa penjelasan beliau buat. Jadi, macam mana dengan puasa qada pada hari Jumaat atau puasa 6. Puasa Ramadan saya faham tak apa, kerana perintahnya satu bulan termasuk hari Jumaat.

Penjelasan Pak Lang sangat dihargai, raya nanti kita jumpa. Saya akan balik agak lewat.

Wassalam.

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga dalam sihat-sihat saja ya Along. Pak Lang kat sini ok. Nanti kita jumpa, hari raya.

Memang ada beberapa hadis sohih yang menyatakan larangan berpuasa pada hari Jumaat. Baik saya nukilkan untuk pemahaman kita kita semua. Hadis salah satu yang umum menyatakan larangan ini adalah seperti berikut :

“Dari Muhammad bin Abbad bin bin Jaafar Rhu. ia berkata : Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah Rhu. sementara dia sedang melakukan tawaf di sekeliling ka’abah : Apakah Rasulullah Saw. melarang berpuasa pada hari Jumaat. Maka ia menjawab : Ya, demi Rabb Ka’abah ini”
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh., imam Muslim rh. dan imam Ibnu Majah rh.

Matan hadis ini secara umum menyatakan secara total tidak boleh berpuasa pada hari Jumaat kecuali puasa Ramadhan (lantaran ada dalil lain). Begitulah secara umumnya. Namun begitu, maksud sebenar hadis ini ada dinyatakan dalam satu hadis lain, begini :

Boleh dilakukan puasa pada hari Jumaat apabila berpuasa sebelumnya (Khamis) atau sesudahnya (Sabtu) sepertimana hadis berikut :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata, Rasulullah Saw. bersabda : Janganlah salah seorang daripada kamu berpuasa pada hari Jumaat secara tersendiri, kecuali dengan berpuasa sebelumnya atau setelahnya”.
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh., imam Muslim rh. imam Ibnu Majah rh. dan imam Abu Daud rh.

Dalam satu hadis lain, ada lagi penjelasannya :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata, Rasulullah Saw. bersabda : Janganlah kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat malam di antara malam-malam lainnya. Jangan pula kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan berpuasa di antara hari-hari lainnya, kecuali bertepatan dengan puasa yang biasa dilakukan oleh salah seorang dari kamu”.
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.

Secara ringkas tafsir hadis ini adalah :

1.    Larangan yang dimaksudkan adalah tindakan membuat puasa pada hari Jumaat sahaja secara khusus dan tersendiri. Begitulah sebabnya imam Muslim rh. menjadikan pernyataan ini sebagai bab penjelasan hadisnya.
2.    Puasa yang dimaksudkan itu adalah puasa sunnat yang dikhususkan dan tersendiri pada hari Jumaat sahaja.
3.    Larangan puasa pada hari Jumaat ini disebutkan sebagai makruh sahaja oleh imam Asy Syafi’i rh. dan imam Nawawi rh. bukannya haram secara mutlaq
4.    Boleh dilakukan puasa itu sekiranya berpuasa pada hari sebelum atau sesudahnya
5.    Boleh melakukan puasa pada hari Jumaat atas sebab-sebab lain misalnya puasa Ramadhan, puasa qadha, puasa 6, puasa hari Arafah, puasa hari Asyura dan beberapa lagi yang disyari’atkan kerana ia bukanlah bersifat khusus dan tersendiri untuk hari Jumaat.

Mengenai larangan itu, ia terkandung hikmah yaitu : Hari Jumaat adalah hari untuk berdoa, bersegera menuju solat, menunggunya, mendengarkan khutbah dan memperbanyakkan zikir sesudahnya sebagaimana firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Haliim :

“Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung”
Surah Al Jumu’ah (62) : ayat 10

Begitu juga halnya ibadah-ibadah lain yang berhubungan dengan hari Jumaat itu. Oleh kerana itu, disunnahkan untuk tidak berpuasa, sehingga boleh lebih membantu seseorang dalam melaksanakan kegiatan-kegiatan tersebut, lebih bersemangat dan lebih bersiap sedia dalam melakukannya, menikmati hal itu tanpa ada rasa bosan dan jemu.
Sila rujuk kitab Syarah Sahih Muslim oleh imam Nawawi rh. Jilid 5 halaman 682-687 
 
Begitulah, mudah mudahan segala kemusykilan telah terjawab. Yeap, kita jumpa hari raya nanti. Pak Lang tak tetap lagi bila nak balik kampung.

والله اعلم

Soalan daripada : abumaisarah@yahoo.com

Assalamu’alaikum Wr. Wbt. Haji Mad,

Saya nak tanya berkenaan hari syak nak puasa (1 Ramadan) dan nak raya (1 Syawal). Bolehkah kita berpuasa. Sebagai contoh negara kita tak raya lagi, tetapi kita tahu tempat lain dah raya, bukankah itu telah jadi hari syak dan kita tak boleh puasa. Apa hukumnya kalau kita tetap puasa.

Mohon penjelasan sedikit. Wassalam

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Selama sejahtera juga untuk tuan, mudah-mudahan dalam keadaan sihat dan murah rizqi sentiasa. Tuan pun sama juga, macam biskut, kejap ada kekadang tiada.

Sedikit asas, jumlah hari dalam bulan-bulan kalendar Islam (Hijriyah) adalah sama ada 29 atau 30 hari sahaja. Maksud hari syak (diragukan) yang dimaksudkan di dalam hadis-hadis sohih adalah sama ada bulan Sya’aban mempunyai hari yang ke 30 atau hari itu adalah 1 Ramadhan. Keadaan ini boleh terjadi apabila anak bulan Ramadhan yang dicerap (ru’yah) pada petang 29 Sya’aban tidak kelihatan. Sekiranya dapat dilihat, tidak timbul perkara hari syak ini. Lantaran itu saya kurang pasti bagaimana tuan mendapati adanya hari syak tentang 1 Syawal.

Apabila anak bulan tidak kelihatan, maka akan diputuskan bulan Sya’aban dijadikan 30 hari dan yang tarikh 1 Ramadhan (permulaan puasa) adalah pada lusa. Sekali pun penetapan sebegini dibuat, tetap jualah pada hari 30 Sya’aban yang ditetapkan itu menjadi hari syak lantaran tidak dapat dilihat itu berpunca daripada kelemahan sifat manusia yang serba kekurangan atau pun ketentuan Allah menerusi tabiat alam seperti mendung atau hujan. Dan tidak boleh berpuasa padanya. Ini berdasarkan hadis berikut :

“Dari Ammar bin Yasir Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang diragukannya (syak) bererti ia telah durhaka kepada Abul Qasim (kunyah Nabi Muhammad Saw.)”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. dan. Imam Tarmidzi rh. dan beliau mengatakannya hasan sahih.

Hukum dari hadis ini adalah tetap, jelas berkuatkuasa dan tidak boleh ditentang atau diragui. Tiada jua keterangan hadis lain yang mengatakan sebaliknya. Maka itu tetaplah tidak boleh (diharamkan) berpuasa pada hari syak iaitu 30 Sya’aban.

Bagaimana pun, ada hadis lain yang memberikan rukhsah (keringanan, pengecualian) dalam kes puasa tertentu sepertimana hadis berikut :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw bersabda : Jangan kamu semua mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari (sebelumnya), kecuali bagi orang yang ia terbiasa  dengan berpuasa (pada hari itu), maka bolehlah dia berpuasa”.
Hadis riwayat imam Bukhari rh. imam Muslim rh. imam Abu Daud rh. dan Imam Tarmidzi rh. Ini dari lafaz Muslim.

Maka berdasarkan hadis ini, apabila seseorang yang telah menjadi kebiasaannya berpuasa pada hari Isnin dan Khamis atau pun puasa nabi Daud Ahs. (puasa selang satu hari) sebagai contoh, yang  berkebetulan pula hari syak itu jatuh pada hari Isnin/Khamis atau hari dia kena berpuasa padanya tersebut, maka dia boleh berpuasa sunat pada hari tersebut dan tidak ada larangan untuknya. Akan tetapi, kepada orang lain yang senghaja memilih untuk berpuasa pada hari itu, hukumnya tidak dibolehkan (haram) itu tetap kekal.

Saya tidak membincangkan hal hari syak yang tuan sebutkan yaitu sama ada 30 Ramadhan atau 1 Syawal kerana tidak pernah saya temui keterangan atau perbincangan para ilmuwan dan fuqaha’ yang mensabitkan keadaan itu sebagai hari syak.

والله اعلم

Soalan tambahan daripada : abumaisarah@yahoo.com

Assalamu’alaikum Wr. Wbt. Haji Mad, terima kasih atas maklumbalas.

Saya nak tanya lebih sikit, merujuk kepada jawaban Tuan Haji yang lepas, adalah dicela perbuatan seseorang yang masih belum menghabiskan qadha puasa sehingga datangnya Ramadhan yang baru. Dan pada hari syak adalah diharamkan berpuasa.

Sekiranya terjadi hanya lagi 1 hari untuk menamatkan qadha puasa dan baki hari yang ada itu adalah hari syak berkenaan, bolehkah dia berpuasa juga pada hari itu. Itu saja yang nak ditanya.

Mohon penjelasan sedikit. Wassalam

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih tuan kerana memberikan soalan yang sangat mencabar untuk menjawabnya. Saya akui petikan pernyataan itu adalah sebahagian daripada maklumbalas saya terdahulu.

Baik saya teruskan saja kepada jawabannya. Hanya yang boleh saya katakan adalah dalam 2 situasi sahaja, begini :

1.            Berdasarkan hadis sohih, tidak boleh berpuasa pada hari syak kecuali atas sebab jenis puasa yang telah dinyatakan. Ia adalah puasa sunnat/tathawwu’. Maka, puasa qadha adalah puasa ganti wajib yang tidak termasuk dalam kategori yang dibenarkan dalam hadis sohih tersebut. Maka itu tidak boleh melakukan puasa qadha pada hari syak, demikianlah pegangan saya.

2.            Namun begitu terdapat fatwa mahu pun ijtihad dari kalangan para fuqaha’ dan ulamak muktabar yang membolehkan ia dibuat dan menganggap yang larangan puasa pada hari syak bukanlah bersifat haram mutlak tetapi ia hanya makruh sahaja. Antaranya adalah imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. yang menyatakan :

 “Berkata sahabat-sahabat kami (dari mazhab Asy Syaf’i’i) : “Tidak sah puasa pada hari syak dari masuknya Ramadhan tanpa khilaf…, Jika dilakukan padanya puasa qadha atau Nazar atau kafarah, ianya diterima, ini kerana apabila diharuskan puasa padanya (hari syak) dengan puasa sunat yang telah menjadi kebiasaan, maka puasa fardhu (seperti qadha dan seumpamanya) adalah lebih utama (untuk dikatakan harus), ini seperti mana waktu-waktu yang diharamkan solat, kerana jika pada seseorang itu ada puasa qadha Ramadhan sehari, maka sesungguhnya dia mesti mengqadhakannya, kerana waktu qadhanya telah menjadi sempit".
Kitab Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Jilid 6 halaman 400

Saya telah memberikan jawaban saya lengkap dengan dalil dan sepatutnya. Juga telah saya nyatakan pendirian saya dan pandangan yang bertentangan dengannya lengkap dengan pernyataan fatwa dan rujukannya sekali. Maka, tuan hanya perlu membuat pilihan atau pun, dapatkan penjelasan dari orang yang lebih faqih daripada saya, yang serba dhoif ini supaya boleh tuan mendapat ta’liq yang lebih baik.

والله اعلم           

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام


0 ulasan: