Selasa, 30 April 2013

Larangan Mencerca Agama Lain.

0 ulasan

Sent: Friday, January 4, 2013 4.27 PM
Subject: Salahkah Memberi Peringatan!

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Mula sekali ana ucapkan syukron sungguh atas artikel tulisan nta ni. Memang masuk ke akal hingga terus menusuk ke hati. Moga nta terus tabah hadapi manhaj da’wah di sebalik segala macam keluh kesah yang dihadapi. Mudahan Allah Swt. sentiasa berikan ruang kesempatan dan kemudahan untuk nta terus berkarya dan berda’wah.

Benar sungguh, dalam segala macam media, terlalu banyak kata-kata, penulisan waima perilaku yang benar-benar menghina kita ummat Muslimin, junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. dan Islam itu sendiri. Segala macam kata-kata tu memang melukakan hati. Apakah hina sangat kita sebagai Muslim ni, sampaikan kafirin ni dok mengajar kita pulak fasal agama kita sendiri. Dah tu cakap pulak sesuka hati, macam lah kita nih bodoh sesangat.

Kat negara kita nih pun dah masuk antara yang paling teruk, tambahan lagi dengan perangai orang politik dari kalangan kita sendiri yang pulak dok jadi penyokong. Kita orang Islam nih sampai tak boleh nak kata apa langsung, banyak sangat songeh, peraturan itu ini, disekat sana sini, siap tangkap-tangkap lagi. Sebut sikit saja pun dah jadi “racist”, kalau kafirin nih nak sebut apa saja pun boleh semua, pihak yang halang depa buat kerja setan tu pulak dikata racist. Jadi! seronok la depa dok sebut apa saja, waima masuk hal ehwal agama orang lain pun boleh belaka. Semuanya betul, tak racist belaka.

Dah tu, apa yang kita boleh buat sebenarnya nih, Takkan nak tengok dan biarkan saja ummat Islam dan Islam nih dimomokkan orang kafir. Takkanlah tak ada cara untuk kita hadapi situasi sebegini. Harap nta yang lebih arif, berikan penghuraian dan pembaikannya supaya dapat semua jama’ah kembali ke jalan yang benar, insyaAllah.

Wassalam.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Ramai yang bertanya : kenapa agak lama saya tidak menulis? Jawabannya : Saya sedang memberikan tumpuan kepada hal lain yang menuntut lebih banyak masa dan tumpuan. Namun begitu, Alhamdulillah, program kuliyah dan usrah tetap berterusan.

Pertama : Saya merujuk kepada paragraf ke 3 ulasan Tuan, dan mahu berikan sedikit tambahan, supaya suhu meningkat sikit lagi. Begini : memang kepada manusia Melayu Islam ni kalau meminta apa-apa, kena diperhalusi benar-benar, disemak habis -habisan dan sebaiknya tidak ditunaikan, lantaran sekiranya ditunaikan ia akan bersifat rasis dan tidak adil. Kepada yang lain pula, semak sikit-sikit pun cukup dan sebaiknya ditunaikan sahaja segala macam permintaan sekali pun yang mahal-mahal, lantaran diyaqini bahawa sekiranya tidak diberi, maka ia akan bersifat rasis pula dan tidak adil. Dan kesimpulannya terhadap untung nasib sebenar manusia Melayu Islam ini, harapnya Tuan jawablah sendiri.

Kedua : Dengan jelas Tuan sebutkan perihal orang politik sebagai punca banyak perkara tidak menguntungkan Islam ini. Dan menurut pendapatan saya sendiri, hal sebegini memang telah terang lagi bersuluh pun. Namun dek kerana saya ini bukanlah orang politik, sebaiknya Tuan tanyakan terus kepada manusia-manusia berkenaan apa-apa jua yang tidak berkenan di hati. Tentu sekali mereka sangat pakar malah amat seronok dan tertunggu-tunggu sangat untuk menjawabnya. Paling bagus sediakan sekali pentas dan hebahan besar-besaran. Saya tidak berkenaan untuk masuk campur.

Pada saya pula, semua manusia politik Melayu Islam di Malaya ini sedang menganut suatu ajaran karut marut, ya’ni mempercayai bahawa :

1.    Yang sedang menang mendakwa – kerana dia menanglah Islam terjaga dan makmur
2.    Yang belum menang pula mendakwa – jika dia menang Islam akan lebih terjaga dan sempurna

Dalam kata lain, mereka-mereka ini mengimani bahawa hanya dengan adanya kuasa politik sajalah baharulah Islam dapat ditegakkan dengan penuh jayanya, Sekiranya tidak, maka tidaklah Islam itu dapat ditegakkan dengan penuh jayanya, Yang membawa arti dalam kata lain, mengimani bahawa hanya kekuasaan politik yang akan menentukan kesempurnaan Islam. Begitulah yang sedang dimomokkan dan dicucuk-cucuk ke dalam minda, urat saraf dan hati sanubari ummat Muslimin.

Lekeh benar nampaknya sekarang ini, Allah Swt. ini, Rasul-Nya dan Islam, kena bergantung harap kepada politik Liberalisme/Demokrasi ciptaan manusia pula untuk berjaya dan sempurna. Ini suatu keterbalikan sungguh dari fakta, bahawa sudah ribuan tahun manusia berpusu-pusu mencari dan memasuki Islam, untuk mendapat kejayaan dunia hingga akhirat, lantaran mereka mengimani bahawa Islam adalah agama samawi yang diwahyukan oleh Allah Swt. melepasi semua ciptaan manusia, dipeliharaNya dan itulah satu-satunya jalan untuk kejayaan di dunia hingga akhirat. Tiada yang selainnya. Justeru mereka mengimani sekuat-kuatnya penjelasan Allah Swt. sendiri :

“(Allah) Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk (Al Qur’an) dan agama (Ad Diin ul Islam) yang benar, agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama (yang lain). Maka cukuplah Allah sebagai saksi”.
Surah Al Fath (48) : ayat 28

Demikianlah juga yang jelas terserlah dalam musim demam PRU ni, ada gerombolan yang bermati-matian membawa mesej Islam katanya, hakikat sebenarnya hanyalah untuk mendapat undi lantaran perangai dan tingkahlaku tidak pun mencerminkan keperibadian Islam pun. Sebaliknya pula, ada pula yang bermati-matian pula memaki hamun dan menghina Islam, atas tujuan yang sama yaitu untuk mendapat undi juga. Maka jadilah Islam bahan dagangan dan kambing hitam tunggangan untuk mendapat undi.

Mungkin juga manusia di akhir zaman ini termasuklah manusia yang mengaku sebagai ummat Islam sendiri, merasakan Islam dah tak boleh berdiri di atas kakinya sendiri untuk kejayaan, melainkan kena ditolong oleh sistem buatan manusia, malah merasakan tidak cukup sebenarnya hanya dengan “cukuplah Allah sebagai saksi”. Bahkan tidak lebih hanya menjadi alat/sarana untuk mencapai matlamat sendiri. Sungguh ironi, lafaz Kalamullah “agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama (yang lain)” rupanya sudah tidak berguna.

Ketiga : Saya tidak tahu kenapa keluh kesah ini ditanyakan kepada saya. Baik saja berterus terang, yang mampu saya buat hanyalah menela’ah ilmu dan terus menuntut, memberi kuliyah, mengkhabarkan apa yang sepatutnya dan selayaknya, menulis dan menjawab pertanyaan Tuan. Hal manusia mahu mendengar, memahami, mengambil i’tibar, mahu membacanya atau mendapat manfaat darinya mahu pun hal sama ada segala kuliyah dan penulisan ini mampu membawa manusia kepada kebenaran atau terus di dalam kepalsuan, hanya mampu saya ulang sebutkan : “cukuplah Allah sebagai saksi” dan wallahu a’lam. Lantaran yang boleh memberi petunjuk adalah hak dan qudrah Allah semata-mata.

“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) Al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waqtu mengingati Allah, itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendakiNya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun (dapat) memberi petunjuk baginya.”
Surah Az Zumar (39) : ayat 23

Memang sangat benar, bagai disuluh-suluh ditengahari, situasi penulisan, laporan, cerita, filem di media cetak atau pun elektronik yang menghina Nabi Muhammad Saw., agama Islam dan ummatnya, memang berleluasa dan amat mengguris hati. Bahasa yang kasar, hinaan, kesat, celupar dan penuh caci maki menjadi hiasan tulisan. Pasti sekali, sudah tentu tindakan ini mengundang tindak balas yang serupa bahkan mungkin lebih teruk lagi dari sekumpulan orang Islam yang kurang sabar.

Sebagai seorang Muslim, sudah tentu kita berkeyakinan bahawa hanyalah Islam adalah agama yang benar. Keyaqinan teguh yang selaras dengan firman Allah Swt. :

“……… Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu ………”
Surah Al Maidah (5) : sebahagian ayat 3

Begitulah juga kefahaman penganut agama lain atau yang tak beragama sekali pun, yang masing-masing berkeyaqinan bahawa hanya fahaman mereka yang benar. Keyaqinan mengenai kebenaran agama dan kepercayaan sendiri adalah fitrah manusia. Mana mungkin sesuatu itu diyaqini kebenarannya, jika diragui asasnya. Hanya yang mahu menggunakan aqal secara sihat, berusaha mencari kebenaran haqiqi dengan kesedaran tulus dari hati sanubari akan menyedari dan insaf bahawa hanyalah Islam, sesatunya “Jalan Yang Lurus”. Malah yang menolak kebenaran Islam itu pun bukannya kerana kekurangan pada Islam itu sendiri, malah disebabkan oleh hasad kedengkian yang ada pada diri mereka.

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-Nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-Nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 213

Justeru itu, tidak hairan sama sekali adanya segala macam bahasa yang kasar, hinaan, kesat, celupar dan penuh caci maki terhadap agama Islam, Nabi Muhammad Saw. dan seluruh ummatnya, lantaran dihati para kafirin ini memang penuh dengan dengan hasad dengki terhadap Islam dan ummatnya. Malah, yaqinlah bahawa semua yang sedang berlagak baik dan berkata indah-indah di hadapan kita selama ini pun, tidak lebih dari hanya menanam tebu dibibir sahaja. Bukanlah tujuan kalam ini mahu menghasut, tetapi mahu memberi pesanan dan peringatan supaya sentiasa berwaspada dengan strategi dan da’yah paara kafirin ini yang penuh kemunafiqan dan bermuka-muka.

Sebagai ummat Muslimin, sepatutnya kita sedia mafhum, perkara persepsi, penolakan dan penghinaan para kafirin terhadap Islam ini bukanlah hal pelik. Malah tidak sepatutnya kita menjadi dungu kehairanan seumpama pertama kali melihat makhluk asing pun. Hakikatnya hal ini telah pun dinyatakan oleh Nabi Saw. 1450 tahun dahulu.

“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkataa bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Islam telah bermula dengan dagang (asing) dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam di waktu ia dagang (asing – semula).”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. No. 145. Beliau juga ada meriwayatkan dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. (No. 146) dengan matan yang sedikit berbeza dan ada beberapa kalimat tambahan. Diriwayatkan juga oleh imam Ahmad bin Hanbal Rhm., imam Ibnu Majah Rhm., imam Ad Darimy Rhm. dan imam Tarmidzi Rhm. Periwayatan ini bersumber dari beberapa sahabat (tidak kurang 10 orang) dengan serba sedikit lafaz berbeza akan tetapi membawa maqsud yang sama. Dan hadis ini mutawatir.

Islam dan syari’atnya bermula dalam keadaan dagang, sewaqtu didatangkan di Makkah Al Mukarramah, ia begitu asing dan tidak dikenali oleh masyarakat jahiliyah. Lantaran kepelikan mereka ini terhadap Islam, maka Islam itu dibenci dan dimusuhi. Pembawa dan pendokong-pendokongnya dizalimi dan dihadapkan dengan berbagai-bagai penyiksaan dan fitnah malahan dibunuh. Kronologi sirah perjalanan hidup dan da’wah Baginda Saw. yang berpandukan wahyu Ilahi dan manhaj rabbani menjelaskan kenapa Islam satu-satunya agama yang sesuai dan padan untuk dipraktikkan dalam setiap masa, zaman dan keadaan, membuktikan betapa kuat penentangan yang dihadapi.

Dalam kebobrokan masyarakat jahiliyah, keruntuhan akhlak dan sosial yang maha dahsyat, masyarakat yang hidup dalam penzinaan, pembunuhan, mabuk-mabukkan, kezaliman sesama manusia dan segala macam aqidah kesyirikan, mereka merasakan bahawa Islam, wahyu Allah dan utusanNya, amat pelik dan tidak berguna malah dianggap musuh utama yang mesti diperangi. Perjuangan Baginda Saw. amat perit dan pedih, ribuan macam siksaan dan tentangan terpaksa diharungi bersama para sahabat Rhu. demi mengeluarkan masyarakat daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya kebenaran (Ad Diin ul Haq). Begitulah manusia yang serba jahil, sesat dan penuh hasad dengki ini merasakan bahawa Islam Rahmatan Lil ‘Alamiin ini pula yang serba serbi tidak berguna dan mereka pula yang betul segala-galanya.

Antara sebab yang menjadikan Islam wahyu Allah ini dianggap asing :

Islam mengajarkan tauhid murni yang mengesakan Allah, segala pengibadatan dan tunduk patuh hanya kepadaNya semata-mata. Sementara semua ajaran agama lainnya adalah buatan atau ubahsuaian manusia untuk menyembah kepada selain Allah. Kemurnian tauhid saat itu adalah berita amat pelik kepada gerombolan penyembah manusia hidup atau telah mati, batu bata, roh-roh, api, para rahib dan pendeta. Tetapi mereka amat berbangga dan menjustifikasikan kebenaran mereka itu dengan ramainya jumlah pengikut mereka. Lantaran itu Allah Swt. menurunkan ayat :

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang dimuka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tiada lain hanyalah mengikut persangkaan belaka, dan mereka tiada lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”
Surah Al An`am (6) : ayat 116

Pada umumnya masyarakat terjebak ke dalam gejala kebahlolan dan taqlid buta yang fanatik melulu. Mereka sukar diajak menggunakan otak, berfikir kritis, rasional dan ilmiyah. Ketika mereka diminta justifikasi atas perbuatan, mereka hanya mengatakan, kami mendapatkan nenek moyang melakukan seperti ini, dan kami hanya menjalankannya sahaja. Lantaran itu Allah Swt. menjawab dalam wahyuNya :

“Dan apabila dikatakan kepada mereka : Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah, mereka menjawab, (Tidak) tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami. (Apakah mereka akan mengikuti juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak (pula) mendapat petunjuk?”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 170

Kumpulan ahli kitab yang telah mengetahui kebenaran ajaran Islam ini, menjadi khianat dengan mengubah ajaran kitab-kitab mereka disebabkan kerana irihati dan hasad dengki. Mereka amat iri lantaran yang diutus menjadi Rasul terakhir bukan berasal dari golongan mereka tetapi dari bangsa Arab yang selama ini mereka anggap sebagai paria sahaja.

“Banyak di kalangan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad Saw.). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 109

Rata-rata manusia jahil ini merasakan anutan dan amalan mereka amat betul belaka kalau pun dipenuhi segala maksiyat dan kesyirikan, sehinggalah datangnya Islam yang menafikannya. Malah lebih menyakitkan hati mereka ini, ia adalah Ad Diin yang syumul (lengkap) dalam segala segi aspek kehidupan. Tiada satu pun yang terkecuali melainkan telah ada hukum-hakam dan petunjuk yang jelas dari Kalamullah dan As Sunnah rasulNya. Kalau boleh mereka mahukan Islam itu sepertimana mereka melaksanakan agama mereka. Solat, puasa, zakat dan semua amalan diperbuat tetapi berzina, minum todi dan segala macam maksiyat pun boleh dibuat sekali. Atau pun paling kurang, cukuplah sekadar mengucapkan 2 kalimah syahadah sebagai membuktikan Islam, yang lain-lain hal tak perlu ikut hukum halal haram, wajib sunnat dan sebagainya. Kesyumulan dan keadilan Islam dalam segala aspek ini amat ditentang kerana mengganggu-gugat kehidupan mereka yang dipenuhi hawa nafsu seterusnya membuakkan rasa hasad dengki tak padam-padam terhadap Islam. Ini dinyatakan oleh Allah Swt.  lewat kalamNya :

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah Swt. ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.”
Surah Aali ‘Imran (3) : ayat 19

Justeru itu, tiada apa yang perlu dihairankan sekiranya sehingga sekarang ini gejala jahiliyah dan penyakit hati orang kafir ini terhadap Islam dan ummatnya masih berterusan. Ia telah pun ada sejak 1450 tahun dulu dan telah pun dijelaskan oleh Allah Swt. dan rasulNya. Dan kepada rakan Muslimin, saya mahu berpesan dengan mengambil i’tibar dari sirah perjuangan dan pengorbanan Nabi Saw. dan para sahabat Baginda demi kemenangan Islam, kukuhkan persatuan dan saff kita untuk hadapi mereka dan, renungi sedalamnya kalamullah ini.

“Bagi orang-orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka kerana mencari kurnia daripada Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang benar.”
Surah Al Hasyr (59) : ayat 8

Satu perkara lagi yang sangat perlu kita ummat Muslimin berikan perhatian adalah jahiliyah moden, ya’ni gejala kejahilan dan fitnah yang datang dari sebahagian manusia mengaku Islam sendiri. Tidak dapat tidak, kita mesti menerima hakikat bahawa darsawarsa ini, para pelaku bid’ah, khurafat. tahyul, penangkap hantu, tok nujum, maksiyat, peletup bom, penipu, penghina syari’at, penyamun hatta pembunuh pun menjustifikasikan perilaku mereka sebagai “ajaran dan tuntutan Islam”. InsyaAllah, akan ada artikel lain yang membicarakan hal jahiliyah moden ini.

Selain itu, kepada rakan Muslimin yang hilang sabar sehingga mencerca agama dan sesembahan orang kafir, kalaupun sebagai tindak balas terhadap perbuatan mereka yang melampau batas, sesungguhnya perbuatan itu adalah salah dan melampau batasan syara’.  Dasar Islam yang pertama adalah Al Quran. Maka rujukan kepada kitab suci itu mendapati bahawa Al Quran tidak sesekali membenarkan mana-mana agama dicaci dan dihina. Kalamullah dengan jelas menyatakan :

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Surah Al An’aam (6) : ayat 108

Ayat ini diturunkan berdasarkan kisah (asbabun nuzul) berikut :

Ketika Abu Thalib menjelang ajal, orang-orang kafir Quraisy berkata : "Pergilah kamu kepada Abu Thalib, perintahkan kepadanya agar melarang Muhammad berda'wah! sebab kita merasa malu membunuh Muhammad setelah dia (Abu Thalib) meninggal. Saat itu, itu tokoh-tokoh kafir Quraisy yang terdiri dari Abu Sufyan, Abu Jahal, Nadhir bin Harits, Umayyah bin Khalaf, Ubayyin, 'Uqbah bin Abu Mu'ith, 'Amr bin Al-Ash, dan Aswad bin Bukhari mengutus seorang laki-laki yang bernama Muthalib untuk meminta izin kepada Abu Thalib, bahawa para pembesar Quraisy akan menghadap.

Muthalib berkata kepada Abu Thalib : Wahai Abu Thalib, para pembesar kaummu meminta izin untuk menghadap kepadamu. Abu Thalib mengizinkan mereka menghadap. Ketika mereka telah menghadap, langsung dia berkata :

"Wahai Abu Thalib, kamu adalah pembesar dan penghulu kami. Muhammad telah menyakitkan kami dan menghina sesembahan kami. Kami menghendaki kamu berkenan mengundang Muhammad untuk menasihati agar dia tidak mencaci-maki tuhan-tuhan kita dan mengajak kepada Tuhannya".

Kemudian Nabi dipanggil, dan beliau segera menghadap Abu Thalib. Abu Thalib berkata kepada Rasulullah : Wahai Muhammad, mereka-lah mengundangmu ke sini.

Nabi bertanya : Apa maksud kalian?

Abu Jahal menjawab : Kami mengajak dan menginginkan adanya perdamaian! kami menginginkan kamu meninggalkan caci-makian terhadap tuhan kami dan menghentikan ajakan untuk beribadah kepada Tuhanmu!.

Nabi bertanya : Bersediakah kamu untuk memenuhi permintaanku mengucapkan satu kalimat yang boleh menciptakan kedamaian di kalangan bangsa Arab dan orang-orang yang di sekitarnya, sekiranya aku mengabulkan permintaan itu?.

Abu Jahal berkata : Demi ayahmu, akan aku penuhi sepuluh kali lipat apa yang kamu pinta! Kalimat apakah itu?

Rasulullah Saw. bersabda : Bacalah 'Tiada Tuhan selain Allah'. Mendengar jawaban Nabi, mereka bertambah marah dan menolak dengan keras.

Abu Thalib berkata (menasihati) : Wahai anak saudaraku, ucapkanlah kalimat yang lain! sebab kaummu ini merasa tersentak hatinya mendengar kalimat itu.

Jawab Nabi : Wahai bapa saudaraku tercinta, Demi Allah, aku tidak akan mengucapkan kalimat selain 'Tiada Tuhan Selain Allah' sekalipun matahari diletakkan di tanganku. (Maqsudnya, Nabi tidak akan menghentikan da'wah Islam kepada masyarakat meskipun mereka menjanjikan ganjaran harta, wanita dan takhta yang hebat kepada Baginda).

Mendengarkan jawaban ini, mereka sangat marah. Abu Jahal berkata : Wahai Muhammad, kamu akan menghentikan diri dari menghina dan mencaci maki tuhan-tuhan kami atau kami mengadakan serangan balik dengan mencaci maki Tuhan sesembahanmu.

Maka Allah Swt. menurunkan ayat ke-108 surat Al-An'am, melarang Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman mencaci sesembahan kaum musyrikin, sekalipun cacian itu mengandung kemaslahatan, kerana hal itu menimbulkan kerosakan yang lebih besar berbanding kemaslahatan itu sendiri, yaitu balasan orang musyrikin keatas tuhan orang-orang Mukmin, padahal Allah Ta’ala adalah “Rabb, yang tiada ilah (yang berhak diibadahi) selain Dia”. Dan larangan itu menjadi dasar Islam selamanya.

Rujukan :
Imam Muhammad Ibnu Jarir Ath Thabari Rhm. Kitab Jami` ul Bayan `An Ta'wīl Al Qur'an (Tafsīr Ath Thabari), Jilid 11 halaman 483-484
Imam Ismail Bin Umar Ibnu Katsir Rhm. Kitab Tafsiirul Qur’an ul Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 3 halaman 272-273
Syeikh Ahmad Musthofa Al Maraghi Rhm. Kitab Tafsir Al Maraghi, Jilid 4, Juzuk 7, halaman 1959-1963
Imam Jalaluddin 'Abdur Rahman Bin Abi Bakr As Suyuthi Rhm. Kitab Lubaabun Nuqul Fi Asbaabun Nuzul, halaman 91

Seharusnya benar-benar diingat, keyaqinan bahawa Islam adalah benar bukanlah hujjah dan alasan untuk menghina agama lain. Islam tidak sesekali menggunakan cacian, maki hamun dan penghinaan sebagai medium untuk da’wah. Sebaliknya Al Quran menyeru agar da’wah dijalankan dengan tiga cara ya’ni : hikmah (kebijaksanaan), nasihat yang baik dan dialog yang lebih baik. Tiga kaedah ini dinyatakan dalam wahyu Allah Ta’ala, dan juga Allah Ta’ala memerintahkan supaya ummat Muslimin sabar menghadapi perangai gerombolan jahiliyah ini dan jangan sesekali berperilaku mengikut perangai mereka.

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”
“Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”
Surah An Nahl (16) : ayat 125, 126 dan 127

Perintah Al Quran supaya “dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik” membawa maqsud menuntut qaedah dialog, bahasa dan penyampaiannya dalam suasana yang baik. Justeru itu, hampir tidak ada ditemui catatan silam menunjukkan Nabi Saw. dan para Sahabatnya menghina agama lain. Apabila disebut lafaz yang baik, sudah tentu ia membawa maksud mengenai cara memberi nasihat dan lafaz yang digunakan. Apakah lafaz cacian, maki hamun dan kata-kata keji termasuk dalam ungkapan nasihat yang baik? Sudah tentu tidak sama sekali.

Akhirul kalaam, memang kita amat terasa hati dan benar-benar dihina dengan tindakan, perbuatan dan bahasa para kafirin jahiliyah ini. Namun mesti diingati, sebagai Mukmin, kita tertakluk kepada syari’at Islam dalam segala bentuk perbuatan dan perilaku. Maka janganlah sesekali terikut dengan tingkahlaku para kafirin jahiliyah ini. Sekiranya kita tidak bersabar dan hanya bertindak balas berlandaskan dasar hukum syari’at, maka tiadalah beza antara kita dengan mereka, malah perilaku sedemikian itulah yang sangat mereka harapkan pun. Adalah lebih baik sekali jangan dilayan perbuatan jahiliyah mereka ini, kerana Allah Swt. telah menyatakan :

“Hanya bagi Allah (hak mengabulkan doa) yang benar. Dan berhala-berhala yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memperkenankan sesuatu pun bagi mereka ………… dan doa (ibadat) orang kafir itu hanyalah sia-sia belaka.”
Surah Ar Ra'd (13) : ayat 14

Ayat ini membawa maqsud bahawa ibadat orang kafir terhadap berhala-berhala itu tidak memberi apa-apa makna melainkan kesesatan kerana ianya syirik dan dikatakan juga bahawa dengan doa itu ianya hanyalah boleh menyesatkan lagi bahkan mereka sekali-kali tidak akan mendapati jalan keluar. Dan telah berkata Abdullah Ibnu Abbas Rhu. : Bahawa suara-suara orang kafir itu terhijab daripada Allah dan Allah tidak (mahu) mendengar seruan (doa/ibadat) mereka.
Imam Muhammad Ibnu Ahmad Al Ansori Al Qurthubi Rhm. Kitab Al Jami’ Li Ahkam Al Qur'an (Tafsir Al Qurthubi), Juzuk 9 halaman 301

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: