Selasa, 25 Jun 2013

Beramal Tetapi Tidak Dapat Syurga.

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
“Dia-lah (Allah Swt.) yang mengutuskan Rasul-nya dengan Huda (petunjuk - Al Qur’an) dan Ad Diinul Haq (agama yang benar – Islam), agar dimenangkan-Nya dari semua agama (yang lain). Dan cukuplah Allah sebagai saksi.”
Surah Al Fath (48) : ayat 28
 
Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), dan setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.
 
Saya ada menerima soalan dari pedu_00@yahoo.com berkenaan – ada disebutkan dalam satu kuliyah bahawa walau pun rajin dan banyak buat amal tapi belum tentu dapat masuk syurga. Panjang kisah intro yang dinyatakan dengan soalannya pendek sahaja : betulkah ada hadis menyebut begitu, kalau ada apa huraian sebenarnya, ramai yang tertanya-tanya dan berasa gusar. Dek kerana panjangnya alkisah persoalan itu maka tidaklah saya tuliskan disini bagi menjimatkan ruang dan masa saya menulis.
 
Setelah membuat semakan, didapati memang ada hadis yang matannya secara harfiyah membawa maqsud sebegitu. Hadis tersebut :
 
سَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا فَإِنَّهُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا الْجَنَّةَ عَمَلُهُ قَالُوا وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ وَلاَ أَنَا إِلاَّ أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللهُ بِمَغْفِرَةٍ وَرَحْمَةٍ
Dari Abu Hurairah Rhu. bahawa dia mendengar Rasulullah Saw. telah bersabda :Tepatlah kalian, mendekatlah, dan bergembiralah, kerana sesungguhnya amal tidak akan memasukkan seseorang ke dalam syurga. (Lalu) para sahabat bertanya : Termasuk juga anda wahai Rasulullah? Baginda menjawab : Ya, termasuk juga saya, kecuali jika Allah menganugerahkan ampunan dan rahmat kepadaku.”
 
Takhrij Hadits : Hadis  ini sahih yang diriwayatkan dalam kitab berikut ini,
1.    Sahih al-Bukhari kitab ar-riqaq bab al-qashd wal-mudawamah ‘alal-’amal no. 6463, 6464, 6467.
2.    Sahih Muslim kitab shifat al-qiyamah wal-jannah wan-nar bab lan yadkhula ahadun al-jannah bi ‘amalihi no. 7289-7302.
3.    Sunan Ibn Majah kitab az-zuhd bab at-tawaqqi ‘alal-’amal no. 4201.
4.    Musnad Ahmad bab hadits Abu Hurairah no. 8233, 9830, 10011, 14944; babhadits ‘Aisyah no. 24985, 26386
 
Dalam riwayat imam Bukhari Rhm. no. 6463, tuntunan Nabi Saw. berkait hadits di atas ada enam hal, yaitu :
 
لَنْ يُنَجِّيَ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ قَالُوا وَلَا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَلَا أَنَا إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي اللَّهُ بِرَحْمَةٍ سَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَاغْدُوا وَرُوحُوا وَشَيْءٌ مِنْ الدُّلْجَةِ وَالْقَصْدَ الْقَصْدَ تَبْلُغُوا
“Amal tidak akan boleh menyelamatkan seseorang di antara kalian. Mereka bertanya : Tidak pula anda wahai Rasulullah Saw? Baginda menjawab : Ya, aku pun tidak, kecuali Allah menganugerahkan rahmat kepadaku. Tepatlah kalian, mendekatlah, beribadahlah di waktu pagi, petang, dan sedikit dari malam, beramallah yang pertengahan, yang pertengahan, kalian pasti akan sampai.”
 
Dalam riwayat imam Bukhari Rhm. yang satunya lagi, no. 6464, kalam Nabi Saw .di akhir pesannya menyatakan :
 
سَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَاعْلَمُوا أَنْ لَنْ يُدْخِلَ أَحَدَكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَأَنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
“Tepatlah kalian, mendekatlah, dan ketahuilah bahawasanya amal tidak akan memasukkan seseorang ke dalam syurga. Sesungguhnya amal yang paling dicintai Allah itu adalah yang paling sering diamalkan walaupun sedikit.”
 
Sementara itu, dalam riwayat imam Muslim Rhm. no. 7299, tidak hanya disebut tidak akan masuk syurga sahaja, melainkan ditegaskan juga tidak akan selamat dari neraka :
 
لاَ يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلاَ يُجِيرُهُ مِنَ النَّارِ وَلاَ أَنَا إِلاَّ بِرَحْمَةٍ مِنَ اللهِ
“Amal tidak akan memasukkan seseorang di antara kalian ke syurga dan tidak pula menyelamatkannya dari neraka. Demikian juga saya, kecuali dengan rahmat Allah Swt.”
 
Sememangnya jika kita perhati dan memahami hadis ini secara harfiyah/tekstual/mataniyah maka akan terpancullah persoalan ; benarkah masuk syurga itu bukan kerana amal? Jika demikian, kenapa disuruh beramal? Dan apa gunanya amalan kita? Malah telah lama wujud diskusi di kalangan para ulama berkait hadis di atas yang panjang lebar penghuraiannya. Malah ada yang bertanya dan mempersoalkan status hadis ini jika dilihat dari maqasid kalamullah seperti berikut :
 
“Masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu amalkan”.
Surah An Nahl (16) : ayat 32
 
“Dan diserukan kepada mereka : Itulah syurga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan (amalkan).”
Surah Al A’raaf (7) : ayat 43
 
“Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kamu, disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan.”
Surah Az Zukhruf (43) : ayat 72
 
Satu hal saja yang mesti diingati, semua ulama hadis menerima hadis ini sebagai sahih dan tidak ada yang menyatakan bahawa hadis di atas bertentangan dengan ayat-ayat tersebut. Semuanya menempuh methode jam’ (menyatukan, mengkompromikan) kerana memang hadis di atas jelas kesahihannya. Seboleh mungkin para ulama’ mencarikan komprominya dan memaknakannya dengan hasrat sebenar. Ini disebabkan tidak mungkin sama sekali Nabi Saw. menentang Al Qur`an. Dan itulah yang ditempuh oleh para ulama hadis sebagaimana akan dihuraikan berikut ini.
 
Penjelasannya : sebenarnya di dalam ayat-ayat lain Allah Swt. lewat kalamNya telah pun menjelaskan bahawa kelayakan memasuki syurga tidak hanya diperhitung dari amalan badaniyah semata-mata. Mari kita perhatikan ayat-ayat berikut :-
 
“Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti, benar-benar berada dalam syurga yang penuh keni’matan.“
Surah Al Infithaar (82) : ayat 13
 
”Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, bagi mereka syurga firdaus menjadi tempat tinggalnya.”
Surah Al Kahfi (18) : ayat 107
 
”Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh bagi mereka syurga penuh kenikmatan-kenikmatan."
Surah Luqman ( 31) : ayat 8
 
”Sesungguhnya orang orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.”
Surah Al Bayyinah (98) : ayat 7
 
 “….kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”
Surah Asy Syu’aara (26) : ayat 89
 
“Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”
Surah Al Kahfi (18) : ayat 110
 
Dari ayat-ayat di atas itu jelaslah bagi kita bahawa layaknya memasuki syurga bagi sesiapa pun setelah dia memenuhi kriteria : beriman kepada Allah, tidak mensekutukan Allah dengan sesuatu (syirik, murtad), berbakti, beramal soleh dan hati yang bersih (melakukan amal dengan penuh ikhlas). Lantaran itu, ternafilah pegangan dengan rajin atau banyaknya amalan sahaja, sudah cukup untuk menjadi landasan ketetapan kepada seseorang sebagai ahli syurga.
 
Menurut imam Ibnu Bathal Rhm. sebagaimana dinukil imam Ibnu Hajar Al Asqolany Rhm. dalam kitab Fath ul-Bari, menjelaskan bahawa syurga itu ada beberapa tingkatan. Ayat-ayat yang menjelaskan masuk syurga kerana amal itu, maksudnya adalah menempati tingkatan-tingkatannya itu. Sementara masuk syurga itu sendiri, ia mutlak hanya berdasarkan rahmat Allah Swt. Jadi, dengan rahmat Allah Swt. jualah, seseorang ditentukan masuk syurga dan tidaknya. Sesudah ada keputusan masuknya ke syurga, maka ketentuan masuk syurga tingkatan yang mananya itu ditentukan berdasarkan amal.
 
Selanjutnya, Ibn Bathal menjelaskan, boleh juga maqsud dari ayat-ayat dan hadis di atas adalah saling menguatkan. Artinya, masuk syurga itu pasti sekali tergantung sepenuhnya ke atas rahmat Allah Swt. juga amal-amal kita. Demikian juga, penentuan tingkatan yang mananya di dalam syurga itu tergantung rahmat Allah Swt. dan amal-amal kita.
 
Imam Al Karmani, imam Jamaluddin Ibnu Asy Syaikh, dan imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menjelaskan bahawa : huruf ‘ba’ pada ayat-ayat di atas bukan bermakna sebab (sababiyyah), melainkan bersamaan (ilshaq, mushahabah). Jadi, bukanlah berarti masuk syurga itu dengan sebab amal, melainkan masuk syurga itu bersamaan adanya amal, kerana sebab yang paling utamanya adalah rahmat Allah Swt. Ini berarti, boleh membantah pendapat puak Jabariyyah yang menyatakan bahawa masuk syurga itu sama sekali tidak ada kaitannya dengan amal, melainkan mutlak hanya rahmat Allah Swt sahaja. Juga membantah pendapat puak Qadariyyah yang menyatakan bahawa masuk syurga itu murni kerana amal saja, tidak ada kaitannya dengan rahmat Allah Swt. langsung.
 
Imam Ibn Hajar Rhm. seterusnya memberikan penjelasan yang sedikit berbeza. Amal seseorang walau bagaimanapun tidak mungkin menyebabkannya masuk syurga jika pada kenyataannya amal itu tidak diterima oleh Allah Swt. kalau pun dia melakukan dengan rajin dan banyak. Maka, persoalan amal itu diterima atau tidaknya, ini jelas hak Allah Swt. dan ini mutlak berdasarkan rahmat Allah Swt. (semua pendapat ulama’ di atas dikutip dari kitab Fath ul Bari, bab ar-riqaq bab al-qashd wal-mudawamah ‘alal ’amal).
 
Selain itu, jawaban yang cukup panjang juga ditemukan dalam salah satu risalah (tulisan ringkas) Syaikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah Rhm. yang diedit ulang oleh Syaikh Muhammad Rasyad Salim dalam kitab Jami’ur-Rasa`il, dalam risalah no. 9 berjudulrisalah fi dukhulil-jannah hal yadkhulu ahadun al-jannah bi amalihi am yanqudluhu qauluhu saw la yadkhulu ahadun al-jannah bi ‘amalihi; risalah tentang masuk syurga, apakah seseorang masuk syurga itu disebabkan amalnya, ataukah terbantahkan dengan sabda Nabi Saw. seseorang tidak masuk syurga dengan sebab amalnya.
 
Hal pertama yang ditekankan oleh Ibn Taimiyyah Rhm. adalah tidak mungkin hadis Nabi Saw. yang sahih bertentangan dengan Al Qur`an. Selanjutnya, Ibn Taimiyyah juga menyatakan, huruf ‘ba’ yang ada dalam hadits dan ayat di atas, kedua-duanya memang menyatakan sebab. Hanya tentunya, menurut beliau, ketika sesuatu dinyatakan sebagai sebab, bukan berarti bahwa sebab tersebut adalah satu-satunya sebab dengan meniadakan yang lainnya. Contoh sederhananya adalah air hujan yang dinyatakan sebagai sebab tumbuhnya tumbuh-tumbuhan di bumi (surah Al Baqarah [2] : ayat 164 dan surah Al A’raf [7] : ayat 57). Tentu yang dimaksud bukan hanya air hujan sahaja yang dapat menyebabkan tumbuh-tumbuhan itu tumbuh, melainkan juga ada sebab lainnya seperti angin, tanah, sinar matahari, yang kesemuanya itu sangat tergantung pada rahmat dan anugerah dari Allah Swt.
 
Hadis yang disampaikan Nabi Saw. di atas, mengajarkan kepada kita untuk tidak memahami hubungan amal dan syurga sebagai mu’awadlah; timbal balik, balas jasa, atau ganti rugi. Hal itu disebabkan pertama, Allah Swt. sama sekali tidak perlu terhadap amal kita, tidak seperti halnya seorang majikan yang perlu kepada para pekerjanya. Amal manusia adalah untuk memenuhi tanggungjawab manusia sendiri, kerana kalau pun semua manusia tidak beramal Allah Swt. tidak ‘peduli’, Dia akan tetap jua sebagai Yang Mahakuasa dan Mahaperkasa (Lihat surah Al Baqarah [2] : ayat 286, surah Al Fussilat [41] : ayat 46 dan An Naml [27] : ayat 40).
 
Kedua, amal seorang manusia tidak diwujudkan oleh dirinya sendiri, melainkan berkat anugerah dan rahmat Allah Swt. juga, mulai dari menghidupkannya, memberi rizqi, memberi tenaga, kesihatan, mengutus rasul-rasul, menurunkan kitab-kitab, menjadikannya cinta kepada keimanan dan menjadikannya benci terhadap kekufuran. Semua itu adalah berkat rahmat Allah Swt.
 
Ketiga, amal seorang manusia setinggi-tingginya tidak akan senilai atau sebanding sama sekali dengan pahala yang dianugerahkan oleh Allah Swt. kepadanya, kerana dalam pahala itu Allah Swt. sudah melipatgandakannya dari mulai 10 kali lipat, 700 kali lipat, bahkan sampai kelipatan yang tidak dapat terhitung nilainya.
 
Keempat, nikmat dan kesenangan yang telah diberikan Allah Swt. kepada manusia selama di dunia, sama sekali tidak akan mampu dibayar balik oleh manusia. Seandainya manusia diharuskan membayarnya dengan amal, pasti mereka tidak akan mampu beramal untuk membayarnya. Manakan tidak, bolehnya manusia melakukan amal itu sendiri, ia berkat nikmat-nikmat yang diberikan Allah Swt. tersebut.
 
Kelima, manusia selalu diliputi oleh dosa dan kesalahan. Seandainya tidak ada ampunan Allah Swt. dan kebijaksanaan-Nya untuk hanya mempertimbangkan amal-amal yang baik sahaja, dengan mengenyampingkan amal jeleknya, tentu manusia tidak akan mungkin masuk ke dalam syurga (surah Az Zumar [39] : ayat 33-35 dan surah Al Ahqaf [46] : ayat 16). Inilah di antara maksud sabda Nabi Saw. : Ya, termasuk juga saya, kecuali jika Allah menganugerahkan ampunan dan rahmat kepadaku.
 
Sebenarnya bila dalil-dalil Al Qur’an dan hadis Nabi Saw. tersebut dianalisis agak mendalam, jelas sekali tidaklah terdapat pertentangan (ta’arudh) diantara keduanya. Untuk lebih jelasnya perhatikan komentar dua tokoh ulama. Yang satu terkenal sebagai pakar dalam bidang tafsir, sedangkan yang kedua terkenal pakar dalam bidang Fiqh dan Hadis, yaitu begini :
 
Imam Ahmad Ash-Shawi Al-Maliki Rhm., dalam kitab tafsirnya Ash-Shawi; ketika mengkompromikan kedua dalil tersebut, beliau berkata : Jika engkau berkata, telah terdapat keterangan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda: “Seseorang sekali-kali tidak masuk syurga dengan sebab amalnya.” Rasulullah ditanya, “Dan tidak pula engkau, hai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Dan aku pun tidak, kecuali Allah melimpahkan rahmat-Nya.”

Lalu Imam Ash-Shawi menjawab : “Bahawasanya amal yang tersebut dalam ayat Al-Qur’an itu ialah amal yang disertai dengan fadhal (karunia Allah), sedangkan amal yang dimaksud dalam hadis Nabi itu ialah amal yang tidak disertai karunia Allah.” (Tafsir Ash Shawi, Jilid 2, halaman 75)
 
Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi Rhm. dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim ; ketika menghuraikan kedua dalil tersebut diatas, beliau menjelaskan :
 
Dan dalam kenyataan hadis-hadis ini ada petunjuk bagi ahli haq, bahawasanya seseorang tidak berhak mendapat pahala dan syurga kerana amal ibadahnya. Adapun firman Allah Ta’ala : “Masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan,” dan “Itulah syurga yang diwariskan kepadamu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan,” dan seumpama keduanya dari beberapa ayat Al Qur’an yang menunjukkan bahawasanya amal ibadah itu dapat memasukkan ke dalam syurga, maka firman Allah Ta’ala itu tidak bertentangan dengan beberapa hadis ini.

Akan tetapi, ayat-ayat itu berarti bahawasanya masuknya seseorang ke dalam syurga kerana amal ibadahnya, kemudian mendapat taufik untuk melakukan amal ibadah itu dan mendapat hidayah untuk ikhlas dalam ibadah sehingga diterima di sisi Allah Ta’ala, semua itu adalah berkat rahmat Allah Ta’ala dan kurnia-Nya.
Kitab Syarah Sahih Muslim, jilid 16, halaman 160-161
 
Di dalam kitab Syarah Matan Arba’in An Nawawi (hadis no. 1, halaman 55–70), dalam membicarakan bentuk amal yang diterima Allah Ta’ala, beliau Rhm. memetik kalamullah dan menjelaskan :
 
“Dan tidak diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan (amalan) agama kerana-Nya, dengan menjauhi kesesatan, dan supaya mereka (mendirikan) solat dan (mengeluarkan) zakat, kerana yang demikian itulah agama yang lurus.”
Surah Al Bayyinah (98) : ayat 5
 
Syarat diterima amal dan membawa ke syurga adalah ikhlas ya’ni melakukan amal semata-mata kepada Allah Ta’ala dan tidak kerana selainnya walau sedikit pun, juga diikuti pra-syaratnya yang mengabsahkan keikhlasan itu, yaitu :
 
1.            Dimulakan dengan niyat yang benar, ganjaran diberikan Allah Ta’ala berdasarkan niyat. Buruk hasratnya, maka buruklah ganjarannya dan begitulah sebaliknya.
2.            Dilakukan amal itu tanpa ada rasa riya’ sedikit pun (ingin menunjuk-nunjuk dan berbangga diri dengannya)
3.            Dilakukan amal itu dengan sebenar-benar sedar tanggungjawab, menyempurnakan hak dan kewajiban seorang makhluk kepada Khaliknya, bukan kerana dipaksa atau segan atau takut hukuman dan selainnya
4.            Dilakukan amal itu dengan ilmu pengetahuan bukan ikutan membuta tuli   
5.            Bentuk amal perbuatan itu mesti selaras dengan perintah dan dicontohkan oleh Allah dan rasulNya bukannya amalan berupa bid’ah, khurafat, tahayul atau bercampur baur dengan amalan rekaan manusia atau adat budaya
 
Inilah tuntunan dan tuntutan Rukun Islam yang 5, yang dengannya menjadikan seseorang manusia itu sah beragama Islam. Yang apabila ditunaikan satu demi satu rukun itu dengan cara yang sebaik-baiknya, dilakukan dengan penuh taat tanpa ada sedikit pun keraguan padanya, dan dilaksanakan pula segala hukum yang bertalian dengan syari’atnya, maka terpeliharalah seseorang itu dari kemurkaan dan siksaan Allah Ta’ala, malah akan diganjari syurga Firdaus yang mulia.
 
Saya tertarik untuk membentangkan secara ringkas satu bab : Ana Muslim Fil ‘Ibadah (Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadah), yang dijelaskan oleh Syeikh Dr. Fathi YakanRhm. (1933–2009) dalam kitabnya Maaza Ya’ni Intimaail Islam (halaman 32-51).
 
Ibadah dalam Islam merupakan kemuncak dari perasaan tunduk dan patuh kepada Allah dan klimaks dari perasaan yang merasakan kebesaran Allah sebagai tempat pengabdian diri. Ibadah juga merupakan tangga penyambung antara makhluk dengan Penciptanya. Untuk menjadikan saya seorang Muslim dalam seluruh peng’ibadatan saya, saya mestilah melakukan perkara-perkara berikut :
 
1.            Menjadikan seluruh ibadat saya hidup dan berhubung terus dengan Allah sebagai tempat saya mengabdikan diri. Inilah yang dikatakan martabat ihsan dalam ibadah.
2.            Ibadah yang saya lakukan mestilah merupakan ibadah yang khusyu’. Dalam ibadah saya itu, saya mestilah merasa-rasakan kehangatan perhubungan saya dengan Allah dan merasa-rasakan kelazatan dari ibadah yang khusyu’ itu.
3.            Sewaqtu melakukan ibadah, saya mestilah menghadirkan diri dan hati di hadapan Allah, membebaskan diri dari segala urusan dan kepentingan dunia.
4.            Dalam melakukan ibadah, saya mestilah merasa tamak yang tidak berkecukupan dan rakus yang tidak merasa kenyang. Saya menghampirkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadah semata-mata menyahut seruan Allah.
5.            Saya mestilah mengambil berat melakukan qiyamul-lail (solat malam) dan mengasuh diri untuk melakukannya sehingga ia menjadi kebiasaan saya, kerana qiyamul-lail merupakan perkara yang paling kuat dapat memelihara iman.
6.            Saya mestilah menentukan masa-masa tertentu untuk membaca dan mengamat-amati Al Qur’an  terutama di waqtu fajar. Saya mestilah membaca Al Qur’an dengan penuh tadabbur (perhatian), berfikir, dukacita dan takutkan Allah.
7.            Saya mestilah menjadikan doa sebagai mi’raj kepada Allah dalam semua urusan, kerana doa adalah otak kepada semua ibadah. Dalam melakukan doa, saya mestilah memilih doa-doa yang ma’thur (yang diterima dan dicontohkan oleh Nabi Saw.)
 
Sebagai kesimpulan, sesungguhnya hadis ini tidak pernah bertentangan dengan Al Qur’an melainkan ia memperjelaskan lagi bahawa ; melakukan amalan ibadah di dalam Islam mestilah dilakukan dengan cara yang benar seperti yang telah dinyatakan. Hanya amalan ibadah yang benar itu sahaja diterima oleh Allah, Dan amalan yang benar sebeginilah yang dijanjikan syurga.  Satu hal paling asas yang mesti diyaqini adalah, boleh masuk atau tidak seseorang ke syurga itu adalah Hak Prerogatif Allah Swt. dan ia bukanlah keputusan yang boleh dibuat oleh sesiapa pun selain-Nya. Tugas kita sebagai makhluk adalah terus melakukan pengibadatan kepada-Nya dengan sebaik-baiknya.
 
Boleh saja sesiapa beramal kebajikan puluhan tahun bahkan ratusan tahun, namun disebabkan riya’, rosaklah seluruh amalannya tersebut. Sungguh amat dilarang melakukan suatu amalan yang kemudian ujub, sombong dan takabbur dengannya, yang melambangkan sifat tidak ikhlas terhadap Allah Swt. Semua yang ada di alam semesta ini hanyalah kerana rahmat Allah Swt., tidak ada suatu yang kebetulan di alam semesta ini melainkan semuanya atas Kehendak-Nya, Segala Puji Bagi Allah, Pencipta Semesta Alam.
 
Amal ibadah tetap sebagai penyebab adanya balasan syurga. Hadis ini menerangkan bahawa seseorang tidak boleh ta’ajjub (berbangga diri) dengan amalnya sendiri, kerana upayanya dia melakukan amal itu sendiri bermula dari rahmat Allah Swt. jua. Dengan hadis ini juga seseorang tidak perlu takalluf (mempersulit diri) dengan amal-amal yang dikerjakannya. Hendaklah dia tetap optimis dengan amal-amal yang sudah, sedang dan harus dikerjakan, sebagaimana tuntunan Nabi Saw. : saddidu, wa qaribu, wa absyiru, wa-ghdu, wa ruhu, wa syai`un minad-duljah, wal-qashda wal-qashda, semuanya itu pasti akan menyebabkan kita tablughu; sehingga sampai kepada cita-cita yang diidamkan ya’ni syurga Firdausi, insyaAllah.
 
والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان , والسلام
 
eddzahir@38
Tanah LiatBukit Mertajam

0 ulasan: