Selasa, 25 Jun 2013

Soal Jawab: Ibadah Korban. (Siri 6)

0 ulasan

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Moga Ustaz dalam suasana baik dan dirahmati Allah sentiasa
Saya nak bertanya sedikit tentang hukum-hakam ibadah qurban. Sekarang telah ada satu hukum baharu, yang disebut oleh seorang pejuang politik, begini :
“Jika tidak mahu berkorban untuk memperjuangkan agama (Islam) tapi melakukan korban untuk lembu dan sebagainya, itu tidak dikira korban, itu dikira (sebagai) membunuh binatang”
Beliau mendakwa bahawa hukum ini berdasarkan terjemahan dari ayat-ayat dalam Surah Al Maidah.
Apa yang saya serba dhaif ini faham dari kenyataan ini, ia telah mengharamkan binatang yang disembelih secara halal.
Maka saya nak bertanya :
1. Ayat manakah dalam Surah Al Maidah yang memberikan hukum sebegitu
2. Sahkah sembelihan qurban ummat Islam selama ini yang tidak satu aliran dan satu pertubuhan dengan dia
3. Adakah sembelihan yang dibuat mengikut cara syara' pun dikira membunuh binatang.
Diharapkan Ustaz dapat memberikan maklumbalas dengan kadar segera. Urgent nih.
سكيان , والسلام
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Terima kasih kerana mengajukan pertanyaan ini. Sebagaimana Puan berasa pelik dengannya, maka demikianlah juga saya. Saya benar-benar akui, tidak tahu akan adanya hukum sebegini, tidak pernah dengar, tidak pernah belajar dan tidak pernah diajar pun, malah dalam seluruh pengajian pun tidak jua pernah ditemui tercatat dalam kitab mana pun hukum sebegini.
Saya tidak tahu mana hujung pangkal Puan memperolehi hukum ini dan tidak dinyatakan pula mana sumbernya untuk sama dirujuki. Maka jawaban saya ini benar bersifat literasi/harfiyah/mataniyah sahaja ke atas apa yang Puan kemukakan. Paling baik sebenarnya jika Puan dapatkan dengan sejelas-jelasnya dasar-dasar kepada pengistinbatan (penetapan) hukum ini supaya perbicaraan tidak melalut ke luar konteks.   
Justeru itu, apa yang bakal saya bicarakan nanti hanyalah sekadar pandangan untuk panduan/pedoman sahaja disebabkan kedhaifan diri saya sehingga tidak menemui asal muasal kepada hukum ini. Baik sekali selepas ini Puan merujuk kepada alim ulama’ dan ilmuwan lain yang lebih faqih dan hebat dari saya, supaya dapat dinyatakan dalil dan nas sahihah dalam hal hukum ini. Dan setelah diperolehi nanti, bolehlah dikongsikan pula dengan saya juga, sementelahan saya tetap jua penuntut ilmu, sampai wafat.
Ada prinsip asas yang mesti difahami dalam menangani perkara ini. Perintah melaksanakan amalan ibadah/syari’ah Islam terkandung di dalam Al Qur’an dan ditunjuki oleh As Sunnah rasulNya. Setiap satunya mempunyai dalil dan nas suruhan tersendiri dan ia berdiri sendiri tanpa bergantung kepada ibadah selainnya kecuali satu, yaitu mesti Islam dan hayat. Membawa arti, bahawa orang kafir dan orang mati tak terlibat dengan titah perintah itu.
Sebagai contoh : tidak boleh sama sekali diputuskan bahawa tidak perlu (hilang kewajiban) membayar zakat (harta dan fitrah) kerana solat dan puasa belum dibuat. Memang berdosa besar kerana senghaja tidak solat dan puasa, akan tetapi tidak berbuat solat dan puasa itu kalau pun dengan senghaja, tidak sama sekali membatalkan perintah wajibnya membayar zakat ke atas setiap ummat Muslimin.
Ibadah qurban adalah salah satu ibadah sunnat mu’aqadah (mustahab) hukumnya. Perintah melakukan ibadah/syariah sama ada wajib (fardhu) atau sunnat (mandhub) ini terjatuh kepada setiap individu ummat Muslimin selagi mana seseorang itu masih mukallaf (baligh, sihat tubuh badan, waras akal fikiran, beriman dan tidak terkeluar dari Islam). Tambahan syarat dalam kes ibadah qurban – upaya untuk mengeluarkan binatang qurban itu.
Justeru itu fahamilah benar-benar, persoalan sah atau tidak sah, jadi qurban atau jadi sembelihan biasa atau hanya jadi pembunuhan binatang, sembelihan cara betul atau hanya pembunuhan lembu, semuanya telah dinyatakan dengan jelas, muktamad dan sahih oleh syara’ (Allah dan Rasul) dan telah dihuraikan dengan selengkapnya oleh para fuqaha’ dan ulama’ (salaf dan khalaf) sejak lebih seribu tahun dahulu lagi. Secara hukumnya ia tidak tersangkut paut dengan amal ibadah atau wadah perjuangan yang lain yang menjadi sebagai pra-syarat keabsahannya pula, melainkan tertakluklah ia di dalam syarat-syarat ia sendiri.
Semua hukum ini sudah termaktub, tersurat dan tersedia dalam berbagai wadah untuk dirujuki, dipelajari dan diikuti oleh seluruh ummat Muslimin, sehinggakan tidak perlu adanya “hukum baharu’ sepertimana yang Puan nyatakan itu. Maka itu, ibadah qurban sah selagi mana :
A.   Mengikut semua syarat ibadah qurban yang ditetapkan syara’
B.   Mengikut semua syarat sembelihan binatang yang ditetapkan syara’
Nota : Asas hukum qurban dan sembelihan telah saya nyatakan dalam kuliyah mingguan dan kurang lebih catatannya telah dipostkan ke weblog : www.salnboru.blogspot.com
Saya bersetuju dengan Puan bahawa hukum ini telah mengharamkan binatang yang disembelih secara halal malah, menjadikannya pula setaraf bangkai seumpama sembelihan orang kafir. Lantaran itu, kalau pun ia hanya hukum yang terpencil yang entah datangnya dari mana dan dari siapa, akan tetapi kesan darinya amat besar dan signifikan di dalam Islam. Jelasnya, perkara hukum melibatkan perkara sah sembelihan atau hanya membunuh binatang ini bukanlah hal remeh, lantaran ia melibatkan hal dosa vs pahala dan dihujungnya melibatkan syurga vs neraka.
1.    Ayat manakah dalam Surah Al Maidah yang memberikan hukum sebegitu
Saya mohon maaf kerana tiada menemi suatu ayat pun didalam surah Al Maidah (5-120 ayat) yang memberi makna sebegitu. Setelah menelaah dan merujuki 5 kitab tafsir pun tiada mufassirin yang menyebut hukum sebegitu. Maka itu, baik sekali malah wajib hukumnya ke atas pihak yang mendakwa itu memberikan butirannya. Paling hampir pun adalah ayat 1-5 yang ada membicarakan hal binatang ternak, binatang buruan dan binatang qurban semasa mengerjakan haji. Malah ditemui pula ayat yang terbalik sekali dengan hukum itu :
Ayat 4 – “…..dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu, ….”
Ayat 5 – Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik, makan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, …..”
Justeru tu, saya mahu menyampaikan Kalamullah :
"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara
dusta "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah
beruntung. (Itu adalah) kesenangan yang sedikit, dan bagi mereka azab yang pedih.”
Surah An Nahl (16) : ayat 116 – 117
Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya untuk menempuh jalan orang musyrik dalam menghalalkan dan dalam mengharamkan  sebutan-sebutan yang mereka istilahkan hanya berdasarkan pendapat mereka sendiri. Yang termasuk di dalam hal ini “mengada-adakan kebohongan terhadap Allah” adalah orang yang melakukan suatu bid’ah yang tidak didasarkan kepda sandaran syari’at, atau orang yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah Ta’ala atau pun sebaliknya,,hanya berdasarkan kepada pendapat dan hawa nafsu sahaja.
Tafsiir ul Qur’an ul Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 5 halaman 200
Kepada semua pelaku pendustaan ini, Allah Swt. telah menyatakan ancamanNya :
“Maka jika mereka mendustakan kamu, katakanlah (wahai Muhammad) : Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas, dan siksanya tidak dapat ditolak oleh kaum yang berdosa.”
Surah Al An'aam (6) : ayat 147
2.    Sahkah sembelihan qurban ummat Islam selama ini yang tidak satu aliran dan satu pertubuhan dengan dia
Adalah sah semua ibadah qurban dan sembelihan yang dilakukan setelah mematuhi lunas syara’. Telah ada berbilion ummat Muslimin merangkumi yang masih hidup dan telah mati, yang telah membuat ibadah qurban. Pasti sekali amat besar jumlah yang bukan satu aliran dan satu pertubuhan dengan dia. Hukum ini menjadikan mereka semua ini sebagai pembunuh binatang dan pemakan bangkai. Malah patut ditanya juga, adakah dia sendiri merupakan pembunuh binatang (sekiranya ada menyembelih) dan pemakan bangkai sebelum dia memasuki aliran dan pertubuhannya sekarang. Begitu juga patut ditanya, apa hukumnya ke atas qaum kerabat dia sendiri sebelum adanya aliran dan pertubuhan dia sekarang (melainkan dia muallaf).  
3. Adakah sembelihan yang dibuat mengikut cara syara' pun dikira membunuh binatang.
Adalah sah semua ibadah qurban dan sembelihan yang dilakukan setelah mematuhi lunas syara’. Sekiranya sembelihan yang dibuat mengikut cara syara' pun dikira membunuh binatang, maka syara’ itu sendiri sudah tidak berguna satu apa pun lagi, tidak perlu ia ada pun di dunia ini dan tidak selayaknya dianuti lagi. Seterusnya bolehlah memilih millah yang lain.
Akhirul kalam : hukum ini salah dan tidak sepatutnya dikeluarkan, ia bersangatan umum dan serampangan tanpa dinyatakan sama sekali asas-asas syara’ terhadap pengistinbatannya. Nadanya lebih kepada mempertikaikan dan mempersoalkan hal kejujuran dan keikhlasan Muslimin lain dalam melakukan ibadah kepada Allah Swt. bersalut rasa ta’ajub ke atas diri sendiri dengan fahaman bahawa aliran dia sahaja yang betul, segala yang lain hanya salah dan jahil belaka.. Seruan saya, berhati-hatilah dengan niyat dan qasad sebegini lantaran Rasulullah Saw. sendiri telah menyebutkan dengan sejelas-jelasnya perkara yang terletak di dalam hati sanubari ini :
“Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata : Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah (sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi), Baginda menjawab : Bukankah aku sepatutnya (sebagai Rasulullah) orang yang paling takut kepada Allah?. Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibnu Walid berkata : Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :
Baginda menjawab : Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat. Khalid berkata : Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata sesuatu yang tidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq). Baginda membalas : Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niyat manusia lain) dan mengorek perut mereka”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. dan  imam Muslim Rhm.
Yang membawa erti : Junjungan mulia Nabi Saw. sendiri pun hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran (yang tampak) dalam urusan mereka sahaja, manakala hal niyat dan apa yang terselindung di dalam hati adalah urusannya dengan Allah Swt.
Dan Allah Swt. telah berpesan lewat kalamNya :
“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukminin dan mukminat tanpa ada kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
Surah Al Ahzab (33) : ayat 58
Apa pun, Puan boleh merujuk kepada pihak-pihak lain yang lebih faqih bagi mendapatkan jawaban dan ta’liq yang lebih baik berbanding saya. Moga Allah Swt. Yang Ma’bud dan Maha Dermawan memberikan keampunan ke atas sesiapa jua yang terkhilaf.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: