Jumaat, 3 April 2015

Bernikahlah Dengan Keredhoan Ibubapa

0 ulasan
From : Ummul ASY-SYIFA', December 18, 2014

Assalamualaikum...

Ustaz yang dihormati,

Saya dan tunang lelaki saya berkenalan atas dasar memang ingin berkahwin.. saya seorang mahasiswi yang masih menuntut manakala tunang saya masih berusaha memperbaiki taraf hidupnya. hanya ibu saya yang mengetahui hubungan pertunangan kami memandangkan kami bertunang sekadar cukup syarat tunang oleh sebab kedua dua kami datang dari keluarga yang bermasalah.

Saya merupakan individu yang seolah-olah telah tercicir dari keluarga, segala tanggungan hidup saya, saya tanggung sendiri dan saya tidak lagi tinggal bersama keluarga. Manakala tunang saya, ibu bapanya telah bercerai beberapa tahun yang lalu dan hubungan antara ahli keluarganya tidak begitu baik. Dan tunang saya seolah olah terbuang dari keluarganya.

Perkenalan kami singkat, dan kami tidak ingin bertunang lama memandangkan masing- masing kami ingin membaiki hidup, menjadi lebih matang dan bertanggungjawab, dan melalui perkahwinan kami boleh menyokong dan menjaga sesama sendiri demi meraih redha Allah.

Disebabkan konflik keluarga tunang saya, tunang saya terpaksa membatalkan hasratnya untuk memaklumkan kepada keluarganya mengenai hubungan kami dan hasrat kami untuk berkahwin. Dan pihak sebelah saya, memang sudah lama memberi saya lampu hijau untuk berkahwin kerana, orang tua saya memang tidak terlalu kisah mengenai hidup saya.. Dan hanya ibu saya yang masih menghubungi saya.

Oleh sebab itu, saya dan tunang saya ingin berkahwin tanpa pengetahuan keluarga sebelah pihak lelaki, dan hanya sampai kepada pengetahuan sebelah pihak keluarga saya dan rakan-rakan kami yang lain. Kami bercadang untuk memaklumkan keluarga sebelah pihak lelaki setelah tempoh kami berkahwin cukup 6 bulan. Bukan niat kami membelakangkan orang tua, tetapi kami tersepit dalam situasi yang kami tidak sangka- sangka.

Justeru, saya mohon pendapat dan nasihat, apakah langkah yang ingin kami ambil itu adalah wajar, demi kebaikan kami dan masa depan kami.

tunang dan tunangan yang ingin berkahwin.

wassalam

To : Ummul ASY-SYIFA', December 20, 2014

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Pernah suatu ketika tiga orang sahabat datang bertanya kepada isteri-isteri Nabi Saw. tentang peribadatan Baginda, kemudian setelah diterangkan, masing-masing ingin meningkatkan peribadatan mereka. Salah seorang berkata : Ada pun saya, akan puasa sepanjang masa tanpa putus. Saorang lagi berkata :Saya  akan solat siang dan malam tanpa henti. Dan yang lain berkata : Ada pun saya akan menjauhi wanita, saya tidak akan kahwin selamanya. Ketika hal itu di dengar oleh Nabi Saw., Baginda keluar seraya bersabda :

Benarkah kalian telah berkata begini dan begitu, demi Allah, sesungguhnya akulah yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku juga tidur dan aku juga mengahwini perempuan. Maka barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku, maka dia tidak termasuk golongannku”
Hadits riwayat imam Bukhari Rhm. no. 4776 dan imam Muslim Rhm.

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di Neraka. Amma ba’du.

Moga ukhti dalam rahmah dan penjagaan Allah Swt senantiasa. Syukron kerana sudi bertanya kepada saya berkenaan hal disebutkan. Insya'Allah saya akan membantu seqadar yang boleh.

Maklumbalas saya berdasarkan kes yang disebutkan, maka itu diharapkan segala ungkapan ukhti ini benar belaka. Maklumbalas tertakluk kepada kes ini sahaja dan keadaan sebegini sahaja, tiada kena mengena dengan kes-kes yang lain.

Pertamanya, tahniah saya ucapkan atas kesedaran dan bulat tekad ukhti dan tunang untuk melangsungkan nikah dalam tempoh terdekat, kalau pun dalam serba kekurangan. Itu adalah langkah paling baik bagi mengelakkan banyak hal buruk dan luar jangka, berbanding anda berdua sentiasa bersama tanpa ikatan nikah.

Islam adalah agama fithrah, dan manusia diciptakan Allah Ta’ala secocok dengan fithrah ini, kerana itu Allah Ta’ala menyuruh manusia menghadapkan diri ke agama fithrah ini  agar tidak terjadi penyelewengan dan penyimpangan. Sehingga manusia berjalan di atas fithrah kebenarannya.

Perkahwinan adalah fithrah kemanusiaan, maka dari itu Islam menganjurkan untuk nikah, kerana nikah merupakan gharizah insaniyah (naluri kemanusiaan). Bila gharizah ini tidak dipenuhi dengan jalan yang sah yaitu perkahwinan mengikut syara’, maka manusia akan mencari jalan-jalan petunjuk syaithan yang banyak menjerumuskan manusia ke lembah hitam. Pesanan Allah Ta’ala :

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah) ; (tetaplah atas) fithrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fithrah itu. Tidak ada perubahan pada fithrah Allah. (Itulah) agama yang lurus ; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Surah Ar-Ruum (30) : ayat 30

Secara syara’, nikah ialah suatu proses berlakunya ijab dan qabul (‘aqad) yang dengannya menghalalkan persetubuhan antara saorang lelaki dengan saorang perempuan, yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh oleh syari’at Islam. Perkataan zawaj/zauja digunakan di dalam Al Qur’an membawa maqsud pasangan, dalam penggunaannya perkataan ini juga bermaqsud perkahwinan. Sesungguhnya Allat Ta’ala menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.

Demikianlah muqaddimahnya. Seterusnya merujuk kepada persoalan ukhti.

Teruskanlah hasrat bernikah, namun harus diingat beberapa perkara :

1.            Pernikahan adalah menghalalkan hubungan seorang lelaki dengan wanita yang sebelumnya haram.

2.            Pernikahan mencantumkan dua jiwa ke dalam satu ikatan suci bernama rumahtangga. Mesti ada rasa tolak ansur, saling memahami, saling menerima kelebihan mahu pun kekurangan, sentiasa bersedia untuk menempuh segala macam onak dan duri dengan penuh sabar dan memahami.

3.            Pernikahan membawa dimensi baharu kepada setiap individu pasangan. Kena sedia berkompromi dalam banyak hal, kena sedia mengalah sesekali, perlahan-lahan membuang perasaan sendiri dan rasa hak individu kepada suatu perkongsian bersama. Banyak hal individu yang saling perlu dikorbankan dan dikesampingkan, supaya kebahagiaan bersama diperolehi.

4. Amal ibadah seorang yang telah bernikah berlipat ganda kebaikkannya berbanding seorang bujang.

Kena bersedia dengan keadaan ini. Ini semua secara individu. Selain itu pernikahan turut melibatkan :

5. Percantuman dan mengembangkan silaturrahim dan ukhuwwah dalam dua keluarga.

6. Menambahkan jumlah ummat Muslimin.

7. Syi'ar dan kebesaran Agama Allah Ta'ala diangkat apabila ummat-Nya menjalankan syari'at (kes ini nikah).

Kesemua ini dijalankan bermula dengan satu adzam / niyat yang jelas nyata : kerana dan untuk Allah Ta'ala semata-mata, tidak sekali-kali untuk selainnya. Hal ini ukhti dan tunang mesti jelas dan tegas.

Kepada kondisi ukhti : Bersabarlah atas segala kesulitan dan kekurangan. Suratan dan taqdir hidup manusia si alam fana ini sememangnya tidak sama. Semua itu adalah ujian dan cabaran, supaya ukhti bertambah iman dan taqwa. Dan yaqinlah, bahawa suatu ketika nanti, kejayaan dan kebahagiaan pasti milik ukhti. Percayalah janji Allah Ta’ala kepada hamba-hambaNya yang diuji.

1. Boleh teruskan pernikahan, memandangkan dalam suasana sekarang, itu keputusan terbaik untuk antum berdua.

2. Uruskanlah sendiri pernikahan itu dengan Pejabat Agama, tanpa bebankan keluarga yang sedia ada dengan masalah dan serba kesulitan.

3. Tetapkan tarikh, aturcara dan serba sedikit persiapan yang selayaknya dan semampu disediakan.

4. Adakan sedikit majlis walimah walau pun kecil, kumpulkan keluarga terhampir 2 pihak dan rakan terdekat.

5.            Setelah semua tersedia, maklumkan kepada keluarga untuk pengetahuan mereka. Ia seqadar makluman, bukannya memohon persetujuan, meminta apa-apa bantuan atau campurtangan, supaya tiada yang terkejut, berkecil hati juga mengelakkan salah sangka, seterusnya boleh mengeruhkan lagi hubungan yang sedia kurang mesra. Ingatlah, haqiqatnya kita tidak boleh lari dari qaum keluarga juga suatu ketika nanti, terutama ibu-bapa dan adik beradik. Penerimaan dan redha mereka amat perlu kepada kita selaku anak-anak.

Dengan merujuk kepada perkara 5, harapnya ukhti dan tunang telah faham dengan jelas, jangan kesampingkan ibu bapa dan adik beradik. Jadikanlah segala kesulitan dan kekurangan sebagai asbab untuk tidak menambahkan beban, bukan asbab untuk mengkesampingkan.

Semoga saya telah membantu.

Semoga solawat dan salaam senantiasa dilimpah-kan kepada Rasulullah Saw., keluarga dan para Sahabat Baginda, para Salafus Solih, para syuhada’ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan hingga hari qiyamat.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.


سكيان , والسلام

0 ulasan: