Khamis, 21 Mei 2015

Sifat Amalan Tahiyat Nabi S.A.W (siri 1)

0 ulasan
On Friday, August 30, 2013 6:32 PM, Abdul Razzaq Muhammad wrote :

Assalaam. sheikh.

Ada seorang kawan tanya sama ana soalan ni. Dia kata, dia ada menyaksi satu kes kat surau tempat dia tinggal. Dia mahukan kepastian dan pemahaman.

Ada beberapa jamaah mengerakkan lama-lama jari telunjuk semasa tahiyat, dan dihukum orang sebagai batal solatnya kerana bergerak lebih dari 3 kali. Ada ustaz datang bagi kuliah, seorang kata salah perbuatan itu dan seorang lagi kata tiada masalah dengannya dan dikatakan ada dalil pulak. Dah ramai yang pening apa sebenarnya hukum ini.

Nak pohon apa pandangan dan panduan dari tuan sheikh?

Wassalam

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Syukron syeh kerana bertanya. Saya memohon maaf kerana lambat memberi maklum balas kerana ada urusan yang perlu didahulukan. Persoalan ini pernah diajukan dan telah diberikan jawapanya, namun begitu inilah kali pertama ia ditulis dan disiarkan kepada umum. Pernah jua ada gegak gempita seketika seantero Malaya disebabkan hal sifat tahiyat dengan mengerakkan jari. Berbagai macam kata-mengata sudah dan sedang berlaku.

Yang menariknya, tiada satu apa pun jalan penyelesaian yang diperolehi melainkan hanya menambah serabut. Nampaknya mereka ini tidak berminat pun mencari jalan penyelesaian melainkan sekadar bagai enau dalam belukar. Macam ahlil politik mencari-cari apa saja sebagai isu, untuk sensasi, untuk popularity, yang akhirnya untuk undi, dan senantiasa berpusing-pusing dalam suatu tempurung lapok tanpa pernah berakhir.

Setakat yang saya ikuti, ramai juga yang sudah dan sedang bercakap macam-macam mengenainya, kalau pun sebahagian besar kata-kata itu hanya menyerlahkan betapa daifnya mereka tentang dalil syari’atnya. Malah ramai juga yang kata-katanya sekadar menyerlahkan betapa lemahnya pengetahuan mereka.

Mungkin juga sebahagian masyarakat kita jarang berpeluang ke luar negara dan tidak  pernah merasai ataupun melihat bentuk amalan-amalan ibadah berbeza, berbagai ragam, berbagai cara yang sungguh banyak sebenarnya. Sesiapa yang mengerjakan umrah atau haji, berpeluang untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman itu.

Masalah menggerakkan jari telunjuk saat tahiyat di dalam solat adalah masalah khilafiyah yang termasuk antara paling klasik. Dikatakan klasik, kerana  sejak berzaman 1000 tahun dahulu lagi, para ulama sudah pun berbeza pendapat. Perbezaan pendapat di antara mereka ini tidak kunjung selesai bahkan sampai ke hari ini.

Harus difahami dan dimengertikan, hal ini berlaku bukanlah kerana perangai jelek para ulama’ ini yang hobinya suka berbalah, mencari salah, saling mencaci dan berbeza pendapat, juga bukan kerana yang satu lebih betul dan yang lain sesat belaka. Juga bukan kerana yang satu lebih mendekat kepada sunnah dan yang lain hanya punah. Intisari permasalahannya sangat jauh dan tidak ada kaitan langsung dengan semua itu.

Titik masalahnya hanya kembali kepada cara memahami naskhah/matan hadis, di mana ada dalil yang sahih, disepakati bersama tentang kesahihannya, namun difahami dengan cara yang berbeza. Ini terjadi justeru teks hadis itu sendiri memang sangat dimungkinkan untuk ditafsiri dan ditanggapi dengan cara fahaman yang berbeza-beza, lantaran ia tidak secara spesifik menyebutkan kaifiyat perbuatan dengan detail dan rinci.

Demikianlah adab dan asbab ulama’ terdahulu berselisih pendapat. Bukannya seperti para so called ulama’ sekarang yang berbalah tak tentu hala sehinggakan bid’ah pun dikatakan sunnah. Malah ada yang mengarang kitab “amalan nabi yang sohih”, padahal ;penuh dengan hadis maudhu’ (palsu). Entah apalah jenis khilaf sebegini sehinggakan khabar maudhu’ pun dah setaraf khabar sahih.

Apa pun bagus sangat kerana mahu bertanya berkenaan hal ini. InsyaAllah, saya akan cuba membantu dengan penjelasan sebaik mungkin. Benar sungguh pepatah nenek moyang kita : malu bertanya sesat jalan. Dan pasti sekali kenyataan saya ini akan disanggah kuat, kerana orang-orang sekarang pepatah semasanya begini : ‘nak berjalan bawalah GPS, takkan sesat’.

Para ulama’ dan fuqaha’ sejak lebih 1000 tahun dahulu telah sepakat akan adanya isyarat dengan jari telunjuk pada ketika bertahiyat di dalam solat. Ini berpandukan petunjuk dari beberapa hadis yang sahih. Antaranya :

“Abu Humaid Rhu. dia berkata : “Akulah orang yang paling tahu di antara kalian tentang cara solat Rasulullah Saw., (kemudian dia menerangkan), sesungguhnya Rasulullah duduk (untuk tasyahhud) Baginda hamparkan kaki kirinya, dan Baginda hadapkan kaki kanan ke arah qiblat, dan Baginda letak telapak kanannya di lutut kanan dan telapak kirinya di lutut kiri, lalu Baginda berisyarat dengan jarinya ya’ni jari telunjuk.”
Hadis sahih oleh imam Tirmidzi Rhm. dan beliau berkata “hadis ini hasan sahih”. Juga dinilai sahih oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm. dalam Sahih Sunan at Tirmidzi, hadis no. 293.

Mereka sepakat jua yang dimaqsudkan dengan memberi isyarat itu adalah mengangkat jari telunjuk dan dihalakan (diancung) ke arah qiblat. Ini berpandukan petunjuk dari beberapa hadis yang sahih. Antaranya :

“Dari Numeir Al Khuza’ie Rhu., dia berkata : Aku melihat Rasulullah Saw. ketika Baginda duduk dalam solat. Baginda meletakkan tangan kanannya di atas pahanya yang kanan sambil mengangkat jari telunjuknya, dengan membongkokkannya sedikit ketika berdoa.”
Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, Nasa’ie, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang cukup baik.

Cumanya mereka ada berbeza pandangan tentang :

(1) Bilakah isyarat itu dilakukan
(2) Apakah rupa bentuk isyarat itu beserta dengan gerakkan jari secara berterusan
(3) atau, diam tegak sahaja
(4) atau, pun hanya digerakkan pada waqtu tertentu sahaja.

Ada pun fahaman dan pegangan saya adalah sepertimana penjelasan dinyatakan dibawah, semoga memberikan kesedaran, pedoman, manfaat ilmiyah dan kebaikan kepada kita bersama, insyaAllah.

Dari Za`idah bin Qudamah dari ‘Ashim bin Kulaib bin Syihab dari ayahnya dari Wa`il bin Hujr. Rhu. bahawasanya dia mengkhabarkan kepadanya, dia berkata :
“Aku melihat cara solat Rasulullah Saw. Aku melihat Baginda berdiri untuk solat, kemudian takbir dengan mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua telinganya. Lantas Baginda meletakkan tangan kanannya di atas telapak kirinya, juga di atas pergelangan tangannya, dan meletakkannya di atas lengannya. Ketika hendak ruku’ Baginda mengangkat kedua tangannya sama seperti tadi (sejajar dengan kedua telinganya).

Baginda meletakkan kedua tangannya di kedua lututnya, kemudian mengangkat kepalanya sambil mengangkat kedua tangannya, sejajar dengan kedua telinganya, kemudian sujud dan meletakkan kedua tangannya sejajar dengan kedua telinganya, kemudian duduk di atas kaki kiri. Beliau juga meletakkan telapak tangan kiri diantara paha dan lutut kiri. Lalu Baginda meletakkan hujung lengan kanan di atas paha kanan. Kemudian ia menggenggam dua jarinya serta membentuk lingkaran, lantas mengangkat jarinya. Aku melihat Baginda menggerak-gerakkannya dan berdoa dengannya."

Hadits sahih ini diriwayatkan oleh :
Imam Ahmad bin Hanbal Rhm. Kitab Al Musnad jilid 4 no. 318
Imam Ad-Darimy Rhm. Kitab Sunan jilid 1 no. 362 dan no.1357
Imam An-Nasaie Rhm. Kitab Sunan jilid 2 halaman 126 no.889 dan jilid 3 halaman 37 no.1268 dan dalam Kitab Al-Kubro jilid 1 halaman 310 no.963 dan halaman 376 no.1191
Imam Ibnul Jarud Rhm. dalam Kitab Al-Muntaqa’ no.208
Imam Ibnu Hibban Rhm. dalam Kitab Al-Ihsan jilid 5 halaman 170 no.1860 dan Kitab Al-Mawarid no. 485,
Imam Ibnu Khuzaimah Rhm. Kitab Sahih jilid 1 halaman 354 no.714
Imam Ath-Thobarany Rhm. Jilid 22 halaman 35 no.82
Imam Al-Baihaqy Rhm. Kitab Sunan jilid 2 no. 131
Imam Khatib Al-Baghdady Rhm. dalam Kitab Al-Fashl Li Washil Mudraj jilid 1 no. 425-427.
Imam Ibnu Majah Rhm. Kitab Sunan jilid 1 no. 354
Imam Ibnu Hibban Rhm. jilid 5 no.170
Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albany Rhm. di dalam Kitab Irwa al Ghalil, halaman 367

Berdasarkan hadis ini terdapat lafadz : mengangkat jarinya (telunjuk), menggerak-gerakkannya dan berdoa dengannya. Demikianlah lafadz hadis itu yang menunjukkan sifat perbuatan Nabi Saw. semasa melakukan tahiyat awal dan akhir

Perselisihan yang berlaku kepada para ulama’ dan fuqaha sejak dahulu lagi adalah dalam menafsirkan, memberi makna dan memperlakukan amalan fiqhiyahnya. Moleknya, tidak pernah pula ada tercatat dalam kitab-kitab mereka ini bahawa sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman penafsiran dan amalan fiqhiyah mereka sebagai tak betul, bodoh dan sesat belaka. Lantaran, prinsip asasnya sepakat diterima ya’ni hadis ini diterima pakai. Manakala perbezaan penafsiran dan amalan fiqhiyah ke atas matannya itu tertakluk di dalam ruang litup  perbezaan (ikhtilaf) yang sukar dielakkan, dimaafkan dan diterima.

Begitulah bezanya dengan situasi sekarang yang Tuan tanyai. Dalam menghadapi perbezaan ini ada ditanggapi oleh sebahagian qaul yang senak otak dan hati dengan saling tuduh menuduh, sesat menyesatkan sehinggakan kafir mengkafir. Malah ada yang mengeluarkan menghukum bahawa sesiapa yang mengerakkan jari semasa tahiyat adalah solat ultraman diikuti dengan segala macam kata nista yang tak layak sama sekali dikeluarkan oleh lidah seorang manusia. Biawak sahaja yang layak ada lidah sebegini. Beginilah rupa orang alim kita, yang bukannya mendorong ummat supaya mengkaji untuk dapatkan kebenaran, akan tetapi menjadi penghasut, pendorong dan penyampai khabar dusta dan palsu dikalangan ummat supaya saling mengkeji dan menuju kebinasaan. .

Berdasarkan hadis ini, telah menimbulkan 2 qaul  :

Cara 1 : Ada yang berpendirian berpegang kepada zahir matan hadis ya’ni sentiasa menggerakkan jari dari mula tahiyat sehingga bangkit semula (tahiyat awal) dan sehingga memberi salaam (tahiyat akhir). Ini adalah fahaman penafsiran / pemberian makna yang zahiriyah (mataniyah, literasi, very direct) dengan matan hadis.

Saya tak dapat nak ulas apa-apa pemahaman Cara 1 ini malahan menerimanya lantaran ia benar-benar mengikut zahir matan hadis.

Cara 2 : Ada yang berpendirian lebih terperinci lagi ya’ni hanya mengangkat jari telunjuknya dan berdo’a sambil menggerakkannya. Dalam kata lain, fahaman tafsirannya adalah hanya mengangkat jari dan menggerakkanya semasa dalam situasi berdo’a pada semasa sedang bertahiyat.

Qaul ini dijelaskan oleh Al ‘Allamah Syeikh Muhammad bin Solih bin Muhammad Al ‘Utsaimin Rhm. dalam kitabnya Fatawa Arkanul Islam dan kitab Asy Syarh al Mumti bahawa mengangkat dan menggerak-gerakkan jari telunjuk di dalam tahiyat pada seluruh kalimat doa. Beliau (semoga Allah merahmatinya) mengatakan : “sunnah (perbuatan Nabi Saw.) menunjukkan bahawa memberikan isyarat dengannya (jari telunjuk) adalah pada saat berdoa kerana lafadz hadisnya “menggerak-gerakkan dan berdoa dengannya”. Maka setiap kali anda berdoa gerakkanlah sebagai isyarat akan ketinggian Allah Swt. untuk itu, dan ketika kita mengucapkan :

Assalaamualaika Ayyuhan Nabiyyu— di sini memberikan isyarat kerana as salam bermakna doa. Assalaamu ‘Alainaa— di sini memberikan isyarat. Allahumma Solli ‘Ala Muhammad— di sini memberikan isyarat. Allahumma Barik ‘Ala Muhammad—di sini memberikan isyarat. A’udzu billah Min ‘Adzaabi Jahannam— disini memberikan isyarat.  Wa Min ‘Adzaabil Kubr— di sini memberikan isyarat. Wa Min Fitnatil Mahyaa wal Mamaat— di sini memberikan isyarat. Wa Min Fitnatil Masih ad Dajjal— di sini memberikan isyarat—dan setiap anda berdoa berikanlah isyarat sebagai isyarat kepada ketinggian Allah Swt, dan perbuatan inilah yang paling dekat dengan sunnah (berdasarkan hadis sahih di atas).

Dan, perbuatan mengangkat dan menggerakkan jari telunjuk ketika lafadz doa dalam masa bertahiyat ini diperkuatkan (syawahid) oleh atsar (perbuatan/amalan) para sahabat sepertimana diriwayatkan oleh imam Ibnu Syaibah Rhm. dengan turutan perawi yang hasan :

Sebahagian sahabat Nabi Saw. yang tidak mengetahui perbuatan ini meniru perbuatan sahabat lain yang mengetahuinya, yaitu menggerakkan telunjuknya sambil mengucapkan do’a.

Bagi fahaman penafsiran Cara 2 ini juga, saya tak dapat nak ulas apa-apa malahan menerimanya lantaran ia benar-benar terperinci dan mempunyai syawahid ke atas setiap penjelasan mereka.

Cara 3 : Semasa tahiyat (awal dan akhir) Baginda Nabi Saw. berterusan mengangkat jari telunjuk dan dihalakan ke qiblat tanpa menggerakkannya. Dan diangkat jari telunjuk itu adalah pada sepanjang masa tahiyat. Ini adalah berdasarkan keterangan seperti dibawah :

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar Rhu.  dia melihat seorang laki-laki menggerak-gerakkan kerikil (batu kecil) dengan tangannya saat solat. Setelah selesai, Abdullah berkata kepadanya : Janganlah kamu menggerak-gerakkan kerikil saat solat, sesungguhnya itu perbuatan syaitan. Berbuatlah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Saw. la berkata : Bagaimana cara Rasulullah Saw. melakukannya?" Aku menjawab : Baginda meletakkan tangan kanan di atas paha kanan, lalu menunjukkan jari telunjuknya ke qiblat dan mengarahkan pandangan (mata) ke jari tersebut atau ke sekitarnya." Kemudian dia berkata : Begitulah cara Rasulullah Saw. melakukannya."

Hadis sahih. Diriwayatkan oleh imam An Nasa’ie Rhm. (no. 1160)
imam Ibnu Khuzaimah Rhm. (Kitab Sahih jilid 1 no. 355)
imam Ibnu Hibban Rhm. (Kitab Sunan jilid 5 no. 273)
Disahihkan juga oleh Syeikh Al Albani di dalam Kitab Sahih An Nasa’ie hadis no. 1275

Dari Abdullah bin Zubair Rhu. ia berkata : Jika Rasulullah Saw. duduk dalam solat (ya’ni semasa tahiyat), beliau meletakkan telapak kaki kirinya diantara pahanya dan betisnya, serta menghamparkan telapak kaki kanannya, sambil meletakkan tangan kirinya diatas lutut kirinya, dan beliau letakkan tangan kanannya diatas paha kanannya, lalu beliau memberi isyarat dengan (jari) telunjuknya."
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 579

Dan, di dalam periwayatan imam An Nasa’ie Rhm. (no. 1270) dan imam Abu Daud Rhm. (no. 989), terdapat tambahan lafadz : Memberi isyarat dengan jarinya ketika berdo’a, tanpa menggerakkannya.
Lafadz tambahan “tanpa menggerakkannya” ini dilemahkan oleh imam Ibnul Qoyyim Al Jauziyyah Rhm. di dalam kitabnya “Zaadul Ma’ad” (jilid 1 halaman 238)
dan dilemahkan pula oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm. di dalam kitab “Tamam ul Minnah” (halaman 218)

Berdasarkan hadis-hadis ini, difahami bahawa :

1.    Lafadz “lalu beliau memberi isyarat dengan (jari) telunjuknya ke qiblat." menunjukkan bahawa jari telunjuk diangkat menghala ke qiblat semasa bertahiyat tanpa dinyatakan bila waqtu dinaikkan dan bila diturunkan pula, bermaqsud diperbuat sejak awal tahiyat sehingga berakhir

2.    Pandangan mata hendaklah dihalakan/ditumpukan kepada jari telunjuk itu atau sekitarnya semasa tasyahud, tidak boleh ke arah lain atau dipejamkan.

3.    Lafadz “menggerak-gerakkannya” kalau pun tiada pada 2 hadis ini, akan tetapi tidak menghalangi perbuatan itu kerana adanya hadis sahih sebelumnya (riwayat Wail bin Hujr) seperti di atas tadi yang menjadi dasar amalannya.

Demikianlah 3 cara yang sahih dari sunnah Nabi Saw. bagaimana mempraktikkan jari semasa bertahiyat di dalam solat. Dan begitulah juga tatacara yang sepatutnya menjadi amalan kita.

Justeru itu, selama mana seseorang mempraktikkan menggerakkan jari secara berterusan atau hanya semasa lafadz do’a, atau juga dalam keadaan menegakkannya sahaja menghala ke qiblat sepanjang tahiyat, perbuatan itu adalah benar dan tsabit datangnya dari as sunnah Nabi Saw. dan tidak sama sekali boleh ada pertikaian ke atasnya. Yang sepatutnya menjadi pertikaian, kesalahan dan layak digegak gempitakan adalah perbuatan/amalan yang lain dari amalan yang tsabit ini.

bersambung / …………….

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.


سكيان , والسلام

0 ulasan: