Thursday, May 21, 2015

Sifat Takbiratul ihram Nabi SAW

0 comments
On Tuesday, November 25, 2014 1:53 AM, Ernest Ibrahim wrote :

Salaamun’alaik syeh

Lama dah nak tanya ni, dok tangguh-tangguh pon lama. Macam mana takbiratul ihram yang betoi. La ni ada macam-macam. Ada yang telungkop telinga, ibu jari kena cuping, lelaki tak sama wanita, ada yang baca doa panjang-panjang sebelum angkat tangan, ada yang berkali-kali (tak menjadi la kut), ada yang laju semacam (tak ketahuan tangan di mana), ada yang angkat punya lama,

Ada pelik sikit, apa semua ini nak dikata betoi ka. Kalau semua betoi, betapa banyak cara Nabi Saw. tunjukkan cara takbir? Ada Nabi bagi tahu ka beza takbir antara lelaki dengan wanita? kalau tak betoi, apa pulak yang betoi?

Dok tanya nih pasal nak dapat yang betoi, yang tak betoi tak payah la dok cerita, banyak dah pon dok ada, segala macam jenis lagi.

Wassalam, macam tu lah pertanyaannya, jangan tak jawab syeh, lama pon takpa. Ambil masa slow-slow pon ok ja.


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Dari Mutharrif bin Abdullah Rhu.,dia berkata : Aku dan Imran bin Husein solat di belakang Ali bin Abi Tholib. Saat sujud beliau bertakbir. Saat mengangkat kepalanya beliau bertakbir. Saat bangun dari dua rakaat beliau bertakbir. Selesai solat Imran memegang tanganku dan berkata : Sesungguhnya Ali telah mengimami solat kita dengan solat sepertimana solat Muhammad Saw. atau katanya : Sesungguhnya Ali telah mengingatkan aku dengan solat Muhammad Saw.
Riwayat imam Muslim Rhm. No. 594

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Syukron syeh kerana bertanya. Harap maaf Tuan, lambat balas, ada urusan yang perlu didahulukan. Tiap kali Tuan bertanya saja, buat saya susah hati, tak boleh nak elak melainkan kena jawab juga. Apa pun, tradisi soalan yang pelik-pelik tu masih kekal, hak nih memang sempoi.

Saya tuliskan secara ringkas sahaja, ada kekangan masa.

Takbiratul ihram merupakan takbir yang pertama kali disebut / dibaca diikuti perbuatan mengangkat tangan ketika solat, ia sebagai pembuka / pemula amaliyah solat.

Disebutkan takbiratul ihram yang artinya : takbir yang mengharamkan, kerana takbir ini menjadi batas diharamkan melakukan hal-hal lain yang tidak berkaitan dengan solat (perlakuan/perbuatan bukan solat).

Berikut perincian (kaifiyat) tata cara takbiratul ihram yang disimpulkan dari Al Quran dan As Sunah yang sohih, seqadar yang saya mampu.

1. Takbiratul Ihram merupakan rukun solat. Wajib dilakukan baik menjadi imam, makmum, mahu pun ketika solat sendirian.

Nabi Saw. bersabda :

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

“Kunci solat adalah bersuci, memulainya dengan takbir, dan mengakhirinya dengan salam.”
Hadits riwayat imam Abu Daud Rhm. dan imam Thurmidzie Rhm. disohihkan oleh Syaikh Al Albani Rhm.

Nota : tanpa memperbuat takbiratul ihram, solat tidak sah.

2. Yang dimaqsud takbiratul ihram itu adalah ucapan / lafadz : Allaahu Akbar, diikuti mengangkat tangan, bukan mengangkat tangan sahaja ketika takbir. Sementara mengangkat tangan ketika takbiratul ihram itu hukumnya dianjurkan dan tidak wajib.

Imam Muhammad Ibnu Utsaimin Rhm. mengatakan :

رفع اليدين عند تكبيرة الإحرام، وعند الركوع، وعند الرفع منه، وعند القيام من التشهد الأول سنة

“Mengangkat tangan ketika takbiratul ihram, ketika rukuk, ketika i’tidal, dan ketika bangkit ke rakaat ketiga dari tasyahud awal, hukumnya sunnah.”
Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin, jilid 13

Nota : berdasarkan keterangan di atas, yang menjadi rukun adalah mengucapkan / melafadzkan Allahu Akbar manakala perbuatan mengangkat tangan adalah sunnah. Tanpa lafadz Allahu Akbar itu solat tidak sah.

Namun harus diingat, mengangkat tangan itu adalah sunnah amaliyah Nabi Saw. semasa bertakbir untuk solat, maka tiada sebab untuk senghaja ditinggalkan kalau pun ia bukan rukun.

3. Keadaan telapak tangan ketika takbir

a.  Telapak tangan dibentangkan secara sempurna (terbuka, rapat dan tersusun) dan tidak menggenggam

b. Jari-jari telapak tangan tidak terlalu lebar dan tidak terlalu rapat (sederhana)

Dari Abu Hurairah Rhu. dia menceritakan :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ فِي الصَّلَاةِ رَفَعَ يَدَيْهِ مَدًّا

”Rasulullah Saw. ketika memulai solat, Baginda mengangkat kedua tangannya dengan dibentangkan.”
Hadits riwayat imam Abu Daud Rhm. dan imam Thurmidzie Rhm. disohihkan oleh Syaikh Al Albani Rhm.

c. Telapak tangan dihadapkan ke qiblat dan diangkat setinggi pundak (bahu) atau bawah telinga (atau diantara keduanya)

Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau menceritakan :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ

“Bahawa Rasulullah Saw. mengangkat kedua tangannya setinggi pundak, ketika memulai solat.”
Hadits riwayat imam Bukhari Rhm. (735) dan imam Muslim Rhm. (390).

Dari Malik bin al-Huwairits Rhu. dia menceritakan :

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ إِذَا كَبَّرَ، وَإِذَا رَكَعَ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ حَتَّى بَلَغَتَا فُرُوعَ أُذُنَيْهِ

“Saya melihat Rasulullah Saw. mengangkat kedua tangannya ketika takbiratul ihram, ketika rukuk, ketika i’tidal, hingga setinggi daun telinga.”
Hadits riwayat imam Nasa’ie Rhm. (1024) dan yang lainnya

4. Cara mengangkat tangan ketika takbir ada 3:

a. Mengangkat tangan sampai pundak lalu membaca / melafadzkan takbir

Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau menceritakan :

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا قام إلى الصلاة؛ رفع يديه حتى تكونا حذو منكبيه، ثم كبَّر

“Apabila Rasulullah Saw. memulai solat, Baginda mengangkat kedua tangannya hingga setinggi pundak, kemudian Baginda bertakbir”
Hadits riwayat imam Muslim Rhm. (390)

b. Mengangkat tangan lalu sedekap bersamaan dengan takbir

Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. beliau menceritakan :

رأيت النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افتتح التكبير في الصلاة، فرفع يديه حين يكبر

”Saya melihat Nabi Saw. memulai takbiratul ihram ketika solat, Baginda mengangkat kedua tangannya  ketika takbir”
Hadits riwayat imam Bukhari Rhm. (738)

c. Membaca takbir, lalu mengangkat tangan

Dari Malik bin al-Huwairits Rhu. dia menceritakan :

كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذا كبر؛ رفع يديه

”Rasulullah Saw. ketika usai (siap) takbir, Baginda mengangkat tangan”
Hadits riwayat imam Muslim Rhm. (391)

5. Takbiratul ihram wajib dilakukan dalam keadaan posisi tubuh berdiri tegak sempurna, menghadap qiblat dan tidak boleh ada dalam kondisi yang berbeza dari itu.

Nota : kerana syarat sah-nya takbiratul ihram adalah wajib dilakukan sambil berdiri bagi yang mampu. Melakukan dengan cara selain dari itu, menjadikan solat tidak sah.

6. Takbiratul ihram tidak pernah ada disyaratkan harus diseiringkan dengan niyat solat.

Menggabungkan dua hal ini adalah mustahil. Kerana anggapan inilah, banyak orang yang ditimpa penyakit was-was ketika takbir, sehingga lafadz / perbuatan takbirnya dilakukan berulang-ulang kali.

Imam Al-Kasani Rhm. mengatakan :

إن تقديم النية على التحريمة جائز عندنا إذا لم يوجد بينهما عمل يقطع أحدهما عن الآخر

“Boleh mendahulukan niyat dari pada takbiratul ihram menurut madzhab kami (Hanafi),  tidak ada kegiatan apa pun yang menyelai (serentak) antara niyat dan takbiratul ihram.” Kitab Badai As Sonai, jilid 1 hal. 329

Imam Ibnu Qudamah Rhm. juga menegaskan :

قال أصحابنا: يجوز تقديم النية على التكبير بالزمن اليسير

“Para ulama madzhab kami (Hambali) mengatakan : Boleh mendahulukan niyat sebelum takbiratul ihram, selama tempohnya tidak lama.”
Kitab Al Mughni, jilid 1 hal. 339

7. Takbiratul ihram hanya dilakukan sekali dan tidak perlu diulang-ulang kali, yang ini umumnya terjadi kerana was-was dan tanpa ilmu.

8. Imam wajib menyebut / melafadzkan dengan kuat, manakala makmum dan yang solat sendirian, takbirnya dibaca perlahan, hanya terdengar pada dirinya sendiri.

Setakat ini yang termampu saya nukilkan. Insya”Allah boleh didapatkan lebih baik lagi pengetahuan dari pihak-pihak yang lebih faqih lagi.

Syukron jaazilan kepada Al Fadhil Ustadz Ammi Nur Baits Hfzh., anggota dari Dewan Pembina KonsultasiSyariah.com yang telah menyediakan kerangka tulisan asas.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

Nota : Tiada perbezaan diantara takbiratul ihram lelaki dan perempuan.


سكيان , والسلام


0 comments: