Selasa, 23 Jun 2015

Hadith Palsu Ruh Balik Semasa Ramadhan

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
رب اشرح لي صدري ويسر لي أمري واحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
,وبعد

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Katakanlah (wahai Muhammad), tiada sesiapa pon di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah, dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).”
Surah Al Naml (27) : ayat 65

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.

Saya ada juga mendapat 5 pertanyaan berkenaan kisah ruh kembali ke dunia semasa Ramadhan yang galak disebarkan setiap kali menjelang Ramadhan. Kisah yang disebarkan itu berbunyi begini :

Apabila tiba bulan Ramadhan, semua roh berkumpul di Luh Mahfuz memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke bumi.

Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan.

Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka.

Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

Apabila roh dibenarkan pulang, perkara pertama yang mereka lakukan adalah pergi ke tanah perkuburan untuk melihat jasad mereka.

Kemudian mereka akan pergi ke rumah anak2 mereka, orang yang mendapat harta pusaka mereka dan ke rumah orang yang mendoakan mereka dengan harapan orang yang mereka lawati itu memberi hadiah untuk bekalan mereka.

Perkara ini akan berlarutan sehinggalah tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Pada saat ini mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada jasad dan pulang semula ke Luh Mahfuz dengan bekalan yang diberikan oleh mereka2 yang masih hidup.

Saya sendiri pon ada menerima kiriman kisah ini di laman sosial. Namun apabila ditanya kembali kepada pengirim apa asal muasal dan dasarnya kisah ini, beginilah antara jawabannya :

Tak tahu, saya C&P saja
Tak tahu la pulak, dari bilik sebelah, saya forward saja
Tak percaya sudah la
Nak percaya pon boleh, tak mahu pun tak apa
Ustaz yang cakap takkan tak betul
Kalau pandai sangat, bagi tahulah apa yang betul

Apa jua alasan dan jawaban, sama ada ikhlas benar mengakui ketidaktahuan, tukang forward saja, lempar bola ke orang lain pula atau yang rasa tercabar marah dan mula mencari gaduh, haqiqatnya semua itu tukang sebar sahaja dan mempercayainya secara buta tuli tanpa dicari kebenaran atau disemak terlebih dahulu.

Jawaban secara ringkas sahaja kepada pertanyaan.

Apabila ruh sudah berpisah dari tubuh/jasad (ya’ni sesudah mati), ia berada di alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan sekali-kali boleh untuk kembali ke alam dunia semula dalam apa jua keadaan pon. Dakwaan malah juga kepercayaan bahawa ruh boleh pulang kembali ke rumahnya (alam dunia) setelah hari-hari tertentu atau pada waqtu-waqtu tertentu dan special adalah tidak benar, karut marut, bathil dan palsu.

Dakwaan malah juga kepercayaan seumpama itu jelas bertentangan/berlawanan dengan Kalamullah :

"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada seseorang dari mereka (orang kafir), dia berkata : Ya Tuhanku! kembalikanlah aku (ke dunia).
Supaya aku (dapat) berbuat amal yang solih terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawaban Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sendiri sahaja (cakap kosong), sedangkan di hadapan mereka ada barzakh (dinding) sampai hari mereka dibangkitkan (hari akhirat)."
Surah Al-Mu'minuun (23) : ayat 99-100

[Barzakh secara lughah adalah dindingan / hadangan yang memisahkan antara dua keadaan. Secara syara’ adalah tempat sementara bagi ruh yang telah meninggal terlebih dahulu sebelum memasuki alam akhirat.
Syaikh Muhammad Soleh Al-Munajid dan Syaikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin Rhm. Kitab Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi’ah, halaman 338]

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala memberitahu bahawa ruh manusia mati berada di alam barzakh ya’ni dalam keadaan mereka terdinding/ terhadang dari keluar dari alam barzakh yang mereka berada itu, melainkan terus berada di situ sehingga hari qiyamat.

"Allah (Yang Menguasai Segala-galanya) Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati (dalam masa tidurnya), kemudian Dia memegang jiwa (ruh) orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badan orang yang tidur) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan ……..."
Surah Az Zumar (39) : ayat 42

Dalam ayat ini, jelas bahawa ruh orang mati berada di dalam pegangan/tahanan Allah Ta’ala, dan Allah Ta’ala tidak membenarkan sama sekali ruh untuk kembali ke alam dunia, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam ayat sebelum ini,

Saya sendiri tidak menemui dari mana sumber kisah ini dan tidak berminat untuk terus membuat soal selidik. Malah dengan jelas mahu disebutkan, kisah ini tertolak dalam apa jua keadaannya, kerana terang-terangan bertentangan dengan nas soreh, sohih dan qot’ie Kalamullah.

Dikesempatan ini, saya ingin berpesan kepada sesiapa jua yang menganggap enteng perkara ini dan bercakap sesedap rasa hal ruh ini, supaya berfikir balik dalam-dalam dan banyak istighfar, jangan sampai jadi kafir terhadap Allah Ta’ala dan rasul-Nya. Urusan ruh ini adalah salah satu perkara ghaib yang wajib kita imani, dan mempercayai hal yang ghaib adalah aqidah suci ummat Muslimin, juga aqidah inilah yang menjadi teras membezakan antara Muslimin dan kafiriin

Ini disebutkan oleh Kalamullah tentang sifat orang bertaqwa :

“yaitu orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib ……”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 3

Dan Allah Ta’ala sendiri menjawab pertanyaan orang Yahudi kepada Nabi Saw. :

“Mereka bertanya kepadamu tentang ruh, katakanlah : ruh itu perkara urusan Tuhan-ku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan (tentang ruh) melainkan sedikit sahaja.”
Surah Al Isra’ (17) : ayat 85

Ruh ini perkara urusan Allah Ta’ala, yang pengetahuan amat sedikit diberikan-Nya kepada manusia tentang perkara ruh ini. Yang sedikit itu pun datangnya dari Allah Ta’ala menerusi Kalam-Nya ataupun sabdaan rasul-Nya yang sohih, soreh dan qot’ie. Ia tidak boleh terhasil dari sangkaan, mimpi-mimpi, aqal-aqalan, tekaan, cerita-cerita penglipurlara, tukang karut, awang bathil dan sebagainya yang tidak berlandaskan nas sohihah.

Justeru janganlah, elakkanlah sekali-kali berkata itu ini, begitu begini tentang sesuatu yang ghaib, tidak dikenal, majhul, tidak boleh dilihat, tidak boleh dirasa, tidak boleh dipegang. Jangan sampai mempercayai bahawa ruh boleh balik ke alam dunia sepertimana aqidah Hindu Buddha dan aqidah hulul majusi. Apabila ada nas sohihah, maka berkatalah dan sampaikanlah. Tanpa nas sohihah lebih baik diam.

Sekian, semoga telah menjawab persoalan.

والله أعلم. وصلى الله على محمد وآله وصحبه أجمعين

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

 سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


0 ulasan: