Selasa, 3 Mei 2016

Kedudukan Aqal Dalam Islam

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
                       
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Para sahabat jamaah Muslimin yang dimuliakan oleh Allah Ta’ala, di antara nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala kepada kita semua adalah nikmat berupa aqal yang sihat, yang dengannya kita boleh berfikir, dengannya kita dapat terus berinovasi menjalani kehidupan dan membangunkan peradaban, dan dengannya kita dapat membezakan mana yang bermunafaat dan mana yang berbahaya sesuai jangkauan keupayaan aqal kita.

Dengan adanya aqal pula kita dibezakan dari haiwan. Oleh kerana itu,  Allah Ta’ala banyak mendorong manusia supaya mahu menggunakan aqalnya untuk berfikir, diantaranya adalah Firman-Nya (yang artinya) :

“Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi qaum yang beraqal.”
Surah An Nahl : ayat 12

Maqsud / Definisi Aqal
Secara lughah (bahasa), al ‘aql (aqal) boleh bermakna al-hikmah (kebijakan) atau boleh juga bermakna tindakan yang baik dan tepat. Aqal juga boleh bermakna sifat, dikatakan ; ‘uqila lahu shay’un’ artinya “Dijaga atau “diikat (hubisa) akalnya dan dibatasi”.
Lihat, kitab Lisanul ‘Arab, Muhammad ibnu Mukarram rhm.

Sedangkan secara isthilah (syara’), aqal adalah daya pikir yang diciptakan Allah Ta’ala (untuk manusia) kemudian diberi muatan tertentu berupa kesiapan dan kemampuan yang dapat melahirkan sejumlah aktiviti pemikiran yang berguna bagi kehidupan manusia yang telah dimuliakan oleh Allah Ta’ala.
Lihat, kitab Syarh Aqidah Ahlus Sunnah, Syaikh Yazid bin Abdul Qadir Jawas

Islam Memuliakan Aqal
Agama Islam adalah agama yang sangat adil dan sempurna. Agama suci kita ini memuliakan aqal yang sihat kerana kemampuan berfikir dan memahami sesuatu dengan baik merupakan anugerah yang amat besar dari Allah Ta’ala. Dek kerana besarnya kemuliaan aqal ini, maka agama Islam menetapkan syari’at untuk menjaga dan mengembangkan aqal, di antaranya :

1.    Islam memasukkan akal ke dalam dharuriyatul khamsah yaitu 5 hal keperluan utama yang harus dijaga, 5 hal tersebut adalah agama, jiwa, harta, nasab (keturunan), dan aqal.
2.    Syari’at Islam mengharamkan semua yang boleh merosak aqal, baik yang maknawi (abstrak) seperti perjudian, musik dan nyanyian, memandang sesuatu yang diharamkan, mahu pun yang bersifat fisik seperti khamr (minuman keras), dadah, dan selainnya serta memberikan hukuman kepada yang melakukannya.
Lihat kitab Maqasidu Syari’ah ‘Inda Ibni Taimiyah, Dr. Yusuf bin Muhammad Al-Badawi
3.    Agama Islam menjadikan aqal sebagai salah satu syarat utama taklif (pewajiban / pembebanan dalam syari’at). Orang yang masih belum sempurna aqalnya seperti anak-anak, atau pun yang memang memiliki kekurangan dalam aqalnya seperti orang gila, maka gugur kewajibannya menjalankan syari’at.
4.    Agama Islam memerintahkan umatnya untuk belajar dan menuntut ilmu, yang dengannya aqal dapat lebih berkembang dan meningkat. Kemudian memberikan darjat yang tinggi bagi orang-orang yang berilmu dan mengamalkannya, sebagaimana firman-Nya :
“Allah akan mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan diberikan ilmu di antara kalian beberapa derajat”
Surah Al-Mujadilah : ayat 11

Aqal Mesti Sesuai Dengan Kedudukannya
Meskipun agama Islam menghormati dan memuliakan tahap aqal yang sihat, namun aqal tetap ditempatkan di tempat yang layak sesuai dengan kedudukannya. Artinya, Islam memuliakan aqal, namun tidak berlebih lebihan dalam memposisikannya, kerana aqal manusia juga memiliki keterbatasan sebagaimana penglihatan, pendengaran, serta pancaindera manusia lainnya.

Sebaliknya, walaupun aqal memiliki keterbatasan, agama Islam juga tidak meremehkan dan mencela aqal serta logika yang benar. Aqal yang baik justeru akan menyempurnakan suatu ilmu dan amal. Intinya, sikap yang benar dalam memposisikan aqal adalah bersifat pertengahan, tidak merendahkan logika dan aqal yang sihat, dan juga tidak berlebih-lebihan sehingga menjadikan piawai kebenaran agama semata-mata dari logika dan aqal pemikiran manusia.

Aqal Memerlukan Dalil
Sepintar-pintarnya mana pun manusia, dan setinggi apa pun kecerdasan aqal manusia, maka pasti sekali tidak akan dapat berjalan dengan lurus tanpa bimbingan wahyu, baik Al-Qur’an mahu pun As-Sunnah. Aqal manusia ibarat sepasang mata sedangkan dalil wahyu bagaikan lentera atau cahaya. Mata tidak akan bisa berfungsi dengan baik tanpa adanya cahaya. Mata kita baru boleh berfungsi dengan baik dan benar jika ada cahaya (yang memperjelaskan semuanya). Cahaya tersebut sebagaimana kedudukan dalil wahyu (al-Qur’an dan as-Sunnah) terhadap aqal.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rhm. menjelaskan hubungan ini : “Aqal tidaklah dapat berdiri sendiri, aqal baru boleh berfungsi jika dia memiliki naluri dan kekuatan sebagaimana mata bisa berfungsi jika adanya cahaya. Apabila aqal mendapatkan cahaya iman dan Al-Qur’an, barulah aqal boleh seperti mata yang mendapatkan cahaya matahari. Jika tanpa cahaya tersebut, aqal tidak akan dapat melihat atau mengetahui sesuatu.”
Kitab Majmu’ Fatawa, Ibnu Taimiyah rhm.

Akal Yang Sihat Dan Dalil Syari’I, Tidak Akan Bertentangan
Setelah kita mengetahui bahawa akal memerlukan dalil/nas, maka kita juga dapat memahami bahawa aqal yang sihat tidak akan pernah bertentangan atau bertolak belakang dengan dalil syari’i baik dari Al-Qur’an mahu pun As-Sunnah. Kerana semuanya berasal dari Allah Ta’ala Yang Maha Sempurna lagi Maha Bijaksana. Aqal yang sihat adalah ciptaan Allah Ta’ala dan dalil syari’i merupakan Firman dan ketentuan Allah Ta’ala jua. Maka, mustahil segala sesuatu yang sama-sama bersumber dari Allah Ta’ala saling bertentangan.

Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah rhm. dalam mengatakan keadaan ini : Sesungguhnya mempertentangkan antara aqal dengan wahyu adalah asal-usul segala kerosakan di alam semesta. Itu adalah lawan dari da’wah para rasul dari semua sisi kerana mereka (para rasul) mengajak untuk mengkedepankan wahyu daripada pendapat aqal
Lihat, kitab Mukhtashar Shawa’iqul Mursalah, Ibnu Qayyim rhm.

Wajib Mendahulukan Dalil Daripada Aqal
Jika kita sudah berusaha untuk memahami dalil syari’i dengan metod yang benar, namun masih tampak bagi kita seolah-olah dalil tersebut bertentangan dengan aqal, fikiran, mahu pun tidak sesuai dengan perasaan kita. Maka, wajib bagi kita untuk mengkedepankan dalil syari’i daripada akal dan perasaan kita. Kerana sesungguhnya, anggapan kita bahawa dalil syari’i tidak selaras dengan aqal yang sihat boleh disebabkan oleh tiga hal :

[1] Kerana kurangnya ilmu kita yang menyebabkan adanya kerancuan dan syubhat bagi kita dalam memahami dalil.
[2] Dalil yang dijadikan pijakan dan panutan, adalah dalil yang lemah, bukan dalil yang sohih.
[3] Kita belum boleh membezakan mana yang “membingungkan aqal” mana yang “tidak masuk aqal”. Terkadang dalil syari’i memang boleh jadi membuat kita bingung memahaminya, namun tidak mungkin dalil syari’i tidak masuk aqal sihat kita.

Contohnya adalah peristiwa Isra’ dan Mi’raj yaitu peristiwa naiknya Rasulullah Saw. ke langit ke-7 dalam tempoh waqtu satu malam. Maka boleh jadi kita bingung memikirkannya, bagaimana boleh dalam satu malam saja seorang manusia tanpa teknologi canggih boleh menembus sehingga langit tertinggi, walhal untuk sampai ke luar angkasa pun tidak mampu.

Namun begitu, hal tersebut bukanlah hal yang tidak masuk aqal (tidak dapat diterima aqal), bahkan hal tersebut sangat mungkin dan masuk aqal yang sihat kerana Allah Ta’ala adalah Dzat yang Maha Kuasa atas segala sesuatu dan mudah bagi-Nya untuk mewujudkan hal tersebut. Tambahan pula kejadian itu adalah mu’jizat ke atas peribadi Nabi Saw.

Oleh kerana itu, sahabat Nabi Saw. yang mulia ‘Ali Bin Abi Thalib rhu.  menjelaskan bahawa dalil syari’i wajib didahulukan daripada aqal dan perasaan kita. Beliau berkata tentang mengusap khuf (alas kaki yang menutupi mata kaki, semacam sepatu) : Seandainya (tolok ukur) agama ini dengan aqal, maka tentu bahagian bawah khuf lebih utama untuk diusap daripada bahagian atasnya. Dan sungguh aku melihat Rasulullah Saw. mengusap bahagian atas khuf-nya.”
Hadits riwayat imam Abu Dawud rhm, sohih.

Tinggalkan Pendapat Yang Menyimpang

Setelah memahami penjelasan dari nukilan di atas, maka hendaknya kita meninggalkan pemahaman dan pendapat yang lebih mendahulukan aqal dan perasaan daripada dalil syari’i yang banyak tersebar dalam kalangan masyarakat. Di antaranya adalah anggapan orang-orang liberal dan orientalis bahawa syari’at Islam tidak adil, hukum Islam adalah hukum yang kejam (barbaric), agama Islam tidak boleh mengatur selia sesuatu negara, bahkan mereka mengatakan bahawa Al-Qur’an dan ajaran agama Islam sudah tidak relevan lagi dengan zaman ini sehingga harus diubahsuai dan disemak semula. Na’udzubillahi min dzalik.

Demikianlah pula hendaknya, kita tinggalkan pendapat-pendapat menyimpang dari para filosof, mu’tazilah, atheis, mulhid, ahli bid’ah dan yang semitsalnya, yang beranggapan bahawa adzab qubur tidak ada, syafa’at tidak ada, penolakan, penta’wilan dan penyelewengan mereka terhadap sebahagian sifat-sifat Allah Ta’ala, pengingkaran terhadap munculnya dajjal dan turunnya Nabi ‘Isa ‘alayhissalam, serta pemahaman dan perkataan mereka yang lain, yang tidak bersumber dari dalil-dalil syari’i.

Mudah-mudahan dengan kembalinya kita kepada Al-Qur’an dan Sunnah, menjadikan kita sebagai seorang Muslim yang hanif dan istiqomah.

Akhiirul Kalaam

Demikianlah serba sedikit penjelasan tentang kedudukan aqal dalam agama Islam, yang mampu saya sediakan dengan serba kekurangan dan kefaqiran, semoga dapat menjadi pencerahan bagi kita dan membuat kita lebih taslim (menerima dan patuh) terhadap syari’at Allah Ta’ala, tunduk patuh terhadap hukum dan aturan syari’at Islam, serta menerima segala dalil syari’i yang datang kepada kita. Insya’Allah.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام


0 ulasan: