Rabu, 7 Jun 2017

Penghasad Dengki dan Perosak : Dalam Wajah Yang Baik-Baik

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Para sahabat jamaah yang dikasihi, pilihlah jalan kebaikan agar redho Allahu Ta’ala senantiasa mengiringi hidup kita.


Penghasad Dengki dan Perosak : Dalam Wajah Yang Baik-Baik

Sedikit catatan kuliyah di Surau Syaikh Yusof, Ayer Itam, Pulau Pinang, seusai solat Maghrib, pada hari Rabu, 5 April 2017

Sejarah anak-anak Nabi Ya'qub ahs. yang cuba membunuh adik bongsu mereka, Nabi Yusuf ahs. Sejarah tersebut sebagai peringatan betapa bangsa Yahudi Bani Israel serta para manusia pengekor mereka sehingga kini,  amat mahir dalam pembikinan plot fitnah, menipu dan sabotaj.

Ia juga merupakan kisah yang mengajar kita akan qa'idah bagaimana menangani fitnah. Juga sebagai 'ibrah untuk kita sentiasa waspada dengan golongan penghasad dengki dan perosak yang senantiasa ada dalam kalangan kita.

Malah, paling utama, sejarah ini mengajar supaya kita dapat menolak sikap-sikap perosak, dari terlekat dalam diri kita sendiri.

Benar sunggoh Al Qur’an adalah “Al Bayan, Al Hudaan dan Al Furqan” kepada manusia yang beriman, kisah yang berlaku sekitar 4000 tahun dahulu, ‘ibrah dan kebaikannya kekal berterusan sehingga kini.

* Puncanya : Hasad Dengki.

Punca utama budaya fitnah adalah kerana hasad dengki yang meluap-luap. Iri hati dengan ni'mat dan kelebihan yang ada pada orang lain. Yang lebih dahsyat adalah, dengki dengan orang yang mempunyai hubungan dekat. Dalam kisah Nabi Yusuf, abang-abang Nabi Yusuf dengki terhadap Nabi Yusuf kerana dirasakan Baginda lebih disayangi oleh bapa mereka, Nabi Ya'qub.

"Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) lebih disayangi oleh bapa kita lebih dari kita. Sedangkan kita lebih kuat"
Surah Yusuf : ayat 8

Mereka satu keluarga, sedarah daging, sesama Islam. Tetapi berpenyakit iri hati tajaan syaithon yang amat kronik.

* Kondisi Hasad Dengki Yang Amat Parah

Jiwa yang kotor dan rosak disebabkan oleh hasad dengki dan mengikut nafsu syaithon, sehingga tergamak menudoh ayah sendiri ya'ni saorang nabi Allah, sebagai bertindak tidak adil, pilih kasih dan tua renta tak berguna. Selain itu, inilah sifat nifaq, yang sendiri mempunyai masalah akan tetapi dihalakan, ditudoh juga disabitkan kepada orang lain.

"Sesunggohnya ayah kita dalam kekeliruan yang nyata".
Surah Yusuf : ayat 8

* Iri Hati Yang Meluap-Luap Sehingga Menolak Kebenaran

Kelebihan nabi Yusuf adalah atas kapasitinya saorang nabi yang dianugerahkan langsung oleh Allahu Ta'ala kepadanya, bukannya atas sebab pilih kasih atau ketidakadilan kasih sayang yang dibuat-buat oleh nabi Ya'qub. Inilah kebenaran dari Allahu Ta’ala yang dimomokkan dan dan ditolak.

".. demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (menjadi nabi) dan diajarkan-Nya kepada kamu sebahagian daripada ta'bir mimpi-mimpi dan disempurnakan-Nya ni'mat-Nya kepadamu ...
Surah Yusuf : ayat 6

* Menganggap Semuanya Persaingan

Hubungan darah yang sepatutnya terjalin dengan penuh perkongsian kasih sayang dan mencintai, tiba-tiba dijadikan sebagai persaingan sesame sendiri, bagi merebut perhatian hingga meragut keharmonian, malah dijadikan asbab untuk berbuat kejahatan. Kita boleh memilih samada mahu saling kuat menguat atau sengaja mencipta persaingan atas rasa dengki. Inilah rupa paras penyakit hati yang masih kekal sehingga kini.

"Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) lebih disayangi oleh bapa kita lebih dari kita. Sedangkan kita lebih kuat"
Surah Yusuf : ayat 8

* Membunuh Nyawa Atau Bunuh Karektor.

Abang-abang Nabi Yusuf (dengan hasutan syaithon) mengemukakan dua pilihan plan komplot ke atas Nabi Yusuf. Sama ada, membunuh nyawa atau bunuh karektor. Mereka memilih bunuh karektor Nabi Yusuf dengan mencampakkannya ke dalam perigi supaya identiti Nabi Yusuf lenyap. Yang dengan melakukan itu, mereka berharap merekalah yang nanti mendapat perhatian, sesudah Nabi Yusuf tiada.

"Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah supaya bapa kalian kembali memberi perhatian kepada kalian"
Surah Yusuf : ayat 9

* Basuh Dosa Sabotaj/Makar Dengan Amal Solih Sesudahnya

Pelaku komplot jahat kebiasaannya akan memujuk hati, meredakan rasa bersalah mereka dengan janji untuk berbuat amal ibadat sesudah itu. Kononnya susulan ibadat mereka dapat menampung dosa kejahatan mereka yang suka menfitnah dan tikam belakang itu. Inilah bentuk fahaman amat jahat.

"Dan sesudah itu (membuang Nabi Yusuf) hendaklah kamu menjadi orang-orang solih"
Surah Yusuf : ayat 9

Ini penyakit bawaan syaithon yang masih berleluasa dari dahulu sehingga sekarang. Tak pernah kurang pon dalam kalangan kita sendiri : "buat ja dulu, ujung-ujung nanti kita bertaubat lah". Ini benar-benar fahaman ajaran syaithon.

* Tudohan dan Prasangka Kononnya Orang Lain Pula Yang Bersangka Buruk.

Bagi membentengi dakwaan jahat serta memaksa orang lain, agar bersetuju dengan fitnah mereka, pelaku fitnah ini akan melemparkan tudohan kononnya, sesiapa jua yang tidak percaya kepada pembohongan mereka adalah di kalangan orang yang suka bersangka buruk terhadap mereka. Lihatlah kalam-kalam mereka yang jahat ini terhadap ayahanda mereka sendiri,

"Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu sukar mempercayai kami?"
Surah Yusuf : ayat 11

* Pandai Berpura-Pura dan Tunjuk Baik

Abang-abang Nabi Yusuf mengulang-ulang da'waan bahawa bapa mereka, Nabi Ya'qub suka bersangka buruk terhadap mereka. Inilah kalam yang dijaja sana sini ditengah masyarakat, sedangkan rasa curiga itu datang dari dalam diri mereka sendiri.

"Ayah sama sekali tidak akan percaya dengan kami sekali pon kami adalah orang-orang yang benar"
Surah Yusuf : ayat 17

* Mahir Berlakon Mohon Simpati atau Sokongan

Penfitnah dan pengkhianat tegar mesti mempunyai bakat berlakon yang luar biasa. Kemahiran ini penting demi mempersembahkan perancangan mereka dengan jayanya. Mereka boleh saja bermuka-muka dan tidak kelu lidah ketika menipu. Paara penghasad ini memangnya tidak tahu malu, malah sedikit pon rasa segan silu kepada Allahu Ta’ala Yang Maha Mengetahui apatah lagi terhadap manusia. Yang penting segala hasrat mereka mahu dicapai dengan cara apa pon.

"Kemudian mereka datang kepada bapa mereka pada waktu malam dalam keadaan menangis"
Surah Yusuf : ayat 16

Bayangkan mereka yang mengkhianati dan menganiaya Nabi Yusuf, tapi mereka pula yang menangis kesedihan demi menunjuk kekesalan. Mereka kelihatan cukup baik lagi penyayang. Haqiqatnya berhati bangsat sunggoh.

* Sangat Pandai Bermuka-Muka Tunjuk Baik

Para perosak ini amat pandai menunjuk baik dan bagus dihadapan orang. Bahasa pon sangat lunak dan penoh pujuk rayu. Sedangkan semua itu, tiada lain supaya segala macam hasrat jahat mereka mahu ditutup. Inilah sifat nifaq yang amat tinggi martabatnya.

".. sesunggohnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan baginya".
Surah Yusuf : ayat 11

"... sesunggohnya kami pasti menjaganya".
Surah Yusuf : ayat 12

Justeru, berhati-hatilah dengan kalam-kalam pendusta dan perosak, jangan sekali-kali cepat percaya sekali pon sedap dan enak didengar. Mereka-mereka ini amat pandai merayu, merintih dengan kalam mendayu dan indah-indah, mitsalnya kalam sebahagian orang politik. Peringatan kepada diri-diri kita, janganlah terpedaya dengan kalam-kalam palsu mereka ini.

* Pandai Merekacipta Bukti Palsu

Da'waan mereka ini bukan pula dengan tangan kosong. Bahkan beserta bukti-bukti kononnya! Kalau pon semua itu bukti palsu dan bathil semata. Dan ini perangai tak asing pon dalam kalangan kita sekarang. Berapa ramai yang tergamak membuat cerita palsu, mereka cipta bukti palsu, sumpah palsu, janji palsu ……

"Mereka datang membawa baju (Yusuf) dengan berlumuran darah palsu"
Surah Yusuf : ayat 18

Dalam plot tersebut, abang-abang Nabi Yusuf telah memangsakan serigala sebagai tertudoh untuk dipersalahkan. Serta mengorbankan kambing yang langsung tiada kaitan dengan konflik mereka, untuk diambil darahnya, dipalitkan ke gamis nabi Yusuf bagi dijadikan bukti palsu kononnya Nabi Yusuf telah terbunuh.

Dalam plot fitnah sebegini, pasti akan ada yang menjadi mangsa walau pon pada asalnya tiada kaitan. Begitulah serigala dan kambing, yang dikambing hitamkan.

* Tuntutan Sentiasa Bijaksana Dan Adil

Seharusnya kita mengambil I’tibar dan mengikuti sikap saorang nabi dalam menghadapi suasan fitnah yang menjadi-jadi ini. Seorang Nabi mempunyai sifat bijaksana. Mampu rasional dalam menilai dan bertindak. Antara sikap Nabi Ya'qub dalam menghadapi situasi sebegini adalah :

1. Berhati-hati dengan sikap yang mencurigakan. Berwaspada adalah hikmah.

" ... sesunggohnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkan aku dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu lengah daripadanya".
Surah Yusuf : ayat 13

2. Mampu membezakan antara bukti benar dan bukti palsu. Nabi Ya'qub menilai bahawa bukti baju Nabi Yusuf itu palsu kerana tidak logik ia diterkam serigala tetapi tidak koyak.

".... sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang burok) itu ..."
Surah Yusuf : ayat 18

Zaman sekarang masing-masing menda'wa ada bukti, malah yang bathil dan palsu itulah yang terhegeh-hegeh lebih digembar-gemborkan. Kita perlu ingat, ada bukti benar dan ada bukti palsu. Tanpa kembali ke jalan Allah dan Rosul-Nya, sukar untuk kita meletakkan keadilan dalam memilih yang mana haq yang mana bathil.

3. Mengambil sikap sabar, yaqin satu hari kelak Allahu Ta'ala pasti akan menyingkap kebenaran.

"Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku), dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan"
Surah Yusuf : ayat 18

Demikianlah yang diajar, serahlah dan tawakkkal kepada Allahu Ta’ala supaya kebenaran akhirnya tertegak dan kebathilan dilupuskan. Tanpa rasa kecenderungan dan pasrah kepada Allahu Ta’ala, kita akan hanya terbelit dalam hawa nafsu dan takkan dapat memberikan keadilan yang haqiqi.

Khatimah

Mungkin saja ada orang-orang dikelilingan kita, yang mewarisi sikap dan kemahiran abang-abang Nabi Yusuf dalam melakukan onar, pembelit, penghasad dengki, perosak dan penipu, mempunyai pertalian darah dengan Yahudi al-Maghdub.

Kalau tidak pon, memang kita kena sangat berhati-hati dengan golongan perosak ini, jauhi dan tinggalkan mereka, sebelom kita pula yang menjadi mangsa.

Semoga Allahu Ta'ala pelihara kita semua.

insya'Allah, berjumpa lagi dalam kuliyah yang lain. Semoga saya sempat lagi menulis catatan.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir @ 38
tanah liat, bukit mertajam



0 ulasan: