بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua rakan jamaah serta para pembaca. Saya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. InsyaAllah. Saya berlindung diri dengan Allah Tabaraka Wataala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan, serta memohon pimpinanNya sentiasa dalam menghasilkan artikel ini.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jamaah dan pembaca yang telah memberi maklumbalas terhadap artikel ini. Apa pun maknanya maklumbalas itu, tetap ia memberi semangat untuk meneruskan usaha mengkaji, menelaah dan menulis. Dalam kata lain, terus belajar dan belajar lagi. Diantara maklumbalas paling menarik adalah : Kenapa tulis panjang-panjang, boring nak baca. Maka disini saya jawab dengan ringkas sahaja.
- Kenapalah agaknya ayat suci Al Qur’an yang pertama adalah “Iqra’ - bacalah olehmu”.
- Berapa banyakkah orang yang cerdik pandai dan berilmu, tapi tak membaca.
- Mana lebih berfaedah agaknya antara membaca kitab ilmu berbanding dengan main video game, lepak dan gebang di kopitiam, surfing fb, lawan sms, lawan email
- Pernahkah dikira dalam tempoh 24 jam, berapa tempoh yang kita guna untuk membaca. Dalam seumur hidup pula berapa buku dan kitab telah khatam (dengan faham, tenung sipi-sipi tak dikira)
Yang menjadikan nukilan panjang kerana : pendahuluan, ta’rif, nas dan dalil serta ta’liqnya, tafsir, perbahasan, penjelasan seterusnya kesimpulan. Demikianlah kaedah sebenar untuk menyampaikan ilmu supaya menjadikan para khalayak juga berilmu. Juga memastikan yang seboleh mungkin Islam disampaikan menerusi Kalamullah dan sunnah rasulNya, bukan fahaman tafsiran akal dan nafsu sendiri. Boleh dipendekkan dengan hanya ditulis kesimpulan tanpa apa pun penjelasan. Namun tidak akan menjadikan para khalayak berilmu melainkan terus tak faham dan selamanya pak turut sahaja. Malah boleh juga dijawab lebih pendek lagi dengan hanya : boleh lah, ok lah, bagus lah, ikut orang ramai lah, ikut tok nenek lah, ikut orang tua-tua lah, ikut majority lah, dah orang suka macam tu dan berbagai lagi bentuk hukum yang sama waqtu dengannya, yang hakikatnya untuk berhukum sebegini, orang tak mengaji langsung pun layak membuatnya. Begitulah maklumbalas ringkas.
Sambungan
Kelima : Bersedekahlah dengan apa yang termampu kalau pun hanya mampu memberi sedikit makanan. Biarpun kita sendiri serba kekurangan, tidak mampu memberikan yang mewah dan yang hebat, namun berilah jua apa yang termampu lantaran masih banyak golongan yang fakir dan lebih memerlukan bantuan disekeliling kita. Biar sekecil manapun sedekah itu, tetap jua ia merupakan amalan mulia dan diganjari kenikmatan oleh Allah Swt. sepertimana firmanNya :
“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula”.
Surah Az Zalzalah (99) : ayat 7 dan 8
Dalam satu peristiwa, Rasulullah Saw. menyuruh wanita muslimin yang tidak memiliki kelebihan harta ataupun makanan, kecuali sedikit, Baginda tetap memberikan dorongan kepadanya untuk bersedekah dan tidak menahannya, terutama kepada tetangganya. Kekurangan yang ada pada diri tidaklah sama sekali menyebabkan ia layak meremehkan suruhan Allah Swt. dan tidak juga boleh menjadi faktor penghalang kepada sesiapa pun untuk berbuat kebajikan. Berilah sekecil mana pun kerana itu lebih baik dari tidak memberi langsung. Inilah pengajaran hadis berikut :
“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Wahai wanita-wanita muslimah, janganlah seorang tetangga meremehkan untuk memberi sedekah kepada tetangganya, walaupun hanya sepotong kaki kambing”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
Dalam satu riwayat lain, Nabi Saw. dengan tegas menyatakan :
“Dari Adie bin Abi Hatim Rhu. ia berkata : Aku mendengar Rasulullah Saw bersabda : Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh.
Keenam : Meyaqini dengan sesungguhnya bahawa mengeluarkan sedekah tidak akan mengurangkan harta atau pun menyebabkan pengeluarnya menjadi papa kedana. Sebaliknya ia akan menambahkan lagi harta, menjauhkan kefakiran, menyuburkannya, mensucikannya dan mengembangbiakkannya seterusnya menidakkan sebarang kekurangan dan kesempitan. Meyaqini sesungguhnya Allah Swt. akan menggantikan dengan yang lebih baik dari apa yang telah dikeluarkan. Demikianlah makna firman Allah Swt. berikut :
“Katakanlah (wahai Muhammad)! sesungguhnya Tuhan-ku melapangkan rizqi bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan (Dia juga yang) menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya) nya, dan barang apa saja yang kamu nafkahkan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah pemberi rizqi yang sebaik-baiknya”.
Surah Saba’ (34) : ayat 39
Justeru itu, sayugia diperingatkan bahawa sifat kedekut (bakhil/kikir) tidak sesekali boleh ada dalam diri dan jiwa ummat mukminin. Lantaran sifat tamak harta, berlebih-lebih mencintai dan mengejar harta seterusnya kedekut dari mengeluarkannya, ini semua adalah seruan syaitan (taghut). Janganlah sesekali terpedaya dengannya. Tiada lain tugas syaitan ini melainkan ia (la’natullahu ‘alaihim) menakutkan-nakutkan ummat manusia dari melakukan kebaikan malah menggalakkan pula manusia melakukan perbuatan keji. Demikianlah pesanan dan penjelasan oleh Allah Yang Ma’bud dalam firmanNya :
“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan (juga kepapaan jika kamu bersedekah) dan dia menyuruh kamu melakukan kejahatan (perbuatan keji - kedekut) ; sedangkan Allah menjanjikan untuk kamu keampunan daripada-Nya serta kurnia-Nya (balasan yang baik), dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 268
Seterusnya Allah Swt. menjelaskan bahawa tidak akan rugi orang yang bersedekah sepertimana firmanNya :
“Apakah kemudharatannya bagi mereka, kalau mereka beriman kepada Allah dan hari kemudian dan menafkahkan sebahagian rizqi yang diberikan Allah kepada mereka? Dan adalah Allah Maha Mengetahui keadaan mereka”.
Surah An Nisaa' (4) : Ayat 39
Justeru itu, yang dituntut oleh Islam ke atas ummatnya adalah bersifat murah hati (qana’ah) dalam urusan segala milikan mereka dan menolak sifat tamak dan kedekut. Sesungguhnya orang yang tamak harta dan kedekut ini benar-benar menentang anjuran Islam sepertimana firman Allah Swt. berikut :
“Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian (orang miskin yang tidak meminta-minta)”.
Surah Adz Dzariyaat (51) : ayat 19
Ketujuh : Sedekah tidak sekali-kali menjadi cara untuk membersihkan harta yang sejak awal lagi kotor atau haram. Sedekah diperbuat untuk membuktikan ubudiyah kepada Allah Swt. yang dikeluarkan dari sumber halal dan dari harta milikan sendiri. Sedekah diperbuat untuk memberkati rizqi dan rizqi yang berkat adalah rizqi yang diperolehi daripada sumber-sumber halal yang digunakan pula rizqi tersebut untuk kebajikan di jalan Allah Swt. Lantaran itu, bersedekah bukan cara untuk money laundring atau pun menghalalkan tindakan robin hood. Demikianlah yang dijelaskan oleh Allah Swt. dalam fimanNya :
"Wahai orang-orang yang beriman, nafqahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu pilih yang buruk-buruk lalu kamu nafqahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 267.
Dan junjungan mulia Nabi Saw. juga telah berpesan :
“Dari Mus’ab bin Sa’ad Rhu. ia berkata : Abdullah bin Umar pernah melawat Ibnu Amir, saat itu dia sedang sakit. Ibnu Amir berkata : Apakah kamu tidak mahu berdoa kepada Allah untukku, wahai Ibnu Umar. Ibnu Umar menjawab : Sungguh aku pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Tidak akan diterima solat (yang dilakukan) tanpa taharah (bersuci), begitu pula sedekah dari hasil harta curian (ghulul).............”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.
Kelapan : Sedekah hendaklah diberikan kepada fakir miskin dan orang memerlukan kalau pun mereka bukan jenis orang yang suka meminta-minta. Pengajaran dari ayat ini adalah dituntut kita mencari dan mengenalpasti golongan yang benar-benar memerlukan. Kalau pun mereka bukan meminta-minta, sifat-sifat dan keadaan hidup mereka telah jelas menunjukkan kedhaifan. Ini adalah suatu tuntutan kepada manusia supaya berhati-hati menyalurkan sedekah bagi memastikan setiap sedekah itu sampai ke golongan yang sebenar. Inilah intipati firman Allah Swt. berikut :
"(Berinfaqlah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah, mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafqahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 273.
Kesembilan : Sedekah hendaklah diberikan kepada golongan yang layak menerima, sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :
“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil (pengurus zakat), para muallaf (yang dibujuk hatinya menerima Islam), untuk memerdekakan budak, orang-orang yang terlilit hutang, untuk fi sabilillah dan ibnu sabil orang dalam musafir)….”. Nota : amil (pengurus zakat) hanya bagi kes zakat wajib.
Surah At Taubah (9) : ayat 60
Sedekah yang utama adalah yang diberikan kepada kerabat sendiri terdekat. Malah, seorang wanita boleh memberikan sedekah kepada suaminya, bahkan mengeluarkan zakatnya untuk suaminya, apabila memang suami termasuk orang yang berhak memperolehnya. Banyak contoh ditinggalkan oleh Rasulullah Saw. tentang keutamaan memberikan sedekah kepada keluarga terdekat antaranya :
“Dari Salman bin 'Amir Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : "Sedekah terhadap orang miskin adalah sedekah dan terhadap keluarga sendiri mendapat dua pahala: sedekah dan silaturahmi".
Hadis riwayat imam Tarrmizi rh. dan beliau mensahihkannya.
Dari Zainab Ats Tsaqafiyah Rha. isteri Abdullah bin Mas'ud Rha. ra, ketika ia pergi dan bertanya kepada Nabi Saw. : ………..Apakah boleh dia bersedekah kepada suaminya dan anak-anak yatim yang ada dalam asuhannya? Maka Nabi Saw. bersabda : Ya, boleh dan dia akan mendapatkan pahala kerana menyambung kekerabatan (silaturahmi) dan pahala sedekah". Nota : ini adalah satu hadis panjang yang dicatat ringkas
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
Dari Zainab Ats Tsaqafiyah Rha. isteri Abdullah bin Mas'ud Rha. ra, ia menceritakan :….. aku bertanya : Wahai Nabiyullah, engkau hari ini memerintahkan kami bersedekah. Aku memiliki perhiasan, aku ingin menyedekahkannya. Namun Ibnu Mas’ud (suaminya) menganggap bahawa dirinya dan anaknya adalah orang yang paling layak mendapat sedekahku itu. Nabi Saw. menjawab : Benar kata Ibnu Mas’ud, suami dan anakmu adalah orang yang paling layak mendapat sedekahmu tersebut”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh.
Kesepuloh : Sesungguhnya Allah Swt. menyuruh mensedekahkan barang yang baik-baik dan yang kita sukai, bukannya yang buruk dan kita sendiri tolak. Adalah amat keji dan kedekut orang yang sangat berkira-kira dalam mengeluarkan sedekah dengan hanya mengeluarkan barang yang buruk sahaja dan menyembunyikan yang baik-baik. Inilah initipati wahyu Allah Swt. berikut :
"Wahai orang-orang yang beriman, nafqahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu pilih yang buruk-buruk lalu kamu nafqahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 267.
Dalam satu ayat lain, Allah Swt. menyeru bagi memberi sedekah daripada benda yang disukai dan disayangi, tidak kira sama sedikit atau banyak.
“Kamu sekali-kali tidak akan memperolehi kebajikan sehingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai, dan apa saja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”.
Surah Aali Imran (3) : ayat 92
Kesebelas : Amalan bersedekah adalah suatu perbuatan mulia dan tidaklah boleh bertangguh-tangguh untuk melaksanakannya. Menangguhkan amalan sedekah adalah salah satu sifat kedekut dan terikut seruan syaitan untuk tidak mensyukuri rizqi anugerah Allah Swt. Justeru itu, bersegeralah melakukannya jangan sehingga sampai dihampir-hampir sakaratul maut yang ditatkala itu, ia tidak berguna lagi. Demikianlah saranan Rasulullah Saw. dalam sabda Baginda :
“Dari Abu Hurairah Rhu. berkata : Seorang lelaki datang kepada Nabi Saw. maka bertanyalah ia : Ya Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya? Nabi menjawab : Sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau dalam keadaan sihat dan sangat sayang kepada harta, engkau takut kepapaan dan engkau harapkan kekayaan. Dan janganlah engkau menangguhkan pemberian sedekah sehingga apabila ruh engkau telah hampir ke kerongkong berkatalah engkau : Untuk si anu begini, untuk si anu begini. Sesungguhnya si fulan itu telah memilikinya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
Sesungguhnya Allah Swt. juga telah menekankan kepada ummat manusia supaya bersegera melakukan amal kebajikan menerusi banyak firmanNya, yang antaranya :
“…. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam (membuat) kebajikan. Dimana saja kamu berada, pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekelian (di hari qiyamat)…….”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 148
Keduabelas : Allah Swt. memberi peringatan supaya berlaku ma'aruf (baik) dalam melakukan sedekah, menghulur dengan baik, tidak menyebut-nyebut (mengungkit) pemberian dan tidak mengeluarkan kata-kata atau dengan perlakuan yang melukakan perasaan si penerima. Demikianlah cara yang dikehendaki Allah Swt. sepertimana firmanNya :
“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 262
Pemberian boleh dibuat secara terbuka bagi tujuan memberi contoh kepada orang lain (bukan untuk riya’, membanggakan diri dan mencari-cari redha manusia). Namun, sebaik-baik pemberian adalah secara sembunyi. Kalau pun diperbuat secara sembunyi, ia tetap diketahui oleh Allah Swt. Dengan memberikan sedekah, Allah Swt. akan menghapuskan sebahagian dosa yang lalu. Inilah maksud Kalaamullah :
“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik (lagi) bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahan (mu) dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 262
Selain daripada sedekah (zakat tathawwu’) yang diberikan kepada golongan fakir miskin yang memerlukan sama ada yang meminta atau tidak meminta, pemberian boleh diberikan dalam bentuk kaedah lain yaitu (dengan istilah lebih tepat ) Hadiah, Sumbangan, Bantuan atau Derma penuh ikhlas bagi apa juga sebab. Ia boleh diperbuat dalam kes meraikan sesuatu, memberikan sara hidup, memberi makan, membantu anak yatim, memberi pakaian, menanggung pelajaran, bantuan membina kediaman, bantuan membuat dan menyediakan prasarana awam, bantuan kesihatan dan perubatan, bantuan bencana dan berbagai lagi. Anjuran ini dinyatakan oleh Allah Swt. dalam fimanNya :
“Wahai orang-orang yang beriman! belanjakankah (sebarkanlah dijalan Allah) sebahagian dari rizqi yang telah kami berikan kepada kamu sebelum datang hari (qiyamat) yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli padanya dan tidak ada lagi persahabatan yang aqrab (yang memberi manfaat) dan tidak ada pula syafaat (pertolongan). Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 254
Apa yang dikehendaki adalah orang yang mengeluarkan sesuatu hendaklah mengenalpasti dengan tepat apa yang diperbuat. Bukannya semua pengeluaran menjadi sedekah seperti yang diamalkan dan difahami oleh masyarakat kita. Ia boleh jadi dalam bentuk yang lain. Misalnya memberikan barangan atau pakaian terpakai, tidaklah ia bersifat sedekah tetapi bantuan atau sumbangan. Begitu juga memberi makan secara umum, jadilah ia sedekah kepada golongan miskin dan hadiah kepada yang berkemampuan. Cara pengeluaran juga tidak terhad kepada usaha individu sahaja, malah boleh menerusi perkumpulan atau agensi yang mana, secara perkumpulan ini, keupayaan untuk mengagihkan sedekah menjangkau jarak lebih jauh dan tersusun.
Akhirul Kalaam : Saya menyeru kepada semua jamaah dan pembaca terutamanya terhadap diri saya sendiri dan keluarga, supaya melipat gandakan usaha bersedekah. Ia perbuatan mulia, mengurangi kesusahan pihak lain disamping kita dapat mentaqarrubkan diri kepada Allah Swt. Malah perbuatan bersedekah akan mendidik diri kita bersifat murah hati dan yaqinlah bahawa setiap yang kita belanjakan itu akan dianugerahi pahala kebaikan oleh Allah Swt. Sedekah itu tidak hanya tertakluk kepada wang ringgit dan harta semata-mata tetapi semua yang kita miliki sepertimana sabdaan Rasulullah Saw. berikut :
“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata, aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Setiap anggota tubuh manusia mempunyai kesempatan untuk bersedekah setiap hari, yaitu mendamaikan dua orang yang berbalah adalah sedekah. Menolong orang naik kenderaan atau menolong orang mengangkat barang ke atas kenderaan, itu pun sedekah. Ucapan atau tutur kata yang baik juga sedekah. Setiap langkah menuju solat, sedekah. Dan menyingkirkan sesuatu yang berbahaya di jalan awam, juga adalah sedekah".
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.
Dan yaqinlah bahawa dengan membuat sedekah, kita akan diberkati Allah Swt., sedekah itu memberkati dan mensucikan rizqi kita, malah dengan bersedekah, kita akan mendapat tempat kesudahan yang baik, di dunia dan akhirat. Demikianlah yang disebut oleh Allah Swt. dalam salah satu firmanNya :
“Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan Solat dan menafkahkan sebahagian daripada rizqi yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan ; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik di dunia dan akhirat)”.
Surah Ar Ra’d (13) : ayat 22
Oleh yang demikian, segala usaha termasuk menjadi sukarelawan, daya upaya, tenaga, idea dan ikhtiar, kegiatan, perbuatan untuk mencapai, melaksanakan dan menyempurnakan sesuatu usaha yang disumbangkan untuk bersedekah bagi kemanfaatan mereka yang layak menerima sedekah, adalah perilaku amat mulia. Dan teruslah bersedekah kalaupun hanya mampu sekadar berdoa dan memberikan senyuman.
Bersedekahlah.
والله اعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
5 ulasan:
Assalamu’alaikum ustaz mad,
Nilai keajaiban dari amal sedakah ini sebenarnya telah terungkap pada arti namanya, sedekah yang berakar dari kata Sidiq ini menunjukkan bahawa amal tersebut merupakan batu uji yang akan menyerlahkan sejauh mana keberadaan dan kekuatan iman yang dimiliki oleh seorang Muslim.
Sedekah memiliki khasiat yang amat menakjubkan dalam menangkal bencana, juga sebagai ubat bagi penyakit, sekalipun mereka berbuat dosa. Ibnu Mas’ud berkata bahawa Rasulullah bersabda,
‘Berubatlah kalian dengan sedekah.’ Hadis hasan riwayat imam Baihaqi (III/383)]
Al-Hafidz al-Mundziri berkata bahawa dari Ali bin al-Husein bin Syaqiq berkata, ‘Aku mendengar Ibnu al-Mubarak pernah ditanya oleh seseorang, ‘Wahai Abu Abdurrahman, aku memiliki sebuah luka, luka ini telah ada sejak 7 tahun. Sungguh aku telah berubat dengan berbagai macam pengubatan, aku bertanya pada para tabib, dan aku tidak mengambil manfaat darinya.’
Abdullah bin Mubarak berkata, ‘Carilah tempat manusia memerlukan air dan galilah sumur di sana, aku berharap semoga memancar mata air darinya, dan air tersebut dapat menahan darah dari tubuhmu.’ Lalu orang tersebut melakukannya, ia pun sembuh dari penyakitnya.”
Lihat At Targhib wa Tarhib karya Syeikh Al-Albani, hadis no. 953 dan 954
Demikian hebat dan mulianya sedekah. Apa lah malang dan bebalnya ada orang berstatus ustaz pula dok jadikan amal sedekah orang bahan hinaan dan cacian. Ingatkan orang awam saja yang jahil, rupanya dah menjadi ustaz pun jahil jugak, mungkin ini yang dikatakan jahil murakkab (bodoh 2 kali ganda).
Wallahu a’lam
On Monday, December 2, 10:42 AM, ernest prtdi wrote :
Assalamu’alaikum, moga tuan ustaz mad baik-baik saja. Apa pun syukron atas artikel yang memberi menafaat banyak ni.
Mula-mula baca ada rasa tak percaya yang ada ustaz perangai macam ni. Tapi lama dok pikir, apalah yang nak dihairankan, malah tak pelik pun hal ada penceramah ugama merapu macam ni. Dia ingat hukum hakam sedekah ni seperti yang keluar dari akal pikiran dia saja.
Saya setuju dengan syeih Mad, orang berilmu takkan berperangai macam ni, mustahil tak tahu hukum hakam, adab sopan dan cara berda’wah. Bukan nak tuduh tapi nak kata saja ; dia nak duit tu sebetulnya.
Memang dunia akir zaman penuh dugaan, so teruskan ja sedekah apa yang kita mampu, supaya mendapat redho Allah, bukan dia tu pulak yang boleh jadi hakim dan bagi pahala.
wassalam
On Monday, December 2, 10:42 AM, mohdpoziatan wrote :
Assalamu’alaikum, moga semua rakan jamaah khususnya al fadhil ustaz abang mad dalam rahmat Allah sentiasa. Saya pun nak ambil kesempatan menulis dalam suasana yang baik ini.
Dari Salim bin Abdullah bin Umar dari ayahnya Rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. telah memberi sesuatu kepada Umar bin al-Khattab. Maka Umar berkata : Berikanlah kepada orang yang lebih fakir daripada aku. Nabi bersabda : Ambillah lalu kembangkan atau engkau sedekahkan. Sesuatu yang datang kepada mu dari harta ini sedangkan engkau tidak mengharap dan tidak memintanya maka ambillah dan sesuatu yang tidak datang kepada mu maka janganlah engkau ikutkan diri mu pada sesuatu itu."
Hadis sahih riwayat imam Muslim
kita-kita sekarang ni lebih mudah dan senang bersedekah. Ini bersesuaian dengan arus semasa yang membolehkan kita bersedekah menggunakan potongan bank, mnerusi SMS dan macam-macam kemudahan lain. Lebih-lebih lagi sebahagian besar ummat muslimin boleh dikatakan sudah memiliki lebih dari keperluan diri sendiri.
Sekarang ni pun ramai manusia sanggup menipu untuk mendapatkan sedekah. Penipu amatur dan pro ribuan tahun dah ada. Yang paling ditakuti sekarang penipu atas nama agama : jual jampi, jual serampah, jual ayaq sejuk, upah amal, upah buat ibadah, upah baca ayat Allah dan macam-macam perbuatan karut lagi, yang nampak macam alim sesangat, walhal nak cari duit saja. Yang tepatnya menjual agama untuk mendapat untung wang mudah. Lagi pun orang ramai dah macam kena psiko : takkan bertanya banyak kerana nak menyumbang kepada agama.
Cerita dan penjelasan dari ustaz mad ni memang betul. Terpulang lah kepada kita untuk membuat penilaian, supaya jangan kerana nak taat ugama rupanya kita tertipu atas kebatilan yang disangka agama.
Moga Allah Swt. rahmati kita semua. Nak sedekah pun ada tatacaranya, nak meminta pun ada tatacaranya. Dengan menghalusi hal ini, takkan kita tertipu dan dapat tangkap penipu jual agama.
InsyaAllah.
On Monday, December 2, 3.03 PM, poison_ivy wrote :
Terima kasihlah atas pencerahan ustaz, panjang berjela, baca 3 round baru abis.
Marilah kita terus bersedekah dengan apa yang kita mampu. Kalau nak ikut apa orang kata, memang susah hidup, tambah lagi yang ada kepentingan sebalik mee, apa saja yang kita sedekah pun semua tak betul, maksud sebenar, bagi kat dia baru betul, lagi banyak lagi bagus.
Terima kasih la atas artikel yang bermanfaat nih.
Wassalam.
On Tuesday, December 3, 10.41 AM, jalil subaltern wrote :
Assalamu’alaikum
Terima kasih tuan, tak henti-henti memberi kat saya nih kuliah yang bagus, mudah-mudahan mendapat balasan kebaikan dan saya pun mendapat banyak pengajaran. InsyaAllah, kalau ada kesempatan nanti saya singgah di rumah. Nak joint kuliah pun payah, duduk jauh ni. Apa pun selamat maju jaya
Wassalam
Catat Ulasan