بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71
Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), dan setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma ba’du.
Saya tuliskan artikel ini bermula pada 1 Januari 2013. Ini adalah siri ke 5, yang mana 4 artikel terdahulu :
1. Adakah Qiyamat Pada 2012 (Siri 1)
2. Adakah Qiyamat Pada 2012 (Siri 2)
3. Gempa Bumi : Peringatan Allah tentang Qiyamat
4. Tanda Qiyamat : Adakah Dunia Akan Bergelap 3 Hari
Berikutan daripada itu, ada sebahagian dihujjah balas, ringkasannya begini :
A. Intipati hujjahannya adalah tidak bersetuju dengan ketetapan hal ghaib hanya diketahui Allah Swt. dan rasul-Nya sahaja, dengan alasan para waliyullah turut diberi hak mengetahui yang ghaib (menerusi ilmu laduni, anugerah, kelebihan, kasyaf dan selainnya yang juga dipercayai diberikan oleh Allah). Disusuli pula dengan bukti dari kisah-kisah pelik-pelik, mimpi-mimpi, tahayul dan berhantu-hantuan yang hakikatnya tak ketahuan sumber mana untuk dinilaikan keabsahannya, sebaliknya disuruh percaya sahaja. Sedangkan sabdaan Nabi Saw. pun para ulama’ bertungkus lumus berusaha untuk menentukan sahih, dhaif atau palsu supaya manusia tidak terkeluar dari As Siraatul Mustaqiim dengan mengikuti/mengimani yang benar dan sah sahaja.
Kalam mereka ini telah dijawab dengan Kalamullah sendiri :
"(Dia adalah Tuhan) Yang Maha Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu.
Kecuali kepada rasul yang diredhaiNya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya."
Surah Al Jiin (72) : ayat 26-27
“Dari Abdullah bin Umar Rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Kunci-kunci ghaib itu lima ; Sesungguhnya hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dia-lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada didalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok, dan tiada yang seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm.
Imam Muhammad ibn Ahmad ibn Abu Bakr Al Ansori Al Qurthubi Al Andalusimenyebutkan pendapat Abdullah Ibnu Abbas Rhu. yang mengatakan bahawa kelima kunci-kunci ghaib tersebut tidaklah ada yang mengetahuinya kecuali Allah Swt. Hal itu juga tidak diketahui oleh para malaikat juga para Nabi yang diutus. Maka barangsiapa yang menganggap bahawa dirinya mengetahui sesuatu tentang itu semua maka orang itu telah mengingkari Al Qur’an dikeranakan ia telah menyalahinya.
Kitab Al Jami’ Li Ahkamil Qur’an (Tafsir Al Qurthuby), Juz 14 halaman 400
Kalaupun ada pihak selain Allah Swt. yang mengaku tahu perkara ghaib, maka dia adalah para rasul Allah yang diredhaiNya. Sedangkan sejak diutus Nabi Muhammad Saw. 1450 tahun yang lalu, pintu keNabian dan keRasulan telah ditutup oleh Allah Swt. Berarti, siapapun dewasa ini yang mengaku tahu atau membawa perkara yang ghaib, maka pasti sekali dia adalah seorang pendusta dan penipu. Dia bukan seorang wali Allah malah dia lebih pantas disebut sebagai seorang wali syaithan. Satu taraf dengan pak nujum, tukang ramal dan segala macam paranormal. Lantaran bukanlah sifat seorang wali apabila mengkhabarkan berita tentang perkara ghaib, ia hanya datang dari perasaan dan prasangka sendiri.
Itulah sebabnya di dalam ajaran Islam segala pengetahuan mengenai perkara yang ghaib haruslah bersumber hanya dari Allah Swt. atau Rasulullah Saw. ya’ni berdasarkan Al Qur’an serta hadits sahih. Misalnya, jika seorang da’ie berbicara mengenai alam kubur, tanda-tanda qiyamat, alam tidak tampak serta kehidupan di alam akhirat, maka dia hanya boleh menjelaskannya jika berdasarkan ayat Al Qur’an dan hadits sahih. Jika seorang da’ie berbicara mengenai hal-hal seperti itu namun tidak berlandaskan ayat atau hadits, berarti ia telah menempatkan dirinya sebagai salah satu pemuja thaghut. Dan orang yang membenarkan ucapan-ucapan da’ie seperti itu berarti ia telah mengimani thaghut. Dan mengimani thaghut berakibat kepada batalnya iman seseorang. Lantaran dia telah melepaskan dirinya secara sedar dan waras, dari 2 kalimah toyyibah yang merupakan buhul tali yang amat kuat yang tidak akan pernah putus (Surah Al Baqarah [2] : ayat 257).
B. Ada sebahagian yang menyanggah, bahawa semua khabar itu diyaqini boleh saja jadi benar atau tidak benar, antara boleh dipercaya atau boleh tidak. Yang membentuk imannya itu : sekejap percaya sekejap tidak. Maka diputuskan tidak boleh ditolak terus. Ini didasari pula dengan khabar palsu yang dicatatkan dari berbagai riwayat, antaranya : imam al Hakim di dalam al-Mustadrak dan imam Asy Syafi’e di dalam Musnadnya. Khabar ini diriwayatkan dari beberapa periwayat yang lemah yang dicop sebagai pendusta dan tukang pemalsu hadis seperti Ibn Lahi’ah dan al-Haris. Saya tuliskan semula khabar yang disebut itu tanpa perubahan.
Dari Nu'aim bin Hammad meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Rasulullah SAW bersabda : Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan itul..."Kami bertanya: "Suara apakah, ya Rasulullah? Beliau menjawab : Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan solat Subuh pada hari Jumaat, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah : Mahasuci Al-Quddus, Mahasuci Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus", kerana barangsiapa melakukan hal itu akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu akan binasa". (Al Hadis)
Inilah natijahnya, apabila pendidikan aqidah Islam tidak ditekankan secara yang sepatutnya. Kita lebih banyak menumpukan amalan fiqh itu pun secara secara taqlid ikut-ikutan membuta tuli sahaja dan berlebih-lebih pula dalam hal fadhail amal, sehingga melupai persoalan paling pokok Islam ya’ni aqidah. Juga lebih suka mendengar kata-kata berbanding merujuki nas dasar Islam sendiri yaitu dalil yang sahih, soreh dan qat’ie dari Al Qur’an dan As Sunnah. Demikianlah sebabnya ramai orang Melayu Islam sekalipun bersolat dan kelihatan alim dalam segala hal, hakikatnya begitu mudah terpengaruh dengan segala macam khurafat, bomoh, tahayul dan seumpamanya. Paling menjengkelkan, manusia dikatakan alim ini pula yang menjadi tekong memburu hantu, sekaligus menarik banyak manusia lain ke alam tahayul, khurafat, mimpi-mimpi dan bid'ah.
Jika kita jelas dan tegas dalam persoalan aqidah, tentu segala perkhabaran dhaif, palsu, khayalan dan diada-adakan seperti itu, serta unsur-unsur penyembahan agama lain tidak akan dapat mengelirukan aqidah dan pemikiran ummat. Ketegasan dalam aqidah pasti sekali melahirkan ummat yang jelas tahu mana batasan antara iman dan kufur, tegas pendirian dan mantap tentang apa-apa yang berhak ditundukpatuhi (al wala’) dan apa yang wajib ditolak (al bara’). Dalam kata lain, aqidah suci Islam ini melahirkan ummat yang teguh pendirian sehingga sanggup menitiskan darah sekali pun sekiranya perlu demi mempertahankannya, dan dalam keadaan biasa amat kekar, jitu serta waras pendirian yang dengannya sebegitu mudah dia memilih untuk menerima yang mana benar (untuk diamalkan) dan yang mana salah (untuk ditolak dan tidak diamalkan).
Dan bukanlah sifat dan ciri aqidah suci Islam itu, melahirkan sekelompok ummat yang terketar-ketar imannya, bergoncang-goncang aqidahnya, sehingga tidak tahu membezakan yang mana satu benar dengan yang mana salah. Malah akhirnya menganggap segala benar atau salah itu sama dan serupa sahaja, seterusnya menjadikan keduanya pula bercampur baur. Kegoncangan aqidah inilah penyebab timbulnya fahaman “boleh dipercaya atau boleh tidak”. Hakikatnya, mana mungkin segala macam khabar dhaif dan palsu, ramalan dan teka-tekaan dijadikan kepercayaan. Kalaulah begitu fahamnya, segala yang haq (kalamullah dan sabdaan rasulnya yang sahih) sudah menjadi satu taraf sahaja dengan segala macam khabar bathil dan palsu.
Hakikatnya, perbuatan mencampuradukan antara yang haq dengan yang batil ini adalah menyembunyikan al haq (kebenaran) dan memesongkan makna ilmu pengetahuan dari pemahaman sebenarnya. Ini perbuatan amat bathil dan besar dosanya. Demikianlah pesanan Allah Swt. di dalam KalamNya :
“Dan janganlah (sekali-kali) kamu mencampuradukkan kebenaran dengan kebathilan, dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 42
C. Paling ramai yang menyanggah dengan berhujjahkan bahawa disampaikan segala ramalan dan perkhabaran dari kalam manusia itu bukanlah berhasrat menafikan kebenaran Kalamullah dan sabdaan rasul-Nya, tetapi ia dikisahkan tidak lebih sebagai memberi peringatan semata-mata supaya manusia tidak leka dan boleh menguatkan lagi ketaatan kepada Islam. Realitinya, inilah antara kepercayaan yang paling pelik dari segala jenis kepelikan yang ada dimuka bumi selama ini.
Yang semestinya kita ingat, manusia berada di dalam kekeliruan disebabkan mereka tiada pengetahuan. Dan pengetahuan itu pula mestilah pengetahuan yang benar. Dan pengetahuan yang benar itu mestinya datang dari Kalamullah dan sabdaan rasul-Nya. Terimalah hakikat bahawa kekeliruan yang berlaku disebabkan khabar yang jelas dan benar itu tidak diketahui, sehingga menyebabkan manusia ini berpaling dan berpegang kepada segala macam khabar dhaif, munkar, palsu dan diada-adakan. Khabar-khabar sebegitulah yang berlegar-legar disekeliling, diceramahkan, dikuliyahkan, dicucuk-cucuk ke dalam hati nurani ummat sehingga menenggelamkan khabar-khabar yang haq. Yang menjengkelkan, khabar-khabar palsu ini pula dijaja oleh orang-orang terhormat dan dianggap serba tahu dalam masyarakat. Natijah paling besar adalah manusia awam yang pastinya serba tidak tahu, tidak lagi tahu membezakan yang mana khabar benar dan khabar palsu, sebaliknya tangkap borong dengan menghadam sahaja semua sekali lantaran ia terkeluar dai mulut orang yang dianggapnya sangat tahu.
Adakah tidak cukup kalamullah dan sabdaan rasul-Nya untuk memperingatkan manusia tentang haqiqat qiyamat? Tidak lengkapkah ia untuk membawa manusia ke As Siraatul Mustaqiim? Justeru itu, sampaikanlah peringatan dengan kalimat dan kata-kata yang haq ya’ni kalamullah dan sabdaan rasul-Nya. Inilah bentuk khabar yang tidak ada keraguan padanya, sentiasa menjadi rahmat kepada seluruh alam dan membawa kebaikan di akhirat jua. Inilah jua kalam yang mengalahkan segala macam khabar lain dan cukuplah ia menjadi saksi kita di akhirat nanti, dan tiada suatu apa pun selainnya yang boleh berbuat seperti itu. Mari kita perhatikan Kalamullah ini :
“Dia-lah (Allah Swt.) yang mengutuskan Rasul-nya dengan Huda (petunjuk - Al Qur’an) dan Ad Diinul Haq (agama yang benar – Islam), agar dimenangkan-Nya dari semua agama (yang lain). Dan cukuplah Allah sebagai saksi.”
Surah Al Fath (48) : ayat 28
Maka, khabarkanlah Kalamullah dan sabdaan Nabi-Nya kepada manusia, bukannya membuang masa, memperbodohkan orang banyak serta menjadi agen kafirin pula dengan mendendangkan segala macam khabar dhaif, munkar, palsu dan diada-adakan, waima atas niyat apa pun, kalau pun seronok didengar.
Para jamaah yang dirahmati Allah Swt.
Tentu sekali kita akan turut merasa sedih, tertanya-tanya, gundah dan pilu hati, walau pun tidak merasakan langsung musibah yang menimpa ummat manusia lain, apatah lagi kengerian gempa yang diturunkan Allah, yang dikhabarkan lewat KalamNya. Sesungguhnya semua itu memancarkan betapa Allah Maha Kuasa terhadap apa jua pun sekaligus membuktikan bahawa kita hanyalah manusia yang tidak berdaya, sekadar makhluk yang lemah.
Semua musibah dan bencana ini bukanlah tanpa makna dan tiada arti apa-apa kerana tidak mungkin Allah menciptakan sesuatu yang sia-sia. Musibah-musibah ini hakikatnya mengajak kita untuk kembali bermuhasabah diri bahawa tiada lain : kita ini hanyalah makhluk lemah yang tertakluk dalam genggaman kekuasaan Allah, sebagaimana firman-Nya :
“Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.”
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 28
Demikian juga Allah juga telah memperingatkan bahawa setiap makhluk hidup pasti akan mendapatkan ujian dan cubaan berupa kesenangan dan kesusahan, kebaikan dan keburukan yang tiada lain hanyalah supaya semua itu menjadi i’tibar dan ‘ibrah supaya kita sentiasa kembali kepada Jalan-Nya, sebagaimana firman-Nya :
“Dan Kami bahagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan; di antaranya ada orang-orang yang solih dan (sebahagian) di antaranya ada yang tidak demikian. Dan Kami cuba mereka dengan (ni’mat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).”
Surah Al A’raaf (7) : ayat 168
Ujian yang baik-baik yang Allah turunkan kepada kita berupa ketaatan, hidayah, kesihatan, kedamaian, kekayaan, rumah tangga yang harmonis, keamanan dan segala hal yang menyenangkan kita. Sedangkan ujian yang buruk-buruk berupa kemaksiatan, kesesatan, sakit, menderita, kesusahan, kemelaratan, rumah tangga yang tidak harmonis, ketakutan dan segala macam perkara yang tidak menyenangkan kita.
Semua itu, waima baik atau buruk hanyalah ujian ke atas kita sebagai salah satu fenomena dunia yang semestinya kita tempuhi dengan iman, sabar dan redha. Mari renungkan firman Allah Swt. berikut sebagai motivasi kebaikan bagi kita semua :
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi (kepada) mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.”
Surah Al A’raaf (7) : ayat 96
Justeru itu, yang paling penting bagi kita bukanlah mengetahui bila terjadinya qiyamat, dengan segala macam ramalan dan kekarutan kalam dan perbuatan manusia, akan tetapi, semestinya dari segala perkhabaran yang telah lengkap sempurna dari Allah dan rasul-Nya, yang amat cukup untuk menanyakan apa yang telah kita siapkan untuk menghadapi hari qiyamat yang pasti akan datang itu. Paling asas, ingatlah, setiap detik yang kita lalui dan setiap harta yang kita belanjakan pasti akan dimintai pertanggung jawabannya di akhirat kelak. Rasulullah Saw. telah bersabda :
“Tidak akan bergerak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sampai dimintai pertanggung jawaban tentang empat perkara, tentang umurnya ke mana ia habiskan, tentang hartanya dari mana ia dapatkan dan ke mana ia belanjakan dan tentang badannya untuk apa ia pergunakan.”
Hadis riwayat imam Tarmidzi Rhm. disahihkan oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm. dalam kitab Sohihut Targhib, no. 126
Dalam hadits Anas, ada bimbingan Rasulullah Saw. bagi ummat ini untuk segera bangkit dari kelalaian dan bergegas menyiapkan bekal menghadapi hari qiyamat yang telah dekat.
“Dari Anas bin Malik Rhu. bahawasanya seorang Arab dusun bertanya kepada Nabi Saw. : Bila terjadinya hari qiyamat? Maka Nabi Saw. bertanya kepadanya : Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapi hari itu?. Dia menjawab : Tidak banyak bekalku, tetapi aku mencintai Allah Allah dan Rasul-Nya. Maka Nabi Saw. bersabda : Engkau akan bersama dengan yang engkau cintai.
Sabda Rasulullah yang mulia ini benar-benar membahagiakan para sahabat. Kebahagiaan itu terungkap dari ucapan Anas berikutnya :
“Tidaklah kita berbahagia (setelah Islam) sebagaimana bahagianya kita dengan sabda Nabi : Engkau bersama orang yang kau cintai. Kemudian Anas berkata lagi : Maka aku mencintai Nabi, Abu Bakr dan Umar; aku berharap akan bersama mereka (di jannah) dengan kecintaanku pada mereka meski aku tak mampu beramal sebagaimana amal mereka.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. no. 3688 dan imam Muslim Rhm.
Alangkah indahnya sabdaan Baginda Saw. dan betapa jujurnya sahabat Anas Rhu. Sungguh marilah kita pun berkata dan mengotakannya :
“Ya Allah aku mencintai Nabi-Mu, Abu Bakr As-Siddiq, Umar bin Al-Khattab, Utsman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Al-Hasan, Al-Husain, Ummahatul Mukminin & seluruh sahabat-sahabat Nabi-Mu. Aku berharap kepada-Mu, ya Allah, Engkau kumpulkan diriku bersama mereka di Firdaus-Mu… Walau aku tak mampu beramal sebagaimana amalan mereka. Walau aku tak mampu bertaubat sebagaimana taubat mereka. Perkenankanlah Ya Rabbi, permohonan hambaMu ini…….
Disember 2012 diramalkan sebagai hari berakhirnya dunia. Ramalan ini bukanlah kedustaan pertama dalam peradaban manusia. Ramalan-ramalan qiyamat sebenarnya telah tercatat dalam catatan panjang sejarah peradaban manusia, namun tetap saja ramalan serupa sentiasa dihembuskan ditengah-tengah manusia. Muslim yang kekar teguh aqidahnya akan segera melihat ramalan ini sebagai kedustaan. Akan tetapi, di saat berita ini diterima oleh orang yang lemah imannya, yang tak mengerti aqidah yang benar, akan goncanglah jiwanya dan sempitlah dadanya.
Ada satu sisi lain yang ingin diingatkan di sini. Sesungguhnya musuh-musuh Islam terus berusaha menghembuskan berita-berita dan keyaqinan yang merosak aqidah ummat dengan segala media yang mereka miliki. Berita qiyamat 2012 adalah sebahagian kecil dari upaya musuh Islam mendangkalkan aqidah dan akhlak kaum muslimin. Dari sini muncul sebuah pertanyaan : Apa benteng untuk menghadapi perang saraf pemikiran itu?
Sungguh satu-satunya jawaban hanyalah Al-Kitab dan As-Sunnah sebagai benteng dari kesesatan itu. Al-Kitab dan As-Sunnah adalah pelita di tengah kegelapan dan benteng dari apa jua kesesatan. Apapun ujian/godaan yang menimpa, ketika seorang mengembalikan kepada keduanya nescaya dia dapatkan jawaban yang membantah semua kepalsuan. Seorang mukmin yang mengenal Allah, Rasul-Nya dan agama Islam, ketika ramalan qiyamat mengetuk gendang telinganya, dia akan segera tersentak dan menjawab, bahawa dalil-dalil Al-Kitab dan As-Sunnah secara tegas menunjukkan bahawa qiyamat tak ada yang mengetahuinya kecuali Allah.
Mempercayai ramalan atau separa percaya terjadinya qiyamat pada tahun 2012 termasuk kesyirikan dan kekafiran kepada Allah Swt. Padahal setiap Mukmin tidak saja dituntut untuk menjauhi kekafiran, tapi juga dituntut untuk membenci kekafiran tersebut dan pelaku-pelakunya. Inilah satu permasalahan penting dalam aqidah seorang Muslim yang dikenal dengan istilah al-wala’ wal bara’, kecintaan dan permusuhan. Bahawa cinta seorang Mukmin kepada iman dan orang-orang yang beriman dan kebenciannya kepada kekafiran dan orang-orang kafir. Nabi Ibrahim Ahs. telah memberikan tauladan yang baik dalam hal ini :
“Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagi kalian pada Ibrahim dan orang-orang yang bersamanya; ketika mereka berkata kepada qaumnya : Sesungguhnya kami berlepas diri dari kalian dan apa yang kalian sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran) kalian serta telah nyata antara kami dan kalian permusuhan dan kebencian untuk selama-lamanya, sampai kalian beriman kepada Allah saja.”
Surah Al Mumtahanah (60) : ayat 4
Sehingggalah termasuk kekafiran para manusia yang :
1. Apabila seorang mencintai atau meredhai kekafiran meskipun ia tidak melakukannya,
2. Apabila seorang mencintai orang kafir kerana kekafirannya.
Adapun seorang yang mencintai orang kafir bukan kerana kekafirannya, seperti kerana dunia dan lainnya, maka tidak termasuk kekafiran, namun termasuk dosa besar.
Asy-Syaikh Solih Alu Syaikh hafidzahullah, kitab Syarhu Tsalatsatil Usul, halaman 27
Para jamaah yang dirahmati Allah Swt.
Allah kurniakan ni’mat aqal kepada manusia yang membezakan dengan binatang, dan aqal itulah menghasilkan berbagai penafsiran tentang fenomena alam semesta ini. Segala ramalan dan tekaan terhadap perkembangan alam mahu pun kehidupan seluruhnya, merupakan tidak lebih dari teori-teori, sepertihalnya teori ledakan besar, hentaman komet, teori ini dan itu. Dan sebagaimana lahirnya sebuah teori, seterusnya akan ada pula pemikir lainnya yang melakukan penyanggahan dengan berbagai teori lainnya dan begitulah selanjutnya. Maka tidak hairan, hanya tunggu dan lihat, akan ada tarikh baru hari qiyamat tidak lama lagi. Ada pun hakikat kebenarannya dalam hal ini, tetap kekal tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah Swt. semata-mata.
”Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz).”
Surah Al An’aam (6) : ayat 59
Kabar dekatnya qiyamat telah pun berlalu 14 abad silam. Kerana itu ramai yang tertanya-tanya : Jika telah dekat, kenapa hingga saat ini belum ditegakkan? Lantaran itulah timbul segala macam teori dan ramalan. Kata-kata ini boleh muncul sebagai bentuk pengingkaran orang kafir atas berita Allah dan Rasul-Nya. Atau, mungkin juga pertanyaan ini adalah tiupan was-was syaithan yang dibisikkan kepada sebahagian dada Muslimin. Ada pun orang kafir, keingkarannya telah jelas. Ungkapan ini sangat wajar muncul dari mulut orang-orang yang hatinya telah buta dan telinganya telah tuli. Dengan mudahnya mereka ingkari qiyamat dan hari kebangkitan, sebagaimana Allah sebutkan :
“Orang-orang yang kafir mengatakan, bahawa mereka sekali-kali tak akan dibangkitkan. Katakanlah (wahai Muhammad) : Tidak demikian, demi Rabbku, benar-benar kamu akan dibangkitkan, kemudian akan diberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”
Surah At Taghabuun (64) : ayat 7
Sememangnya Allah telah menutup hati-hati orang kafir yang tidak beriman dengan hari qiyamat, sedangkan orang beriman sangat takut dengan kedatangan hari tersebut.
“Orang-orang yang tidak beriman kepada hari qiyamat meminta supaya hari itu segera didatangkan dan orang-orang yang beriman merasa takut kepadanya dan mereka yakin bahawa qiyamat itu adalah benar (akan terjadi). Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang terjadinya qiyamat itu benar-benar dalam kesesatan yang jauh.”
Surah Al Syura (42) : ayat 18
Maka itu, tidak hairanlah mengapa orang-orang kafir dan Barat khususnya sangat suka bermain dengan “nombor” dan “tahun” untuk menetapkan sendiri hari qiyamat. Sudah pun termaktub, para kafirin ini suka menyebut tentang hari qiyamat dan mahu ianya disegerakan. Ini jelas kerana mereka tidak percaya dan berasa takut kepada hari qiyamat apatah lagi percaya kepada adanya azab Allah Swt.
“Maka mengapa mereka (orang-orang kafir) berpaling dari peringatan (Allah)?, seakan-akan mereka itu keledai liar yang lari terkejut, lari daripada singa. Bahkan tiap-tiap orang dari mereka berkehendak supaya diberikan kepadanya lembaran-lembaran yang terbuka. Sekali-kali tidak, sebenarnya mereka tidak takut kepada negeri akhirat.”
Surah Al Mudatssir (74) : ayat 49 -53
2012 telah pun berlalu, di saat ini kita masih bernyawa dan terus menyelusuri hidup seperti biasa. Lantaran itu berusahalah untuk menunaikan yang dituntut ke atas kita seluruh ummat Muslimin, ya’ni mengimani dengan sebenar-benarnya bahawa qiyamat itu pasti berlaku dan sudah dekat, tanpa perlu berkeluh kesah mencari bilakah ia akan berlaku. Kerana itu Nabi Saw. mengajarkan kita supaya sentiasa redha dengan ketentuan Allah Azzawajalla ini, dan disuruh sentiasa bersedia untuk menghadapinya.
Maka jelas sekali bahawa segala ramalan, teori, khayalan dan analisis tentang qiyamat ciptaan kafirin ini benar-benar tak berguna, palsu, menyesakkan otak dan memesongkan aqidah manusia dari kebenaran. Maka, telah terbukti sekali lagi hanya Allah Swt. dan rasul-Nya sahaja yang benar. Adakah semua ini masih tidak cukup untuk kita mendapat pelajaran! tepuklah dada, tanyalah iman.
والله تعالى أعلم , وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan