From: "Syalikh Nizar,
Abdul Malek"
To: edd zahir
Sent: Monday, November 19, 2012 3:45 PM
Subject: BETUL KE? Dunia akan bergelap 23 hingga 25 Dec 2012 ataupun
.............?
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Moga
Pak Lang dalam rahmat Allah Swt. sentiasa. Ada sedikit hal saya nak dapatkan
penjelasan. Saya ada menerima satu email yang memberitahu berkenaan dunia akan
bergelap selama 3 hari pada 23 hingga 25 Disember 2012. Saya sertakan kandungan
email itu dan mohon Pak Lang buat sedikit kupasan berkenaan hal ini.
Jasa
baik sangat dihargai.
Wassalam
Assalamualaikum untuk semua
pembaca.
Semalam 18/11/12 (Ahad) Ada Ceramah Maal
Hijrah di Surau XXXXX, Spg Ampat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang selepas
solat isyak dimana penceramah undangan Ust XXXXXXXX dari Kulim. Pertama kalinya
ust. meminta persetujuan dari jemaah utk tidak membincangkan cerita
penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W kerana tajuk yang sama selalu dicerita setiap
kali ada ceramah Maal Hijrah. Ia cuma ingin menyetuh bab Qiamat.
Dan selesai menceritakan bab tanda-tanda
qiamat. Ia pun mengeluarkan satu risalah bahawa dunia akan bergelap dari tarikh
23, 24 & 25 Decembar 2012 kajian yg dibuat oleh NASA dan dibandingkan
dengan buku yang bertajuk "Peringatan
Di Akhir Zaman" Oleh Ust
XXXXX keluaran tahun 1995.
dimana didalam buku tersebut ada
menyebutkan akan terjadinya gelap dalam tiga malam iaitu sama dengan kajian
yang dibuat oleh NASA. Ust berpesan pada semua jemaah berhijrahlah bermula
malam ini dengan banyak membaca Al-Quran, Bertahajjud, Solat Berjemaah dan
banyak melakukan kebaikan dan menjauhkan yang dilarang oleh Allah kerana kita
tidak tahu apa akan terjadi hanya Allah yang tahu bila Qiamat akan berlaku
walau bagaimanapun kita harus berwaspada & beringat kerana tanda-tanda
qiamat semankin lama semankin banyak.
Setelah balik saya pun memasuk blog-blog
di Internet, banyak juga blog yang membincangkan hal yang disebutkan oleh ustaz
dan macam-macam pandangan dari blogger ada yang setuju, ada yang menafikan dan
ada yang neutral mengenai (Dark of the Earth). Saya ada sertakan lebih kurang
6 atau 7 dari ulasan yang sempat saya ambil dari internet untuk tatapan
kawan2 semua termasuk dari halaman dari buku yang saya copy dari ustaz
tersebut.
Mungkin betul teori oleh NASA
ramalan yang di dunia ni akan bergelap pada tarikh tersebut??
& mungkin kiamat yang akan terjadi pada tahun 2012?? ..
betul ke semua tu .. percaya tu bole la .. tapi jangan percaya sangat .. kang
jadi syirik pulak .. qiamat hanya ALLAH S.W.T yang tahu manusia tak ada yang
tahu kiamat tu bila nak datang .. ade yang cakap qiamat esok datang .... qiamat
sudah dekat ??? betul la tu .. sekarang banyak sangat manusia yang bertukar
jantina .. buang bayi merata-rata .. pembunuhan & bunuh diri....zina...
bermegah ngan mesjid & bangunan tinggi...banyak berlaku gempa bumi...itu
semua tanda kiamat deh ..
ok balik ke topik semula.
Kiamat
pasti berlaku seperti yang dinyatakan Allah di dalam Kitab Al-Quran dan
dinyatakan kebenarannya di dalam banyak hadith rasulullah s.a.w. Apa yang
penting ialah persiapan kita untuk menghadapinya. Perbanyakkan taubat dan
pertingkatkan amal soleh untuk bekalan kita kembali menghadap Allah di akhirat
kelak. Penghayatan tentang kiamat itu amat penting agar kita sentiasa berusaha
mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhkan diri daripada menjadi pengikut
iblis dan syaitan alaihi laknatullah.
Ramai di kalangan kita umat islam sudah tahu dengan yakin akan berlakunya hari
kiamat itu, akan tetapi ramai yang tidak mahu mengambil iktibar mengenainya. Malah
semakin aktif melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Mudah-mudahan kita tidak
termasuk di dalam golongan ini. Na'uzubillahi min zaalik. Setakat itu ajelah
ilmu yang dapat saya ambil dari ceramah tersebut.
Sekian.
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي
أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي
صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Saya memberikan sedikit ulasan berdasarkan pengkisahan yang Tuan
berikan tersebut.
Mempercayai
adanya dan berlakunya hari qiyamat adalah Rukun Iman yang seluruh ummat
mukminin tiada pilihan, yang tidak boleh tidak, mesti beriman kepadanya.
Ketentuan ini djelaskan oleh Allah Swt. dan junjungan mulia Rasulullah Saw. :
“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah
timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu
ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab,
nabi-nabi dan ……………”.
Surah Al Baqarah (2) : sebahagian ayat 177
Iman
adalah suatu kepercayaan amat teguh dan tersimpul mati yang tersemat di dalam
hati terhadap Allah Swt.. Lantaran itu, membicarakan hari qiyamat mestilah
berdasarkan fakta qat’ie dan sahih sahaja seraya menafikan apa jua rekaan,
pendapat dan ramalan yang pastinya bathil. Iman yang suci tidak sesekali
tertegak di atas ilmu yang bathil. Mempercayai sesuatu yang bathil tentang
qiyamat atau sekurang-kurang terpengaruh kepadanya, telah menggoncangkan tahap
iman seseorang, malah boleh merosakkannya sehingga terjerumus menjadi kufur
(ya’ni terkeluar dari Islam). Moga Allah Swt. melindungi kita dari terjadi
begini.
Seterusnya lagi, Allah Swt. telah
berfirman :
“Katakanlah (wahai Muhammad) : Tidak ada
seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali
Allah, dan mereka tidak mengetahui (pun) bila mereka akan dibangkitkan.
Sebenarnya pengetahuan mereka tentang akhirat tidak sampai (kesana) malahan
mereka ragu-ragu tentang akhirat itu, lebih-lebih lagi mereka buta
daripadanya”.
Surah An Naml (27) : ayat 65-66
Ayat ini tegas menunjukkan tidak ada satu
apa pun makhluk yang mengetahui perkara ghaib, termasuklah bila waktu
terjadinya hari qiyamat. Lantaran itu, dalam membicarakan perihal qiyamat,
berpeganglah kepada dalil-dalil dari Al Qur’an dan hadis sahih
semata-mata. Seraya menolak hadis-hadis dan segala perkhabaran dhaif, mungkar
dan maudhuk demi kerana mengambil jalan paling benar dan selamat, demi
sesungguhnya berurusan dengan alam ghaib, alam yang lain dari alam fana yang
kita duduki sekarang, yang hanyalah Allah Swt. dan rasulNya sahaja yang lebih
mengetahui.
Oleh kerana itu, akal-akalan, pendapat,
pandangan, tekaan, ramalan dan sangka-sangkaan tidak boleh dipakai sama sekali
kerana Allah Swt. telah menghadkan akal pemikiran manusia setakat mana Dia
ingini yang tertakluk dibawah KuasaNya. Memandangkan dunia ghaib ini tidak
dapat kita lihat mahupun rasai, maka kita mesti kembali kepada Allah Swt. Yang
Ma’bud di samping Nabi Muhammad Saw. untuk menjelaskannya dan menetapkan segala
hukumnya.
Hal hari qiyamat ini sering disebut-sebut
bukanlah senghaja untuk menakutkan orang atau pun mendesak-desak orang sehingga
bingung dan terketar-ketar, akan tetapi sebagai seruan dan peringatan supaya
mereka kekal dalam mentaati Allah Swt. dan berpegang teguh selamanya dengan
Islam. Lantaran itu, mestilah ia diceritakan dengan kisah-kisah yang benar
bukannya cerita karut marut. Allah Swt. menjelaskan menerusi firmanNya :
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana
sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”.
Surah Adz Dzaariyat (51) : ayat
55
Persoalan oleh orang-orang bebal dan pembawa kisah karut marut ini juga turut
diungkapkan oleh Allah Swt. dalam beberapa ayat, bahawa orang selalu bertanya
kepada Rasulullah Saw. mengenai bila bakal terjadinya hari qiyamat sepertimana
firmanNya :
“Mereka bertanya kepada engkau tentang
sa’ah (hari qiyamat) ; Bilakah datangnya?”. Surah Al A’raaf (7) : ayat 187
Dan dijawab dalam firmanNya lagi :
“Siapakah kamu (sehingga) dapat
menyebutkan (waqtunya)?. Kepada Tuhanmu lah dikembalikan kesudahannya
(ketentuan waqtunya). Kamu hanyalah pemberi peringatan kepada sesiapa yang
takut kepadanya (hari qiyamat)”.
Surah An Naazi’at (79) : ayat 43-45
Sesungguhnya bilakah qiyamat itu akan
berlaku adalah hak mutlak Allah Swt. semata-mata dan tiada siapa pun pun
mengetahuinya. Sayugia diingatkan, orang yang bertanya tentang bilakah hari
qiyamat dalam dua ayat Allah di atas, adalah orang-orang kafir yang hasratnya
untuk memperolok-olokkan, mempermainkan, mengejek dan mentertawakan Nabi Saw.
dan ummat Islam, bukanlah pertanyaan itu kerana mereka berhasrat untuk memahami
Islam. Lantaran itu, sehingga saat kini pun, pihak yang sering membangkitkan
hal sebegini adalah golongan kafir atas niyat memperolok-olokkan aqidah ummat
Islam, menafikan terjadinya peristiwa itu dan mendustakan kejadiannya.
Sudah menjadi kesepakatan kaum muslimin
dan termasuk dari rahmat Allah Swt., bahawa qiyamat tidak datang dengan
tiba-tiba, akan tetapi setelah berlakunya tanda-tanda (sebagai peringatan bagi
manusia) yang akan terjadi sebelumnya. Al Qur’an sendiri tidak menyatakan
dengan tepat bilakah akan berlakunya qiyamat, akan tetapi dengan jelas
menyebutkan ada tanda-tandanya. Allah Swt. menjelaskan dalam firmanNya berikut
:
“Maka tidaklah mereka tunggu-tunggu
melainkan sa’ah (hari qiyamat), yaitu kedatangannya kepada mereka dengan
tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah
faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila sa’ah (hari qiyamat) telah
datang”.
Surah Muhammad (47) : ayat 18
Rasulullah Saw. juga menyatakan
tanda-tanda besar menerusi sabdanya :
“Dari Hudzaifah bin Usaid Al Ghiffari Rhu.
ia berkata : Rasulullah Saw. pernah muncul di hadapan kami ketika kami sedang
berbincang-bincang. Lalu Baginda bertanya : Apakah yang sedang kamu
bincangkan?, Para sahabat menjawab : Kami sedang membincangkan as sa’ah (hati
qiyamat). Baginda kemudian bersabda : Sesungguhnya qiyamat itu tidak akan
datang (berlaku) sehingga kamu melihat sepuluh ayat (tanda) sebelumnya. Lalu
Baginda menyebutkan: Dukhan (kabut/asap), Dajjal, Daabbah (binatang yang boleh
berbicara yang akan keluar dari perut bumi), terbitnya matahari dari tempat
terbenamnya, turunnya Isa bin Maryam Ahs., keluarnya Ya’juj dan Ma’juj,
terjadinya tiga gempa bumi di timur, barat dan jazirah Arab, dan yang terakhir
adalah keluarnya api dari Yaman yang menggiring manusia ke tempat berkumpulnya
mereka”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no.
2901)
Diantara tanda-tanda kecilnya telah
dinyatakan oleh Rasulullah Saw. menerusi sabdanya :
Dari Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab
Rhu. ia berkata : ....... Kalau begitu katanya, khabarkan kepadaku dari
tanda-tandanya sahaja. Rasulullah menjawab : tanda-tandanya itu ialah bila
hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak
berkasut, tidak berpakaian, miskin, penggembala kambing (berbangga-bangga)
menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan. Kemudian ia pun pergi ……”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no.
50) dan imam Muslim rh. (no. 9 dan 10)
Terdapat banyak lagi hadis-hadis sahih
yang mengkisahkan tanda-tanda kecil qiyamat ini. Sepanjang pengetahuan dan
pengajian saya, tidak kurang 42 hadis kesemuanya yang menyatakan tanda-tanda
itu merangkumi berbagai bab, antaranya :
1. Al Qur'an diangkat daripada dada (tiada
lagi orang menghafaz), Al Qur’an dilagu-lagukan dan dipertandingkan
tetapi tidak dilaksanakan pengajarannya. Al Qur’an ditulis cantik dan
dijadikan hiasan dinding
2. Banyak berlaku perzinaan, homoseks dan
lesbian
3. Masjid dibina indah, hebat dan
mahal-mahal tetapi tidak banyak ahli jama'ah dan tidak dijadikan
sebagai pusat gerakan Islam
4. Orang yang tak amanah diberi
tanggungjawab, orang yang amanah disingkirkan
5. Lelaki menyerupai perempuan dan
perempuan menyerupai lelaki secara terbuka tanpa segan silu
6. Pembunuhan secara aniaya berlaku secara
terang-terangan tanpa pembelaan
7. Ucapan salaam cuma diucapkan kepada
orang yang dikenali sahaja
8. Ibadah solat dan ibadah lain tidak
dihormati dan ditinggalkan
9. Orang jahat dan perosak diangkat
menjadi pemimpin dan ditaati
10. Ulama' menjual agama kerana
kepentingan dunia yang ditaati, ulama’ yang benar dikesampingkan
Sebegitu banyak Kalamullah dan kalam rasulNya yang mengkisahkan tanda-tanda
qiyamat sama ada tanda besar atau tanda kecil, tiada satu pun yang membicarakan
dunia akan bergelap selama 3 hari sebagai salah satu tandanya. Malah baru
sahaja berlalu, yang dikatakan akan berlalu sesuatu kegemparan dengan segala
macam keluh kesah, pada pada hari Jumaat, 15 Ramadhan tahun 1433
Hijriyah. Walhal hari itu telah pun berlalu tanpa berlaku suatu apa pun seperti
yang disebutkan. Cukup-cukuplah hidup kita dikelilingi kebathilan tanpa perlu biarkan
diri kita terus dihambakan oleh para penipu lagi.
Justeru itu, menetapkan tanda-tanda qiyamat,
sama ada telah, sedang atau akan berlaku merupakan satu aqidah yang benar-benar
sesat lagi menyesatkan, selagimana ia bertentangan sama sekali dengan nas-nas
sahih dari Allah Swt. dan rasulNya yang menjadi aqidah ummat Islam. Membuat
ramalan, meneka tarikh itu ini dan menceritakan kisah begitu begini tentang
qiyamat atau tanda-tandanya, kalau pun cerita yang amat menarik hati atau pun
berniyat untuk memperingati orang banyak, tetapi bukan bersumber nas sahih dan
qati’e, sesungguhnya ia suatu perbuatan bathil dan berhasrat menggugat iman ummat
Muslimin.
Sebenarnya, segala macam cerita dan
kisah-kisah tentang tanda qiyamat sebegini pada tahun 2012 ini dihasilkan
sebahagian besarnya oleh golongan kaafirun. Ia memang tidak lebih dari bentuk
ramalan, teka-tekaan, falsafah, luahan perasaan, hipotesis, teori, kisah
fiksyen (kisah rekaan), khayalan dan analisis palsu, yang ditaburkan ke
merata-rata dunia, dalam berbagai media dengan berbagai maksud.
Maka itu, sesiapa jua yang mahu memetik
cerita-cerita begini yang berkaitan hal ghaib dan qiyamat, wajib atasnya
memeriksa terlebih dahulu akan keabsahannya dari sudut syara’ sebelum
dikhabarkan secara semberono kepada orang banyak. Atas apa alasan pun ia
diungkapkan, adakah tidak cukup perkhabaran sahih, soreh dan qot’ie untuk
diperingatkan kepada manusia. Malah adalah wajib menjelaskan status sebenar
segala perkhabaran itu supaya ia tidak memperbodoh-bodohkan orang banyak yang
pastinya serba tidak tahu, yang sangat bergantung harap pengetahuannya kepada
orang yang mereka anggap serba tahu. Dan inilah amanah All;ah Swt. dan rasulNya
kepada setiap mu’allim, supaya berkata yang benar.
Justeru itu, sekiranya ada apa jua cerita
atau kisah yang berkaitan dengan qiyamat serta perkara ghaib waima dari sesiapa
pun, tanpa didasari nas sahihah, perkhabaran itu adalah bathil dan dia adalah
penipu. Tiada lainlah bahawasanya, wajib kita imani dengan sekuat-kuatnya
hanya Allah Swt. Yang Maha Tahu akan hal yang ghaib atau perkara belum pernah
terjadi sepertimana fimanNya :
”Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua
yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia
mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang
gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun
dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan
tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”.
Surah Al An’aam (6) : ayat 59
Kewajiban setiap hamba mukmin adalah untuk
mengimani dengan sebenar-benarnya bahawa Allah Swt. sahajalah yang mengetahui
perkara ghaib termasuk qiyamat.. Maka itu, barangsiapa yang mempercayai ramalan
dukun, tok nujum, paranormal, tukang ramal ataupun ramalan bintang tentang masa
depan, bererti dia telah menyekutukan Allah Tabaraka wa Ta’ala dengan sesuatu.
Asasnya, mempercayai ramalan adalah diharamkan sepertimana firman Allah Swt.
berikut :
“Wahai orang-orang yang beriman!
sesungguhnya (meminum) arak, (bermain) judi, (berkorban
untuk) berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah
perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu jauhilah
perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 90
Malahan, jika sekadar bertanya untuk ambil
tahu tanpa membenarkan atau mempercayai pun ucapan paranormal tersebut, ia
suatu dosa besar yang akan mengakibatkan tertolaknya solat seseorang selama 40
hari, tanpa menggugurkan kewajiban solat dari dirinya. Inilah maksud sabdaan
Nabi Saw. berikut :
“Barangsiapa yang mendatangi peramal lalu
bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40
malam”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. no.
2230
Maka itu, berpeganglah benar-benar segala
apa perkhabaran tentang hal qiyamat dan tanda-tandanya ini berdasarkan sumber
otentik dan qat’ie yaitu Kitabullah dan as sunnah rasulNya yang sahihah. Inilah
jalan yang lurus, yang tidak akan kita sesat selama-lamanya selagi kita
berpegang teguh akan keduanya. Dan kepada para kafirun dan para pengekor mereka
(orang yang rosak aqidahnya tentang hari qiyamat ini), Allah Swt. menyatakan
dalam firmanNya :
“Allah-lah yang menurunkan Kitab dengan
(membawa) kebenaran dan (menurunkan) neraca (keadilan). Dan tahukah kamu, boleh
jadi hari qiyamat itu (sudah) dekat. Orang-orang yang tidak beriman kepada hari
qiyamat meminta supaya hari itu segera didatangkan dan orang-orang yang beriman
merasa takut kepadanya dan mereka yakin bahawa qiyamat itu adalah benar (akan
terjadi). Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang
terjadinya qiyamat itu benar-benar dalam kesesatan yang jauh”.
Surah Asy Syu'ura (42) : ayat 17-18
Seruan Allah Swt. dan rasulNya kepada
seluruh ummat Muslimin supaya tunduk patuh kepadaNya, sudah jelas dan termaktub
dan sentiasa berterusan seumur hidup, tanpa perlu menunggu hari hampir qiyamat
barulah mahu berbuat amal soleh.
Nota : Kepada rakan-rakan jamaah dan
pembaca yang dihormati, boleh merujuk kepada artikel bertajuk Benarkah Qiyamat
2012? Siri 1 dan siri 2, yang telah disiarkan dalam weblog : www.salnboru.blogspot.com yang
membicarakan lebih panjang dalam hal ini.
والله اعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu
dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
5 ulasan:
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Ustaz Mad atas penjelasan yang begitu cerdas dan jelas. Mudah-mudahan butiran dari artikel ini akan dapat memberi kebaikan kepada semua, juga moga kita terpelihara dari mengikut ramalan paranormal/tok nujum/tok bomoh yang mendorong kita kepada kesyirikan.
Ingin saya tambah sedikit, menyambung lagi apa yang Ustaz Mad telah nyatakan, perihal kiamat ini adalah hal ghaib, ia adalah salah satu dari rukum iman, yang wajib kita imani, hanya dengan khabar sahih dan jelas, bukan dari ramalan atau telekan yang menyesatkan.
Di dalam Al Qur'an juz ke 29 di surat Al-Jiin, Allah telah meyebutkan bahwa Allah-lah Yang Mengetahui yang ghaib dan Ia tidak memberitahukannya kepada siapa-pun kecuali yang Ia kehendaki dari para rasul dan nabi (utusan)-Nya, adapun selain dari para utusan Allah maka tidak ada yang Allah beritahukan kepadanya tentang masalah ghaib. Begitulah penjelasan Allah sendiri.
"(Dia adalah Tuhan) Yang Maha Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu.
Kecuali kepada rasul yang diredhaiNya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya."
Surah Al Jiin (72) : ayat 26-27
Maka jika ada manusia selain para rasul dan nabi mengaku bahwa Allah telah memberitahukan hal ghaib kepadanya maka berarti ia telah mendustakan Al Qur'an dan melampaui batasan dia sebagai manusia dengan mengangkat diri ke tahap mulia setaraf rasul dan nabi. dan ini merupakan perbuatan kufur yang mengeluarkan dari kesucian Islam.
Kepada Allah kita mengadu dan memohon pertolongan dan mohon perlindungan dari da'yah kekufuran begini.
والسلام
Assalamu'alaikum semua, saya pun nak tambah sikit
Tiada satu dalil Al Qur'an dan Al hadis pun yang membicarakan dunia akan bergelap selama 3 hari sebagai salah satu tandanya kiamat.
- memang tak pernah ada, ini kali pertama juga saya dengar
Menetapkan tanda-tanda qiyamat, sama ada telah, sedang atau akan berlaku merupakan satu aqidah yang benar-benar sesat, selagimana ia bertentangan sama sekali dengan nas-nas sahih dari Allah Swt. dan rasulNya.
- memang tanda-tanda kiamat ini hak Allah dan rasulNya, bukan direkacipta manusia
Membuat ramalan, meneka tarikh itu ini dan menceritakan kisah begitu begini tentang qiyamat atau tanda-tandanya, bukan bersumber nas sahih dan qati’e, sesungguhnya ia suatu perbuatan bathil dan berhasrat menggugat iman ummat Muslimin.
- Orang kafir buat supaya ummat islam sesat akidahnya, ada juga dikalangan ummat Islam pun buat camtu juga, supaya orang taat dan taksub kat dia
Maka itu, sesiapa jua yang mahu memetik cerita-cerita begini yang berkaitan hal ghaib dan qiyamat, wajib atasnya memeriksa terlebih dahulu akan keabsahannya dari sudut syara’ sebelum dikhabarkan secara semberono kepada orang banyak.
- setuju sangat, buang masa orang mendengar menyampaikan cerita mengarut, membodohkan diri sendiri lalu membodohkan orang
Atas apa alasan pun ia diungkapkan, adakah tidak cukup perkhabaran sahih, soreh dan qot’ie untuk diperingatkan kepada manusia.
- sangat setuju, macam lah Allah dan Rasul tak cukup beri peringatan untuk disampaikan
Malah adalah wajib menjelaskan status sebenar segala perkhabaran itu supaya ia tidak memperbodoh-bodohkan orang banyak yang pastinya serba tidak tahu, yang sangat bergantung harap pengetahuannya kepada orang yang mereka anggap serba tahu.
- begitulah adat hidup didunia, kekadang yang disangka alim dan hebat tu pun rupanya jahil dan semberono juga, malah lebih teruk lagi menjahilkan orang pula
Dan inilah amanah Allah Swt. dan rasulNya kepada setiap mu’allim, supaya berkata yang benar.
- Moga semua kita mendapat pengajaran : sentiasa berkata benar
Itulah saja, Wassalam
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberikan maklumbalas sama ada kepada group atau persendirian.
Ramalan/Berita mengatakan qiyamat akan berlaku pada tahun 2012 merupakan yang amat popular sekarang ini. Sebelum ini pun sudah ada bermacam-macam ramalan. Mahu diperingatkan, semua ramalan ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam, amat terlarang, kerana Islam tidak mengajarkan tentang ramalan apalagi hingga menentukan bila waqtu datangnya hari qiyamat. Ramalan qiyamat pada tahun 2012, memang tidak bisa diterima dengan cara apa sekali pun.
Di dalam Al Qur'an ul Haaq, Allah Swt. telah menyebutkan :
"Sesungguhnya hari qiyamat itu akan datang Aku merahsiakan (waqtunya) agar supaya tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang ia usahakan."
Surat Thaaha (20) : ayat 15
Jelas seklai tentang hari qiyamat ini, hanya Allah Swt. sahaja yang tahu, kerana itu qiyamat hanya harus diyakini akan terjadi, akan tetapi soal waktunya kita dilarang untuk meramalnya. Islam tidak mengajarkan tentang ramalan, melainkan harus menggunakan aqal sihat ya'ni mengembalikan hak untuk menetapkan waqtu dan tanda-tandanya kepada Allah Swt. dan rasul-Nya semata-mata.
Sesudah ratusan tahun dengan sebegitu banyak ramalan dan perkhabaran bathil dan merapu, akan tetapi hingga kini telah terbukti semuanya tidak berguna sama sekali.
Mempercayai atau hanya terpengaruh dengan segala macam ramalan dan perkhabaran bathil tentang qiyamat ini, hukumnya jelas haram kerana dengan mempercayainya berarti seseorang lebih mempercayai ramalan manusia, lebih-lebih ramalan itu datang dari orang kafir. Pasti sekali sebagai ummat Muslimin, kita telah sedia maklum apa akibat dari haram ini kalau kita laksanakan.
Allah SWT berfirman lagi :
"Sesungguhnya hari qiyamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tiada beriman (tidak mempercayai atau memperolokkan)."
Surah Al Mu'min (40) : ayat 59
Dari ayat tersebut, jelas Yang Ma'bud Allah Azzawajalla memberitahu bahawa kalau kita mengaku orang Mu'min dan orang Islam, hendaknya segala ramalan tentang qiyamat itu tidak perlu dihiraukan langsung apatah lagi sampai dipercaya.
Rasulullah SAW sendiri yang merupakan manusia terbaik, tidak berani menyebutkan kapan tepatnya hari qiyamat akan datang, melainkan hanya menunjukkan ciri-ciri atau tanda-tanda qiyamat akan segera datang.
Cukuplah kita renungi apa yang Allah Swt. firmankan di bawah ini. Jelas benar Sang Pencipta Sekalian Alam memberitahukan kepada umat manusia melalui Nabi Muhammad Saw. bahawa hari qiyamat itu hanya Allah Swt. sajalah yang mengetahui.
"Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah : Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah". dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya."
Surah Al Ahzab (33) : ayat 63
Sebagai seorang Muslim yang baik, janganlah sesekali terpedaya dan percaya dengan apa jua ramalan tentang hari qiyamat dan tanda-tandanya, yang dituntut dan harus dikerjakan adalah mempersiapkan bekalan diri untuk menghadapi hari qiyamat dan hidup sesudahnya nanti. InsyaAllah.
والسلام
Assalamu’alaikum Wr Wbt
Dah patut pun kita semua sedar dan faham sejak kecil-kecil lagi, ini hal paling asas pun yang diajar kepada kita.
Bilakah kiamat itu hanya Allah yang tahu dan menetapkan
Segala tanda-tandanya yang kecil mahu pun yang besar juga telah lengkap dinyatakan di dalam Al Qur’an dan oleh hadis Nabi Saw.
Sebab tu saya setuju sangat dengan statement Tn Hj Mad ni : Apa jua cerita atau kisah yang berkaitan dengan qiyamat serta perkara ghaib waima dari sesiapa pun, tanpa didasari nas sahihah, perkhabaran itu adalah bathil dan dia adalah penipu. Tiada lainlah bahawasanya, wajib kita imani dengan sekuat-kuatnya hanya Allah Swt. Yang Maha Tahu akan hal yang ghaib atau perkara belum pernah terjadi.
Baik sekali kita bersama pulun belajar, memahami dan mengamalkan apa yang telah pun tertulis dengan sahih daripada bercakap dan mendengar hal-hal yang tidak ketahuan sumbernya. Dikhuatiri akhir nanti kita asyik sibukkan diri dengan hal yang tak disuruh tetapi hal yang disuruh pula diabaikan saja. Begitu juga, apabila nak sampaikan sesuatu, sampaikanlah yang benar dan sudah termaktub dan diperakui kebenarannya, bukannya bercakap hal rekaan manusia sahaja yang tidak terbuktikan pun kebenarannya malah menjadi seperti ramalan tok nujum saja.
Terima kasih kepada Tn Hj kerana bercakap panjang lebar dan jelas dalam hal ini, mudah-mudahan menjadi pengajaran dan memberi manfaat kepada kita semua.
Wassalam
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Syukran sekali lagi syeikh, bagus kupasan enta nih. Cukup banyak pesanan Allah dan rasul-Nya tentang kiamat yang belum pun diceritakan kepada orang ramai. Maka yang itulah yang patut diberitahu.
Yang ana nak komen berkenaan hal nih : kenapalah orang alim yang serba tahu sendiri pun tidak menyampaikan cerita yang telah pasti benar tu, tetapi dok bercerita segala macam ramalan-ramalan pulak. Bukan setakat hal kiamat, hal-hal lain pun banyak terjadi kes macam nih. Lama-lama nanti orang dah taj tahu mana satu benar salah, dan hukum borong semua sama serupa saja, ini yang amat-amat bahaya.
Moga-moga kita semua terpelihara dari terikut-ikut dengan cerita palsu. Rasanya cerita sahih dan hasan pun dah tersangat banyak untuk dipelajari sehingga tak perlu ada pun semua cerita rekaan manusia tu.
Apa pun moga kita semua mendapat iktibar dan manfaat dari kupasan ini.
والسلام
Catat Ulasan