Ahad, 3 Februari 2013

Risalah Jumaat: Tazkiyatun Nafs

0 ulasan



Tazkiyatun Nafs
Tazkiyatun Nafs adalah satu tuntutan yang mesti berlaku prosesnya dalam kehidupan setiap individu muslim. Seringkali, aspek ini diabaikan atau diremeh-remehkan sehingga membawa kepada kelesuan iman kerana hati yang gersang, kosong dan benar-benar kering.
Mungkin, kita seorang yang aktif dan komited melalui kehadiran dalam program pengajian tetapi sayangnya proses pendidikan, penyucian dan pembersihan hati tidak berlaku. Inilah adalah penyelewengan dan satu kesalahan yang besar bagi seorang yang bergelar mukmin dan muslim. Malah, ia akan menyebabkan satu penyakit yang sangat barah dan parah bagi hati. Tanpanya, kita bimbang besar kemunkinan kita akan dihinggapi dan dijangkiti penyakit dosa dan maksiat tanpa sedar.
Manfaat buat kita semua
Cuba kita lihat dan perhatikan hal ini dengan bersungguh-sungguh tanpa alpa dan lupa. Tanpa berlengah dan kalah. Melihat amal kita untuk disuburkan dan dikembangkan dalam mencari keredhaan-Nya.
Majdi al-Hilali berkata:
“ Penggerak atau pencetus amal manusia ini hanya ada dua sahaja iaitu IMAN & NAFSU.”
Justeru itu bagaimanakah kita peka, sensitif dan cakna (mengambil berat) akan hakikat ini? Saat ini, mari kita kembali kepada proses Hati. Ya, inilah yang selalu ditekankan oleh Rasulullah SAW dan para ulama’ muktabar. Satu buku yang harus kita baca, lihat dan  semak balik tentang aspek ini ialah buku yang bertajuk Penyucian Jiwa oleh Said Hawwa.
Marilah kita semak semula amalan harian agar, “proses” itu benar-benar berlaku. Bermula dengan solat sunat tahajud, amalan-amalan wirid, lantunan bacaan Al-Quran, ibadah ibadah sunnat seperti solat sunat, puasa sunnat dan yang lain-lain lagi. Ustaz saya berpesan :
“ Jadikanlah Zikir sebagai sarapan pagi dan mentadabbur Al-Quran sebagai makanan hati.”
Inilah langkah-langkah proses penyucian, pembersihan dan penjernihan jiwa yang harus kita perhatikan secara serius, bersistem dan terarah. Hati yang bersih ada kaitannya dengan syurga.
Syurga adalah natijah atau hasilan yang kita hajati setelah pengakhiran kehidupan di dunia ini. Namun, syurga adalah milik insan-insan, hamba-hamba dan manusia yang benar-benar melaksanakan proses penyucian hati diri mereka sehingga bersih, layak untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Ahli syurga – bersih dan suci
Justeru, saya ada sebutkan berkaitan terminal penyucian hati – ia umpama stesen atau persinggahan untuk kita bersihkan diri daripada dosa dan maksiat yang seringkali kita lakukan berulang-ulang kali.
Dalam buku, Hati Sebening Mata Air – karya Amru Khalid, ia menjelaskan bahawa syurga diciptakan untuk mereka yang benar-benar bersih hatinya, tiada sifat-sifat mazmumah seperti perasaan busuk hati, perasaan dendam dan dengki dengan orang lain dll. Bahkan, setiap penghuni syurga harus benar-benar suci dari dosa.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Kesejahteraan (dilimpahkan) ke atasmu, berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” [2]
Anda boleh semak ayat ini di dalam mushaf Al-Quran, cuba perhatikan dengan teliti satu perkara dalam ayat ini iaitu dhibtum ØÈÊã artinya kalian disucikan dari maksiat dan dosa. Mafhumnya, syarat untuk menghuni dan menjejaki syurga adalah , kita harus baik lagi suci, suci dari dosa – sehingga tidak memiliki dosa, meskipun sebiji dzarrah pun.
MasyaAllah! – Bayangkan diri kita, hati kita, dosa-dosa masa silam, maksiat hari ini, kekotoran hati, kejijikan pada jiwa akibatnya dan kerosakan yang telah berlaku kepada fitrah kesucian kita. Justeru, bagaimana ini terjadi? Sementara kita semua berdosa dan bermaksiat? Apakah nanti, tidak aka nada yang memasuki syurga?
Bukan begitu, malah ramai yang menjejaki dan dimasukan syurga tanpa azab. Cuma, ingin dibawakan di sini – bahawa syurga hanya akan dihuni oleh insan, hamba Allah dan manusia yang benar-benar suci. Kerana itu, Maha Suci Allah SWT – yang menjadikan tujuh terminal penyucian. Ia adalah medium dan media menyucikan diri untuk menghuni syurga : Empat (4) di dunia dan tiga (3) di alam kubur.
Terminal-terminal Penyucian
Sebelum saya berkongsikan tentang perkara ini, harus difahami dan diyakini bahawa – sebagai insan kita – bahawa kita akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Untuk meraih rahmat-Nya dan kasih sayang-Nya : kita harus melakukan, melaksanakan dan berusaha membersihkan hati, menjernihkan sanubari dan memperbaharui keputihan jiwa sendiri. Caranya, bagaimana? – Ayuh kita semak terminal penyucian ini.
Terminal : Empat [4] di alam dunia
[1] Taubat
Saudara/Saudari  sidang pembaca – terminal pertama, utama dan terpenting ialah terminal taubat. Ia harus diperbaharui, dimurnikan dan disegerakan.
Taubat – ertnya ialah kembali : rasa menyesali, takut dan ingin kembali kepada Ilahi. Sebuah perasaan yang menggugah perasaan, ia penuh nikmat dan diganjari dengan kemanisan yang tidak terungkap dengan bicara kata. Ia menyucikan diri dari segala dosa dan noda, lalu kembali kepada rabb dengan segala kesedaran, kefahaman, keyakinan dan kesungguhan.
Kita contohi, Sufyan ats- Tsaury RA – seorang tabi’in yang warak yang menimba ilmu daripada sahabatnya berkata : “ Suatu hari aku duduk-duduk menghitung dosa-dosaku.Lalu aku berkata pada diriku, “ Kau akan bertemu Allah, wahai Sufyan, Dia akan menanyakan padamu dosa demi dosa.”
[2] Istighfar
Kesinambungan terminal pertama ialah – mengamalkannya iaitu melalui kaedah ini.
Beristighfarlah dari dosa yang tidak kita ingat. Rasulullah SAW beristighfar 100 kali setiap hari dengan penuh kerendahan, penyesalan dan rasa perhambaan. MasyaAllah – insan yang mulia, maksum (terpelihara dari dosa) dan agung ini sentiasa membersihkan dirinya. Justeru apakah yang menghalang untuk kita berbuat demikian?
Memperbanyakan istighfar kerana ia akan menyinari hati agar terus hidup dan segar serta membangkitkan perasaan untuk mengerjakan kebaikan dan kebenaran.
Firman Allah SWT bermaksud :
” Dan mohonlah ampun kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.”
( An- Nisa 4 : 106)
[3] Kebaikan
Terminal seterusnya ialah memperbanyakan kebaikan dan amalan-amalan soleh. Saudara, tahukah saudara dan saudari sekalian – amalan-amalan soleh umpama haruman yang akan menyemarakan bau-bau yang menyenangkan dan membahagiakan sesiapa sahaja.
Dan – perbuatan kebaikan akan menghapuskan perbuatan yang buruk, keji dan jijik. Ia membakar dan melenyapkan segala perbuatan-perbuatan yang mengabaikan diri kita.
Ada satu kisah. Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata : “ Aku telah mencium seorang wanita daripadanya,” sehingga turun ayat :
“ Dan, dirikanlah solat itu pada pagi dan petang (siang) dan pada permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.”
( Hud (11) : 114)
Lelaki itu bertanya , “ Wahai Rasul, apakah ini untukku?,” Rasul menjawab, “ Untuk melakukan itu dari umatku.” [3]
[4] Musibah yang menghapuskan
Musibah, ujian, dugaan – berbentuk kesakitan, keperitan, penderitaan, kehilangan, kematian, bencana dan apa jua bentuknya : ketahuilah ia adalah bentuk terminal penyucian hati kita. MasyaAllah – sangat-sangat indah didikan Allah SWT kepada kita.
Betapa kasihnya Allah SWT. Dia menghadirkan segala bentuk musibah adalah untuk menyucikan kita. Musibah yang berbentuk peringatan, hentakan dan goncangan – agar kita sedar, kembali insaf dan kenal hakikat diri. Saat ditimpa musibah, yakinlah bahwa inilah bentuk penyucian diri dan tarbiyah daripada Allah SWT buat diri kita.
Demi Allah, di dunia ini – kita hanya mempunyai empat [4] terminal ini sahaja.

Bersambung diminggu keempat – Teminal di alam kubur


0 ulasan: