Monday, February 25, 2013

Salahkah Memberi Peringatan.

7 comments

To: edd zahir edd_zahir@yahoo.com
Sent: Friday, November 30, 2012 11:03 PM
Subject: Khutbah Mengata Agama Lain, Tak Bagus

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga enta sihat-sihat saja sekarang ni syeikh. Hal yang mahu ana sebutkan ini berkaitan dengan situasi semasa ummat Islam. Berikutan keadaan di Palestin, Myanmar, Iraq, Afghan, Mesir, Suriah maka banyak kali khutbah Jumaat berbicarakan menyeru orang Islam supaya bermuhasabah diri dan seringkali beberapa ayat pesanan tentang sikap orang kafirin disebut-sebut. Seingat ana dah hampir 4 kali kali Jumaat seruan sebegini dibuat.

Tak semua orang Islam sendiri suka hal ini sebenarnya. Ana dapati ada yang mengatakan diulang-ulang ayat itu kerana orang Islam ini penakut dan menghasut supaya membenci agama lain, dok membicarakan hal orang tetapi melupakan keburukan sendiri. Ada yang kata khutbah ini tak bagus, tak releven lagi dalam da’wah kepada bukan Islam. Malah lebih teruk mengatakan Majlis Agama dah tak betul, ada unsur politik dan mendidik ummat Muslimin jadi teroris dan macam-macam lagi.  Pendek kata ada bermacam-macam alasan yang menyerlahkan betapa tak setuju dengannya.

Ana nak mohon sedikit pandangan dari enta yang lebih faqih rasanya dalam hal ini. Pelik juga rasanya kalau isi khutbah menjadi isu kelam kabut dalaman orang Islam sendiri.

Terima kasih atas maklumbalas dari enta. Wassalam.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Pertama : ribuan terima kasih kerana membangkitkan hal yang tak semua orang berani tanyakan dengan jelas melainkan dok bercakap kat belakang dengan segala macam komen. Tambah-tambah lagi dari kalangan mereka yang merasakan tidak perlu lagi ditarbiyah dan diberi peringatan.

Kedua : amat molek diulangi, saya orang biasa saja dan serba dha’if. Maka itu, apa yang dinukilkan ini hanyalah suatu pencerahan sekadar termampu berdasarkan secebis ilmu dan keupayaan yang amat terhad. Pasti banyak lagi ilmuwan lebih hebat di luar sana yang boleh memberikan ta’liq lebih bagus berbanding saya. Amat digalakkan hal ini turut dirujuki kepada mereka.

Diulangi apa yang Tuan sebutkan “orang Islam ini penakut dan menghasut supaya membenci agama lain, khutbah ini tak bagus, tak releven lagi dalam da’wah kepada bukan Islam. Malah lebih teruk mengatakan Majlis Agama dah tak betul, ada unsur politik dan mendidik ummat Muslimin jadi teroris”. Saya sendiri pun berasa amat pelik dengan tanggapan sebegini. Baik sekali orang yang ada menyimpan rasa sebegini memberikan hujjah dan alasan mereka secara jelas, berbanding hanya bercakap kosong sesedap rasa. Terimalah hakikat bahawa, untuk mengutuk sesuatu perkara, berkajang-kajang boleh disiapkan dalam 1 jam, tapi untuk menghasilkan sesuatu yang tepat dan benar, beberapa mukasurat pun belum tentu siap dalam tempoh 3 hari. Kesimpulannya – membuat komentar memang kerja sangat mudah serta amat menyeronokkan.

Menurut pendapatan saya, mungkin juga mereka ini kaki tidur semasa khutbah, dengar separuh dan faham separuh, akhirnya salah faham. Mungkin juga mereka tidur terus, tak dengar langsung tapi komen lebih. Mungkin juga dirasakan mereka lebih pandai memberikan khutbah serta tidak membuatkan orang tidur. Baik sekali selepas ini Tuan jumpa mereka dan minta mereka pula yang berkhutbah, dan sampaikanlah segala apa yang mereka rasakan lebih baik itu. Paling molek jadi imam sekali gus.

Amat sukar sebenarnya untuk mengulas hal-hal menyentuh tentang khutbah. Serba tak kena jadinya. Lantaran diakui, bukan semua komen tentang khutbah ini salah belaka juga. Pernah dialami sendiri, khutbah yang tak ketahuan tajuk, apa halatuju dan entah apa kesimpulan. Ada kes yang petikan ayatullah dan hadis diluar konteks, membuatkan jamaah yang mengerti terpinga-pinga kehairanan. Ada juga disebutkan kisah-kisah dan ceritera yang tak ketahuan sumber. Tak kurang juga ada khatib yang berceramah panjang berjela-jela, mengadu nasib, meluahkan perasaan dan pendapat sendiri. Ada juga yang sangat partisan mengungkapkan hal itu-ini, syok sendiri tanpa peduli pun hati dan perasaan jamaah, seolah-olah khalayak dihadapannya itu jahil murakkab belaka. Mudahnya, ada bermacam ragam sebenarnya jika mahu disebut hal-hal yang tak berapa bagus ini.

Namun, hal-hal kekurangan sebegini telah dan sedang sentiasa diperbaiki dari masa ke masa. Maka itu, nukilan ini tidaklah mahu menyentuh tentang perihal senario khutbah itu tetapi menjurus kepada perspektif dan tanggapan yang lahir ke atasnya sepertimana yang Tuan tanyakan sahaja. Hal ini diperjelaskan supaya tiada salah tanggapan ke atas nukilan ini, yang menuduh saya memaki hamun para khatib dan mempertikai atau memperkecilkan kandungan khutbah pula. Saya percayai, segala kurang lebih atau cacat cela (sekiranya benar ada) tentang khatib dan khutbah itu, baik sekali dibicarakan dalam forum yang lain.

Menuduh dan menanggapi dengan segala tanggapan buruk terhadap sebahagian ummat Muslimin lain bukanlah sikap yang baik malah amat terlarang. Apatah lagi dengan bahasa kesat dan menghina seperti penakut, tak relevan, tak bagus dan segala macam lagi. Ini tuduhan amat berat dan tidak selayaknya diungkapkan sama sekali oleh seorang Muslim kepada seorang Muslim lain dalam apa suasana pun. Saya yaqin, yang dikatakan, dianggap dan dituduh sebagai menghina, mencela dan mengata agama lain dan orang kafirin itu adalah Kalamullah ini, yang sering diulang-ulang baca dan dipesankan :

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu."
QS. al-Baqarah (2) : 120

Fahamilah hal paling asas - Ayatullah ini sering disebut-sebut bukanlah senghaja untuk menakutkan orang atau pun mendesak-desak orang sehingga bingung dan terketar-ketar, menjadi bersemangat tak tentu hala atau membenci orang kafir tanpa sebab atau menyuruh menjadi teroris, akan tetapi ia diperbuat sebagai seruan dan peringatan kepada ummat Muslimin sendiri supaya kekal istiqomah dalam mentaati Allah Swt. dan berpegang teguh selamanya dengan Islam. Sementelahan pula, gejala paling besar yang sedang kita alami sekarang ini adalah mengikut hawa, perangai, tingkahlaku, isme-isme, ideology malah kepercayaan berasal dari kafirin, yang telah pun meresap jauh ke dalam setiap rohani, jasmani dan fikrah ummat Muslimin.

Lantaran itu apakah yang pelik sangat apabila pesanan ini dibuat berulang-kali? Bahkan yang pelik dan karut itu sebenarnya adalah adanya dikalangan Muslimin sendiri yang merasakannya ia begitu. Ini disebabkan, perkara memberikan peringatan ini, adalah berasas dari tuntutan Islam sendiri, yang semestinya pula ia disampaikan menerusi ayat-ayat Allah Ta’ala, al hadis dan kisah-kisah yang benar bukan cerita karut marut. Ia diperbuat supaya seluruh manusia beriman akan tetap terpelihara, sentiasa mengingati Allah Ta’ala dan mendapat manfaat dirinya. Perkara ini telah pun dijelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”.
Surah Adz Dzaariyat (51)  : ayat 55

Perkara memberi peringatan ini turut ditekankan oleh Nabi Saw. dalam sabda Baginda :

“Dari Tamim Ad Daari Rhu. bahawasanya Nabi Saw. telah bersabda : Agama (Islam itu) adalah nasihat. Kami bertanya : Untuk siapa?. Baginda menjawab : Untuk Allah, KitabNya, rasulNya dan untuk para pemimpin qaum Muslimin dan ummat Muslimin keseluruhan.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. (no. 194), imam Abu Daud dan imam Nasaa’ie

Peringatan ini sentiasa diulangi terhadap ummat Muslimin supaya tidak mereka terusan leka dan lalai dari sifat kafirin yang sememangnya tidak pernah berhenti berusaha untuk merosakkan ummat Muslimin dalam apa jua cara. Mereka tidak pernah suka atas kejayaan dan kemakmuran ummat Muslimin malah sangat bergembira sekiranya Islam dalam kerosakan. Hal ini telah pun dinyatakan oleh Kalamullah :

“Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 120

Adakah ayat-ayat Allah dan kalam nabiNya ini hanyalah pembohongan sehingga tidak layak diulang peringatkan? Mari kita renung dengan tenang sejenak : Lihatlah dinegara majority Muslim, betapa hebat dan kayanya kafirin, bebas melkasnakan apa jua kehendak agama mereka sklaipun perkara yang diharamkan oleh agama mereka sendiri (arak, zina judi dll), berbanding Muslimin sendiri yang gelandangan. Tak cukup dengan itu, mereka menjaja sana sini seantero dunia pula bahawa merekalah golongan dianaktiri dan being marginalized. Jelas sekali, tidak cukup dengan apa yang ada, malah mereka tetap berusaha untuk menabur racun dan mempariakan Muslimin di tanahair mereka sendiri sekalipun majority.

Apakah kita tidak nampak di negara minority Muslim, dimana saja pun, apa jadi dengan nasib mereka kalau pun warganegara. Betapa sukarnya mereka sekali pun untuk menjalankan tuntutan syari’at yang diwajibkan. Juga, apakah dengan mudah kita mahu melupakan sejarah bagaimana layanan Islam terhadap kafirin dalam peristiwa futhul Makkah, Baitul Muqaddis dan Konstantinopal, berbanding layanan yang dilakukan ke atas ummat Islam dalam masa kejatuhan Andalusia, 600 tahun dahulu. Sila baca, rasai, kajiselidik dan jawab sendiri.

Seterusnya ternyata pula segala macam cacian dan penghinaan ke atas peribadi suci Nabi Muhammad Saw. sehingga ke tahap perogol, pembunuh, gila seks, pencipta agama palsu dan segala macam hinaan lagi. Tidak kurang juga segala macam nistaan terhadap kepercayaan dan amalan Islam sehingga sewenangnya seruan azan, amalan Islam, hukum-hakam syara’, hal haram halal malahan persoalan murtad dan aqidah pun dipertikaikan sesedap rasa tanpa langsung ada rasa hormat sama sekali malah secara benar-benar biadab dan kurang ajar. Seolah kita-kita ini bodoh belaka, tak tahu melawan, tercucuk hidung dan pak turut segala kata mereka sahaja.

Sebaliknya, kita ummat Muslimin tidak pernah sesekali pun memperkata malah jauh sekali mempertikaikan apa jua amalan agama mereka, sekali pun sembah pokok, sembah batu, sembah patung, sembah hantu, sembah gajah, sembah kuda waima terjun gunung pun, dek kerana aqidah kita : “bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agama aku”. Namun, tak hairan dewasa ini ramai dari kalangan mengaku Islam yang tergedik-gedik pula mempertahankan kafirin jenis ini atas segala macam tak masuk aqal antaranya demi da’wah kononnya, padahal sebenarnya menjaga undi, menjaga pangkat, menjaga kedudukan, menjaga poket, beralasankan demokratis, moderatis, liberalis, perpaduan, menjaga hati dan segala macam alasan karut lainnya. Walhal, jiwa dan rasa ummat Muslimin saudaranya sendiri hatta Al Islam itu sendiri, tidak perlukah dijaga? 

Dan banyak lagi perkara yang tidak disebutkan di sini lantaran tidak cukup ruang, malahan akan lebih memilukan jiwa raga jika dikisahkan. Apakah hal sebegini tidak layak diberikan peringatan? Apakah membiarkan ummat Muslimin termangu-mangu diperkotak-katikkan dan diadu domba itu pula yang betul? Adakah peringatan menyeru ummat Muslimin supaya bangun dari lena, kukuhkan saf, perbaiki iman, amal dan taqwa bagi menentang musuh Islam ini pun salah? Salahkah membuat sedikit tindakbalas berikutan ummat Muslimin berterusan dihina dan disakiti?

Baik sekali diulangi peringatan jelas dan benar dari Allah Swt. sendiri kepada semua yang lena supaya sedar, yang was-was menjadi tegas dan yang jahil berubah cerdik :

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka (orang kafir, dengan) kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya …….”
Surah Al Anfaal (8) : ayat 60

Begitulah juga diulang-ulang peringatan itu supaya ummat Muslimin tidak lupa, bahawa semua amal perbuatan manusia wajib berkait diantara 2 skema hubungan amal perbuatan dengan balasan yaitu : amal soleh di dunia dengan pahala di akhirat atau amal dosa di dunia dengan siksa neraka di akhirat. Artinya, setiap amal soleh di dunia pasti akan mendapatkan pahala di akhirat yaitu berupa syurga yang penuh kenikmatan manakala setiap perbuatan dosa pasti akan mendapat balasan siksa yaitu di neraka yang hangat membakar. Takkan ada suatu amal perbuatan pun yang tidak akan dipertanggung jawabkan dan boleh terlepas dari 2 skema ini. Ini dijelaskan oleh Allah Swt. :

“Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah (biji sawi) sekalipun, pasti ia akan melihat balasannya dan siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah sekalipun, niscaya ia akan melihat balasannya pula.”
Surah Al Zalzalah (99) : ayat 6-8

Demikianlah maqasid semua jenis peringatan yang berulangkali diberikan kepada ummat Muslimin. Ia bukanlah berhasrat untuk mengata, mencela, menghina atau menghasut membenci manusia lain tetapi tidak lain, seruan supaya menjaga setiap diri ummat Muslimin sendiri dari kelekaan dan kelalaian, meningkatkan jatidiri dan kesedaran, memperkukuhkan keimanan dan ketaqwaan agar tunduk patuh kepada Allah Swt. semata-mata pada apa jua keadaan dan masa pun. Teruk sangatkah memberikan semua peringatan dengan ayat-ayat ini? Sedangkan celaan Allah Swt. sendiri ke atas para kafirin jauh lebih tegas lagi. Perhatikan ayat-ayat Allah Swt. ini :

“Hanya Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar. Dan berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat memperkenankan sesuatu pun bagi mereka, melainkan seperti orang yang membukakan kedua telapak tangannya ke dalam air supaya sampai air ke mulutnya, padahal air itu tidak dapat sampai ke mulutnya. Dan doa (ibadah) orang-orang kafir itu hanyalah sia-sia”.
Surah Ar Ra’ad (13) : ayat 14

"Yang mereka sembah selain dari Allah tidak lain hanyalah berhala-berhala perempuan seperti Laata, Manaat dan Uzzaa dan tiadalah yang mereka sembah kecuali syaithan yang durhaka".
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 117

“Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu putera Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al Masih itu putera Allah”. Demikian itulah ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dila’nati Allah-lah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?:”
Surah At Taubah (9) : Ayat 30

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. “
Surah Al A'Raaf (7) : ayat 179

Intipati paling asas yang mesti difahami dengan sejelas-jelasnya adalah, memberi peringatan ini adalah asas kepada kepercayaan murni Islam dan menjadi sifat, sebahagian nama, fungsi dan mu’jizat Al Qur’an sendiri. Kerana itulah yang disampaikan sebagai peringatan itu adalah Kalamullah dan sabdaan suci rasulNya sebagai sebaik-baik Kalam untuk disampaikan kepada manusia. Perhatikan firman Allah Swt ini. :

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Zikra (peringatan - A) dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya.”
Surah Al Hijr (15) : ayat  9
A : Al Zikra yang dimaksudkan adalah Al Qur’an

“Haa Miim, (Al Qur’an ini) Diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah Yang Maha Penyayang. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, ya’ni bacaan dalam bahasa Arab, untuk kaum yang mengetahui. yang membawa khabar gembira dan yang membawa peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling (daripadanya), maka mereka tidak mahu mendengarkan. ”
Surah Al Fussilat (41) : ayat 2, 3-4

Allah Swt. berfirman “Haa Miim, (Al Qur’an ini) Diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah Yang Maha Penyayang” maqsudnya Al Qur’an diturunkan dari Tuhan Yang Esa. FirmanNya lagi “Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya” yaitu kitab yang diterangkan ma’na-ma’nanya dan ditegaskan segala hukumnya. “bacaan dalam bahasa Arab” maqsudnya berupa bacaan dalam bahasa Arab yang jelas dan terang, ma’na-ma’nanya terperinci, lafaz-lafaznya amat jelas dan tidak ada kemusykilan kesulitan di dalamnya. Maqsudnya Al Qur’an itu merupakan mu’jizat baik dari lafaz dan ma’nanya.

Maqsud firman Allah “untuk kaum yang mengetahui” yaitu bahawa yang mengetahui kejelasan dan kenyataan ini hanyalah para ulama’ dan fuqaha’ yang mendalam (rasikh)  pengetahuannya. Maqsud firman Allah “yang membawa khabar gembira dan yang membawa peringatan” yaitu Al Qur’an memberi khabar gembira untuk orang-orang yang beriman dan sesekali memberikan peringatan kepada orang-orang yang kafir. Ayat “tetapi kebanyakan mereka berpaling (daripadanya), maka mereka tidak mahu mendengarkan” yaitu kebanyakan orang Quraisy tidak memahami sedikit pun dari Al Qur’an itu padahal ia begitu terang dan jelas.
Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir Rhm. Tafsiir ul Qur’aanil Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 8 halaman 236-237

Dan kepada semua yang membantah dan kurang senang itu, berhati-hatilah dengan ucapan lidah dan qasad dihati, supaya tidaklah akhirnya tergolong sebagai manusia yang asyik mahsyuk mencari salah sesama sendiri. Padahal realitinya tidak pun menyumbang apa-apa melainkan terus membangkang dan mengulas dengan cara dan hasrat yang membawa kerosakan ummat. Seruan ini disebutkan supaya, janganlah pula sehingga kita pun termasuk dalam kalangan orang yang tak mahu mendengarkan peringatan ayat-ayat Allah serta mengambil iktibar daripadanya. Ini disebutkan oleh Allah Ta’ala :

“Mereka berkata “hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi - dari) apa yang kamu seru kami kepadanya dan di telinga kami ada sumbatan dan diantara kami dan kamu ada dinding, maka bekerjalah kamu, sesungguhnya kami bekerja (pula)”
Surah Al Fussilat (41) : ayat 5

Firman Allah “kami berada dalam tutupan (yang menutupi)” yaitu hati mereka dalam keadaan terselubung dan terkunci, “dari apa yang engkau seru kami kepadaNya dan telinga kami sudah tersumbat” yaitu tuli sehingga tidak bisa mendengar dan memahami apa yang engkau sampaikan (wahai Muhammad) kepada kami. “dan diantara kami dan kamu ada dinding” sehingga sesuatu yang engkau sampaikan tidak menjangkau kepada kami. “maka bekerjalah kamu, sesungguhnya kami bekerja (pula)” artinya buatlah olehmu apa yang engkau inginkan menurut caramu dan biarkan kami membuat apa yang kami inginkan dengan cara kami pula. Kami tidak akan mengikuti kamu. 
Tafsiir ul Qur’aanil Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 8 halaman 237

Amat dangkal sekali sekiranya mengata itu ini tentang khutbah dan menjadikan ianya sebagai parameter kuat lemah atau cerdik pandainya ummat Muslimin. Padahal penyampaian ilmu Islam itu merangkumi segala bentuk kuliyah meliputi segala juzuk ilmu dalam Islam dan sedia terhidang setiap masa dan dimana jua. Hanya diperlukan sedikit kerajinan dan usaha berlandaskan niyat yang benar. Khutbah hanyalah salah satu juzuk medium penyampaian ilmu. Malah jika diperhatikan dengan teliti dan waras, maka akan ditemui bahawa setiap khutbah dipenuhi :

1.    Puji-pujian dan takbir kepada Allah Swt.
2.    Solawat dan salaam ke atas junjungan mulia Nabi Saw.
3.    Ayat-ayat Al Qur’an dan penjelasannya
4.    Al hadis sabdaan Baginda Saw. dan penghuraiannya
5.    Pesan-pesanan supaya bertaqwa dan istiqomah kepada Islam
6.    Doa ke atas setiap Muslimin (yang hayat mahu pun yang maut)

Sekiranya kita bersikap kritikal dalam menerima ilmu dan membuat penilaian, ia sikap amat terpuji dan dituntut Islam berbanding bertaqlid buta. Namun pastikan bahawa parameternya itu mestilah lahir dari syari’at Islam sendiri bukannya yang diciplak dari perspektif orang kafir yang barang tentu memandang Islam ini tiada suatu apa pun yang betul.Seterusnya mahu disampaikan peringatan Allah Swt. ini kepada sesiapa jua :

“Sesungguhnya orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Kami mereka tidak tersembunyi dari Kami, maka apakah orang-orang yang dilemparkan ke dalam neraka lebih baik ataukah orang-orang yang datang dengan aman sentosa pada Hari Qiyamat? Perbuatlah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Sesungguhnya orang-orang yang mengingkari Az Zikra (peringatan) ketika Az Zikra itu datang kepada mereka, (mereka itu pasti akan celaka). Dan sesungguhnya Al Kitab itu adalah kitab yang mulia.
Yang tidak datang kepadanya (Al Qur’an) kebathilan baik dari hadapan mahu pun dari belakangnya, yang diturunkan dari Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.”
Surah Al Fussilat (41) : ayat 40, 41-42

Peringatan-pringatan sebegini mestilah selalu diperbuat, lantaran manusia ini bersifat lemah dan sering leka, asyik dibuai mimpi indah dunia, terikut-ikut dengan kalam dan perilaku orang kafir yang barang tentu amat menyeronokkan, sehingga sering terbabas dari landasan murni Islam sama ada secara sedar atau tidak sedar. Sehinggalah Allah Swt. bersumpah sebagaimana firmanNya :

“Demi masa! sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.
Surah Al Asr (103) : ayat 1-3

Lantas! apa yang tidak kena dengan berulangkali memberi peringatan? Tepuk dada tanyalah iman setipis kulit bawang tu...akuilah bahawa kita sentiasa memang perlukan peringatan dan pesanan daripada orang lain kerana, memberi peringatan itu sememangnya tuntutan Islam lantaran kita (manusia) memang lalai…...

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

7 comments:

fajar alam said...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Ketahuilah, pendekatan Rosululloh dalam berda'wah adalah terbaik, pendekatan para sahabat adalah terbaik dikalangan pengikut pengikut Nabi, pada asasnya semua orang Islam selagi masih tersemat, dan tertanam kecemburuan agama, patut diberikan setinggi tinggi penghargaan sekiranya menampakan hasil terbela, dan bertambahnya keselamatan ahli tauhid pada keyakinan, harta, nyawa, kehormatan, bahkan semakin melebarnya sayap fungsi siyasah untuk agama ini,

Kepelbagaian cara kadang melahirkan kecemburuan sosial antara sesama kita,bahkan kumpulan yang paling hebat adalah yang paling mampu mengekang kemarahan lalu mampu diubah menjadi komoditi kekuatan da'wah dari berbagai aliran menuju satu kekuatan ummah yang cintakan kedamaian, dan selalu dibarisan hadapan mencipta iklim sejuk (kondusif ), tetapi tetap memiliki jiwa fanatik ketika mana nilai-nilai kemanusian terlalu diperdagangkan terlebih lebih lagi, pelecehan terhadap agama ini, bahkan agama mana pun dipersada bumi ini,

Bahkan ramai tidak menyedari persen terbesar strategi missionaris kristen merujuk pendekatan terbaik cara kasih sayang Rosululloh, yang dihari ini terasa tandus antara sesama kita, mungkin boleh di bilang majoritinya hanya tinggal retorika, kadang kita terlupa kekuatan ukhuwwah telah menjadi aset terbesar untuk membina kerajaan ta'asub, dan ananiah, kita lupa akan kesepakatan ummah bahawa sawaadul a'zom merujuk kepada kumpulan kesepakan terbesar ummah ini memelihara kesucian agama, harta, nyawa, dan keturunan,

Semoga ummah ini tetap selalu dibarisan hadapan untuk cinta sejatinya adalah Alloh, Rosul, dan orang-orang beriman.

Syukron

poison ivy ivy7003@gmail.com said...


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya taklah pandai berbahasa yang begitu mendalam, berfalsafah dan amat bermakna sebegini, cuma sekadar ingin memberi sedikit cadangan dengan ayat-ayat yang biasa sahaja.

Mula sekali terima kasih artikel penjelasan yang amat baik. Hal tuntutan memberi peringatan sesama umat Islam telah pun difahami, insyaAllah. Tetapi merujuk kepada hal asas yang menjadi persoalan : mungkin komen dari para pendengar itu disebabkan sesudah begitu banyak peringatan yang sama berulang kali disebut, namun kita tetap di takuk sama dan tiada perubahan pun. Sebab tu rasanya teguran dibuat bukannya berniat mengatakan khutbah atau kuliyah itu yang tak betul tetapi impaknya yang tak membawa apa-apa pun dan orang Islam kelihatan masih ditakuk lama malah kelihatan semakin teruk berbanding dahulu.

Baik rasanya saya sebutkan hal ini kerana dalam beberapa perenggan didapati, ustaz berikan ayat yang agak keras dan negatif kepada golongan yang dikatakan "berfikiran kritikal". Kalau lah diorang dapat artikel nih, timbul pula perbalahan nanti. Saya sebutkan hal ini supaya kita sentiasa bersangka baik sesama Islam dan berusaha mengelakkan perbalahan sesama sendiri. Kalaulah sesama kita tidak saling memberi peringatan, saper pula yang nak memberi peringatan.

Moga niat yang baik dituruti dengan amal perbuatan, tingkah laku dan kata-kata yang baik juga. Barulah ia seiring dan tidak menjadi persoalan. Apa pun artikel ini memang memberi penjelasan tentang tuntutan memberi peringatan di dalam Islam, dan rasanya memang boleh memberi kesan, insyaAllah.

Wassalam

eddzahir said...


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Jazakallah kepada semua yang memberikan maklumbalas. Semua pernyataan itu amat dihargai.

Kepada Tuan poison ivy, ingin saya menjelaskan :

Saya melakukan sebaik mungkin untuk menjawab persoalan/hal dibangkitkan. Jelasnya persoalan itu adalah mempertikaikan kandungan khutbah sedangkan khutbah adalah salah satu medium pesanan, peringatan dan penyampaian ilmu kepada Muslimin. Sikap menjengkelkan yang disentuh adalah sifat prasangka buruk dan pelecehan yang dijatuhkan terhadap satu kumpulan Muslimin lain. Tidak terserlah langsung adanya qasad yang baik disebalik ungkapan kalam sebegitu.

Memberi peringatan memang tuntuan dan suruhan Islam lantaran ia amat berguna, ini dijelaskan oleh ayatullah :

“Dan Kami akan memberi kepada kamu tawfiq kepada jalan yang mudah (jalan yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat). Oleh sebab itu berikanlah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), jika peringatan itu bermanfaat (dan sudah tentu berguna)."
Surah Al A'la (87) : ayat 8 dan 9

Apabila ditanyakan kenapa pula setelah ribuan tahun peringatan diberikan akan tetapi jelasnya kondisi ummat Muslimin kelihatan lebih memburuk, seolah segala peringatan itu tidak berguna sama sekali, sesungguhnya Allah Swt. telah pun menjawabnya :

“Orang takut (taat kepada Allah) akan mendapat pelajaran. Orang-orang yang celaka (ingkar) akan menjauhinya.”
Surah Al A'la (87) : ayat 10 dan 11

Amat panjang kisahnya jika mahu diselidiki kenapa setelah adanya Islam ini dengan pelbagai kebaikannya, ummatnya tetap ketinggalan berbanding orang lain dan asyik berbalah sesama sendiri. Ia terkait dengan pelbagai alasan antaranya tahap penguasaan ilmu, sikap, suasana hidup dan lainnya. Baik sekali dibicarakan dalam forum yang lain.

Namun kepada para penda’ie malah sesiapa jua yang ada kemampuan memperingati manusia dengan jalan yang benar (Al Qur’an dan As Sunnah), teruskanlah usaha itu sedaya upaya. Kalau pun mungkin juga kita ini ada kekurangan. Hal diterima atau ditolak, berkesan atau sekadar menjadi angin lalu, serahkanlah kepada Allah.

“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberikan petunjuk (memberi taufiq) kepada siapa yang dikehendaki-Nya…….”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 272

eddzahir said...

Kesimpulan ringkas, jangan sesekali dicela dan dinistai manusia atau usaha memberi peringatan. Sekiranya tidak mahu didengar dan diikuti, itu adalah pilihan sendiri dan ia bukanlah sesuatu hal yang boleh dipaksakan pun. Dalam hal memberikan peringatan ini, mari bersama kita perhatikan kisah di dalam Al Qur’an ini, untuk iktibar bersama :

“Dan tanyakanlah kepada Bani Israel tentang negeri (ya’ni Kota Eliah) yang terletak di dekat laut (Merah) ketika mereka melanggar aturan pada hari Sabtu (menurut aturannya, tidak boleh bekerja dan berburu, hanya beribadah) di waqtu datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di laut sekitar mereka) terapung-apung di permukaan air (mereka menangkapnya, sebenarnya itu ujian dari Allah), dan di hari-hari yang bukan Sabtu, ikan-ikan itu tidak (pun) datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka berlaku fasiq.
Dan ingatlah ketika suatu umat diantara mereka berkata (kepada orang yang memberi peringatan) : Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka dengan azab yang amat keras? Mereka menjawab : Agar kami mempunyai alasan (pelepasan tanggungjawab) kepada Tuhanmu (bahawa telah melaksanakan tanggungjawab untuk memberi peringatan), dan supaya mereka bertaqwa.
Maka tatkala mereka (orang yang melanggar aturan) melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang (memberi peringatan) dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang dzalim (melanggar aturan) siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasiq.
Maka tatkala mereka (orang yang melanggar aturan) bersikap sombong (tetap melanggar aturan setelah diberi peringatan) terhadap apa yang mereka dilarang mengerjakannya, Kami katakan kepadanya : Jadilah kamu kera yang hina.”
Surah Al A'raaf (7) : ayat 163-166

Imam Al Hafiz Abu Abdullah Muhammad ibn Ahmad ibn Abu Bakr al-Ansori al-Qurthuby Rohimahullah menjelaskan ;

Sa’id bin Jubair berkata : Apabila seseorang tidak memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar, hingga ia menunggu dirinya bebas dari kesalahan, maka tidak akan ada seorangpun yang memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar.
Imam Malik bin Anas setelah mendengar perkataan Sa’id bin Jubair berkata : Benar apa yang dikatakan Sa’id. Siapakah yang tidak memiliki sedikit pun dosa dalam dirinya?

Al-Hasan berkata kepada Mutharrif bin ‘Abdillah : Berilah nasihat (peringatan) kepada sahabat-sahabatmu.
Mutharrif menjawab : Sesungguhnya aku takut mengatakan apa yang tidak aku kerjakan.
Al-Hasan berkata lagi : Semoga Allah merahmati dirimu. Tidak ada seorangpun di antara kita yang melakukan semua yang diperintahkan Allah. Syaithan akan gembira apabila kita berfikir seperti itu sehingga tidak ada seorang pun yang memerintah kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari kemunkaran.

Berkata Ibnu Hazm : Apabila orang yang mencegah dari perbuatan keji mesti orang yang tidak memiliki kesalahan, dan orang yang memerintah kepada kebaikan mesti orang yang selalu mengerjakan kebajikan, maka tidak ada seorangpun yang mencegah dari yang munkar dan tidak ada seorang pun yang mengajak kepada kebaikan setelah Nabi Muhammad Saw.
Kitab Al Jami’ Li Ahkam il Qur’an (tafsir Al Qurthuby), Jilid 1 halaman 367

Dan imam Yahya bin Syaraf An Nawawi Rohimahullah pula berkata :
“Para ulama menyatakan bahawa tidak disyaratkan pada orang yang memerintah kepada kebaikan atau orang yang mencegah dari kemunkaran untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal. Tapi, ia mesti tetap mengajak kepada kebaikan walaupun ia memiliki kekurangan dalam hal yang ia ajak kepadanya, dan ia tetap mencegah kemunkaran walau ia terkadang mengerjakan apa yang ia cegah. Kerana sesungguhnya wajib pada dirinya dua perkara iaitu : mengajak dirinya sendiri ke arah kebaikan dan mencegah dari kemunkaran; dan mengajak orang lain ke arah kepada kebaikan dan mencegah mereka dari yang munkar. Tidak boleh ia melalaikan salah satu dari dua perkara tersebut.”
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 2 halaman 23

eddzahir said...

Namun tetap jua sesiapa jua yang mahu sentiasa memberi peringatan itu, mestilah beriltizam benar-benar untuk memperbaiki diri dan melaksanakan sendiri apa yang dia sebutkan. Itulah yang sebaik-baiknya justeru Allah Swt. telah berpesan :

“Mengapakah kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan (kewajiban) dirimu sendiri; padahal kamu membaca Al Kitab, Maka tidakkah kamu beraqal (berfikir).”
Surah Al Baqarah (2) : Ayat 44

Dan kepada yang sering terlajak kalam dan perbuatan (berlebih-lebih) dalam memberi peringatan ini, ingatlah firman Allah ini :

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan mengujiI kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik-buruknya) hal ehwal kamu.”
Surah Muhammad (47) : ayat 31

Maka itu, teruskanlah saling memberi peringatan kerana ia sangat berguna.

سكيان , والسلام

izanahani@yahoo.com said...


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah Rohimahullah mengatakan :

"Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Men¬inggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar mendurhakai dosa."

Realiti hari ini, manusia secara umumnya mundur¬ hal syara'. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu kelazatan. Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan dan kedzaliman. Sifat fujur mengatasi sifat taqwa. Jiwa semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Jiwa masyarakat berasa cukup gelisah bila dengar kalimah syara' lalu dipandang hina, sepi dan serong. Lebih tenat lagi, apabila jiwa yang rosak itu menolak ubat dan sukakan penyakit. Jiwa mengutamakan penyakit daripada ubat sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.

Penyakit mencerca Allah SWT berlaku dalam masyarakat. Cercaan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara tersurat atau tersirat. Contohnya, qudrat dan iradat Allah SWT menurunkan hujan. Kedapatan manu¬sia mencerca Allah dengan cara berusaha menghalang hujan dengan alasan atau tujuan untuk menjayakan `malam amal' atau majlis-majlis tertentu. Walaupun Allah SWT mengizinkan hujan berhenti tetapi itu adalah al-Istidraj. Allah SWT terus membiarkan mereka menunjukkan kemegahan.

Mencerca Allah SWT juga berlaku dengan cara memandang sepi hukum-hukum Allah SWT, memandang Islam sebagai cara hidup ketinggalan zaman, mengambil sebahagian daripada Islam dan menolak sebahagian daripadanya. Juga menutup seluruh matahati dan pancaindera dari menerima dan mendengar Kalam dan Az Zikra Allah dan Rosul-Nya.

Realiti ini lebih payah dan sukar bagi para doktor (para penda'wah Muslimin) untuk mengubatinya. Manusia yang berpenyakit itu pula akan terus memberi musibah, fitnah, duri dalam daging dan kemalangan yang besar kepada umat Muslimin keseluruhannya.

Wallahua'lam

eddzahir said...


و رحمة الله و بركاته السلام عليكم و

Jazakallah sekali lagi atas semua maklumbalas. Semua pernyataan itu amat dihargai. Ulasan saya ringkas sahaja. Begini :

Allah Swt. berfirman :

"Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu ; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk."
Surah Al Ma'idah (5) : ayat 105

Kalam Allah Ta'ala memberitahu ; sesungguhnya Allah memerintahkan kita untuk memperbaiki diri-diri kita, dan agar kita menjaga kesalihan kita, dan jika tersesat siapapun dari kalangan manusia maka hal itu tidaklah mendatangkan mudharat, sebagaimana yang dikatakan Allah Ta'ala kepada NabiNya Saw. ;

“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka, tetapi orang yang berpaling dan kafir, maka Allah akan mengadzabnya dengan adzab yang besar."
Surah Al Ghaasyiyah (88) : ayat 21-24

Seorang insan, jika ia mendapat petunjuk maka orang yang durhaka tidak dapat akan mencelakainya, namun jika manusia tidak mengubah kemungkaran maka dikhawatirkan Allah akan meratakan adzab dariNya kepada mereka, sebagaimana Allah Ta'ala berfirman ;

"Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaanNya."
Surah Al Anfal (8) : ayat 25

Berpeganglah dengan sungguh, yang para pelaku maksiyat tidak akan mendatangkan mudharat kepada sesiapa pun ketika di akhirat, mereka tidak dapat mengurangi (pahala) kebaikan-kebaikan atau menambah dosa-dosa. Kecuali jika seseorang telah lalai memberi peringatan (da’wah ke jalan pada Allah dan Rasul, amar ma'ruf serta nahi mungkar), maka perbuatan tersebut tentu saja akan mencelakakan. Mudharat itu pasti tidak berasal dari mereka yang sesat itu, namun dari perbuatan diri sendiri.

Sesiapa yang belum melaksanakan kewajiban memberi peringatan, dia hampir boleh dikatakan belum mendapat petunjuk sempurna, kerana Allah telah mempersyaratkan dengan mengatakan ;

"……… tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk."
Surah Al Ma'idah (5) : ayat 105

Maka teruskanlah memberi peringatan, lantaran itulah yang dituntut ke atas semua kita, juga supaya dapat memperbaiki manusia lain dengan izinNya, malah paling utama, dapat membantu diri kita sendiri mendapatkan redha-Nya.

Moga semua kita sentiasa dalam rahmat dan petunjuk-Nya, aamiiin.

السلام و