Sent: Friday, November 30, 2012 11:03 PM
Subject: Khutbah Mengata Agama Lain, Tak
Bagus
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Moga enta
sihat-sihat saja sekarang ni syeikh. Hal yang mahu ana sebutkan ini berkaitan
dengan situasi semasa ummat Islam. Berikutan keadaan di Palestin, Myanmar,
Iraq, Afghan, Mesir, Suriah maka banyak kali khutbah Jumaat berbicarakan menyeru
orang Islam supaya bermuhasabah diri dan seringkali beberapa ayat pesanan
tentang sikap orang kafirin disebut-sebut. Seingat ana dah hampir 4 kali kali
Jumaat seruan sebegini dibuat.
Tak semua
orang Islam sendiri suka hal ini sebenarnya. Ana dapati ada yang mengatakan
diulang-ulang ayat itu kerana orang Islam ini penakut dan menghasut supaya
membenci agama lain, dok membicarakan hal orang tetapi melupakan keburukan
sendiri. Ada yang kata khutbah ini tak bagus, tak releven lagi dalam da’wah
kepada bukan Islam. Malah lebih teruk mengatakan Majlis Agama dah tak betul,
ada unsur politik dan mendidik ummat Muslimin jadi teroris dan macam-macam
lagi. Pendek kata ada bermacam-macam
alasan yang menyerlahkan betapa tak setuju dengannya.
Ana nak
mohon sedikit pandangan dari enta yang lebih faqih rasanya dalam hal ini. Pelik
juga rasanya kalau isi khutbah menjadi isu kelam kabut dalaman orang Islam
sendiri.
Terima kasih
atas maklumbalas dari enta. Wassalam.
بسم
الله الرحمن الرحيم
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد
, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam.
Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera
ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan
Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa
menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan
keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon
perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan
dalam menuliskan nukilan ini.
Pertama : ribuan terima kasih kerana membangkitkan
hal yang tak semua orang berani tanyakan dengan jelas melainkan dok bercakap
kat belakang dengan segala macam komen. Tambah-tambah lagi dari kalangan mereka
yang merasakan tidak perlu lagi ditarbiyah dan diberi peringatan.
Kedua : amat molek diulangi, saya orang
biasa saja dan serba dha’if. Maka itu, apa yang dinukilkan ini hanyalah suatu
pencerahan sekadar termampu berdasarkan secebis ilmu dan keupayaan yang amat
terhad. Pasti banyak lagi ilmuwan lebih hebat di luar sana yang boleh memberikan
ta’liq lebih bagus berbanding saya. Amat digalakkan hal ini turut dirujuki
kepada mereka.
Diulangi apa yang Tuan sebutkan “orang Islam ini penakut dan menghasut supaya membenci agama lain, khutbah
ini tak bagus, tak releven lagi dalam da’wah kepada bukan Islam. Malah lebih
teruk mengatakan Majlis Agama dah tak betul, ada unsur politik dan mendidik
ummat Muslimin jadi teroris”. Saya sendiri pun berasa amat pelik dengan tanggapan sebegini. Baik
sekali orang yang ada menyimpan rasa sebegini memberikan hujjah dan alasan
mereka secara jelas, berbanding hanya bercakap kosong sesedap rasa. Terimalah
hakikat bahawa, untuk mengutuk sesuatu perkara, berkajang-kajang boleh disiapkan
dalam 1 jam, tapi untuk menghasilkan sesuatu yang tepat dan benar, beberapa
mukasurat pun belum tentu siap dalam tempoh 3 hari. Kesimpulannya – membuat komentar
memang kerja sangat mudah serta amat menyeronokkan.
Menurut pendapatan saya, mungkin juga mereka ini kaki
tidur semasa khutbah, dengar separuh dan faham separuh, akhirnya salah faham.
Mungkin juga mereka tidur terus, tak dengar langsung tapi komen lebih. Mungkin
juga dirasakan mereka lebih pandai memberikan khutbah serta tidak membuatkan
orang tidur. Baik sekali selepas ini Tuan jumpa mereka dan minta mereka pula
yang berkhutbah, dan sampaikanlah segala apa yang mereka rasakan lebih baik
itu. Paling molek jadi imam sekali gus.
Amat sukar sebenarnya untuk mengulas hal-hal menyentuh
tentang khutbah. Serba tak kena jadinya. Lantaran diakui, bukan semua komen
tentang khutbah ini salah belaka juga. Pernah dialami sendiri, khutbah yang tak
ketahuan tajuk, apa halatuju dan entah apa kesimpulan. Ada kes yang petikan
ayatullah dan hadis diluar konteks, membuatkan jamaah yang mengerti terpinga-pinga
kehairanan. Ada juga disebutkan kisah-kisah dan ceritera yang tak ketahuan
sumber. Tak kurang juga ada khatib yang berceramah panjang berjela-jela, mengadu
nasib, meluahkan perasaan dan pendapat sendiri. Ada juga yang sangat partisan
mengungkapkan hal itu-ini, syok sendiri tanpa peduli pun hati dan perasaan
jamaah, seolah-olah khalayak dihadapannya itu jahil murakkab belaka. Mudahnya,
ada bermacam ragam sebenarnya jika mahu disebut hal-hal yang tak berapa bagus ini.
Namun, hal-hal kekurangan sebegini telah
dan sedang sentiasa diperbaiki dari masa ke masa. Maka itu, nukilan ini
tidaklah mahu menyentuh tentang perihal senario khutbah itu tetapi menjurus
kepada perspektif dan tanggapan yang lahir ke atasnya sepertimana yang Tuan
tanyakan sahaja. Hal ini diperjelaskan supaya tiada salah tanggapan ke atas
nukilan ini, yang menuduh saya memaki hamun para khatib dan mempertikai atau
memperkecilkan kandungan khutbah pula. Saya percayai, segala kurang lebih atau cacat
cela (sekiranya benar ada) tentang khatib dan khutbah itu, baik sekali
dibicarakan dalam forum yang lain.
Menuduh dan menanggapi dengan segala tanggapan buruk
terhadap sebahagian ummat Muslimin lain bukanlah sikap yang baik malah amat
terlarang. Apatah lagi dengan bahasa kesat dan menghina seperti penakut, tak
relevan, tak bagus dan segala macam lagi. Ini tuduhan amat berat dan tidak
selayaknya diungkapkan sama sekali oleh seorang Muslim kepada seorang Muslim
lain dalam apa suasana pun. Saya yaqin, yang dikatakan, dianggap dan dituduh
sebagai menghina, mencela dan mengata agama lain dan orang kafirin itu adalah Kalamullah
ini, yang sering diulang-ulang baca dan dipesankan :
"Orang-orang
Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama
mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang
sebenarnya)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah
pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan
penolong bagimu."
QS. al-Baqarah (2) : 120
Fahamilah hal paling asas - Ayatullah ini
sering disebut-sebut bukanlah senghaja untuk menakutkan orang atau pun
mendesak-desak orang sehingga bingung dan terketar-ketar, menjadi bersemangat
tak tentu hala atau membenci orang kafir tanpa sebab atau menyuruh menjadi
teroris, akan tetapi ia diperbuat sebagai seruan dan peringatan kepada ummat
Muslimin sendiri supaya kekal istiqomah dalam mentaati Allah Swt. dan berpegang
teguh selamanya dengan Islam. Sementelahan pula, gejala paling besar yang sedang
kita alami sekarang ini adalah mengikut hawa, perangai, tingkahlaku, isme-isme,
ideology malah kepercayaan berasal dari kafirin, yang telah pun meresap jauh ke
dalam setiap rohani, jasmani dan fikrah ummat Muslimin.
Lantaran itu apakah yang pelik sangat
apabila pesanan ini dibuat berulang-kali? Bahkan yang pelik dan karut itu
sebenarnya adalah adanya dikalangan Muslimin sendiri yang merasakannya ia begitu.
Ini disebabkan, perkara memberikan peringatan ini, adalah berasas dari tuntutan
Islam sendiri, yang semestinya pula ia disampaikan menerusi ayat-ayat Allah
Ta’ala, al hadis dan kisah-kisah yang benar bukan cerita karut marut. Ia
diperbuat supaya seluruh manusia beriman akan tetap terpelihara, sentiasa
mengingati Allah Ta’ala dan mendapat manfaat dirinya. Perkara ini telah pun
dijelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya
peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”.
Surah Adz Dzaariyat (51) : ayat 55
Perkara
memberi peringatan ini turut ditekankan oleh Nabi Saw. dalam sabda Baginda :
“Dari Tamim
Ad Daari Rhu. bahawasanya Nabi Saw. telah bersabda : Agama (Islam itu) adalah
nasihat. Kami bertanya : Untuk siapa?. Baginda menjawab : Untuk Allah,
KitabNya, rasulNya dan untuk para pemimpin qaum Muslimin dan ummat Muslimin
keseluruhan.”
Hadis sahih
riwayat imam Muslim Rhm. (no. 194), imam Abu Daud dan imam Nasaa’ie
Peringatan
ini sentiasa diulangi terhadap ummat Muslimin supaya tidak mereka terusan leka
dan lalai dari sifat kafirin yang sememangnya tidak pernah berhenti berusaha
untuk merosakkan ummat Muslimin dalam apa jua cara. Mereka tidak pernah suka
atas kejayaan dan kemakmuran ummat Muslimin malah sangat bergembira sekiranya
Islam dalam kerosakan. Hal ini telah pun dinyatakan oleh Kalamullah :
“Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian)
menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira
dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak
akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya
akan apa yang mereka lakukan”.
Surah Ali
Imran (3) : ayat 120
Adakah ayat-ayat
Allah dan kalam nabiNya ini hanyalah pembohongan sehingga tidak layak diulang
peringatkan? Mari kita renung dengan tenang sejenak : Lihatlah dinegara
majority Muslim, betapa hebat dan kayanya kafirin, bebas melkasnakan apa jua
kehendak agama mereka sklaipun perkara yang diharamkan oleh agama mereka
sendiri (arak, zina judi dll), berbanding Muslimin sendiri yang gelandangan. Tak
cukup dengan itu, mereka menjaja sana sini seantero dunia pula bahawa merekalah
golongan dianaktiri dan being marginalized. Jelas sekali, tidak cukup dengan
apa yang ada, malah mereka tetap berusaha untuk menabur racun dan mempariakan
Muslimin di tanahair mereka sendiri sekalipun majority.
Apakah kita
tidak nampak di negara minority Muslim, dimana saja pun, apa jadi dengan nasib
mereka kalau pun warganegara. Betapa sukarnya mereka sekali pun untuk
menjalankan tuntutan syari’at yang diwajibkan. Juga, apakah dengan mudah kita
mahu melupakan sejarah bagaimana layanan Islam terhadap kafirin dalam peristiwa
futhul Makkah, Baitul Muqaddis dan Konstantinopal, berbanding layanan yang
dilakukan ke atas ummat Islam dalam masa kejatuhan Andalusia, 600 tahun dahulu.
Sila baca, rasai, kajiselidik dan jawab sendiri.
Seterusnya
ternyata pula segala macam cacian dan penghinaan ke atas peribadi suci Nabi
Muhammad Saw. sehingga ke tahap perogol, pembunuh, gila seks, pencipta agama
palsu dan segala macam hinaan lagi. Tidak kurang juga segala macam nistaan
terhadap kepercayaan dan amalan Islam sehingga sewenangnya seruan azan, amalan
Islam, hukum-hakam syara’, hal haram halal malahan persoalan murtad dan aqidah
pun dipertikaikan sesedap rasa tanpa langsung ada rasa hormat sama sekali malah
secara benar-benar biadab dan kurang ajar. Seolah kita-kita ini bodoh belaka,
tak tahu melawan, tercucuk hidung dan pak turut segala kata mereka sahaja.
Sebaliknya,
kita ummat Muslimin tidak pernah sesekali pun memperkata malah jauh sekali
mempertikaikan apa jua amalan agama mereka, sekali pun sembah pokok, sembah
batu, sembah patung, sembah hantu, sembah gajah, sembah kuda waima terjun
gunung pun, dek kerana aqidah kita : “bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agama
aku”. Namun, tak hairan dewasa ini ramai dari kalangan mengaku Islam yang
tergedik-gedik pula mempertahankan kafirin jenis ini atas segala macam tak
masuk aqal antaranya demi da’wah kononnya, padahal sebenarnya menjaga undi, menjaga
pangkat, menjaga kedudukan, menjaga poket, beralasankan demokratis, moderatis,
liberalis, perpaduan, menjaga hati dan segala macam alasan karut lainnya.
Walhal, jiwa dan rasa ummat Muslimin saudaranya sendiri hatta Al Islam itu
sendiri, tidak perlukah dijaga?
Dan banyak
lagi perkara yang tidak disebutkan di sini lantaran tidak cukup ruang, malahan akan
lebih memilukan jiwa raga jika dikisahkan. Apakah hal sebegini tidak layak
diberikan peringatan? Apakah membiarkan ummat Muslimin termangu-mangu
diperkotak-katikkan dan diadu domba itu pula yang betul? Adakah peringatan
menyeru ummat Muslimin supaya bangun dari lena, kukuhkan saf, perbaiki iman,
amal dan taqwa bagi menentang musuh Islam ini pun salah? Salahkah membuat
sedikit tindakbalas berikutan ummat Muslimin berterusan dihina dan disakiti?
Baik sekali
diulangi peringatan jelas dan benar dari Allah Swt. sendiri kepada semua yang lena
supaya sedar, yang was-was menjadi tegas dan yang jahil berubah cerdik :
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka
(orang kafir, dengan) kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda
yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan
musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak
mengetahuinya …….”
Surah Al Anfaal (8) : ayat 60
Begitulah juga diulang-ulang peringatan itu supaya ummat
Muslimin tidak lupa, bahawa semua amal perbuatan manusia wajib berkait diantara
2 skema hubungan amal perbuatan dengan balasan yaitu : amal soleh di
dunia dengan pahala di akhirat atau amal dosa di dunia
dengan siksa neraka di akhirat. Artinya, setiap amal soleh di dunia
pasti akan mendapatkan pahala di akhirat yaitu berupa syurga yang penuh
kenikmatan manakala setiap perbuatan dosa pasti akan mendapat balasan siksa
yaitu di neraka yang hangat membakar. Takkan ada suatu amal perbuatan pun yang
tidak akan dipertanggung jawabkan dan boleh terlepas dari 2 skema ini. Ini
dijelaskan oleh Allah Swt. :
“Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam
keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan)
pekerjaan mereka. Siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah (biji sawi)
sekalipun, pasti ia akan melihat balasannya dan siapa yang mengerjakan
kejahatan seberat zarah sekalipun, niscaya ia akan melihat balasannya pula.”
Surah Al Zalzalah (99) : ayat 6-8
Demikianlah maqasid semua jenis peringatan yang berulangkali
diberikan kepada ummat Muslimin. Ia bukanlah berhasrat untuk mengata, mencela,
menghina atau menghasut membenci manusia lain tetapi tidak lain, seruan supaya
menjaga setiap diri ummat Muslimin sendiri dari kelekaan dan kelalaian,
meningkatkan jatidiri dan kesedaran, memperkukuhkan keimanan dan ketaqwaan agar
tunduk patuh kepada Allah Swt. semata-mata pada apa jua keadaan dan masa pun. Teruk
sangatkah memberikan semua peringatan dengan ayat-ayat ini? Sedangkan celaan
Allah Swt. sendiri ke atas para kafirin jauh lebih tegas lagi. Perhatikan
ayat-ayat Allah Swt. ini :
“Hanya Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar.
Dan berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat
memperkenankan sesuatu pun bagi mereka, melainkan seperti orang yang membukakan
kedua telapak tangannya ke dalam air supaya sampai air ke mulutnya, padahal air
itu tidak dapat sampai ke mulutnya. Dan doa (ibadah) orang-orang kafir itu
hanyalah sia-sia”.
Surah Ar Ra’ad (13) : ayat 14
"Yang mereka sembah selain dari Allah tidak lain hanyalah
berhala-berhala perempuan seperti Laata, Manaat dan Uzzaa dan tiadalah yang
mereka sembah kecuali syaithan yang durhaka".
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 117
“Orang-orang Yahudi berkata: “Uzair itu putera Allah” dan orang-orang
Nasrani berkata: “Al Masih itu putera Allah”. Demikian itulah ucapan mereka
dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu.
Dila’nati Allah-lah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling?:”
Surah At Taubah (9) : Ayat 30
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka
Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak
dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata
(tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan
mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar
(ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih
sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. “
Surah Al A'Raaf (7) : ayat 179
Intipati paling asas yang mesti difahami
dengan sejelas-jelasnya adalah, memberi peringatan ini adalah asas kepada
kepercayaan murni Islam dan menjadi sifat, sebahagian nama, fungsi dan mu’jizat
Al Qur’an sendiri. Kerana itulah yang disampaikan sebagai peringatan itu adalah
Kalamullah dan sabdaan suci rasulNya sebagai sebaik-baik Kalam untuk disampaikan
kepada manusia. Perhatikan firman Allah Swt ini. :
“Sesungguhnya
Kamilah yang menurunkan Al Zikra (peringatan - A) dan pasti Kami (pula) yang
memeliharanya.”
Surah
Al Hijr (15) : ayat 9
A
: Al Zikra yang dimaksudkan adalah Al Qur’an
“Haa Miim, (Al Qur’an ini) Diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pemurah Yang
Maha Penyayang. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, ya’ni bacaan dalam bahasa
Arab, untuk kaum yang mengetahui. yang membawa khabar gembira dan yang membawa
peringatan, tetapi kebanyakan mereka berpaling (daripadanya), maka mereka tidak
mahu mendengarkan. ”
Surah Al Fussilat (41) : ayat 2, 3-4
Allah Swt. berfirman “Haa Miim, (Al Qur’an ini) Diturunkan dari
Tuhan Yang Maha Pemurah Yang Maha Penyayang” maqsudnya Al Qur’an diturunkan
dari Tuhan Yang Esa. FirmanNya lagi “Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya”
yaitu kitab yang diterangkan ma’na-ma’nanya dan ditegaskan segala hukumnya. “bacaan
dalam bahasa Arab” maqsudnya berupa bacaan dalam bahasa Arab yang jelas dan
terang, ma’na-ma’nanya terperinci, lafaz-lafaznya amat jelas dan tidak ada
kemusykilan kesulitan di dalamnya. Maqsudnya Al Qur’an itu merupakan mu’jizat
baik dari lafaz dan ma’nanya.
Maqsud firman Allah “untuk kaum yang mengetahui” yaitu bahawa
yang mengetahui kejelasan dan kenyataan ini hanyalah para ulama’ dan fuqaha’
yang mendalam (rasikh) pengetahuannya.
Maqsud firman Allah “yang membawa khabar
gembira dan yang membawa
peringatan” yaitu Al Qur’an
memberi khabar gembira untuk orang-orang yang beriman dan sesekali memberikan
peringatan kepada orang-orang yang kafir. Ayat “tetapi kebanyakan mereka
berpaling (daripadanya), maka mereka tidak mahu mendengarkan” yaitu
kebanyakan orang Quraisy tidak memahami sedikit pun dari Al Qur’an itu padahal
ia begitu terang dan jelas.
Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir Rhm.
Tafsiir ul Qur’aanil Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 8 halaman 236-237
Dan kepada semua yang membantah dan kurang
senang itu, berhati-hatilah dengan ucapan lidah dan qasad dihati, supaya tidaklah
akhirnya tergolong sebagai manusia yang asyik mahsyuk mencari salah sesama
sendiri. Padahal realitinya tidak pun menyumbang apa-apa melainkan terus
membangkang dan mengulas dengan cara dan hasrat yang membawa kerosakan ummat.
Seruan ini disebutkan supaya, janganlah pula sehingga kita pun termasuk dalam
kalangan orang yang tak mahu mendengarkan peringatan ayat-ayat Allah serta
mengambil iktibar daripadanya. Ini disebutkan oleh Allah Ta’ala :
“Mereka berkata “hati kami berada dalam
tutupan (yang menutupi - dari) apa yang kamu seru kami kepadanya dan di telinga
kami ada sumbatan dan diantara kami dan kamu ada dinding, maka bekerjalah kamu,
sesungguhnya kami bekerja (pula)”
Surah Al Fussilat (41) : ayat 5
Firman Allah “kami berada
dalam tutupan (yang menutupi)” yaitu hati mereka dalam keadaan
terselubung dan terkunci, “dari apa yang engkau seru kami kepadaNya dan
telinga kami sudah tersumbat” yaitu tuli sehingga tidak bisa mendengar dan
memahami apa yang engkau sampaikan (wahai Muhammad) kepada kami. “dan diantara kami dan kamu ada dinding”
sehingga sesuatu yang engkau sampaikan tidak menjangkau kepada kami. “maka bekerjalah kamu, sesungguhnya kami
bekerja (pula)” artinya
buatlah olehmu apa yang engkau inginkan menurut caramu dan biarkan kami membuat
apa yang kami inginkan dengan cara kami pula. Kami tidak akan mengikuti kamu.
Tafsiir ul Qur’aanil Adziim (Tafsir Ibnu
Katsir), Jilid 8 halaman 237
Amat dangkal sekali sekiranya mengata itu ini
tentang khutbah dan menjadikan ianya sebagai parameter kuat lemah atau cerdik
pandainya ummat Muslimin. Padahal penyampaian ilmu Islam itu merangkumi segala
bentuk kuliyah meliputi segala juzuk ilmu dalam Islam dan sedia terhidang setiap
masa dan dimana jua. Hanya diperlukan sedikit kerajinan dan usaha berlandaskan
niyat yang benar. Khutbah hanyalah salah satu juzuk medium penyampaian ilmu.
Malah jika diperhatikan dengan teliti dan waras, maka akan ditemui bahawa
setiap khutbah dipenuhi :
1.
Puji-pujian dan takbir kepada Allah Swt.
2.
Solawat dan salaam ke atas junjungan mulia
Nabi Saw.
3.
Ayat-ayat Al Qur’an dan penjelasannya
4.
Al hadis sabdaan Baginda Saw. dan
penghuraiannya
5.
Pesan-pesanan supaya bertaqwa dan istiqomah
kepada Islam
6.
Doa ke atas setiap Muslimin (yang hayat mahu
pun yang maut)
Sekiranya kita bersikap kritikal dalam menerima
ilmu dan membuat penilaian, ia sikap amat terpuji dan dituntut Islam berbanding
bertaqlid buta. Namun pastikan bahawa parameternya itu mestilah lahir dari
syari’at Islam sendiri bukannya yang diciplak dari perspektif orang kafir yang
barang tentu memandang Islam ini tiada suatu apa pun yang betul.Seterusnya mahu
disampaikan peringatan Allah Swt. ini kepada sesiapa jua :
“Sesungguhnya orang-orang yang mengingkari
ayat-ayat Kami mereka tidak tersembunyi dari Kami, maka apakah orang-orang yang
dilemparkan ke dalam neraka lebih baik ataukah orang-orang yang datang dengan
aman sentosa pada Hari Qiyamat? Perbuatlah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya
Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Sesungguhnya orang-orang yang mengingkari Az
Zikra (peringatan) ketika Az Zikra itu datang kepada mereka, (mereka itu pasti
akan celaka). Dan sesungguhnya Al Kitab itu adalah kitab yang mulia.
Yang tidak datang kepadanya (Al Qur’an)
kebathilan baik dari hadapan mahu pun dari belakangnya, yang diturunkan dari
Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.”
Surah Al Fussilat (41) : ayat 40, 41-42
Peringatan-pringatan
sebegini mestilah selalu diperbuat, lantaran manusia ini bersifat lemah dan
sering leka, asyik dibuai mimpi indah dunia, terikut-ikut dengan kalam dan
perilaku orang kafir yang barang tentu amat menyeronokkan, sehingga sering
terbabas dari landasan murni Islam sama ada secara sedar atau tidak sedar.
Sehinggalah Allah Swt. bersumpah sebagaimana firmanNya :
“Demi masa! sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.
Surah Al Asr (103) : ayat 1-3
Lantas! apa
yang tidak kena dengan berulangkali memberi peringatan? Tepuk dada tanyalah iman
setipis kulit bawang tu...akuilah bahawa kita sentiasa memang perlukan
peringatan dan pesanan daripada orang lain kerana, memberi peringatan itu
sememangnya tuntutan Islam lantaran kita (manusia) memang lalai…...
والله تعالى
أعلم
, وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله
وأصحابه أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya,
semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
7 ulasan:
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Ketahuilah, pendekatan Rosululloh dalam berda'wah adalah terbaik, pendekatan para sahabat adalah terbaik dikalangan pengikut pengikut Nabi, pada asasnya semua orang Islam selagi masih tersemat, dan tertanam kecemburuan agama, patut diberikan setinggi tinggi penghargaan sekiranya menampakan hasil terbela, dan bertambahnya keselamatan ahli tauhid pada keyakinan, harta, nyawa, kehormatan, bahkan semakin melebarnya sayap fungsi siyasah untuk agama ini,
Kepelbagaian cara kadang melahirkan kecemburuan sosial antara sesama kita,bahkan kumpulan yang paling hebat adalah yang paling mampu mengekang kemarahan lalu mampu diubah menjadi komoditi kekuatan da'wah dari berbagai aliran menuju satu kekuatan ummah yang cintakan kedamaian, dan selalu dibarisan hadapan mencipta iklim sejuk (kondusif ), tetapi tetap memiliki jiwa fanatik ketika mana nilai-nilai kemanusian terlalu diperdagangkan terlebih lebih lagi, pelecehan terhadap agama ini, bahkan agama mana pun dipersada bumi ini,
Bahkan ramai tidak menyedari persen terbesar strategi missionaris kristen merujuk pendekatan terbaik cara kasih sayang Rosululloh, yang dihari ini terasa tandus antara sesama kita, mungkin boleh di bilang majoritinya hanya tinggal retorika, kadang kita terlupa kekuatan ukhuwwah telah menjadi aset terbesar untuk membina kerajaan ta'asub, dan ananiah, kita lupa akan kesepakatan ummah bahawa sawaadul a'zom merujuk kepada kumpulan kesepakan terbesar ummah ini memelihara kesucian agama, harta, nyawa, dan keturunan,
Semoga ummah ini tetap selalu dibarisan hadapan untuk cinta sejatinya adalah Alloh, Rosul, dan orang-orang beriman.
Syukron
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Saya taklah pandai berbahasa yang begitu mendalam, berfalsafah dan amat bermakna sebegini, cuma sekadar ingin memberi sedikit cadangan dengan ayat-ayat yang biasa sahaja.
Mula sekali terima kasih artikel penjelasan yang amat baik. Hal tuntutan memberi peringatan sesama umat Islam telah pun difahami, insyaAllah. Tetapi merujuk kepada hal asas yang menjadi persoalan : mungkin komen dari para pendengar itu disebabkan sesudah begitu banyak peringatan yang sama berulang kali disebut, namun kita tetap di takuk sama dan tiada perubahan pun. Sebab tu rasanya teguran dibuat bukannya berniat mengatakan khutbah atau kuliyah itu yang tak betul tetapi impaknya yang tak membawa apa-apa pun dan orang Islam kelihatan masih ditakuk lama malah kelihatan semakin teruk berbanding dahulu.
Baik rasanya saya sebutkan hal ini kerana dalam beberapa perenggan didapati, ustaz berikan ayat yang agak keras dan negatif kepada golongan yang dikatakan "berfikiran kritikal". Kalau lah diorang dapat artikel nih, timbul pula perbalahan nanti. Saya sebutkan hal ini supaya kita sentiasa bersangka baik sesama Islam dan berusaha mengelakkan perbalahan sesama sendiri. Kalaulah sesama kita tidak saling memberi peringatan, saper pula yang nak memberi peringatan.
Moga niat yang baik dituruti dengan amal perbuatan, tingkah laku dan kata-kata yang baik juga. Barulah ia seiring dan tidak menjadi persoalan. Apa pun artikel ini memang memberi penjelasan tentang tuntutan memberi peringatan di dalam Islam, dan rasanya memang boleh memberi kesan, insyaAllah.
Wassalam
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Jazakallah kepada semua yang memberikan maklumbalas. Semua pernyataan itu amat dihargai.
Kepada Tuan poison ivy, ingin saya menjelaskan :
Saya melakukan sebaik mungkin untuk menjawab persoalan/hal dibangkitkan. Jelasnya persoalan itu adalah mempertikaikan kandungan khutbah sedangkan khutbah adalah salah satu medium pesanan, peringatan dan penyampaian ilmu kepada Muslimin. Sikap menjengkelkan yang disentuh adalah sifat prasangka buruk dan pelecehan yang dijatuhkan terhadap satu kumpulan Muslimin lain. Tidak terserlah langsung adanya qasad yang baik disebalik ungkapan kalam sebegitu.
Memberi peringatan memang tuntuan dan suruhan Islam lantaran ia amat berguna, ini dijelaskan oleh ayatullah :
“Dan Kami akan memberi kepada kamu tawfiq kepada jalan yang mudah (jalan yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat). Oleh sebab itu berikanlah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), jika peringatan itu bermanfaat (dan sudah tentu berguna)."
Surah Al A'la (87) : ayat 8 dan 9
Apabila ditanyakan kenapa pula setelah ribuan tahun peringatan diberikan akan tetapi jelasnya kondisi ummat Muslimin kelihatan lebih memburuk, seolah segala peringatan itu tidak berguna sama sekali, sesungguhnya Allah Swt. telah pun menjawabnya :
“Orang takut (taat kepada Allah) akan mendapat pelajaran. Orang-orang yang celaka (ingkar) akan menjauhinya.”
Surah Al A'la (87) : ayat 10 dan 11
Amat panjang kisahnya jika mahu diselidiki kenapa setelah adanya Islam ini dengan pelbagai kebaikannya, ummatnya tetap ketinggalan berbanding orang lain dan asyik berbalah sesama sendiri. Ia terkait dengan pelbagai alasan antaranya tahap penguasaan ilmu, sikap, suasana hidup dan lainnya. Baik sekali dibicarakan dalam forum yang lain.
Namun kepada para penda’ie malah sesiapa jua yang ada kemampuan memperingati manusia dengan jalan yang benar (Al Qur’an dan As Sunnah), teruskanlah usaha itu sedaya upaya. Kalau pun mungkin juga kita ini ada kekurangan. Hal diterima atau ditolak, berkesan atau sekadar menjadi angin lalu, serahkanlah kepada Allah.
“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberikan petunjuk (memberi taufiq) kepada siapa yang dikehendaki-Nya…….”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 272
Kesimpulan ringkas, jangan sesekali dicela dan dinistai manusia atau usaha memberi peringatan. Sekiranya tidak mahu didengar dan diikuti, itu adalah pilihan sendiri dan ia bukanlah sesuatu hal yang boleh dipaksakan pun. Dalam hal memberikan peringatan ini, mari bersama kita perhatikan kisah di dalam Al Qur’an ini, untuk iktibar bersama :
“Dan tanyakanlah kepada Bani Israel tentang negeri (ya’ni Kota Eliah) yang terletak di dekat laut (Merah) ketika mereka melanggar aturan pada hari Sabtu (menurut aturannya, tidak boleh bekerja dan berburu, hanya beribadah) di waqtu datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di laut sekitar mereka) terapung-apung di permukaan air (mereka menangkapnya, sebenarnya itu ujian dari Allah), dan di hari-hari yang bukan Sabtu, ikan-ikan itu tidak (pun) datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka berlaku fasiq.
Dan ingatlah ketika suatu umat diantara mereka berkata (kepada orang yang memberi peringatan) : Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka dengan azab yang amat keras? Mereka menjawab : Agar kami mempunyai alasan (pelepasan tanggungjawab) kepada Tuhanmu (bahawa telah melaksanakan tanggungjawab untuk memberi peringatan), dan supaya mereka bertaqwa.
Maka tatkala mereka (orang yang melanggar aturan) melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang (memberi peringatan) dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang dzalim (melanggar aturan) siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasiq.
Maka tatkala mereka (orang yang melanggar aturan) bersikap sombong (tetap melanggar aturan setelah diberi peringatan) terhadap apa yang mereka dilarang mengerjakannya, Kami katakan kepadanya : Jadilah kamu kera yang hina.”
Surah Al A'raaf (7) : ayat 163-166
Imam Al Hafiz Abu Abdullah Muhammad ibn Ahmad ibn Abu Bakr al-Ansori al-Qurthuby Rohimahullah menjelaskan ;
Sa’id bin Jubair berkata : Apabila seseorang tidak memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar, hingga ia menunggu dirinya bebas dari kesalahan, maka tidak akan ada seorangpun yang memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar.
Imam Malik bin Anas setelah mendengar perkataan Sa’id bin Jubair berkata : Benar apa yang dikatakan Sa’id. Siapakah yang tidak memiliki sedikit pun dosa dalam dirinya?
Al-Hasan berkata kepada Mutharrif bin ‘Abdillah : Berilah nasihat (peringatan) kepada sahabat-sahabatmu.
Mutharrif menjawab : Sesungguhnya aku takut mengatakan apa yang tidak aku kerjakan.
Al-Hasan berkata lagi : Semoga Allah merahmati dirimu. Tidak ada seorangpun di antara kita yang melakukan semua yang diperintahkan Allah. Syaithan akan gembira apabila kita berfikir seperti itu sehingga tidak ada seorang pun yang memerintah kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari kemunkaran.
Berkata Ibnu Hazm : Apabila orang yang mencegah dari perbuatan keji mesti orang yang tidak memiliki kesalahan, dan orang yang memerintah kepada kebaikan mesti orang yang selalu mengerjakan kebajikan, maka tidak ada seorangpun yang mencegah dari yang munkar dan tidak ada seorang pun yang mengajak kepada kebaikan setelah Nabi Muhammad Saw.
Kitab Al Jami’ Li Ahkam il Qur’an (tafsir Al Qurthuby), Jilid 1 halaman 367
Dan imam Yahya bin Syaraf An Nawawi Rohimahullah pula berkata :
“Para ulama menyatakan bahawa tidak disyaratkan pada orang yang memerintah kepada kebaikan atau orang yang mencegah dari kemunkaran untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal. Tapi, ia mesti tetap mengajak kepada kebaikan walaupun ia memiliki kekurangan dalam hal yang ia ajak kepadanya, dan ia tetap mencegah kemunkaran walau ia terkadang mengerjakan apa yang ia cegah. Kerana sesungguhnya wajib pada dirinya dua perkara iaitu : mengajak dirinya sendiri ke arah kebaikan dan mencegah dari kemunkaran; dan mengajak orang lain ke arah kepada kebaikan dan mencegah mereka dari yang munkar. Tidak boleh ia melalaikan salah satu dari dua perkara tersebut.”
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 2 halaman 23
Namun tetap jua sesiapa jua yang mahu sentiasa memberi peringatan itu, mestilah beriltizam benar-benar untuk memperbaiki diri dan melaksanakan sendiri apa yang dia sebutkan. Itulah yang sebaik-baiknya justeru Allah Swt. telah berpesan :
“Mengapakah kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan (kewajiban) dirimu sendiri; padahal kamu membaca Al Kitab, Maka tidakkah kamu beraqal (berfikir).”
Surah Al Baqarah (2) : Ayat 44
Dan kepada yang sering terlajak kalam dan perbuatan (berlebih-lebih) dalam memberi peringatan ini, ingatlah firman Allah ini :
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan mengujiI kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik-buruknya) hal ehwal kamu.”
Surah Muhammad (47) : ayat 31
Maka itu, teruskanlah saling memberi peringatan kerana ia sangat berguna.
سكيان , والسلام
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah Rohimahullah mengatakan :
"Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Men¬inggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar mendurhakai dosa."
Realiti hari ini, manusia secara umumnya mundur¬ hal syara'. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu kelazatan. Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan dan kedzaliman. Sifat fujur mengatasi sifat taqwa. Jiwa semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Jiwa masyarakat berasa cukup gelisah bila dengar kalimah syara' lalu dipandang hina, sepi dan serong. Lebih tenat lagi, apabila jiwa yang rosak itu menolak ubat dan sukakan penyakit. Jiwa mengutamakan penyakit daripada ubat sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.
Penyakit mencerca Allah SWT berlaku dalam masyarakat. Cercaan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara tersurat atau tersirat. Contohnya, qudrat dan iradat Allah SWT menurunkan hujan. Kedapatan manu¬sia mencerca Allah dengan cara berusaha menghalang hujan dengan alasan atau tujuan untuk menjayakan `malam amal' atau majlis-majlis tertentu. Walaupun Allah SWT mengizinkan hujan berhenti tetapi itu adalah al-Istidraj. Allah SWT terus membiarkan mereka menunjukkan kemegahan.
Mencerca Allah SWT juga berlaku dengan cara memandang sepi hukum-hukum Allah SWT, memandang Islam sebagai cara hidup ketinggalan zaman, mengambil sebahagian daripada Islam dan menolak sebahagian daripadanya. Juga menutup seluruh matahati dan pancaindera dari menerima dan mendengar Kalam dan Az Zikra Allah dan Rosul-Nya.
Realiti ini lebih payah dan sukar bagi para doktor (para penda'wah Muslimin) untuk mengubatinya. Manusia yang berpenyakit itu pula akan terus memberi musibah, fitnah, duri dalam daging dan kemalangan yang besar kepada umat Muslimin keseluruhannya.
Wallahua'lam
و رحمة الله و بركاته السلام عليكم و
Jazakallah sekali lagi atas semua maklumbalas. Semua pernyataan itu amat dihargai. Ulasan saya ringkas sahaja. Begini :
Allah Swt. berfirman :
"Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu ; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk."
Surah Al Ma'idah (5) : ayat 105
Kalam Allah Ta'ala memberitahu ; sesungguhnya Allah memerintahkan kita untuk memperbaiki diri-diri kita, dan agar kita menjaga kesalihan kita, dan jika tersesat siapapun dari kalangan manusia maka hal itu tidaklah mendatangkan mudharat, sebagaimana yang dikatakan Allah Ta'ala kepada NabiNya Saw. ;
“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka, tetapi orang yang berpaling dan kafir, maka Allah akan mengadzabnya dengan adzab yang besar."
Surah Al Ghaasyiyah (88) : ayat 21-24
Seorang insan, jika ia mendapat petunjuk maka orang yang durhaka tidak dapat akan mencelakainya, namun jika manusia tidak mengubah kemungkaran maka dikhawatirkan Allah akan meratakan adzab dariNya kepada mereka, sebagaimana Allah Ta'ala berfirman ;
"Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaanNya."
Surah Al Anfal (8) : ayat 25
Berpeganglah dengan sungguh, yang para pelaku maksiyat tidak akan mendatangkan mudharat kepada sesiapa pun ketika di akhirat, mereka tidak dapat mengurangi (pahala) kebaikan-kebaikan atau menambah dosa-dosa. Kecuali jika seseorang telah lalai memberi peringatan (da’wah ke jalan pada Allah dan Rasul, amar ma'ruf serta nahi mungkar), maka perbuatan tersebut tentu saja akan mencelakakan. Mudharat itu pasti tidak berasal dari mereka yang sesat itu, namun dari perbuatan diri sendiri.
Sesiapa yang belum melaksanakan kewajiban memberi peringatan, dia hampir boleh dikatakan belum mendapat petunjuk sempurna, kerana Allah telah mempersyaratkan dengan mengatakan ;
"……… tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk."
Surah Al Ma'idah (5) : ayat 105
Maka teruskanlah memberi peringatan, lantaran itulah yang dituntut ke atas semua kita, juga supaya dapat memperbaiki manusia lain dengan izinNya, malah paling utama, dapat membantu diri kita sendiri mendapatkan redha-Nya.
Moga semua kita sentiasa dalam rahmat dan petunjuk-Nya, aamiiin.
السلام و
Catat Ulasan