بسم لله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي, وبعد,
Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.
Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.
Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh ia menang dengan kemenangan yang besar.
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 70-71
Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bidah, setiap bidah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka. Amma badu.
Sukar amat untuk diluahkan, di saat ratusan ribu ummat manusia bersabung nyawa menghadapi bala (ujian) dari Allah Taala yani banjir yang sedang melanda sebahagian negara ketika ini, masih terdapat golongan yang menangguk di air keruh dengan menyebar khabar palsu, dusta dan merosakan dengan berniyat jahat. Celaka sungguh para pengekor iblis ini. Entah syaithon apa yang menghasut mereka sehingga tergamak berkelakuan begini.
Sesukar mana pun, marilah kita merenung kembali dalam dasar yang telah ditetapkan oleh syara terhadap perbuatan makhluq-makhluq perosak ini.
Salah satu sikap yang wajib ada pada sesaorang Muslim adalah sentiasa memastikan dan menyemak kebenaran (tabayyun) apa jua maklumat atau khabar yang sampai kepadanya, Ini bagi mengelakkan fitnah dan tindakan salah disebabkan oleh maklumat palsu juga bermasalah, yang dia pun turut menjadi pensubahat.
Allah Swt. telah berpesan lewat Kalam-Nya :
Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa khabar berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu qaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar, sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut.
Surah Al Hujurat (49) : ayat 6
Kalamullah ini menjadi dasar dan panduan dalam menilai khabar dan darinya telah lahir qaidah-qaidah (ilmu) bagi memastikan kesahihan/keabsahan sesuatu khabar (misalnya ilmu rijal dan jarh wa tadil dalam bidang hadits).
Sehinggakan kriteria pembawa khabar (perawi/periwayat) adalah sangat ketat antaranya bukan pendusta, tidak berbohong bila menyampaikan, bukan pelupa, seorang yang terpercaya (tsiqah), seorang yang adalah (adil), tidak menokok tambah atau mereka-reka kisah, seorang yang amanah, yang boleh diperakusaksikan (bukan khabar angin), bertanggungjawab (bukan lepas tangan) dan berbagai lagi.
Hal ini membuktikan betapa manhaj dalam menerima dan menyampaikan khabar daripada sesaorang kepada seorang yang lain amat terjaga dan terpelihara dalam Islam. Dengan manhaj inilah, Allah Taala memelihara Kalam-Nya dan As Sunnah nabi-Nya penyelewengan dan pendustaan.
Namun hari ini, manusia melupakan pesanan Allah Taala ini, sebaliknya amat mudah menerima, menelan, mempercayai, berasa tajub dan ikut terpengaruh dengan segala macam khabar, kalau pun ia datang dari sumber tidak ketahuan, tidak pun terbukti kebenaran, terhasil dari talbis ul iblis, penuh dayah kejahatan, penuh hasutan dan kebencian, terkadang terkandung celaan dan penghinaan.
Sehingga khabar-khabar dusta, jahat dan bathil ini menjahanamkan aqal fikiran mereka tanpa sedar tapi rela. Tidak seqadar itu, mereka turut menjadi pensubahat kerosakan dan agen-agen iblis bila membantu menyebarkan khabar-khabar yang mereka dapati kepada khalayak umum, sedang mereka sedar bahawa tidak pun dapat memastikan sama ada khabar itu haq atau bathil.
Allah Taala berpesan lagi :
Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan atau pun ketakutan, mereka terus menyebarkannya.Dan sekiranya mereka menyerahkan kepada Rasul dan Ulil Amri dikalagangan mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui keabsahannya (akan dapat) mengetahuinya daripada mereka. Jika tidak kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaithan, melainkan sebahagian kecil sahaja (diantara kamu).
Surah An Nisaa (4) ; ayat 83
Ayat ini menunjukkan pengingkaran terhadap sikap tergesa-gesa dalam menerima, menelan dan menyebarkan khabar yang diterima, sedangkan mereka sendiri belum dapat memastikan kesahihan, makna, tafsiran dan kesan dari khabar tersebut.
Ayat ini juga menunjukkan qaidah dalam menyikapi khabar yang diterima, dengan mendapatkan keterangan dari pihak berautoriti dalam kalangan ilmuwan dalam sesuatu bidang, para ulama yang wara, dan pihak pemerintah, supaya didapatkan kebenaran terhadapnya, bukannya disebarkan tanpa usul periksa kepada khalayak umum.
Ketika ini ummat Muslimin benar-benar diuji dengan fitnah maklumat yang dahsyat. Lambakan khabar benar dan palsu bercampur baur tersebar kepada umum tanpa tapisan, selaras dengan era ict. Sebaran berlaku dari bermacam cara fikir, sama ada adil, amanah, jujur hinggalah daripada si penipu, perosak, kepentingan politik, qaum dan kuasa, penghasut, hasad dengki, juga dari golongan fasiq, sesat mahu pun kaafirin.
Paling bahaya apabila segala macam khabar palsu dan yang jahat ini tersebar dalam khalayak yang sinting aqal, jahil menilai, semberono menerima malah mempercayainya membuta tuli pula serta prinsip Al Wala Wal Bara-nya yang tunggang langgang. Mereka ini turut pula menjadi agen penyebarnya. Ini sangat bahaya kepada aqidah ummat.
Mari kita perhatikan sabdaan Nabi saw. :
Cukuplah sesaorang dianggap pendusta, ketika dia menceritakan (menyebarkan) setiap apa yang dia dengar.
Riwayat imam Muslim Rhm. Muqaddimah Sohih Muslim, 1/15, no. 6
Tanyalah diri dan iman, apa tidak cukupkah Kalam Allah Taala dan rasul-Nya untuk diambil pelajaran. Adakah kalam-kalam ini tidak pernah diajari atau tidak pernah didengari, sehingga kalam-kalam dan hasutan syaithon pula yang dibesarkan.
Allah Taala berpesan lagi :
Maka janganlah kamu ikuti orang-orang yang mendustakan (ayat-ayat Allah) dan mereka menginginkan kamu bersikap lunak (pula kepadamu)
Dan janganlah kamu ikuti orang yang banyak bersumpah lagi hina
Yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah
Yang sangat enggan berbuat baik, yang melampau batas lagu banyak dosa
Yang kaku kasar, selain dari itu, yang terkenal kejahatannya
Surah Al Qalam (68) : ayat 8-13
Dalam ayat-ayat ini Allah Taala melarang keras ummat Muslimin dari mengikut kalam (tulisan dan kata-kata) yang datang dari golongan pendusta, pengadu domba, perosak dan penabur fitnah. Kalau pun terkadang khabar dari mereka ini kedengaran amat lunak dan menarik hati.
Mereka ini tidak lain hanya manusia penabur fitnah dalam berbagai hal, yang enggan berbuat baik bahkan berusaha pula kepada kejahatan, bersikap melampau batas dalam segala hal dan hanya menarik ummat kepada dosa.
Allah Taala memerintahkan pengingkaran terhadap kelakuan sebegini menerusi Kalam-Nya :
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalanga orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Dan ingatlah! Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian.
Surah An Nuur (24) : ayat 19
Allah Taala telah mengajarkan adab paling agung kepada hamba-Nya untuk diikuti :
Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tiada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Surah Al Isra (17) : ayat 36
Sungguh menghairankan, terbentang luas makna dan pengajaran Kalamullah ini sejelas-jelasnya, lantas apa lagi yang tidak difahami? Sungguh! Kalam sebegini nyata hanya tidak diambil manfaat oleh orang yang hatinya keras kematu, dipenuhi hasad dan tertutup dari menerima kebenaran.
Justeru itu, apa jua khabar yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, janganlah tergesa-gesa ditelan, dijadikan sandaran dan disebarkan. Elakkanlah mengikut khutuwat isy syaithon dengan mempercaya dan menyebarkan khabar yang kita tiada pengetahuan padanya melainkan kerana rasa hasad dan sangkaan.
Ingat dan amalkanlah pesanan Nabi Saw. :
Akan datang nanti kepada manusia, masa-masa yang penuh tipu daya. Para pendusta dianggap sebagai orang jujur, manakala orang jujur dianggap pendusta. Orang khianat dianggap amanah, dan orang amanah dianggap pengkhianat. Dan (ketika itu) para ruwaibidhah mula berkata-kata (bersuara). Lalu ada yang bertanya : Siapa itu ruwaibidhah?. Baginda menjawab : Orang yang bodoh sibuk berbicara (mengulas) tentang masalah masyarakat.
Riwayat imam Ibnu Majah Rhm. Kitab Al Fitan, no. 4026
Janganlah kita turut menjadi makhluq perosak, agen iblis syaithon, juga golongan riuwaibidhah kerana tidak bertabayyun di kala menerima khabar. Sesungguhnya siksaan Allah Taala itu amat pedih kepada para penipu, pendusta dan pengadu domba.
Kepada para petugas, agensi-agensi, pekerja, sukarelawan dan perseorangan, teruskanlah usaha mulia membantu para mangsa banjir yang amat memerlukan pertolongan ini. Sesungguhnya segala kebajikan itu pasti mendapat ganjaran kebaikan dari sisi Allah Taala. Kerja tangan para pengekor iblis ini tidak akan sama sekali mematahkan semangat dan iltizam untuk terus menaburkan bakti, kerana Allah semata.
Mudah-mudahan Allah memberikan balasan setimpal dan selayaknya kepada penyebar khabar palsu, perosak, penghasut dan penegak kebathilan.
Semoga solawat dan salaam senantiasa dilimpah-kan kepada Rasulullah Saw., keluarga dan para Sahabat Baginda, para Salafus Solih, para syuhada’ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan hingga hari qiyamat.
والله تعالى أعلم , وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
0 ulasan:
Catat Ulasan