Rabu, 12 September 2012

Hukum Solat Di Kawasan Kubur.

10 ulasan
Soalan daripada :  wmfaizal84@yahoo.com 
 
Assalamu’alaikum...
Salam sejahtera ke atas Abang Mad ...semoga senantiasa sihat dan dirahmati Allah selalu...

Saya inginkan sikit penjelasan. Begini, saya singgah solat Maghrib di sebuah masjid (di Kulim), selepas itu turut mendengar kuliah. Ada seorang Ustaz memberikan huraian tentang satu hadis yang mana Nabi membenarkan solat di mana saja melainkan diatas kubur. Ada beliau sebut yang Nabi melarang keras juga haramkan perbuatan solat atas kuburan. Tapi dalam huraiannya dia mengatakan begini pula :

1) Imam Syafie : dibolehkan dengan syarat mesti beralaskan (berlapik) tikar atau kain. Juga dibolehkan solat atas selipar atau kasut dengan syarat tidak memijak tanah kubur (pijak atas selipar atau kasut tersebut sahaja)
2) Imam Hanbali : tak boleh..haram terus
3) Imam Malik : tak boleh juga….. tapi makruh
4) Imam Hanafi : harus

Dan pada akhirnya, Ustaz tersebut membuat kesimpulan, maka boleh terima yang mana satu pun...terpulanglah...semua tak salah

Kemusykilannya, adakah kita boleh terima hukum yang macam ini? Saya dengari ramai jamaah yang merungut-rungut tentang kesimpulan ini.

Harap Abang Mad dapat memberikan penjelasan terhadap perkara ini...semoga dengan penjelasan itu dapat memberi pemahaman yang benar kepada semua...

Sekian,

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua rakan jamaah serta para pembaca. Seraya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. Moga Allah Swt. Yang Maha Esa Yang Maha Dermawan, meredhainya. Saya mohon berlindung diri kepada Allah Tabaraka Wata’ala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan, serta memohon pimpinanNya sentiasa dalam menghasilkan artikel ini.

Terima kasih atas soalan dari tuan ini. Sebenarnya hal ini telah pun saya jawab semasa kuliah mingguan. Namun oleh kerana tak kurang 4 kali saya diminta menulis juga jawabannya, maka sekarang saya tuliskan. Sebenarnya saya kurang gemar menjawab soalan fiqh yang ada kontroversi padanya, lantaran jawaban saya nanti pelik pula dilihat orang. Maklumlah, selalunya yang pelik dan melawan arus ini macam-macam dikata orang, hingga tak larat nak dengar. Fakta betul atau salah sesuatu perkara dah tak dikira, asal saja tak sama dengan orang ramai, maka itu dianggap salah. Rupanya, tahap ramai atau sedikit pula yang menjadi dalil kepada benar atau salah sesuatu perkara, bukan fakta dan nas sahihah. Apa nak dibuat, kita amalkan prinsip-prinsip demokrasi, dan amalan Islam pun dah di demokrasikan. Kerana itulah, seboleh mungkin saya cuba elakkan diri dari terlibat dengan hal-hal kontroversi, tak mahu serabutkan kepala kerananya.

Adalah benar, Rasulullah Saw. menyatakan bahawa seluruh muka bumi milik Allah Swt. ini adalah tempat sujud, menerusi hadis berikut :

“Dari Abu Sa’id Al Khudri Rhu. ia berkata bahawasanya telah bersabda Rasulullah Saw. : Bumi ini keseluruhannya tempat bersujud kecuali kubur dan tandas”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. (492), imam Darimy rh. imam Ibnu Majah rh. imam Ahmad rh. imam Tarmidzi rh. imam Ibnu Hibban rh. imam Hakim rh. dan beliau mensahihkannya.

Saya teruskan sahaja kepada jawabannya. Junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. memang melarang solat di atas kuburan. Saya mulai dengan 3 lafaz hadis yang bersifat umum :

Dari Abdullah Ibnu Mas’oud ia berkata : Aku telah mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya sekeji-keji manusia ialah orang yang menemui kejadian qiyamat sedangkan mereka masih hidup dan orang yang menjadikan kubur sebagai masjid”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. imam Ibnu Khuzaimah rh. imam Ibnu Abi Syaibah rh. imam Abu Nu’aim rh. imam Abu Ya’ala rh. imam Thabrani rh. dalam kitab Mu’jamul Kabir, imam Ibnu Hibban rh. dan beliau mensahihkannya.

“Dari Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar Rha. ia berkata : Sesungguhnya Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah menerangkan kepada Nabi Saw. tentang gereja yang mereka lihat di negeri Habsyah yang di dalamnya terdapat gambar-gambar (patung-patung). Nabi Saw. kemudian bersabda : Sesungguhnya mereka itu apabila ada di kalangan mereka orang soleh yang mati, mereka membina masjid di kuburannya lalu mereka buat patung di dalamnya, mereka itulah sekeji-keji makhluk di sisi Allah pada hari qiyamat”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 427), imam Muslim rh. imam Ahmad rh. imam Ibnu Abi Syaibah rh. imam Baihaqi rh. dan imam Nasaie rh.

“Dari Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar Rha. ia berkata : Pada saat Rasulullah Saw. menderita sakit menjelang kematian, baginda meletakkan sarung ke wajahnya. Ketika selendang itu menutupi wajahnya, baginda membukanya dari wajahnya. Kemudian bersabda dalam keadaan demikian : Laknat Allah atas orang-orang Yahudi dan Nasrani, kerana menjadikan kuburan nabi-nabi  mereka sebagai masjid-masjid. Baginda mengingatkan atas apa yang mereka lakukan”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh, (no. 435), imam Muslim rh. dan imam Ahmad rh.

“Dari Jundab bin Abdillah Al Bajali Rhu, dia berkata : Aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menjadikanku sebagai kekasih sebagaimana Dia telah menjadikan Ibrahim Ahs. sebagai kekasih. Seandainya aku
(dibolehkan) mengambil kekasih dari antara umatku, tentu aku mejadikan Abu
Bakar sebagai kekasih. Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kalian
telah menjadikan kuburan-kuburan para nabi mereka dan orang-orang solih mereka
sebagai masjid-masjid. Ingatlah, janganlah kalian menjadikan kuburan-kuburan
sebagai masjid-masjid, sesungguhnya aku melarang kalian melakukan itu”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. Kitab Al Masajid, no. 532

Terdapat beberapa lagi hadis yang tidak saya nukilkan disini lantaran maksudnya sama sahaja. Matan hadis-hadis sahih di atas, dengan jelas memberitahu :

1.         Rasulullah Saw. melarang membina masjid (juga bersolat) di atas kubur.
2.    Begitu juga, Allah Swt. melaknat golongan Yahudi dan Nasrani kerana menjadikan kubur-kubur para Nabi mereka sebagai masjid (tempat solat).

Dengan itu, sekiranya orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadikan kubur Nabi sebagai masjid perbuatan yang dilaknat, maka orang-orang Islam yang menjadikan kubur para nabi dan kubur orang-orang soleh mereka sebagai masjid dengan cara memperbuat solat dan berdoa di kubur yang telah dijadikan tempat beribadat dan bersolat (sebagai masjid), maka cara beribadah seperti ini jelas mengikut sunnah kafir Yahudi dan Nasrani, bukan mengikut sunnah Rasulullah Saw., yang terang-terang melarangnya. Barang tentunya, sesiapa yang meniru sunnah Yahudi dan Nasrani ini, pasti akan menerima laknat yang sama sebagaimana yang ditimpakan oleh Allah Swt. ke atas mereka.

Seterusnya, mari kita lihat nas-nas yang secara langsung melarangnya :

“Dari Anas bin Malik Rhu. ia berkata : Sesungguhnya Nabi Saw. melarang mendirikan solat di antara kubur-kubur”.
Hadis riwayat imam Al Bazzar rh. Menurut Imam Ibnu Hajr Al Haitamy rh. bahawa para rawinya adalah perawi-perawi yang sahih. Lihat : kitab Majmu’ az Zawaid. Juz. 2 halaman 27.

“Dari Abu Martsad Al Ghanawi Rhu. ia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Janganlah kamu solat menghadap ke kubur dan janganlah kamu duduk di atasnya”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 972), 3/62 imam Abu Daud rh. imam. Ahmad rh. imam Nasaie rh. dan imam Tarmidzi rh.

Orang-orang beriman juga dilarang dari bersolat berhampiran dengan kubur sebagaimana larangan Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rhu. :

“Dari Anas bin Malik Rhu. ia berkata: Aku pernah mahu mengerjakan solat berhampiran kubur, apabila Umar bin Al Khattab melihatku maka beliau berkata : Kubur! Kubur!. Aku melihat ke langit kerana aku menyangka beliau berkata : Bulan, bulan!”.
Hadis riwayat imam Abul Hassan rh. dalam (جزء فيه مجالس من امالي ابي الحين القزويني) Jilid 1 halaman 3 dengan sanad yang sahih. Dita’liq oleh imam Ibnu Hajr Al Asqolany rh. dalam kitab Fathul Bari, Jilid 1 halaman 437. Dan terdapat penyambungannya yang dicatatkan oleh imam Abdurrazaq rh. dalam kitab Al Musannaf Jilid 1, halaman 404 no. 1581 dengan lafaz tambahan :

“Berkata Umar (kepada Anas) : Yang aku katakan kubur, janganlah engkau bersolat menghampirinya (atau menghadapnya)”.
Menurut imam Ibnu Hajr Al Haitamy rh. bahawa para rawinya adalah perawi-perawi yang sahih. Lihat kitab Majmu’ az Zawaid. Juz 2 Halaman 27

Ada beberapa lagi hadis yang tidak saya nukilkan disini lantaran maksudnya sama sahaja. Matan hadis-hadis sahih di atas, dengan jelas memberitahu :

1.    Rasulullah Saw. melarang sama sekali memperbuat solat di atas kubur (juga duduk).
2.    Larangan itu melibatkan juga lokasi di tepi atau berhampiran dan menghadap ke kubur. Hadis dari Anas Rhu. yang beliau dilarang oleh Umar bin Al Khattab dari bersolat di tepi kubur menunjukkan bahawa telah diharamkan bersolat di kubur, di tepi kubur dan berhampiran dengan kubur atau perkuburan.

Justeru itu, berdasarkan hadis-hadis sahih yang dinyatakan, adalah dilarang sama sekali kepada ummat muslimin memperbuatkan solat di atas kubur, di tepi kubur dan berhampiran dengan kubur atau perkuburan. Juga hadis tersebut menjelaskan hukum haramnya duduk di atas kubur. Larangan itu kekal selamanya dan tidak pernah sama sekali mansukh. Begitulah hukumnya yang telah ditetapkan oleh Allah Swt dan Rasulullah Saw. dalam hal solat di atas kubur dan perkuburan, yang tidak boleh dibantah lagi melainkan ditaati sahaja.

Namun begitu, Nabi Saw. sendiri dengan para sahabatnya, pernah pula melakukan begini :

“Dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu. ia menceritakan : Rasulullah Saw sampai di kuburan yang masih basah (baru), lalu baginda solat dan mereka para sahabat membentuk saf dibelakangnya. Lalu baginda bertakbir 4 kali”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 954), imam Bukhari rh. imam Abu Daud rh. imam Tarmidzi rh. imam Nasaie rh. dan imam Ibnu Majah rh.

“Dari Abu Hurairah Rhu. dia menceritakan : Ada seorang perempuan hitam yang suka menyapu masjid, lalu Rasulullah Saw. merasa akan kehilangannya. Lalu baginda menanyakannya, kemudian mereka (para sahabat) menjawab : Dia sudah meninggal dunia. Kemudian baginda bersabda : Kenapa kamu tidak memberitahu aku. Abu Hurairah berkata : Seolah-olah para sahabat mengangap kecil urusannya. Kemudian baginda bersabda : Tunjukkanlah kuburannya kepada aku. Lalu mereka pun menunjukkannya. Kemudian baginda solat (janazah) lalu bersabda : Sesungguhnya kuburan ini penuh kegelapan bagi penghuninya, dan sesunguhnya Allah meneranginya bagi mereka dengan solat aku untuk mereka”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 956), imam Bukhari rh. imam Abu Daud rh. dan imam Ibnu Majah rh. (Ada sebahagian riwayat menyebut pemuda hitam).

Ada beberapa lagi hadis yang tidak saya nukilkan disini, bagi memendekkan nukilan lantaran ia membawa maksud yang sama sahaja. Sesudah menjelaskan larangan solat di kuburan, Rasulullah Saw. kemudian menunjukkan/mencontohkan pula apa yang dikecualikan (diberi keringanan) daripada larangan itu. Apa yang dibuat oleh Nabi Saw. dan para sahabatnya adalah melakukan Solat Janazah Ghaib di kuburan seperti yang dinyatakan di dalam hadis-hadis sahih tersebut.

Ini membawa maksud, hanya Solat Janazah Ghaib yang boleh diperbuat di kuburan, itu pun berdasarkan contoh amaliyah Nabi Saw. dan para sahabat sendiri, bukannya yang kita suka-suka nak buat. Lihatlah betapa tersusun dan lengkapnya Ad Diin ul Islam milik Allah Swt. ini yang ditunjukkan contoh tauladan amalan syari’atnya oleh rasulNya, yang dengan soreh dan qati’e menjelaskan apa yang dilarang dan apa yang dibolehkan sehingga tidak memerlukan manusia merekacipta hukum hakam amalan sendiri, melainkan telah serba lengkap ia dan hanya perlu ditaati sahaja lagi. 

Nota : Solat Janazah Ghaib diperbuat oleh orang yang tidak sempat melakukannya secara jamaah bersama orang banyak atau dikhuatiri tiada orang yang mensolati janazah simati (misalnya di darul kuffar) dan hanya diperbuat setelah selepas janazah dikebumikan. Huraian lanjut boleh diperolehi dalam bab Solat Janazah dan Ahkamul Janaiz.

Sekaligus, berdasarkan dalil-dalil hadis sahih yang telah dinyatakan di atas, ia memberi kesimpulan kepada pertanyaan tuan :

A.   Adalah dilarang sama sekali kepada ummat muslimin memperbuatkan apa jua jenis dan bentuk solat di atas kubur, di tepi kubur dan berhampiran dengan kubur atau perkuburan.
B.   Hanya solat janazah ghaib yang dibolehkan berdasarkan contoh Nabi Saw. sendiri.

Moga penjelasan ringkas dan mudah ini, memberi kefahaman kepada tuan. Ulasan lanjut ke atas pertanyaan tuan, adalah begini :

“Imam Syafie : dibolehkan dengan syarat mesti beralaskan (berlapik) tikar atau kain. Juga dibolehkan solat atas selipar atau kasut dengan syarat tidak memijak tanah kubur (pijak atas selipar atau kasut tersebut sahaja)”.

Saya tidak menemui perbahasan sebegini di dalam Kitab Al Umm dan Ar Risalah. Maka itu, saya mahu tegaskan bahawa, perbahasan sebegini bukannya dibuat oleh imam yang mulia Muhammad bin Idris Asy Syafi’i rh. tetapi dibuat oleh orang lain. Sehubungan dengan itu saya mahu berpesan, jangan sesekali menipu atas nama atau menumpang nama imam yang mulia ini. Ini perbuatan dicela dan dilaknati.

Berkenaan maksud pernyataan kesimpulan seperti yang tuan nyatakan, saya sendiri pun ada kemusykilan padanya. Amat pelik kesimpulan sebegitu, lantaran :

1.            Kesimpulan itu terlalu umum sehingga tidak langsung menyebutkan jenis solat yang khusus dibenarkan oleh Rasulullah Saw. Ini membawa kefahaman bahawa semua jenis solat dibenarkan pula di atas kubur dan perkuburan, sedangkan pandangan sebegitu jelas sekali bertentangan dengan nas-nas sahihah (seperti telah dinyatakan di atas). Impak paling besar sekiranya pandangan sebegini diimani dan diamali adalah, seluruh sabdaan Nabi Saw. dan peringatan baginda ini, menjadi tidak berguna lagi.

2.            Sebagai seorang mukminin yang ta’bud kepada Allah Swt. dan tauqif kepada As Sunnah nabi-Nya, telah pun jelas Nabi Saw. melarang solat di atas kubur dengan sabdaan yang soreh dan qat’ie, maka tiadalah lain kepada kita melainkan mentaatinya. Bukannya merekacipta berbagai alasan berlandaskan akal-akalan dan hawa nafsu pula semata-mata dengan tujuan untuk menentangnya. Hal ini jelas dinyatakan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Haliim :

“………. Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah ; dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya”.
Surah Al Hasyr (59) : ayat 7

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, (dengan) sesat yang nyata”.
Surah Al Ahzab (33) : ayat 36

3.            Ketetapan “maka boleh terima yang mana satu pun...terpulanglah...semua tak salah”. Komentar saya : Semua kita ini telah bersyahadah kepada Nabi Saw. bahawa baginda adalah Pesuruh Allah Swt. yang berhak ditaati dan dicintai berbanding sesiapa pun. Dalam kes pernyataan begini, wujudnya unsur tafrith (yaitu meremehkan) ke atas sifat kerasulan dan peribadi baginda dengan menjadikan penetapan hukum oleh baginda hanya sekadar di tahap salah satu pandangan yang boleh diterima atau ditolak, yaitu menyama tarafkan baginda dengan manusia lain. Seterusnya membawa makna ada ketetapan oleh orang lain yang lebih berhak diterima (menjadi lebih baik) berbanding ketetapan yang dibuat oleh baginda boleh ditolak (bermakna kurang baik).

Ini bertentangan sama sekali dengan sifat Baginda sebagai pemberi contoh tauladan terbaik kepada seluruh ummat manusia sehingga menolak sama sekali akan adanya suatu contoh tauladan dari manusia lain yang boleh mengatasinya. Demikianlah firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Adziim :

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".
Surah Al Ahzab (33)  : Ayat 21

4.            Sekiranya, penetapan itu menjurus kepada jawaban yang sama, (dalam kes ini hukumnya dilarang – haram) ia adalah munasabah, akan tetapi apabila ia bertentangan (menjadi boleh/harus diperbuat – halal) pula, ini adalah suatu hal yang tidak sepatutnya dilakukan. Mana mungkin ada penetapan, pandangan atau pendapat oleh manusia lain yang menjadi lebih baik daripada apa yang telah ditetapkan oleh Rasul Saw. Allah Swt. telah menjelaskan dengan tegas bahawa baginda adalah penjelas kepada Al Kitab dan segala perintah Allah Swt. atas apa jua perselisihan dan apa jua yang baginda sampaikan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. Tiada siapa pun yang boleh serta berhak menjadi penjelas lebih baik daripada baginda. Sekiranya ada juga yang sama dengan penetapan baginda, ia hanyalah kebetulan dengan izin Allah Swt., tidak jua ia menjadi petunjuk, rahmat dan sumber hukum.

“Dan Kami tidak menurunkan kepadamu (Muhammad) Al Kitab ini, melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman”.
Surah An Nahl (16) : ayat 64

Akhiirul Kalaam : Adalah dilarang/haram melakukan apa jua solat di atas kubur lantaran itulah yang telah ditetapkan oleh junjungan mulia Nabi Saw. kecuali Solat Janazah Ghaib. Tiada lainlah kepada kita-kita ini, yang telah bersyahadah kepada Allah dan rasul-Nya, melainkan “kami dengar dan kami taat”.

Setakat ini jawaban saya. Mudah-mudahan ia menepati apa yang tuan hasratkan dan telah membantu setakat yang termampu.

والله تعالى أعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

10 ulasan:

rezan@ymail.com berkata...

Alhamdulillah, tarbiyah anta selama ini telah berjaya apabila ilmu yang mereka perolehi boleh dijadikan penapis untuk membezakan yang haq dengan yang batil. Syabas!

Namun begitu selain bidang fiqh banyak lagi ilmu islam yang perlu diisi agar kita diterima Allah Swt. sebagai hambanya semasa di alam barzakh dan di akhirat. Salah satu ilmu yang sudah dilupakan ialah pembersihan dan pensucian hati.

Islam sangat memberi penekanan mengenai kebaikan dan kesucian hati, baik sikap hati dalam rangka usaha menghubungkan dirinya dengan Allah, kesucian hati dalam hubungannya dengan pergaulan sesama manusia, kesucian hati dengan dirinya sendiri dan kesucian hati dalam hubungan dengan alam sekitar.

Firman Allah mengenai hati :

1.Hati merupakan tempat menetapnya iman ..."tetapi Allah menjafikan kamu cinta terhadap keimanan dan menjadikan iman itu indah didalam hati mu" (surah al-Hujurat : ayat 7)

2. Hati sebagai tempat kelembutan (ulfah) dan cinta (hubb)...."maka Allah mempersatukan (melembutkan) hati kalian" (Surah Ali Imran : ayat 103)

3. Hati sebagai tempat ketenangan (thuma'ninah)..."ingatlah hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenang" (Surah Ar-Rad : ayat 28)

4.Hati sebagai tempat pembersihan (tamhish)..."Dan Allah (berbuat demikian) untuk menguji apa yang ada didalam dada mu untuk membersihkan apa yang ada didalam hati mu"

Sabda Rasulullah Saw.

1. "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan budi pekerti yang luhur" (HR Ahmad - sahih Al-Bani)

2. Berapa tinggi kedudukan akhlak digambarkan dalam hadith berikut:

"Ya Rasulullah, siapakah diantara hamba Allah yang paling dicintai Alah"
Baginda menjawab:" Yang baik budi pekertinya" (HR AT-Thabrani - sahih, sahih Abi Dawud, Al-Albani)

3. Abdullah bin Amr Rhu. telah meriwayatkan bahawa ia mendengar Rasulullah Saw. bersabda : "Mahukah kamu ku beritahukan siapakah diantara kamu yang paling aku cintai dan paling dekat denganku dihari akhirat"
Para sahabat menjawab :"Ya,kami mahu ya Rasulullah"
Baginda kemudian mengkhabarkan:" Yang terbaik budi pekertinya diantara kamu"

Berkata Abbas as-Saisi - Akhlak yang baik dan sikapyang cerdas lebih indah daripada kecantikan wajah, hitam bola mata dan kelembutan pipi kerana kecantikan maknawi lebih mulia daripada kecantikan bentuk fizikal.

Balik kepada persoalan kuliah Ustaz tersebut, jelas ia mempunyai ilmu dengan akal yang jelas tetapi hatinya bermasaalah penuh dengan kekotoran. Oleh kerana itu, ilmu yang hak telah dikalahkan dengan amalan yang batil.

Duduk diatas kubur pun dilarang keras oleh Rasulullah Saw., inikan pula solat diatasnya. Akal yang jelas dengan hati yang bersih dapat membezakan yang haq dengan yang batil.

Wassalam

izanahani@yahoo.com berkata...


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga Ustaz dalam suasana baik ketika ini. Terima kasih banyak untuk artikel kali ini. InsyaAllah, ia memberi fahaman tentang perkara ini. Cuma saya tambahkan tajuk sahaja kerana tadi tidak ada tajuk. Mudahan tajuk itu betul.

Dalam banyak hal sepanjang pengalaman saya sendiri menghadiri kuliah, kesimpulan yang dibuat menjadi terbalik dengan dalil-dalil yang diberikan. Selalunya disebutkan berdasarkan pandangan dan pendapat para alim ulama' ke atas sesuatu perkara. Kesan akhirnya pula adalah hukum ke atas perkara itu pun telah berubah pula, yang tak lagi sama dengan dalil disebutkan. Banyak hal berlaku begini.

Saya amat tertarik dengan perkara sikap Tafrith (meremehkan) ke atas Nabi Muhammad Saw. dalam melakukan perbuatan sebegitu. Sangat benar pernyataan Ustaz dalam hal Tafrith ini. Saya dah ingat-ingat lupa, pernah ada Ustaz sebutkan hal ini sangat lama dulu. Saya ada ikuti juga kuliah itu.

Jika boleh dan tidak memberatkan, harapnya dapatlah Ustaz membuat huraian lebih lanjut tentang perkara sepenting hal Tafrith ini. InsyaAllah ia akan membantu kita semua memahami Islam dan melakukan amal ibadah dengan cara yang benar.

Moga Ustaz ada kesempatan masa. Segala usaha da'wah ini amat saya hargai.

Wassalam

arzlee@yahoo.com berkata...

Salaam tuan ustaz,

Thank you, very informative!

Allow me to save & use your writings for my future reference & share with others.

Wassallam

alhafiz_11@yahoo.co.uk berkata...

Syukran jazilan a'la tazkirah fi haazihil ‘ilmi. Memang lain sungguh dari yang lain. InsyaAllah benar-benar memberi faham.

Moga restu dan barokah Allah Swt. sentiasa mengiringi diri tuan. Izinkan saya untuk kongsikan artikel ini dengan akan-rakan lain.

Barokallahu…fik

prtdi@yahoo.com berkata...


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak atas artikel yang amat bernas ini. Moga-moga kita semua dapat faham dan mengambil menafaat darinya.

Memang benar bagai di kata, sebegitu besar mukabumi dan alam ini tempat untuk solat semuanya, yang dilarang tu 2 tempat saja. Hinggakan boleh buat dimana-mana saja pun, tak dihalang. Kenapalah atas kuburan yang dilarang tu jugak yang nak dibuat solat. Dah tak cukup tempat nak solat ke diseluruh muka bumi ni?

Saya nak tanya juga, dek kerana larangan jelas solat atas kubur boleh saja dibakul sampahkan, mengapalah tak solat dalam toilet sekali? Bukan kah serupa saja larangannya, maka langgar saja lah sekali larangan solat dalam toilet. Macam tu baru betul.

Menurut pendapatan saya yang juga seba kekurangan ni, perbuatan ini jelasnya bukan hal tak dak tempat atau tak cukup tempat nak solat, hal sebenarnya adalah sengaja nak lawan ketetapan Nabi Saw. dan paling teruk sekali, ada berasa pandai lebih dari Nabi lagi. Walhal sebegitu banyak yang Nabi Saw. suruh buat dan halalkan pun, dah tak terkira dan tak terbuat, yang segelintir Nabi Saw. larang tu jugak lah yang seronok sangat nak dibuat pulak.

Dunia, oh dunia, terkandung dugaan. Teruskanlah usaha da’wah ni Ustaz, saya sokong. Cuma maap la yer, banyak kuliah saya dah miss.

Wassalam.

wmfaizal84@yahoo.com berkata...

Assalamu’alaikum Abang Mad,

Terima kasih banyak atas jawaban ini, barulah saya rasa puas hati dengan penjelasan macam ni. Banyak hal terjawab dengan jelas. InsyaAllah nanti, jika mungkin ada apa-apa kemusykilan lagi, akan saya tanya lagi.

Mudahan Abang Mad dalam restu Allah sentiasa.

Wassalam.

mohdpoziatan@yahoo.com berkata...

Salaam Syeikh, bagus sekali huraian dari anta nih. Kawan-kawan pun ada bagi komen yang bagus juga.

Saya suka sangat dalam bab nak melakukan amal, yaitu yang Nabi Saw. telah menyatakan dan menunjukkan dengan jelas apa yang boleh dan apa yang dilarang. Dengan memilih untuk melakukan juga apa yang dilarang, memang adalah sesuatu tak sepatutnya dibuat. Ana setuju yang perbuatan ini sengaja melawan perintah Nabi Saw.

Tak boleh la buat amalan agama sesuka hati, pilih yang mana kita suka sahaja. Pastu yang mana tak boleh, direka cipta alasan dan asbab semata-mata untuk menjadikan ia boleh. Ini sudah kes jadi lebih pandai dari Nabi Saw. dalam membuat hukum. Kalau diqiyaskan dalam banyak hal hukum dan berbagai amalan lagi perbuatan sebegini, akhirnya semua larangan dah tak berguna lagi tetapi boleh dibuat pulak. Rosak agama Islam macam nih.

Harap lepas nih anta dapat berikan huraian mengenai macam mana yang diharamkan solat di masjid yang ada atau berhampiran kuburan. Kerana banyak masjid di tempat kita dikelilingi kubur dan pastu, masa solat Jumaat jamaah yang di luar solat atas kubur dan langsung mengadap kubur kerana tak cukup tempat.

InsyaAllah, memberi manfaat kepada semua.

Barokallahufik

nanaym64@yahoo.com berkata...


Salaamun’alaik Tn. Hj.

Syukran jazilan ya syeikh! terima kasih banyak-banyak la dengan artikel nih. InsyaAllah saya faham. Memang saya dulu pun tak berape clear hal ni. Mudah-mudahan, dengan izin Allah benar-benar clear lah kali ni.

Mohon izin nak hantar ke kawan-kawan lain ilmu yang baik ini. Moga Allah terus rahmati Tn. Hj. selamanya.

Wassalam.

edd_zahir@yahoo.com berkata...


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Syukran jazilan atas maklumbalas rakan-rakan semua.

Diizinkan dan dihalalkan untuk dipanjangkan kepada rakan-rakan yang lain. Cuma jangan dibuat mencari keuntungan komersil sahaja. Itu saja.

Wassalam.

Unknown berkata...

Kalau haram.. Jadi ustaz tidak solat lah di Masjid Nabawi kerana didalamnya ada kubur? Pada pndapat yg saya dengar. Hadis yg berkaitan dengan tidak blh sujud dikubur adalah mksud tdk blh mnyembah kubur.kerana itu prbuatan yahudi dn nasrani. Jd islam mngajarkan BOLEH SMBAHYANG di kuburan krn niat kita solat adalah untuk Allah. Sedangkan yahudi dan nasrani mnjadikan kubur tmpt sembahyang. Adakah pernah orang islam smbahyang di kuburan berarti dia mnyembah kubur?? Haaa begitu pada pndapat saya