Jumaat, 5 Ogos 2011

Kafir Zimmi Dan Kafir Harbi

3 ulasan
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya sertakan korespondens terdahulu untuk manfaat ilmiah bersama. InsyaAllah.


----- Forwarded Message ----
 
Subject: Kafir Zimmi dan Kafir Harbi

Assalamualaikum,

Moga al fadhil Ustaz Mad dalam suasana gembira dan sihat sejahtera dan diberkati Allah swt. Rahmat Allah swt. juga untuk semua rakan-rakan.

Sudah lama saya nak bertanya tentang hal ini. Isu-isu semasa berkenaan 2 jenis kaafirun ini sangat panas, lebih-lebih lagi dalam pertelagahan antara Umno vs Pas. Masing-masing dengan pendirian dan takrifan mereka sendiri. Yang saya lihat, dua-duanya berkawan dengan kaafirun dan dakwa sahabat mereka itulah yang baik. Perkara ni dah berlarutan lama, dah 60 tahun, sekarang makin panas.

Saya nak minta Ustaz Mad ceritakan sikit hal 2 kaafirun ini berdasarkan Islam yang tulen, bukan mengikut takrif dua-dua parti itu. Biar umat Islam pilih sendiri mana yang benar. Kadang-kadang saya rasa yang gembar-gembur 2 parti ini mengikut fahaman mereka sendiri dah jadi mengarut dan merapu.

Sekian, wassalam.
 
 
----- Forwarded Message ----

Salaam, saya nak tambah sikit lagi. Belum puas nak cakap lagi.
 
Saya amat khuatir, mereka ini sudah pening dan memeningkan orang pulak. Jika benarlah mereka mahu mengikut Islam, kenapa tak boleh nak bersatu. Walhal, amat jelas Islam ini Tuhan, nabi dan qiblat hanya satu bukannya banyak dan bermacam jenis, dan tidak juga mereka ada Tuhan, nabi dan qiblat masing-masing. Jadi, kenapa dah berpuluh tahun tetap tak boleh bersatu.
 
Amat pelik, dek kerana nak mempertahankan kaafirun rakan mereka ini, ukhuwwah sesama Islam pulak mereka rela ketepikan. Pelik sungguh.
 
Harap mendapat maklumbalas dari ustaz. Moga balasan itu akan dapat mencerahkan semua yang kabur, memberi pedoman dan manfaat, terutama kepada saya yang "party tupperware" saje ni. Dan lagi, 2 jenis kaafirun ini, bagaimana interaksi mereka dengan orang Islam. Setakat mana bebasnya mereka ini dalam negara Islam? macam mana pula dalam negara Islam tak tentu hala macam negara kita nih?
 
Saya dahului dengan segala ucapan terima kasih atas maklumbalas segera dan lengkap secepat mungkin nanti.
 
Sekian, wassalam.
 
 
----- Forwarded Message ----
JAWAPAN

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Persoalan yang dibangkitkan oleh Puan izanahani@yahoo.com pada Ahad, November 14, 2010 amat menarik tetapi sensitif. Untuk memberikan ta'rifan dan keadaan sebenar berdasarkan dalil Al Qur'an dan As Sunnah Rasul-Nya, InsyaAllah tiada halangan rasanya. Itupun setakat yang saya ada pengetahuan padanya. Namun, untuk memberikan ulasan lanjut berdasarkan perangai, pemahaman dan amalan parti-parti politik yang bersangkutan dengan hal ini, saya simpan ia dahulu untuk satu tempoh waktu tertentu, tidak dapat ditetapkan berapa lama tempohnya. Itulah sebaiknya. Saya kurang selesa untuk memberikan pandangan berkenaan parti-parti berikutan, sering disalahtanggapi dan diberi makna lain pula. Maaf juga, saya kurang bersemangat dan naif saja, tidak se'garang' Puan yang bertanya.
 
Makna kafir telah diterangkan sendiri oleh Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Adziim dalam banyak ayat. Diantaranya adalah :-
 
"Sesungguhnya orang-orang kafir (kafaru), sama sahaja bagi mereka, (sama ada) kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman (laa yu' minuun)".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 6.
 
Maksud kafir dalam ayat di atas : Tidak akan mentaati Peringatan (yaitu az Zikr - kalam Allah Swt./Al Qur'an).
 
"Dan katakanlah : 'Kebenaran itu datangnya dari Pencipta kamu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman (yu'min), dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir (ya'fur). Sesungguhnya kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling jelek".
Surah Al Kahfi (18) : ayat 29.
 
Maksud kafir dalam ayat di atas : Tidak akan mendengar dan mentaati Kebenaran (Kitab Allah Swt. dan as Sunnah rasulNya).
 
"Wahai orang-orang yang beriman (aamanu), tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada Kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya, serta Kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir (yakfur) kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya".
Surah An Nisaa' (4) : ayat 136.
 
Maksud kafir dalam ayat di atas : Tidak beriman (yaitu tidak percaya) kepada perkara-perkara sepertimana rukun iman.
 
"....... Dan barangsiapa yang tidak memutuskan (menghukum) perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir".
Surah Al Maaidah (5) : sebahagian ayat 44.
 
Maksud kafir dalam ayat di atas : Tidak memutuskan (hukum) atas sesuatu perkara berdasarkan peraturan Allah (Sunnatullah) setelah mengetahuinya.
 
"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam', lalu sujudlah mereka kecuali Iblis: Ia enggan dan takabbur (sombong) dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir (kaafirin)".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 34.
 
Maksud kafir dalam ayat di atas : Bersifat ingkar (enggan patuh atau tidak taat atau menentang arahan Allah Swt.).
 
Oleh itu, yang dimaksudkan dengan kafir itu adalah :
 
1. Tidak akan mentaati Peringatan (yaitu az Zikr - kalam Allah Swt./Al Qur'an).
2. Tidak akan mendengar dan mentaati Kebenaran (Kitab Allah Swt. dan as Sunnah rasulNya).
3. Tidak beriman (yaitu tidak percaya) kepada perkara-perkara rukun iman (tidak percaya kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan hari kemudian). Nota : berdasarkan hadis sahih dari Amirul Mukminin Umar Ibnu Al Khattab rhu. yang diriwayatkan Sohihaini, termasuk juga yang keenam : Qada dan Qadar.
4. Tidak memutuskan (hukum) atas sesuatu perkara berdasarkan peraturan Allah (Sunnatullah - setelah ia mengetahuinya).
5. Bersikap ingkar (enggan patuh atau tidak taat atau menentang arahan Allah Swt.).
 
Secara rumusan, maksud Kafir adalah orang yang (secara i’tiqad dan amaliyah) tidak menerima Islam sebagai Ad Diin dan tidak tunduk patuh kepadanya.
 
Fenomena Kafir boleh juga terjadi ke atas orang yang mengaku menerima Islam sebagai Ad Diin tetapi tunduk patuh sebahagian dan ingkar sebahagian (mengikut secara berpilih-pilih). Perbuatan sebegini adalah langkah-langkah syaitan dan menepati ciri-ciri munafiq. Allah Swt. melarang mengamalkan Islam secara berpilih-pilih ini menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Majiid :
 
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”.
Surh Al Baqarah (2) : ayat 208
 
Oleh itu, mana-mana manusia yang melakukan perbuatan yang dinyatakan diatas, mereka telah menjadi Kafir seterusnya dipanggil Orang Kafir. Saya nyatakan ini secara umum, maka itu sesiapa sahaja boleh menjadi Kafir apabila ia melanggar perintah Allah Swt. dan rasulNya, sama ada orang bukan Islam yang sememangnya sudah Kafir mahupun orang yang sudah memeluk Islam. Disini saya nak menekankan, kepada yang seronok dok mengkafirkan orang tu, renung-renungkanlah diri sendiri dahulu sebelum menjurus telunjuk kepada orang lain. 
 
Keadaan Kafir ini terbahagi kepada 3 bentuk :
 
A. Kafir Hakiki – mereka yang memang tidak menerima Islam sebagai anutan (Bukan Islam). Mereka ini terbahagi kepada 2 gerombolan yaitu Kafir Zimmi dan Kafir Harbi. Fenomena Kafir Hakiki ini juga boleh terjadi kepada ummat Islam apabila mereka murtad (keluar dari agama Islam), berbuat syirik kepada Allah Swt. dan melakukan perkara-perkara (secara didalam hati, perkataan dan perbuatan) yang membatalkan syahadah (keIslaman).
 
B. Kafir Kitabi – golongan manusia yang mengikut kitab-kitab samawi tulin, yang diturunkan kepada para nabi dan ummatnya terdahulu sebelum Al Qur’an (Zabur kepada Nabi Daud ahs. Taurat kepada Nabi Musa ahs. dan Injil kepada Nabi Isa ahs.).
 
C.  Kafir Amali – fenomena ini terjadi ke atas ummat Islam yang meninggalkan amalan-amalan syara’ yang diwajibkan ke atasnya memperbuat seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Inilah keadaan kafir yang banyak terjadi kepada orang Islam.
 
Orang-orang Kafir Hakiki ini terbahagi kepada 2 macam gerombolan orang, yaitu :

A. Kafir Zimmi (yaitu kafir yang jinak/berjanji setia dan tidak memerangi Islam) - Mereka itu telah dijelaskan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Ghafuur :
 
"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil".
Surah Al-Mumtahanah (60) : ayat 8.
 
Dari ayat ini, para mufassirin dan fuqaha menegaskan : Kafir Zimmi adalah orang kafir yang diam dan hidup dalam wilayah pentadbiran ummat Islam, mereka berjanji setia kepadanya, mengikut peraturannya, membayar jizyah, hidup bersama muslimin dan tidak memusuhi Islam. Mereka dijaga kebajikan dan dijamin keselamatan oleh Negara Islam.
 
Rasulullah Saw. menjaga kepentingan dan kehormatan mereka ini sepertimana sabda Baginda :
 
"Barangsiapa yang melakukan kezaliman terhadap orang kafir yang ada perjanjian dengan pemerintah Islam, atau membatalkan haknya, memberatkan kepadanya lebih dari kadar kemampuannya, mengambil daripadanya dengan cara yang tidak baik, maka aku akan mempertahankannya di hari Kiamat".
Hadis sahih riwayat imam Abu Daud rohimahullah : No. 2654.
 
Allah Swt. telah memerintahkan supaya para mukminin berlaku adil kepada semua manusia (termasuklah kafir zimmi) dan tidak menjatuhkan hukuman hanya kerana mengikut perasaan, hawa nafsu atau dorongan kebencian seterusnya menyebabkan ketidakadilan. FirmanNya di dalam Al Qur’an ul Haaq :
 
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil, Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh, Allah Maha Teliti dengan apa yang kamu kerjakan”.
Surah Al Maidah (5) : ayat 8.
 
B. Kafir Harbi (yaitu kafir yang memusuhi Islam dan diperangi) - Mereka itu telah dijelaskan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Kabiir :
 
"Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".
Surah Al Mumtahanah (60) : ayat 9.
 
Dari ayat ini, para mufassirin dan fuqaha menegaskan : Kafir Harbi adalah orang kafir yang diam dan hidup dalam wilayah pentadbiran ummat Islam atau diluarnya, mereka berkhianat kepada Negara Islam, memusuhi, tidak mahu berdamai, menjalankan usaha merosakkan ummat Muslimin dan agama Islam. Mereka ini mesti diwaspadai dan diperangi sekiranya mereka menyerang ummat Islam atau membantu pihak lain menyerang ummat Islam. Dan Allah Swt. juga memerintahkan kita ummat Muslimin supaya tidak menjadikan mereka sahabat, kawan rakan, pembela dan wali (pemimpin).
 
Tuntutan Islam
Sesungguhnya Allah melarang keras orang-orang mukmin mengambil para Kafirin sebagai wali menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Razaaq :
 
“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali(A) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barangsiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah dia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siasah) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-(siksaan)Nya. Dan hanya kepada Allah kembali mu”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 28
(A) : bermakna teman akrab, pemimpin, pelindung atau penolong
 
Pesanan Saya
Boleh jadi ramai yang takkan suka dengan apa yang bakal saya sebutkan ini. Namun baiklah saya sebutkan juga kerana ramai orang dah terleka atau telah melupakannya. Jelas benar sekarang ini, ramai golongan mukmin sanggup mengenepikan rakan seagama demi membela rakan kafir mereka biarpun atas perkara-perkara sangat sensitif dan melukakan hati ummat Islam. Pemerhatian saya mendapati, perbuatan sebegini diperlakukan kerana adanya kepentingan-kepentingan tersendiri yang tidak menyangkut pun kepada kepentingan Islam. Kerana itu, saya mahu sampaikan pesanan ini.
 
Barangsiapa yang bertauhidkan Allah Swt. dan mentaati pesuruhNya, tidak boleh baginya berkasih sayang dan terlalu mempercayai dengan orang yang menolak keesaan Allah dan kerasulan pesuruhNya, walaupun mereka adalah kerabat yang paling dekat. Sesungguhnya Allah Azzawajalla telah memberi pesan di dalam Al Qur’an ul Ikraam :
 
“Kamu tidak akan mendapati satu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan rasulNya, sekalipun orang itu bapa-bapa atau anak-anak atau saudara mara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang dariNya, dan memasukkan mereka kedalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Allah rela terhadap mereka dan mereka rela kepada Allah. Mereka itulah golongan Allah, ketahuilah bahawa golongan Allah itulah golongan yang beruntung”.
Surah Al Mujadalah (58) : ayat 22

Larangan Allah Swt. supaya orang Mukmin, tidak mengambil bukan Islam sebagai orang kepercayaan disebabkan sikap dan hasad buruk yang tersirat di dalam diri mereka. Mereka berpura baik dan manis mulut di depan kita tetapi mendoakan dan mengusahakan kecelakaan ke atas kita dibelakang. Itulah yang disebut Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Qadiir :

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang diluar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya".
Surah Ali Imran (3) : ayat 118

Amat perlu ummat Islam berhati-hati dengan segala tipudaya kaum kafirin kerana hakikatnya mereka tidak pernah redha dan suka kepada kita orang-orang mukmin ini sehingga kita mengikut agama dan telunjuk mereka. Inilah intipati firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Haaq :
 
“Sekali-kali tidak akan orang yahudi dan nasrani redha (suka) kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya, jika kamu ikut kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepada kamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 120
 
Saya berpesan kepada Puan dan rakan-rakan lain terutamanya kepada diri saya sendiri, supaya kita berhati-hati dengan para Kafiriin ini agar tidak terpedaya dan mengikut mereka setelah kita menerima Islam sebagai anutan suci kita, sedang Allah Swt. menceritakan bahawa mereka sendiri pun amat menyesali kerana tidak mematuhi Islam di akhirat nanti. Takkanlah kita pula yang telah mengakui 2 syahadah mahu bermain-main dengan syari'at Allah Swt. dan rasulNya.
 
“Sungguh telah rugilah orang-orang yang telah mendustakan pertemuan mereka dengan Tuhan, sehingga apabila kiamat datang kepada mereka dengan tiba-tiba, mereka berkata : Alangkah besarnya penyesalan kami terhadap kelalaian kami tentang kiamat itu. Sambil mereka memikul dosa-dosa di atas punggungnya. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu”.
Surah Al An’aam (6) : ayat 31

Sungguh bukanlah niyat dan seruan saya disini supaya kita ummat Muslimin ini sentiasa bergaduh, mencurigai, bersangka buruk, membenci, bermusuh dan bertelagah dengan kafiriin, namun intipati yang mahu saya tekankan adalah, janganlah sekali-kali kita berlaku tidak adil sehingga mengenepikan, mencerca, membenci dan memusuhi saudara seagama dan sebangsa kita demi menegakkan rakan kafiriin kita atau, menggunakan rakan kafiriin pula untuk membantai saudara Muslim kita hanya kerana mengharapkan keuntungan sosial, politik dan ekonomi. Lebih dahsyat lagi, kita pula hakikatnya menjadi alat kafiriin untuk membantai rakan seagama sendiri waima secara sedar ataupun tidak sedar. Begitu juga, atas dasar mahu berbaik dalam ukhuwwah dengan kafiriin itu, tidaklah sama sekali melayakkan kita berperilaku semberono sehingga melepasi batasan dan  peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam.

Satu lagi mahu saya sebutkan tentang perangai kafiriin ini, meskipun diantara mereka terjadi perselisihan dalam banyak hal, tetapi mereka bersatu dalam menghadapi musuh.  Inilah yang  diperingatkan dengan keras oleh Al Qur’an,  yaitu  orang-orang  kafir  tolong-menolong antara  sesama mereka, sementara orang-orang Islam tidak mahu tolong-menolong sesama Muslimin sepertimana firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Hassan :
 
“Adapun orang-orang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (hai para Muslimin) tidak melaksanakan apa yang diperintahkan Allah itu, (yang dimaksud dengan apa yang Telah diperintahkan Allah itu: keharusan adanya persaudaraan yang teguh antara kaum Muslimin) nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.”
Surah Al Anfaal (8) : ayat 73
 
Makna jika tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu ialah : jika kamu tidak saling melindungi dan saling membantu antara sebahagian dengan sebahagian lain sebagaimana yang dilakukan orang-orang kafir. Jika itu tidak dilakukan, nescaya akan terjadi kekacauan dan kerosakan yang besar di muka bumi. Disebabkan, orang-orang kafir itu mempunyai sikap saling membantu, saling mendokong dan saling melindungi yang sangat kuat diantara sesama mereka, terutama dalam menghadapi kaum muslimin yang berpecah-pecah dan saling merendahkan sesama sendiri.

Kerana itu, tidak ada cara lain bagi orang yang hendak memperbaiki ukhuwwah Islam kecuali menyeru umat Islam untuk bersatu padu, memperkukuhkan jamaah, menyelesaikan perselisihan dan tolong-menolong dalam menghadapi kekuatan-kekuatan musuh Islam berdasarkan Kitabullah dan As Sunnah rasulNya, dengan berhati-hati dalam menjalankan hubungan dengan kafiriin agar tidak kita terpedaya sehingga menzalimi saudara seIslam. Itulah hasrat sebenar saya.

Aakhirul Kalaam
Begitulah penetapan dan makna syara' ke atas apa yang dikatakan Kafir, kemudiannya  Kafir Zimmi dan Kafir Harbi. Saya ringkaskan dengan mengambil point paling utama sahaja. Huraian lebih lengkap akan membuatkan artikel ini sangat panjang. Berkenaan hal politik kepartian itu, InsyaAllah akan diperkatakan nanti dalam forum yang lain pula. Buat masa ini, saya tak mahu memberikan ulasan secara langsung malah sebenarnya saya tak berminat pun untuk mengupas mengikut perspektif mereka. Itulah yang lebih baik. Itupun, sekiranya kita masih diberi nyawa dan kesempatan untuk menyampaikan dan berkongsi apa yang termampu.
 
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.
 
Wallahua’lam

سكين
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam

bagus perbincangan ini, cuma saya nak bertanya ttg najasyi yg Islam kemudian memerintah sebuah kerajaan yg kafir.. bagaimana ya?

sistemnya? saya nak dibahaskan point ini dahulu sebelum kita ke kerangka ijhtihad ulama, ttg daulah islamiah, mengikut pdgan ulama harmain, dan beberapa persoalan lain yg disebutkan oleh tariq ramadhan dalam bukunya..

sekian..

madinah.

http://weblog.sabja.com

Tanpa Nama berkata...

ZAINUL6092@GMAIL.COM
veritasprimo@gmail.com

Message flagged
Friday, June 3, 2011 8:37 PM
Message body

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

بسم الله الرحمن الرحيم


Untuk Sdr Pyan SiPitong, selamat menjalani umrah.


Saya amat tertarik dengan ulasan ini. Berkenaan situasi Raja Najasyi itu, saya sendiri pun tidak pernah terfikir mengenainya. Memang amat menarik hal ini, untuk dibincangkan bersama.


Saya setuju dengan idea meneruskan perbincangan dan perkongsia ilmiah bersama menerusi format begini,


1. Tentang Raja Najasyi yang Islam kemudian memerintah sebuah kerajaan yang kafir.. bagaimana ya?sistemnya?


2. Kerangka ijhtihad dan ta'liq oleh para ulama tentang daulah islamiyah, mengikut pandangan ulama haramain dan ulama'kontemporari


3. Perbincangan beberapa persoalan lain yang disebutkan oleh Syeikh Tariq Ramadhan dalam bukunya. Juga termasuk dari ulama' dan sarjana yang lain.


Saya pun sekarang diluar kawasan liputan, tak dapat nak mengulas lanjut.


Wassalam

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Ibnu Kasim berkata...

mohon share.jazakallah