Jumaat, 2 Disember 2016

Muzabzib : Siapa dan Tuduhan?

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Semoga ustad dalam keadaan sihat dan sejahtera sentiasa. In shaa Allah

Lama dah saya nak tanya, dah tu terlepas pulak kuliah minggu lepas, katanya ustaz ada jawab perkara ini. Rugi sungguh. Begini sajalah, lama dah kecoh seantero Malaya dalam kalangan sahabat-sahabat kita sendiri je pun, yang saling menuduh dan berbalas hujah, kekadang berupa kata mengata, mencela, mencaci. Selalunya juga, hal itu disiarkan dalam  media social yang ditatap umum. Ini sungguh memalukan dan amat saya rasa sedih.

Salah satunya, yang paling laku sekali adalah dakwaan dan perkataan “muzabzib” yang ditujukan kepada seorang mufti. Banyak orang dok sebut benda ini, macam dah jadi zikr harian pula, malah memang jelas ditujukan kepada dia pun.

Yang saya nak tahu, apa maksud sebenar muzabzib tu, mengapa orang tu digelar muzabzib dan apa hukumnya muzabzib, betulkah dia tu muzabzib ?

Setakat ni dulu ustad, banyak banyak soal pun buat serabut saja, Lain kali saya tanya lagi, memang ada yang nak ditanya lagi pun, in shaa Allah

والسلام

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Pertamanya, saya mohon maaf kerana lewat membalas. Jawaban secara ringkas sahaja.

Lafadz “Muzabzib” atau “Muzabzab” yang disebut-sebutkan itu adalah berdasarkan Kalamullah yang membawa maqsud “Mereka yang dalam keadaan ragu-ragu diantara iman atau kafir”, sepertimana termaktub dalam :



“Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman dan kafir); Tidak masuk pada golongan ini (orang-orang beriman) dan tidak (pula) kepada golongan itu (orang kafir).”
Surah An-Nisa (4) : 143

Sifat/perangai muzabzib ini adalah sebahagian daripada sifat dan ciri-ciri keburukan orang munafiq. Dan sememangnya juga, Kalamullah Surah An Nisa’ bermula ayat 137 hingga 147 adalah pemerihalan sifat-sifat dan keburukan orang munafiq. Maka itu, para penuduh itu memang memaqsudkan beliau yang kena tuduh itu adalah benar-benar saorang munafiq.

Setakat yang saya ikuti, lihat dan fahami, tuduhan itu memang ditujukan kepada beliau, oleh sekumpulan orang (pengikut kepada satu pihak bertentangan), dilakukan secara terbuka tanpa sembunyi biar sedikit pon. Ia bermula dari beberapa isu kecil/picisan yang satu dua kepalanya tidak sepandangan dan bersilang pendapat dengan beliau.

Sebenarnya, masing-masing sudah pon menjelaskan hujjah dan asas kepada pendirian mereka. Dan ia jelas merupakan cara pemahaman mereka terhadap isu, juga telah menjelaskan cara mereka menafsirkan dalilnya mengikut teks dan konteks kefahaman mereka sendiri. Dalam kata lain, haqiqinya mereka telah ijtihad ke atas sesuatu perkara/isu itu.

Justeru, tiada apa pon isu dan masalah terhadap keputusan mereka itu. Sesiapa yang mahu menerima, terimalah sahaja dan sebaliknya, malah boleh saja tak ambil tahu. Maka, tuduhan “muzabzib” itu tidak sekali-kali layak dilemparkan kepada beliau dan perbuatan itu salah.

Harus difahami, haqiqinya keadaan tuduh menuduh, kata-mengata dan tahzir mentahzir ini, melibatkan kedua-dua pihak, bukan satu pihak sahaja. Sunggoh ini tidak sekali-kali patut berlaku dalam kumpulan yang mengakui manhaj yang sama. Beginilah situasinya, apabila kepala tidak lagi dapat mengawal ekor, maka berbondong-bondonglah para ekor menjulurkan pucuk masing-masing, menjadi lebih tiang dari bendera, lebih sudu dari kuah.

Malang sekali, keadaan ini masih berterusan sesudah bertahun-tahun lamanya, malah setakat yang saya ketahui, para kepala itu tidak pernah ada mengeluarkan pernyataan melarang para pengikut masing-masing, supaya menghentikan hasrat dan kalam-kalam buruk itu. Dan ini memang situasi yang amat memalukan.

Setakat itu yang dapat saya sebutkan, sekiranya mahukan penjelasan tuntas yang lebih dari itu, tanyakan sahaja kepada pihak-pihak yang terlibat itu sendiri, mereka lebih pandai menjawab segala macam persoalan dalam bab ini.

Akhiirul Kalam, semoga maklumbalas saya ini telah menjawab pertanyaan dan telah membantu.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.



0 ulasan: