Jumaat, 2 Disember 2016

Solat Jumaat : Penjelesan Mengenai Azan 2 Kali Dan Solat Sunat Qabliyah

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Nak tanya tentang keadaan ni. Masa cuti sekolah minggu lepas, saya ada sertai rombongan company ke Langkawi. Kami ejen-ejen di Penang tumpang bas dari KL. Sampai di Kuala Perlis dalam 12.40, hari Jumaat.

Saya dan beberapa orang terus pi solat Jumaat kat masjid terapung. Ramai yang tak solat, takpa la mungkin depa jama’ qasar. Tapi lepas tu ada berbunyi macam-macam, antaranya :
1.    Risau tak sah solat kerana orang Perlis wahabi.
2.    Azan depa sekali saja, ini tak sama dengan ahli sunnah wal jamaah
3.    Orang Perlis tak buat sunat qabliyah Jumaat, ini pun tak sama dengan ahli sunnah wal jamaah
4.    Paling penting risau tak sah solat kerana imamnya wahabi

Saya nak tau, betulka apa yang depa ni dok cakap. Macam mana depa faham bab solat Jumaat ni. Kritikal ni, melibatkan sah tak sah solat.
Macam tu la ustad.

والسلام

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunan-Nya di hari dan bulan yang mulia ini, Insya’Allah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Saya berasa amat hairan dan sedih dengan bentuk keta’suban bersalut kejahilan seperti yang tuan kisahkan. Moga Allahu Ta’ala jauhi kita dari sifat-sifat sebegitu, dan agar Allahu Ta’ala menjadikan kita ummat yang meletakkan aqal berganding ilmu itu lebih tinggi dan utama, berbanding hawa nafsu dan/atau sentimen dalam berkata-kata dan berperilaku. Namun, mungkin saja mereka tidak tahu hal sebenarnya sehingga tergamak berfahaman sebegitu.

Secara ringkas sahaja saya membalas, itu pun dalam hal Solat Jumaat sahaja. Hal wahabi dan solat orang Perlis tak betul tu, insya”Allah di masa yang lain.

Pada zaman Nabi Saw, Khalifah Abu Bakar Rhu, Khalifah Umar Rhu, Khalifah Ali Rhu. laungan azan bagi Solat Jum’at hanyalah satu kali, yaitu apabila khatib telah pon menaiki mimbar dan selesai mengucapkan salam kepada jamaah.

Laungan azan dua kali sepertimana yang diamalkan oleh sekumpulan besar ummat Muslimin di nusantara didakwa diqiyaskan kepada perbuatan/ijtihad oleh Khalifah Utsman bin Affan Rhu. Haqiqinya, dakwaan qiyasan diikuti amalan oleh orang banyak itu sendiri tidak sekali-kali menepati sifat amalan Khalifah Utsman Rhu.

Kisahnya, Khalifah Utsman telah menugaskan sesaorang ke tengah pasar (luar masjid) Madinah sebelum masuk waqtu zuhur lagi dan melaungkan azan, sebagai mengingatkan ummat mengenai hari Jum’at, dan kewajiban solat Jum’at untuk bersegera ke masjid. Keadaan ini diperbuat berpunca daripada : Khalifah Utsman ada melalui pasar Madinah dan beliau dapati orang banyak masih lagi sibuk berjual beli sedangkan waqtu zuhur sudah hampir, fenomena yang menunjukkan seakan-akan situasi hadhir awal ke masjid telah mula diabaikan.Kerana itu beliau telah memutuskan / berijtihad supaya azan dibuat ditengah pasar. Pembuatan ijtihad ini menepati salah satu asbab dalam bidang usul fiqh yaitu al-Masalih ul-Mursalah, yang diperlukan dalam keadaan masa itu.

Wajib difahami benar-benar, ijtihad beliau ini tidaklah disepakati oleh semua sahabat Nabi Saw. yang masih hayat ketika itu. Antara yang tidak menerima ijtihad ini adalah Abdullah Ibnu Umar Rhu. dan Khalifah Ali bin Abi Tholib. Sebab itu, pada zaman khalifah Ali, amalan azan awal itu tidak lagi berlaku.

Tiada masalah dalam hal ini sebenarnya, lantaran secara jelasnyata, ijtihad memang boleh diterima atau ditolak, ia bukanlah sesuatu yang bersifat qot’ie sepertimana hukuman syara’ dan, ijtihad diperlukan dalam sitiasi yag menjadikan ia diperlukan dalam sesuatu hal, bagi memberikan jawaban/keputusan ke atas sesuatu yang dahulunya tiada ketetapan, maka itu, ia kena dibuat, akan tetapi, apabila sesuatu hal itu telah dapat diatasi, situasi wajib kembali kepada keadaan asal lantaran itulah kebenaran syara’ yang wajib dipatuhi.

Harus diingat, azan awal yang dibuat oleh Khalifah Utsman itu, dilaungkan ditengah pasar dan sebelum masuk waqtu. Ini berbeza sama sekali dengan amalan semasa di tempat kita yang dibuat setelah masuk waqtu zuhur dan di dalam masjid. Justeru itu, menasabkan / qiyasan perbuatan sebegitu kepada Khalifah Utsman Rhu. sama sekali tidak benar dan pendustaan semata-mata atas nama insan mulia yang juga ahli syurga ini.   

Justeru, yang benarnya adalah ikuti sifat azan Jum’at amalan Nabi Saw.

Selepas azan dan sebelum khutbah tidak ada solat sunnat qabliyah. Telah jelasnyata disebutkan pada awal-awal lagi, Nabi Saw. hadhir dan terus naik ke mimbar lalu mengucapkan salaam kepada makmum setelah masuk waqtu. Jelas sekali sifat perbuatan Baginda tidak mengadakan solat qabliyah Jum’at.

Mari kita ulangsorot, solat qabliyah membawa maqsud solat sunnat 2 raka’at sebelum solat fardhu dan ia bersifat mengiringi (rawatib) solat-solat fardhu. Solat iringan ini sohih ada pada solat-solat fardhu yang lain, tetapi langsung tidak pernah ada diriwayatkan sama sekali, yang ia ada mengiringi Solat Jum’at ya’ni, tidak ada dasarnya sama sekali ke atas perbuatan itu.

Justeru, yang benarnya adalah ikuti sifat solat Jum’at amalan Nabi Saw.

Dan jelas sudah, tidak azan 2 kali dan tidak mengerjakan solat qabilyah, langsung tidak menjadi asbab tidak sahnya solat Jum’at. Sah atau tidak solat Jum’at, langsung tidak kena mengena dengan 2 hal itu.

Entah apa jenis jakun, keta’suban dan kejahilan, dek kerana 2 perkara ini sahaja telah diistinbatkan hukum : solat Jum’at di Kuala Perlis tidak sah. Apa jenis Islam yang dia itu faham, baiklah dia sendiri yang jawab. Jelasnya, fahaman saya tak sama dengan dia.

Sekian dahulu.

Semoga maklumbalas saya ini telah menjawab pertanyaan dan telah membantu.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat faqir dan dhoif ini.

والسلام




0 ulasan: