بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
“Dah lama benar saya simpan soalan ni ustaz, sepertimana usia saya ni. Kenapakah orang Islam masih tetap mundur dan ketinggalan, walhal dimana-mana pun orang Islam telah berusaha tanpa henti siang dan malam mencari rizqi, membetul diri dan belajar. Tidak pernah kalah dalam apa jua pun, kita telah mengorbankan terlalu banyak perkara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi sekurang-kurangnya dengan bangsa lain. Tapi, tetap juga kita tertinggal jauh, ummat Islam lah yang menjuarai kemiskinan, kemelaratan dan diadu domba, kenapa agaknya ustaz?
Pertanyaan diucap dengan tenang, namun amat berisi dan bermakna. Tidak hanya kata-kata persoalan tetapi ada rasa luahan hati, kerananya membuatkan saya terdiam seketika, mencari-cari buah kata mula. Ada jua terdetik di hati, adakah ini benar-benar soalan atau ujian semata-mata, rasa itu saling berganti di lubuk hati. Serba salah bercampur segan hormat di depan penanya.
Salam penghargaan dan penghormatan dari saya buat sang penanya, Pak Hashim@Ismail, salah seorang murid almarhum ayah, yang banyak mengkisahkan perjuangan terdahulu dan pencerita perihal almarhum ayah juga dedikasinya dalam menghadapi cabaran, gurunya dan anak-anak muridnya. Banyak antaranya yang diluar pengetahuan saya. Begitulah situasinya saya apabila bersama jamaah, mengkisahkan nostalgia lalu untuk teladan dan semangat selain berbicara hal semasa. Baiknya, semuanya berlaku dalam suasana harmoni dan tenang. Tidak kurang juga yang mencuit rasa dan kenangan, membandingkan saya dengan almarhum ayah. Begitulah.
Seringkalinya, tamat kuliah akan ada jamuan ringan seadanya. الحمدلله ia adalah penghormatan juga kegembiraan. Di Surau Syeikh Yusuf ini, agak segan silu saya biarpun bukanlah pertama kali saya memberi kuliah disini. Sukar amat untuk berhadapan dengan sebahagian jamaah lama, yang mengenal saya sejak anak-anak lagi, lantaran sering dikelek almarhum ayah yang datang sesekali memberikan kuliah. Kerananya juga menjadikan saya berhati-hati, risau jika tersalah kata atau terlajak perbuatan. Khuatir juga kalau-kalau nanti mengajar itik berenang pula, dihadapan para pejuang kebenaran yang telah mendedikasikan puluhan tahun hidup mereka demi Allah Swt. dan rasulNya, disebalik segala macam umpat keji, cacian, fitnah dan celaan.
Pertanyaan ini amat global. Lantas untuk mencari titik mula menjawabnya juga amat sukar. Memikirkannya sahaja membuatkan saya termangu agak lama. Memang benar sekali seperti ditanyakan. Suka atau tidak wajib kita akui begitulah realitinya, bukan sahaja di negara kita ini ummat Melayu Islam jauh tertinggal dalam segala aspek kehidupan berbanding bangsa-bangsa lain, tetapi diperingkat seluruh dunia juga fenomena yang sama berlaku. Memang orang Islamlah yang menjuarai kemiskinan, kemelaratan, gejala sosial dan menjadi bahan adu domba. Sukar benar nak mencari negara ummat Islam yang sunyi dari perbalahan dan pertelagahan sesama sendiri mahupun menjadi catur mainan orang. Belum pun isu lama selesai, kita adakan pula masalah baru, begitulah seterusnya sehingga kita ini hidup dalam serba tak tenteram dan ada saja yang tak kena dengan masalah baru dan lama bertimbun atas batu jemala.
Lantas! kenapa pula berterusan kita hidup dalam suasana macam ni. Benar seperti luahan Pak Hashim “kenapalah kita tetap mundur sedangkan dimana-mana pun orang Islam telah berusaha tanpa henti siang dan malam mencari rizqi, membetul diri dan belajar. Tidak pernah kalah dalam apa jua pun, kita telah mengorbankan terlalu banyak perkara untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi sekurang-kurangnya dengan bangsa lain”. Jawaban untuk luahan ini amat banyak sekali, boleh mencakupi seluruh sektor dalam kehidupan kita sebagai manusia. Yang jika dirungkaikan satu demi satu, maka berkajang-kajanglah panjangnya ia, meletihkan untuk dikaji dan membosankan pula untuk dibaca laporannya.
Yang saya bangkitkan hal letih dan bosan ini kerana, sudah terlalu banyak pun kita telah ber- seminar, halaqah, musyawarah, ijtihad, ijmak, summit, conference dan apa jua yang sewaktu dengannya, diikuti dengan berbagai macam kata-kata mimpi indah penuh klise dan retorik bernama resolusi. Hasilnya tidak pun membawa ke mana-mana melainkan ke takuk lama, wal usul balik asal. Sedangkan kita telah pun membuang begitu banyak masa dan wang untuknya. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, Maka, bersibuk-sibuklah kita sekarang ini memecahkan kepala otak untuk merungkaikan dan menyelesaikan siri keturunan permasalahan, yang berasal dari masalah, yang datangnya juga dari masalah. Demikianlah bagusnya kita-kita yang moden ini membuat kerja. Apa boleh buat, ini adalah penyakit keturunan yang telah pun difaraidkan kepada kita.
Dalam sebegitu banyak jawaban, saya amat berminat dengan dua faktor, pada saya ini adalah salah satu yang utama. Saya mulakan berdasarkan firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Haniif :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 58
Allah Swt. telah mengkhabarkan bahawa Dia memerintahkan supaya memberikan amanah kepada ahlinya untuk ditunaikan. Di dalam hadis Al Hassan dari Samurah rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :
“Tunaikanlah amanah kepada yang memberikan amanah dan jangan khianati orang yang berkhianat kepadamu”.
Hadis riwayat imam Ahmad bin Hanbal rohimahullah.
Hal ini mencakup seluruh amanah yang wajib bagi manusia, berupa hak-hak Allah Swt. terhadap hambaNya seperti solat, zakat, puas, kafarat, nazar dan selain daripada itu, yang kesemuanya adalah amanah yang diberikan tanpa perlu pengawasan hambaNya yang lain. Amanah yang berupa hak-hak sebahagian hamba dengan hamba lainnya, seperti jagaan barangan dan selanjutnya, yang kesemuanya adalah amanah yang dilakukan tanpa pengawasan saksi. Itulah yang diperintahkan oleh Allah Swt. untuk ditunaikan. Barang siapa yang tidak melakukannya di dunia ini, maka akan diminta pertanggungjawabannya di hari akhirat nanti.
Adalah perintah dariNya untuk menetapkan hukum diantara manusia dengan adil. Sesungguhnya ayat ini diturunkan untuk para umara’, yaitu para pemutus hukum diantara manusia. Allah perintahkan kamu semua untuk menunaikan amanah, menetapkan hukum diantara manusia dengan adil dan hal lainnya, yang mencakup perintah-perintah dan syariat-syariatNya yang agung, sempurna dan lengkap. Dia mendengar seluruh perkataan kamu dan melihat seluruh perbuatan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.
Imam Al Hafiz Abu Fida’ Ismail bin Umar Ibnu Katsir rohimahullah (700H-774H), Tafsiirul Qur’an ul Adziim, Jilid 2, halaman 335-337
“Allah Swt. telah mengkhabarkan bahawa Dia memerintahkan supaya memberikan amanah kepada ahlinya untuk ditunaikan” : inilah perkara yang amat menarik hati saya untuk kita selusuri bersama, saya sebutkan untuk memperjelaskan kenapa ummat Islam ini terusan mundur dan terkebelakang. Mari kita buka minda dan indera kita, lihatlah kelilingan kita kini! Apa telah terjadi dengan “amanah dan pengamanahan”.
Secara lughah, perkataan “amanah” lahir dari kata dasar ‘amana’ yaitu “telah percaya oleh ia’. Maka, amanah bermaksud satu bentuk kepercayaan. Dari segi istilah, “amanah” membawa maksud “kepercayaan yang diberikan kepada seseorang untuk ditunaikan”. Lawan kepada perbuatan “amanah” ini adalah “khianat” ataupun “merosakkan kepercayaan yang diberikan”. Seringkali disebut sekarang ini “pecah amanah” yaitu merujuk kepada tindakan seseorang yang mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya.
Siapa sebenarnya yang telah kita pilih, lantik dan percayai untuk menjalankan amanah? Kriteria apa dan sebab apa kita mempercayai mereka, sekadar mana kepercayaan dan ketelitian kita terhadap mereka? Susah nak menjawab soalan-soalan ini kan! Lantaran sudah terlalu biasa, menjadi adat budaya kita ini hal melantik dan menerima seseorang kerana glamernya, kerana popularitinya, kerana rupa paras penampilannya, kerana gelaran yang dimilikinya, kerana hartanya, dek kerana berapa banyak dia boleh derma dan, dia keturunan apa, anak siapa. Tambahan pula, si dia itu tergedik-gedik mahukan. Demikianlah retorik kriteria yang dicucuk-cucuk ke dalam minda yang seakan-akan sudah menjadi darah daging.
Kemalasan tahap tinggi kita berserta sikap ambil mudah, menjadikan kita sebagai pak turut cemerlang dengan mengiyakan sahaja, tanpa soal, tanpa mahu berfikir, lalu terperangkap dalam hypotetikal “pucuk pimpinan telah membuat keputusan” atau “percayalah, pemimpin kita telah membuat yang terbaik” atau “ikut sajalah” atau “kita berilah peluang pada dia” atau “kita wajib patuhi pucuk pimpinan” atau “ikutlah, majority dah suka” atau “boss suka dia”. Ini semua bukanlah kriteria tepat untuk “memberikan amanah kepada ahlinya”. Tidak termasuk lagi ciri-ciri khayalan yang digembar-gembur dan dibuat-buat serta dicanang pula seantero Malaya beserta segala macam pujuk rayu yang indah-indah, bagi membuktikan betapa mulia, hebat dan ikhlasnya para pemegang amanah itu. Beginilah kriteria dan senario yang menjadi amalan sehingga menenggelamkan faktor karismatik, kewibawaan, keupayaan ilmu dan sahsiah, dan pra-syarat paling utama “pengibadatan dan ketaqwaan” kepada Allah Swt. dan rasulNya.
Lantaran itu, apa yang perlu dihairankan lagi, sekiranya para “pemegang amanah” yang dipilih dengan segala macam retorik, gembar-gembur dan harapan indah-indah ini menjadi tidak lebih daripada “musang berbulu ayam” dan “harapkan pagar, pagar makan padi” sahaja kepada ummat Islam. Fenomena ini amat biasa diseluruh negara ummat Islam. Kedapatan para pemimpin yang hidup penuh mewah, membazir dan citarasa tinggi disebalik jerih perih jutaan rakyat yang derita kebuluran. Tidak termasuk lagi para pembesar yang menggunakan segala sumber awam untuk mengembangkan tembolok dan perut mereka sendiri, yang senangnya mencecah beberapa keturunan, sebaliknya hamba rakyat yang papa kedana pula dibiar kelaparan dan berhempas pulas siang dan malam mencari sesuap makan. Bermacam lagi bentuk pengkhianatan terhadap amanah ummat yang tidak mahu saya ulas panjang disini.
Hakikatnya, sikap ambil mudah, mempercayai retorik dan kata-kata indah, mudah tergoda dan ta’jub kepada penampilan fizikal dan kata-kata manis dan puji-pujian, menjadikan ummat hilang kewarasan sehingga akhirnya tergamak memilih “musang menjaga sekandang ayam”. Hal ini terjadi dari entiti sekecil-kecilnya di peringkat kampungan dan tempatan sehinggalah ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Amanat terbesar adalah yang menghubungkan Allah dengan fitrah manusia, amanah yang bumi, langit dan gunung-gunung tidak mahu memikulnya melainkan manusia. Yang dimaksudkan adalah amanah hidayah, makrifah dan iman kepada Allah dengan niyat, kehendak hati, kesungguhan dan ketaatan. Inilah amanah fitrah insaniyah yang khusus. Selain manusia, makhluk yang lain diberi ilham oleh Allah untuk mengimaniNya, beribadah kepadaNya dan mentaatiNya. Juga telah ditetapkanNya untuk kita mengikuti sunnah alamNya tanpa melakukan upaya, tanpa kesenghajaan, tanpa kehendak dan tanpa arahan melainkan taat kepadaNya. Maka, hanya manusia sendirilah yang diserahkan kepada fitrah, akal, makrifah, iradah, tujuan dan usahanya untuk sampai kepada Allah dengan pertolongan Allah.
Diantara amanah-amanah ini adalah juga dalam bermu’ammalah sesama manusia dan menunaikan amanah kepada mereka, yang berupa pemberian material, berupa kesetiaan rakyat kepada pemimpin, juga kesetiaan pemimpin kepada rakyat, untuk memelihara anak-anak kecil, memelihara wanita, mengagihkan nilai secara saksama, memastikan semua manusia mendapat haknya, menjaga kehormatan wilayah : penduduk, harta benda dan kedaulatannya serta menunaikan semua kewajiban dan tugas kepada manusia. Inilah amanah yang diperintahkan oleh Allah untuk ditunaikan kepada manusia.
Tentu sekali kita akan mundur, apabila kita sendiri memilih “musang menjaga sekandang ayam” lantas “memberikan amanah kepada bukan ahlinya”. Akibatnya, rosaklah seluruh sistem hidup manusia, yang kaya dan berkuasa semakin besar kepala dan yang miskin semakin papa. Begitulah jawabnya.
Seterusnya mari kita sentuh tentang keadilan. Adil bermaksud “meletakkan sesuatu pada tempatnya”. Lawan adil adalah zalim yaitu “meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya”.
Menghukum dengan adil : bermaksud memutuskan hukum dengan adil diantara semua manusia, bukannya keadilan dikalangan sesama kaum muslimin sahaja. Keadilan merupakan hak setiap manusia, dan selagi mana ia beridentifikasikan sebagai manusia selagi itu ia berhak terhadap keadilan itu menurut manhaj rabbani. Identifikasi ini terkena terhadap semua manusia, mukmin atau kafir, teman atau lawan, berkulit putih atau berkulit hitam, bangsa Arab atau bangsa Ajam, melepasi segala kasta, darjat dan keturunan. Ummat Islam harus menegakkan keadilan ini di dalam memutuskan hukum di antara manusia. Itulah prinsip hukum di dalam Islam. Sebagai amanat dengan segala yang ditunjukinya, maka ia juga merupakan prinsip kehidupan dalam masyarakat Islam.
Perintah menunaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan perintah memutuskan hukum di antara manusia dengan adil ini diiringi dengan peringatan bahawa yang demikian itu merupakan pengajaran yang sangat baik dari Allah. Keserasian diantara tugas-tugas yang diperintahkan, yaitu menunaikan amanat dan memutuskan hukum secara adil dengan keberadaan Allah Swt. sebagai “Zat Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat” memiliki tautan yang amat jelas dan relevan. Maka Allah sentiasa mendengar dan melihat masalah amanah dan keadilan. Dan terakhir, perintah terhadap dua perkara ini bersumber dari Zat Maha Suci, Allah Swt. yang kepadanya semua dikembalikan.
Imam Asy Syahid Sayyid Quthub rohimahullah, Tafsir Fi Zilal il Qur’an, Jilid 2, halaman 396-398.
Demikianlah salah satu daripada ajaran Islam yaitu “berlaku adil”, yang diperintahkan kepada tiap-tiap peribadi seseorang terutamanya hakim dan pemerintah, walaupun terhadap ibubapa, anak isteri, keluarga yang dekat mahupun terhadap lainnya. Berlaku adil tidak pula terbatas pada segolongan sahaja, tidak pandang bulu, tidak pilih kasih, tidak pandang apakah suku, darjat dan keturunan, seagama atau berfungsi, besar atau tinggi rendah, perintah berlaku adil tidak pilih-pilih. Yang salah mesti disalahkan, yang benar mesti dibenarkan. Jika keadilan dapat dilaksanakan, barulah dikatakan benar-benar menjalankan keadilan. Jangan hendaknya sekadar pengadilan saja yang ada, akan tetapi keadilan entah dimana.
Rasanya perlu kita renungkan sejarah di zaman lalu, yaitu mengenai adil dan keadilan ini, berlaku kepada siapa sahaja untuk iktibar dan pengajaran :
Dizaman Khalifah Umar Ibnul Khattab rhu. pernah terjadi seorang raja, Jablah Ibnu Laihaam namanya, sedang melakukan tawaf disekeliling Ka’bah. Entah bagaimana, pinggir baju mislahnya telah terpijak oleh seorang anak muda, yang tawaf juga.
Timbul marah si Raja, lantas menampar pemuda itu sehingga hidungnya mengeluarkan darah. Si pemuda tak senang atas perlakuan sewenang-wenang Raja itu dan mengadukan halnya kepada Khalifah Umar rhu. mengharapkan keadilan. Setelah diadakan pemeriksaan dengan teliti dan diadakan dialog antara pemuda (yang mengadu) dan Raja (yang didakwa), akhirnya Khalifah memutuskan hukuman Qisaas, berdasarkan perintah Allah Swt. di dalam Al Quran ul Majiid :
“Dan Kami telah menetapkan terhadap mereka di dalamnya (Taurat) bahawasanya, jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka (pun) ada qisaasnya”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 45
Keputusan ini dihadapkan kepada Raja yang didakwa atas tindakannya sewenang-wenangnya itu, dibalas dengan tindakan setimpal, yaitu ditampar sampai darah keluar dari hidung oleh si pemuda. Mendengar keputusan itu, Raja Jablah memprotes, katanya: “Bukankah aku seorang Raja, sedangkan pemuda itu rakyat biasa”?
Dengan tegas Khalifah Umar Ibnul Khattab rhu. menjawab ; ’Islam sama memandang kamu berdua, tidak ada yang mulia diantara seseorang dengan lainnya, melainkan kerana taqwa”.
Demikianlah ketegasan dan kemurnian ajaran Islam, apabila menghukum, keadilan lah yang ditegakkan setingginya. Begitu juga yang ditegaskan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. menerusi hadis berikut :-
“dari Aisyah rha. ia berkata : Bahawasanya orang Quraisy prihatin terhadap urusan wanita Al Makhzumiah yang telah melakukan pencurian. Mereka berkata : Siapakah yang akan mempercakapkannya kepada Rasulullah supaya dimaafkan?. Akhirnya mereka berkata : Tiada siapa yang berani meminta pertolongan kepada Rasulullah melainkan Usamah bin Zaid kekasih Rasulullah. Maka Usamah pun berbicara dengan Rasulullah tentang wanita itu supaya dimaafkan. Lalu Rasulullah bersabda kepada Usamah : Adakah engkau hendak memberi syafaat dalam sesuatu hukum hudud Allah?.
Kemudian Rasulullah bangun berkhutbah dan bersabda : Sesungguhnya yang membinasakan ummat sebelum kamu adalah kerana apabila orang mulia dikalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya dan apabila orang yang lemah dikalangan mereka mencuri mereka tegakkan hukum ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri tentulah aku potong tangannya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh, imam Muslim rh. dan imam Nasaie rh.
Tentu sekali kita akan mundur, apabila keadilan tidak ditegakkan malahan sebaliknya kezaliman pula yang bebas berleluasa dalam setiap aspek kehidupan. Kalaupun sabdaan Rasulullah Saw. diperbuat 1400 tahun dahulu, manifestasi dan kondisinya tetap ada sehingga kini, malah yang amat menjengkelkan ia berkembang biak dan subur dalam masyarakat ummat Islam sendiri. Begitulah jawabnya.
Sesungguhnya, apabila amanah dikhianati dan keadilan dizalimi, maka akan hilanglah sirna rahmat Allah Swt. kepada manusia sehinggalah semua yang Haq (kitabullah dan Sunnah rasulNya) ditegakkan dan akan rosak binasalah ummat, negara, bangsa dan seluruh aspek kehidupan manusia. Mana mungkin Allah akan memberikan kemuliaan dan kebesaran kepada golongan ummat yang derhaka kepadaNya. Maka itu tidak hairanlah, ummat Islam berada di dalam kedesakan dan diadu domba di dunia ini, berikutan perintah Allah Azzawajalla untuk menunaikan amanah dan memutuskan keadilan telah diabaikan. Pengkhianatan dan kezaliman angkara perbuatan sebahagian ummat Islam yang berleluasa, telah memakan diri ummat Islam sendiri.
Justeru itu, untuk pesanan kepada diri saya sendiri dan kepada kita semua, berpegang teguhlah kepada amanah yang diberikan dan berlaku adillah dalam memutuskan hukum kepada sesama manusia supaya hidup kita mendapat barokahNya di dunia hingga akhirat. Dan marilah kita sama-sama membanteras pengkhianatan dan kezaliman dalam apa jua bentuk, bermula dengan mengamalkannya dalam diri kita sendiri. Sesungguhnya Allah Swt. memerintahkan manusia untuk tetap teguh menegakkan keadilan sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Razaaq :-
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”.
Surah An Nahl (16) : ayat 90
والله اعلم
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana penulisan yang tidak kemas berikutan saya hasilkan artikel ini sepanjang bermusafir dan keletihan serta sumber rujukan dan ruang masa yang amat terhad. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
7 ulasan:
salaam ustaz mad,
tq atas artikel amat bernas nih, harap dapat lepas nih ustaz membuat kuliah tafsir bagi ayat-ayat khusus terpilih.
penjelasan dan hubungkait ayat dan rujukan yang disebutkan ni amat menarik.
tak pernah didengari dulu huraian lengkap begini.
teruskanlah usaha da'wah ni
wassalam
Salam semua.
Maaf saya mencelah perbahasan ini, artikel yg pnjg lebar ini ada manfaatnya cuma saya menunggu kajian yg bersifat baru. Dengan membaca pada peringkat awalnya lebih bersifat penceritaan dlm penceritaan maka ia telah kecilkan asas kpd persoalan 'kenapa kita mundur'.
Sebhagiannya saya bersetuju dgn apa yg mat lontarkan tetapi bukan semua. Hadis di lihat dpd segi teks maka di mana konteksnya?
Spt contoh umar ibn khatab sewaktu pemerintahannya melarang, memenjarakan, memukul mereka yg berpuasa rejab. Semata2 mengandaikan fadhilat. Bila mereka bertanya fatwa abdullah ibn umar ttg puasa rejab, beliau menyebut bagaimana aku ingin mengharamkan puasa rejab kpd mereka yg selalu berpuasa? Perbezaan pndgn ini menjadi perabahasan besar.
Isu kenapa kita mundur ia bersifat muamalah bukan ibadat. Sama spt mencari dalil demo bersih, mmg takde sama mcm dalil masuk parti tak kira pas atau umno. Maka carilah dikitab demokrasi utk mencari dalil demonstrasi.
Sebuah buku yg baik bertajuk kerugian dunia kerana kemunduran umat islam. Sepatutnya berada di tangan kita utk kita baca. Karya abul hasan ali hassan an nadwy. Buku yg diberikan kata2 aluan oleh sayid quthb.
Banyak peljrn penting dpd buku tersebut.
Sent from Yahoo! Mail on Android
frm: pian
Assalamu'alaikum,
Saya mencadangkan begini, sekiranya kita ada bahan lebih baik dan lebih bernas, baik diteruskan dengan menulis dan hantarkan untuk manfaat bersama.
Saya masih ingat yg tn hj mad sebut awal lagi yang tujuan penulisan adalah untuk perkongsian ilmiah. Saya ucapkan terima kasih pd tn hj kerana tak pernah berhenti menghantar penulisan.
Sekiranya saya setuju, ia jadi pegangan dan amalan. Sekiranya tidak, saya diamkan sahaja dan buangkan. Jika saya mahu komen, saya akan hantar sesuatu yang lebih baik lagi untuk dikongsi bersama. Ini konsep perkongsian ilmiah.
Memberi komentar, menokok tambah, cut & paste ke atas penulisan orang, memang kerja paling mudah. Nak menghasilkan sesuatu yang lahir dari diri kita sendiri tidak semudah itu, cakap berjam-jam semua orang boleh, nak menulis 2-3 page pun belum tentu dapat dalam 1 jam.
Saya ingin mendengar sendiri maklumbalas tn hj.
Sekian. Wassalam.
from: Izana hani
Wa'alaika,
saya no komen, sebarang pandangan adalah dialu-alukan
untuk manfaat ilmiah bersama
boleh diteruskan jika ada ulasan lain pun.
niyat untuk perkongsian ilmiah adalah keutamaan
prinsip ini hendaklah dijaga
elakkan berpolemik.
Wassalam.
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
terima kasih th hj
from izahana hani
Salam.
Saya rasa ramai rakan2 setuju manhaj kita terdidik dgn kritik dan mengkritik.
Kita bukan mengkritik peribadi jauh skli menjarah. Itu bukan fikrah kita.
Ttpi apabila ia melibatkan ilmu dan agama maka kita bsama dlm isu prinsip kebenaran bukan ada pada satu org ia ada pada ramai org.
Sehebat karya imam malik dlm al muwatho apabila khalifah al makmun ingin menjadikan ia kitab induk, apa komentar imam malik? Manusia berbantah2 slps wafatnya rasul kamu tidak boleh satukan dia dgn muwatho aku. Kan tawadhuk tu! Kajian pasti akan terdedah dgn kritikkan.
Kalau hj mad brckp ttg isu lain dpd agama itu tidak mnjdi mslah. Ttpi isu agama ia akan menjadikan kita sensitif.
Dr yusof al qaradawi dgn kita halal dan haram, disifatkan karya agong. Apabila karya beliau dikritik oleh syeikh albani bgaimana pendirian beliau?
Fikih sunnah dikritik oleh syeikh albani dlm kitab tamamun minah bgiman reaksi syed sabiq... Semuanya brlpgn dada.
Maka kita di mana?
Selagi ia dlm keadaan kebaikkan, tlg menolong lah kita. Wallahi tidak sebesar zarah pun hj mad akan rosak dirinya dgn kritikkan. Kerana saya yakin beliau menulis bukan kerana nama!
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
from:pian
Salaamun'alaikum,
"Hai orang-orang yang beriman, bertawakallah kepada Allah dan hendaklah kalian bersama orang-orang yang benar".
Surah At Taubah (9) : ayat 119
Dari Abdullah Ibnu Mas’ud rhu. ia berkata bahawa Rasulullah Saw. bersabda :
Sesungguhnya kejujuran akan membawa kepada kebaikan dan kebaikan akan menyampaikan ke syurga, dan sesungguhnya seorang yang berbuat kejujuran pada akhirnya akan ditulis sebagai orang yang jujur dan benar di sisi Allah. Dan sesungguhnya kedustaan akan menghantarkan kepada dosa dan dosa akan menjerumuskan ke neraka. Dan sesungguhnya seorang yang berdusta akan ditulis sebagai seorang pendusta di sisi Allah."
Hadis sahih riwayat Imam Bukhari rh. dan Imam Muslim rh.
Yang benar, dari Allah Swt. dan rasulNya, mari sama-sama kita sampaikan
Wassalam.
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Catat Ulasan