Selasa, 2 Ogos 2011

kuliah ihya'ur Ramadhan

3 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Penulisan ini adalah sinopsis daripada kuliah saya di Surau Syeikh Yusof, Air Itam sempena majlis Ihya’ Ramadhan pada hari Rabu 27 Julai 2011 anjuran Persatuan Muhammadiyah Pulau Pinang. Sebenarnya saya menggantikan saudara Ustaz Abdul Halim bin Hassan yang tidak dapat hadir disaat-saat akhir atas sebab-sebab tersendiri. Oleh itu, tempoh masa amat terhad untuk membuat persediaan, menyebabkan bahan disebutkan dalam kuliah menjadi amat terbatas. Sementelahan lagi saya ini pun sekadar “tiada rotan akar pun berguna jua”, maka setakat itulah juga yang saya mampu. Moga artikel ringkas ini memberi manfaat kepada semua di bulan Ramadhan al Mubarak ini. InsyaAllah.
 
Baik sekali sama-sama kita ulangsorot bahawa perintah wajib melaksanakan puasa Ramadhan ini adalah menerusi firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Kariim :
 
“Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.
(Puasa yang diwajibkan itu) dalam beberapa hari yang tertentu; maka barang siapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang ditinggalkan puasa) itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah; (yaitu) memberi makan orang miskin. Maka barangsiapa dengan sukarela mengerjakan kebajikan (memberikan fidyah lebih dari yang ditentukan), maka itu adalah lebih baik baginya, Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), jika kamu mengetahui.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 183 dan 184
 
Selain itu, Rasulullah Saw. turut menyatakan demikian menerusi hadis berikut :
 
Dari Urwah rhu. bahawasanya Ummul Mukminin Aisyah rha. berkata : Bahawasanya kaum Quraisy biasa melaksanakan puasa Asyura pada masa jahiliyah. Lalu Rasulullah Saw. memerintahkan untuk melaksanakan puasa Asyura hingga akhirnya puasa Ramadhan diwajibkan. Rasulullah Saw. bersabda : Barangsiapa yang ingin melaksanakan puasa Asyura, maka dibenarkan untuk melakukannya, sementara dibolehkan juga untuk tidak melaksanakannya”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. Kitab puasa hadis no. 1125
 
Saya tidak berhasrat untuk membincangkan secara panjang lebar tentang hukum hakam fiqh kitab puasa ini kerana saya amat yakin bahawa, tuan dan puan yang sebahagian besarnya telah menjalani puasa 20-30 tahun terdahulu dari saya telah pun faham benar akan hukum hakam ini. Dari kecil sampai besar, di semua peringkat sekolah pun itulah yang kita diajar. Ramai yang jauh lebih arif dari saya pun. Sekiranya ada juga yang mahu penjelasan tentang hal asas puasa ini, bolehlah bersama kita bincangkan dalam sesi tanya jawab nanti. Namun begitu, permulaannya baiklah kita bersama mengulang faham ta’rif / makna puasa supaya dapat kita memahami dengan benar seterusnya memperbuat amalan puasa itu dengan tepat bukan dengan sangka-sangkaan sahaja.
 
Ta’rif lughah (bahasa) : Menahan diri dari makan dan minum. Mengikut ta’rif ini, setiap kali tidak kita makan dan minum, maka kita sedang berpuasalah. Mudah saja puasa ini mengikut ta’rif bahasa kerana tiada batasan waktu dan pantang larang.
 
Ta’rif istilah (syara’) : Menahan diri dari makan dan minum pada siang hari di bulan Ramadhan (puasa wajib) atau di lain-lain bulan (puasa sunnat) serta tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya. Begitulah ta’rif mengikut syara’. Namun begitu, bagi as siyaamu ramadhan ini, di malam dan di rumah Allah yang mulia ini, ingin saya menambah : serta memperbuat amalan lain yang diamalkan oleh Rasulullah Saw. dan para sahabatnya sepanjang Ramadhan dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Baginda, supaya puasa itu benar-benar memberi makna, mendapat ganjaran pahala dan barokah sebesarnya dari Allah dan, supaya tidaklah puasa itu “kurus kering” yaitu tidak memberi makna dan kurang pahala cuma tidak batal sahaja. Dalam kata lain, tidak diperolehi manfaat dari puasa itu selain lapar dan dahaga semata-mata.
 
Selaras dengan tajuk yang diberikan yaitu “amalan Ramadhan mengikut Sunnah Nabi Saw” maka saya akan menfokuskan kuliah ini kepada beberapa bentuk amalan yang diamalkan oleh Rasulullah Saw. dan para sahabatnya, untuk pedoman dan rujukan kita bersama seterusnya sebagai pelengkap kepada puasa Ramadhan itu. InsyaAllah, penjelasan ini berdasarkan hadis-hadis sahih dan rujukan kepada kitab dan fatwa muktabar.
 
Saya berterima kasih kepada penganjur yang menekankan “amalan Ramadhan mengikut Sunnah Nabi Saw” berikutan dewasa ini telah menjadi trend pula ramai yang berpuasa sekadar tidak batal sahaja di satu pihak dan di satu pihak lain pula, berbondong-bondong pula berbuat berbagai macam amal kebajikan tetapi melakukannya sesedap rasa dan ikut trend semasa, walhal yang dicontohkan sendiri oleh Rasulullah Saw. pula dikesampingkan. Ini tidak termasuk lagi golongan yang “berbuka pada tengahari” yang tak dibicarakan disini. Sesungguhnya puasa Ramadhan ini adalah perintah Allah Swt. dan rasulNya, maka seluruh amalan di dalamnya juga telah dicontohkan oleh Baginda tanpa kurang satu apa pun, dan itulah yang paling baik, bermaksud tidaklah patut amalan yang kita sendiri-sendiri buat itu pula yang lebih dikejar dan diutamakan.
 
Selain daripada kewajiban puasa di dalamnya, Ramadhan adalah bulan mulia kerana di dalamnya diturunkan Al Qur’an dan bulan yang senantiasa besar. Ini berdasarkan firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Majiid :
 
“Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkn Al Qur’an, untuk menjadi petunjuk kepada manusia dan bermacam-macam keterangan yang merupakan petunjuk dan pemisah antara yang Haq (benar) dengan yang Batil (palsu)”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 185
 
Rasulullah menyambut kedatangan Ramadhan dengan membanyakkan puasa di bulan Sya’ban. Ini berdasarkan hadis dibawah,
 
Dari Ummul Mukminin Aisyah rha. ia berkata : Adalah Rasulullah Saw. kadang-kadang terus menerus berpuasa, hingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak berbuka-buka. Dan kadang-kadang terus menerus berbuka hingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunnat. Namun demikian saya tidak pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan penuh selain bulan Ramadhan, dan saya tidak pernah melihat Baginda banyak berpuasa sebagaimana puasa di bulan Sya’ban”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. Kitab Fathul Bari Jilid 4, no. 173
 
Adalah Rasulullah Saw. pada akhir bulan Sya’ban berkhutbah di hadapan para sahabat untuk menerangkan keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Dalam sebuah hadis, Baginda melakukan sebegitu dan bersabda :
 
Dari Salman Al Farisi  rhu. ia mengatakan bahawa Rasulullah Saw. pada hari terakhir bulan Sya’ban telah berkhutbah dihadapan kami. Baginda mengatakan : Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang senantisa besar lagi penuh keberkatan, yaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardhu dan qiyam di malam harinya suatu tathawwu’. Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa yang menunaikan suatu fardhu di dalam bulan Ramadhan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan tujuh puluh fardhu di bulan yang lain.
Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambahkn rizqi para mukmin di dalamnya. Barangsiapa memberi makanan berbuka di dalamnya kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan kepada dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala sama seperti orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa sedikitpun berkurang.
Para sahabat berkata : Ya Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan berbuka itu untuk orang yang berpuasa.
Maka sabda Rasulullah Saw : Allah memberikan pahala ini kepada orang yang memberikan sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu. Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya merdeka dari neraka. Barangsiapa yang meringankan beban dari hamba sahaya (pembantu rumah tangga), nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka. Kerana itu perbanyakkanlah yang empat perkara di dalam bulan Ramadhan. Dua perkara untuk kamu menyenangkan tuhanmu dan dua perkara lagi untuk kamu sangat menghajatinya.
Dua perkara yang kamu lakukan untuk menyenangkn Allah, ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan memohon ampun kepadanya. Dua perkara lagi yang kamu sangat memerlukannya adalah memohon syurga dan berlindung dari neraka. Barangsiapa memberi minum kepada orang yang berpuasa, nescya Allah memberi minum kepadanya dari air kolamku dengan satu minuman yang dia tidak akan lagi berasa haus sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga”.
Hadis riwayat imam Ibnu Khuzaimah rh., kitab At Targhib, Jilid 2, halaman 217-218
 
Ramadhan adalah bulan kemuliaan dan penuh keistimewaan yang mana barangsiapa yang berpuasa di siangnya dan mengerjakan qiyaamul Ramadhan di malamnya akan diampunkan Allah akan segala dosa-dosanya yang lalu. Ini dinyatakan oleh Rasulullah Saw. menerusi sabdanya :
 
Dari Abu Hurairah rhu, ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Bulan Ramadhan, adalah bulan yang Allah telah memfardhukan atasmu berpuasa di dalamnya, dan aku telah mensunnahkan bagimu berdiri dan beribadat di malamnya. Barang siapa yang berpuasa dan bersolatul qiyam di malamnya kerana iman dan kerana mengharapkan Allah, nescaya ia keluar dari dosanya, seperti hari dilahirkan oleh ibunya”.
Hadis riwayat imam Ibnu Khuzaimah rh., kitab Al Fathul Jadid, Jilid 2, halaman 209
 
Benarlah Ramadhan adalah bulan penuh keistimewaan, mempunyai aneka keberkatan dan kebesaran yang di antaranya :
 
1.       Bulan yang dipilih terjadinya perang Badr Al Kubra. Kemenangan ummat muslimin dalam perang itu telah menampakkan ketinggian Kalimah Tauhid dan bermulanya keruntuhan kekuasaan kaum musyrikin.
2.       Bulan yang dipilih oleh Rasulullah Saw. untuk menakluk Kota Makkah dan mengambilnya dari kaum musyrikin. Dengan itu berakhirlah era penyembahan berhala di Baitullah dan kembalilah Makkah kepada keesaan Allah sepertimana ia mula dibuka oleh Nabi Ibrahim ahs.
3.       Bulan yang dipilih Allah Swt. untuk diwajibkan ibadah puasa sepenuhnya 1 bulan.
4.       Bulan yang dipilih Allah Swt. untuk menurunkn Al Qur’an ul Kariim, yang membawa hidayah dan kebenaran kepada seluruh manusia.
5.       Bulan yang dipilih Allah Swt. yang didalamnya terdapat suatu malam yang amat bernilai yaitu Lailat ul Qadr.
6.       Bulan yang dipilih Allah Swt. supaya seluruh ummat mukminin melaksanakan Solatul Qiyam / Qiyaamul Ramadhan.
7.       Bulan yang dipilih Allah Swt. supaya seluruh ummat mukminin menzahirkan ibadah mereka kepada Allah Swt. dan rasulNya dengan membayar zakat fitrah, membanyakkan sadaqah kepada fakir miskin, mengawal hawa nafsu dan mudarasah Al Qur’an.
 
Antara perintah dan anugerah terbesar Allah Swt. kepada ummat manusia adalah perintah wajibnya berpuasa sepanjang Ramadhan. Kewajiban puasa ini mempunyai beberapa ciri asas dan hikmah yang sebahagian daripadanya adalah :
 
Puasa adalah perisai (benteng) yang menjauhkan orang berpuasa dari terjerembab ke dalam perbuatan maksiat. Mereka hendaklah menjaga tingkah laku, adab dan lisan (lidah) dalam hablum min annas dan hablum min Allah. Puasa juga adalah suatu bentuk tindakan mengawal hawa nafsu dari terdorong mengikut hasutan hawa. Tidak boleh mencaci maki, kata mengata, menfitnah, berburuk sangka dan bercumbu antara lelaki dengan wanita. Juga tidak boleh membuat tindakan dungu seperti menghina orang dan bersenda-senda melepasi batasan. Hendaklah mereka saling memperingatkan bahawa berada dalam keadaan puasa dan mesti mengikhlaskan benar-benar puasa itu kerana Allah Swt. semata-mata. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa kerana Allah itu lebih wangi disisi Allah daripada harumnya minyak kasturi. Demikianlah sabda Rasulullah Saw. dalam sebuah khabar rabbani (hadis qudsi) :
 
Dari Abu Hurairah rhu, ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Allah Swt. berfirman, setiap perbuatan manusia adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa kerana Aku lah yang membalasnya. Puasa adalah perisai jika seseorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah ia berkata kotor dan berteriak-teriak kerana permusuhan. Jika seseorang mencaci atau memeranginya, maka hendaklah ia berkata “sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Demi Zat yang jiwa Muhammad ada ditangan Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi disisi Allah Swt. daripada wangi minyak kasturi. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dirasakannya. Yaitu jika ia berbuka puasa ia merasa gembira dan jika ia bertemu dengan Tuhannya, maka ia gembira dengan ibadah puasanya”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. Kitab puasa no. 1151
 
Orang yang berpuasa dituntut memelihara lidah dan perkataannya daripada mengucapkan perkara-perkara yang keji dan terlarang seperti berdusta, mengata atau mengumpat, dia mendapat dosa kerana melakukan perkara yang haram itu dan dia juga telah menyalahi tuntutan perkara sunat kerana tidak menjaga dirinya daripada perkara-perkara di atas ketika berpuasa. Ini akan menjadikan puasanya “kurus kering”. Dalam satu hadis Rasulullah menekankan hal ini menerusi sabdanya:
 
Dari Abu Hurairah rhu. dia meriwayatkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda : Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta dan kelakuan bodoh, maka Allah tidak menghendaki (memerlukan) kepada perbuatannya meninggalkan makanan dan minumannya (puasa) itu”.
Hadits sahih riwayat imam Abu Daud rh.
 
Sesungguhnya Allah memberikan kemuliaan amat tinggi ke atas orang-orang yang berpuasa dengan menyediakan satu pintu khas untuk mereka itu memasuki syurgaNya, khusus untuk orang yang berpuasa sahaja. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah Saw. :
 
Dari Sahl rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar Rayyan. Pintu tersebut dimasuki oleh orang-orang berpuasa pada hari qiyamat, dan tidak ada seorang pun yang memasukinya selain mereka. Ketika itu dikatakan : Dimanakah orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka pun berdiri dan tidak ada yang memasuki pintu itu selain dari mereka. Jika mereka telah memasuki pintu Ar Rayyan, maka pintunya ditutup dan tidak ada seorang pun yang boleh memasukinya lagi”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. Kitab puasa no. 1152
 
Allah Swt. telah memberikan ruang seluasnya kepada ummat mukmin untuk melaksanakan puasa Ramadhan dengan sepenuhnya serta melakukan seluruh amal salih lain dengan kiasan bahawa pada bulan Ramadhan pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu daripada mengganggu dan merosakkan ummat mukmin. Maka, mana-mana manusia yang gagal memanfaatkan kesempatan terbaik anugerah Allah ini hakikatnya telah merosakkan diri mereka sendiri dan dengan senghaja ingkar kepada perintah Allah dan rasulNya. Hal ini disabdakan oleh Rasulullah Saw. :
 
Dari Abu Hurairah rhu, ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Dalam bulan Ramadhan dibuka seluruh pintu langit (syurga), dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa yang tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, berartilah telah diharamkan baginya segala macam kebajikan”.
Hadis riwayat imam Ahmad, imam Nasaie dan imam Baihaqi rh.
 
Ummat mukminin dituntut mengerjakan puasa dengan penuh beradab sepanjang Ramadhan dan turut juga membaca Al Quran ul Aziiz, memahami dan menghayatinya kerana Al Qur’an dan puasa adalah saling bantu membantu. Perkara ini disebut oleh Rasulullah Saw. menerusi sabdanya :
 
Dari Abdullah Ibnu Umar rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : puasa dan Al Qur’an memberi syafaat kepada para hamba di hari qiyamat. Puasa berkata : wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya dari makan dan minum di siang hari, maka berilah aku keizinan memberi syafaat kepadanya. Al Qur’an berkata : wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya dari tidur di malam hari, maka berilah keizinan kepadaku untuk memberikan syafaat kepadanya. Maka diterimalah syafaat puasa dan Al Qur’an dan para sahabat lalu masuklah ia ke dalam syurga”
Hadis riwayat imam Hakim rh. dan imam Ibnu Abid Dun-ya rh.
 
Sepajang Ramadhan ummat mukminin dituntut melahirkan sifat tawadhu’ dan bersyukur ke atas rizqi (pemberian) Allah dengan memberi bantuan dan makanan kepada golongan memerlukan, anak-anak yatim dan fakir miskin. Contoh ini ditunjukkan oleh Rasulullah Saw. sendiri yang mana kemurahan tangan Baginda adalah melepasi seluruh anak cucu Adam ahs. Baginda murah dalam memberikan ilmu, memberikan hartanya, memberikan jiwanya untuk jalan Allah. Baginda memberikan petunjuk Allah serta menyampaikan manfaat kepada manusia, menerusi memberi makan orang yang lapar dan berpuasa, memberi pelajaran kepada orang yang jahil, membantu menyelesaikan segala macam keperluan orang memerlukan, menanggung beban orang memerlukan dan mengagihkan zakat dan sadaqah kepada fakir miskin di bulan Ramadhan supaya mereka dapat menyambut I’edul Fitr dalam kegembiraan. Hadis dibawah menyatakan sifat perbuatan Rasululllah Saw. ini :
 
Dari Abdullah Ibnu Abbas rhu. ia berkata : Adalah Nabi Saw. adalah orang yang paling murah tangannya dan beliau paling bermurah tangan di bulan Ramadhan, ketika Jibril mendatanginya untuk memudarasahkan Al Qur’an (mendengar bacaan Al Qur’an dari Nabi dan membaca Al Qur’an untuk didengar Nabi apa yang telah Nabi bacakan). Maka sungguhlah Rasulullah ketika didatangi Jibril, lebih cepat memberikan sesuatu, melebihi kecepatan angin berhembus, tidak dimintakan sesuatu kepadanya (dalam bulan Ramadhan) melainkan diberikannya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.    
 
Orang berpuasa dituntut berbuka awal sepertimana dijelaskan oleh Rasulullah Saw. :
 
“Dari Sahel Ibnu Sa’ad rhu. ia meriwayatkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda : Senantiasalah manusia dalam kebajikan selama mereka mempercepatkan berbuka”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari, imam Muslim dan imam Abu Daud rh.
 
Adapun makanan utama untuk berbuka puasa adlh makanan yang mempunyai zat yang manis, yang boleh menyegar dan menambah kesihatan badan, yang tidak dimasak dengan api atau dengan air bersih sepertimana dijelaskan oleh Rasulullah Saw. :
 
Dari Sulaiman bin Amir rhu. ia meriwayatkan bahawa Rasulullah Saw. bersabda : Apabila berbuka seseorang kamu, maka hendaklah ia berbuka dengan (3 biji) kurma. Jika tidak memperolehi kurma, hendaklah ia berbuka dengan air, kerana air itu bersih membersihkan”.
Hadis sahih riwayat imam Abu Daud rh. dan imam Tarmizi rh.
 
Ummat mukminin juga dituntut untuk bersahur dan melewatkannya. Adalah Rasulullah Saw. bersahur di ketika hampir Subuh. Antara waktu beliau selesai bersahur dengan Solat Subuh adalah sekadar lamanya bacaan 50 ayat Al Qur’an sahaja. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis :
 
“Dari Zaid bin Sabit rhu. dia berkata : Kami telah bersahur bersama Rasulullah Saw. Kemudian kami berdiri mengerjakan Solat Subuh. Aku bertanya kepada Zaid : berapa lama tempoh antara habis makan sahur dengan solat!. Zaid menjawab : kadar 50 ayat Al Qur’an”.
Hadis riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
 
Salah satu amalan utama yang dituntut diperbuat ke atas ummat mukminin sepanjang Ramadhan adalah mengerjakan Solatul Qiyam atau Qiyaamul Ramadhan (Solat Tarawih). Ini berdasarkan perintah Rasulullah Saw. sendiri menerusi hadis berikut :
 
“Dari Abu Hurairah rhu, ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Barangsiapa berqiyam di bulan Ramadhan (mengerjakan solat tarawih) kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharap pahala dan ampunan dan keredhaanNya, nescaya diampunilah dosa yang telah lalu”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.
 
Dan adalah sifat perbuatan Qiyaamul Ramadhan oleh Rasulullah Saw. adalah 11 rakaat sahaja yaitu 8 rakaat dan 3 rakaat Witir berdasarkan hadis berikut :
 
Dari Ummul Mukminin Aisyah rha. ia berkata : Bahawasanya Rasulullah tidak pernah melebihi di bulan Ramadhan dan tiada selainnya (bukan Ramadhan) atas sebelas raka’at”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
 
Seterusnya saya mahu menyentuh amalan sunnah Rasulullah yang paling dilupakan orang banyak yaitu perbuatan i’tikaf di dalam masjid selama 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Amalan sunnah ini hampir-hampir tidak wujud di Malaysia ini. I’tikaf yang dimaksudkan mengikut takrifan istilah (syara’) adalah “Tetap berada di dalam masjid, berkhalwat di dalamnya dengan niyat bertaqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah dan menjauhkan diri dari maksiat”. Ini adalah perbuatan tetap Rasulullah Saw. setiap kali bulan Ramadhan sepertimana yang dijelaskan oleh hadis berikut :
 
Dari Ummul Mukminin Aisyah rha. ia berkata : Bahawasanya Rasulullah Saw, biasa beri’tikaf pada 10 hari yang akhir di bulan Ramadhan hingga Allah Azzawajalla memanggilnya kembali (wafat). Kemudian sesudah wafatnya kebiasaan ini diteruskan oleh isteri-isterinya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
 
Dan, huraian terakhir kuliah saya ini adalah berkenaan sikap memberikan lebih tumpuan kepada amal ibadat dan lebih bersungguh-sungguh melakukannya pada 10 hari terakhir Ramadhan. Ini merupakan satu lagi sunnah nabawiyah yang dilupakan orang kerana biasanya waktu-waktu begini, lebih sibuk dengan persiapan dan kemeriahan menyambut Hari Raya. Sesungguhnya Rasulullah Saw. telah menunjukkan contoh teladan sebegitu untuk dicontohi oleh para ummat mukminin. Baginda berbuat begitu ke atas di sendiri seterusnya ditekankan kepada kaum keluarga Baginda sekali. Perlakuan contoh Baginda tersebut dinyatakan menerusi hadis ini :
 
Dari Ummul Mukminin Aisyah rha. ia berkata : Bahawasanya adalah Rasulullah Saw. ketika masuk pada 10 hari, yaitu 10 hari terakhir pada bulan Ramadhan, Baginda mengencangkan kainnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
 
Di akhir Ramadhan, maka datanglah 1 Syawal yaitu hari besar I’edul Fitri (Kembali Suci), hari kemenangan bagi semua mukminin yang telah 1 bulan sebelumnya telah menghambakan diri mereka benar-benar kepada Allah Swt. dan tunduk kepada contoh rasulNya. Orang-orang yang menang itu meraikan kejayaan mereka mengekang hawa nafsu dengan penuh berpuasa, memperuntukkan malam harinya dengan ibadah, mengeluarkan sadaqah, zakat, mengekang nafsu makan dan mengelakkan membazir. Maka keluarlah mereka yang menang ini untuk bergembira pada I’edul Fitr. Sesungguhnya Allah Swt. telah berfirman di dalam Al Qur'an ul Hakiim :-
 
"sungguh telah menang orang yang mengeluarkan zakat (fitrahnya) menyebut nama Tuhanmu (mengucapkan takbir, membesarkan Allah swt.) lalu ia mengerjakan sholat (hari raya i'edul fitri)".
Surah al A'la (87): ayat 14-15.
 
Namun begitu, adalah biasa sekarang ini, “orang-orang kalah” pula yang menyambut I’edul Fitr ini tersangat meriah. Malah kadang kala, bulan Ramadhan lagi mereka dah pun beraya sakan, tanpa kira siang atau malam, bukannya beramal sakan.
 
Demikianlah sepintas lalu huraian berkenaan keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadhan serta amalan-amalan Rasulullah Saw. sepanjang melaksanakan puasa Ramadhan berdasarkan bukti dan dalil yang terpercaya. Saya memohon maaf kerana tidak dapat memberikan kuliah lebih detail lagi memandangkan tempoh masa yang amat terhad. Namun begitu, mudahan-mudahan Allah Swt. memberikan ruang dan kesempatan kepada kita semua untuk satu sessi lain bagi penerangan lebih lanjut dapat dibuat nanti. InsyaAllah.

Saya juga memohon maaf atas segala salah silap atau terkasar bahasa sepanjang memberikan kuliah ini. Mudahan-mudahan apa-apa yang telah saya sebutkan ini memberikan manfaat terutamanya kepada diri saya sendiri yang serba kedhaifan dan juga kepada semua tuan puan dan boleh dikhabarkan kepada mana-mana pihak yang tidak hadir ke kuliah ini. Hakcipta isi kandungan kuliah tak terpelihara. Boleh saja ilmu Allah ini disebarkan kemana-mana. Sesungguhnya hadirnya saya dan tuan-tuan ke sini adalah dengan penuh keikhlasan mencari ilmu dan redha Allah, maka marilah kita panjatkan doa ke hadrat Allah Swt. agar hasrat kita diperkenankan olehNya dan seluruh hidup kita diberkatiNya, di dunia dan di akhirat.
 
Nota : terdapat sesi tanya jawab terbuka yang agak panjang dengan hadirin, berkenaan puasa Ramadhan merangkumi berbagai aspek selepas kuliah ini.       
 
والله اعلم
 
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


RALAT : saya mendapat maklumbalas dari Sdr. Md Isa berkenaan perkataan Tathawwu’. Saya mohon maaf kerana hanya membuat terjemahan secara langsung dari teks asal tanpa memberikan makna perkataan tersebut lebih lanjut. Dengan kepercayaan, semua rakan-rakan telah faham maksudnya.

Makna sebenar adalah begini, perkataan "qiyam di malam harinya adalah Tathawwu’ " yang dimaksudkan di dalam hadis dari Ibnu Khuzaimah rh. itu adalah merujuk kepada Qiyaamul Ramadhan/Solat Tarawih yang dilakukan secara Tathawwu’.

Perkataan " تطوع /Tathawwa'a" disebutkan Allah Swt. di dalam surah Al Baqarah (2) : ayat 184. Para mufassir memberi maknanya "Dengan Kerelaan Hati Mengerjakan - akan Sesuatu".

Oleh itu, maksud Tathawwu’ dalam hadis tersebut adalah "Dengan kerelaan hati mengerjakan Qiyaamul Ramadhan/Solat Tarawih". Ini adalah benar kerana Qiyaamul Ramadhan itu bukanlah wajib hukumnya. Kalaupun tidak wajib, ia amat dituntut dan diamalkan oleh Nabi Saw. dan diperbuat oleh semua sahabat, tabiin, tabiut tabiin dan salafus soleh.

Saya mohon maaf atas ralat tersebut.

والسلام.

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Tanpa Nama berkata...

Assalamu'alaikum

Kepada semua, selamat menjalani Ramadhan dan mengerjakan ibadah puasa. Mudah-mudahan dapat menghayati Ramadhan dan Puasa seperti yang dinyatakan oleh Ustaz Mad.

Terima kasih atas artikel ini, byk memberi info yang dulu tak tahu dan, bukanlah "akar pun berguna jua" dengan artikel sebegini ilmiah.

Moga usaha Ustaz mendapat keredhaan dan diberkati Allah.

Wassalam

frm: izahana hani

Unknown berkata...

بسم الله الرحمن الرحيم
اسلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Saya juga mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak dan menjalani ibadah puasa kepada semua.
Moga Allah mengqabulkan segala amalan kami dan segala amalan kamu.

Wassalam

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam