Selasa, 29 Mac 2011

Ilmu Faraaid/Warisan : Kuliah Asas Siri 1

0 ulasan
Subject: Ilmu Faraid/Warisan : Kuliah 1

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah Swt. Salawat dan Salaam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan salafus soleh.

Catatan ini adalah ringkasan daripada siri kuliah mingguan kepada rakan-rakan serta soal jawab berkenaan Faraid yang saya rekodkan. Huraian secara langsung didalam kuliah mungkin lebih mendalam berbanding nukilan artikel ini yang serba ringkas. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.

Saya ingin mengambil dan memenuhi sedikit ruang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah swt. ini untuk membicarakan tentang hal faraid atau warisan. Sudah lama saya tergerak hati untuk bercakap tentang hal ini. Minat dan hasrat ini berputik sejak beberapa tahun yang lepas lagi. Ini berikutan, ada banyak kali saya dirujuki oleh sahabat handai dan juga kaum keluarga dalam hal faraid ini.

Ada kes yang sudah kusut masai, bagaikan terhenti tanpa jalan keluar, telah pun dapat dirungkaikan. Itupun ia mengambil masa dan tenaga, khususnya dalam usaha mendapatkan kepercayaan dan memberikan kesedaran kepada seluruh waris untuk berkompromi, membuang segala salah faham lalu dan bertolak ansur. Dan yang paling penting adalah sedia meningkatkan iman dan taqwa, dengan menerima ketetapan Allah Swt. dan Rasul-Nya dalam hal faraid ini berbanding menjadikan hawa nafsu dan sifat tamak haloba kepada harta sebagai sandaran, sepertimana firman Allah di dalam Al Qur’an ul Haliim,

“(Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari Allah. Barangsiapa taat kepada Allah dan RasulNya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir didalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah kemenangan yang besar”.
Surah An Nisa’ (4) : ayat 13

Sesuatu hal yang amat saya sedar adalah, masyarakat kita Melayu Islam ini, memang tidak mengambil berat hal faraid. Mungkin boleh juga saya katakan bahawa ilmu faraid ini adalah ilmu yang dikesampingkan, ditinggalkan atau dibuat lupa sahaja. Dalam kebanyakan kes yang saya terlibat, amat ketara sekali masalah berpunca dari kekurangan atau tiada ilmu pengetahuan hal faraid. Mereka ini lebih terdorong mengikut hawa nafsu, maksud saya ada rasa tamak haloba, mahukan lebih bahagian dari orang lain. Sedangkan dari awal lagi mereka tidak ambil kisah, tetapi apabila diketahui mereka ada sedikit hak, mereka membuat bising kerana hal itu.

Kerana itu, masalah pembahagian harta pusaka menjadi rumit dan sukar dengan adanya sikap-sikap begini ataupun, kes terlalu lama yang melibatkan beberapa generasi. Sukar untuk mendapatkan persetujuan semua waris yang begitu besar dan berselerak ini. Ada juga yang menggunakan saluran mahkamah, sudahnya bertahun-tahun perbicaraan berlangsung tanpa kesudahan, terutama apabila masing-masing cuba menegakkan benang basah. Dalam masa itu juga, kaum keluarga terus porak peranda, bermasam muka dan, rosaklah sebuah ikatan silaturrahim kekeluargaan yang dianugerahkan oleh Allah Swt.

Sepanjang penglibatan dan pengalaman saya dalam banyak kes melibatkan faraid ini, saya mendapati masyarakat Melayu Islam ini hanya berkira-kira tentang faraid setelah pemiliknya meninggal. Saya kurang pasti sama ada pemahaman masyarakat kita dalam hal faraid melibatkan harta pusaka orang mati sahaja, agaknya begitulah. Keadaan menjadi kusut apabila disedari yang harta itu masih terikat dengan orang lain pula, yang belum diselesaikan secara jelas.

Sebagai contoh dalam kes geran berangkai iaitu ramai nama pemilik sekaligus ramai waris pula. Lebih teruk lagi semua mereka ini tidak sekepala pula. Walhal, peruntukan Islam dalam persoalan faraid ini amat luas, melibatkan hal semasa hidup sehinggalah selepas mati. Banyak kes dalam pemerhatian saya, segala keluh kesah dan perebutan itu tidak mungkin berlaku sekiranya pemilik harta itu sendiri (simati) telah membuat pembahagian (secara wasiat, hibah, waqaf, sadaqah) kepada kaum keluarganya atau orang-orang yang dimahukannya semasa hidup lagi. Sesungguhnya, ketetapan dari pemilik harta itu sendiri adalah yang paling benar dan tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun kecuali, atas apa jua keputusan atau tindakan beliau yang melanggar ketetapan syara'.

“Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan RasulNya dan melanggar ketentuan-ketentuanNya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal didalamnya, dan baginya siksa yang menghinakan”.
Surah An Nisa’ (4) : ayat 14

Agak panjang artikel yang saya nukilkan ini. Meliputi beberapa siri. Memang saya cuba memberikan tumpuan kepada perkara-perkara paling asas, secara paling ringkas dan padat, untuk bacaan, semakan dan rujukan rakan-rakan jamaah semua. Namun ia hanyalah sekelumit kecil sebenarnya dari seluruh ilmu faraid milik Zat Yang Agung, Allah Swt. yang Maha Luas, Maha Perkasa dan Maha Dermawan. Harapan saya agar, artikel kecil ini akan membantu rakan-rakan memahami secara asas ilmu faraid dan nanti boleh dipraktikkan dalam kehidupan kita. Setakat itulah yang saya mampu usahakan bagi kebaikan kita bersama. Awal-awal lagi, saya pohon kemaafan sekiranya ada apa-apa kekurangan dalam artikel ini.

Pendahuluan
Syari'at Islam telah menetapkan undang-undang pewarisan yang sangat indah dan adil sebagaimana lain-lain peraturan ekonomi. Islam telah menetapkan hak pemilikan harta kepada manusia, baik lelaki atau wanita dengan cara yang dianjurkan oleh hukum syara'. Begitu juga, Islam juga telah menetapkan hak pemindahan harta yang dimiliki seseorang semasa hidupnya kepada warisnya setelah kematiannya daripada kalangan lelaki dan wanita. Keadilan itu tanpa ada perbezaan antara kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua. Betapa indahnya apabila hak pemindahan itu boleh juga disampaikan kepada semua ummat islam (menerusi waqaf, sadaqah, hibah) dan sekalipun juga kepada hamba sahaya (ini dalam kes tertentu).

Al Qur'an telah menjelaskan hukum-hukum warisan dan keadaan setiap pewaris itu dengan keterangan yang sangat jelas. Al Qur'an merupakan dasar utama dalam penentuan hukum dan warisan. Sekalipun ada penentuan hukum warisan berdasarkan as sunnah Rasul-Nya (hadis) dan ijma', namun ketetapan yang demikian adalah sangat sedikit. Di dalam syaria't Islam, tiada ditemui suatu hukum yang dijelaskan oleh Al Qur'an dengan penjelasan sangat terperinci seperti hukum warisan ini.

Islam sangat menitikberatkan hukum warisan sehingga mengkhususkannya di dalam Al Qur'an dengan keterangan yang sangat jelas. Ini berikutan, harta merupakan tiang kepada kehidupan individu dan masyarakat. Dengan sebab hartalah kehidupan manusia akan tercapai dan dengan hartalah kehidupan akan berputar. Allah Swt. telah berfirman di dalam Al Qur’an ul Kabiir, tentang peri pentingnya harta kepada manusia :

“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik.”
Surah An Nisa’ (4) : ayat 5.

Pembahagian Harta Pusaka di Zaman Jahiliyah
Orang-orang Arab jahilliyah dahulu, hanya mengenal sistem kewarisan yang diturunkan hanya kepada anak laki-laki dewasa yang diakui dengan kemampuannya menunggang kuda, bertempur dimedan perang dan meraih harta rampasan perang. Apabila pewaris tidak mempunyai anak lelaki dewasa, maka mereka memberikan kepada para kerabat lelaki yang terdekat dengan pewaris, seperti saudara laki-laki dewasa dari saudara pewaris, dan seterusnya, yang penting mereka adalah laki-laki dewasa. Dengan demikian, mereka tidak memberikan waris kepada kaum wanita dan laki-laki yang masih anak-anak. Selain itu, mereka pun boleh memberikan hak waris kepada anak angkat, dan kedudukan anak angkat oleh mereka dianggap sama dengan kedudukan anak kandung dalam hal pembahagian harta waris.

Di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas rhu. disebutkan,
“Ketika masalah faraid (warisan) diturunkan, yang di dalamnya Allah wajibkan bahagian untuk anak laki-laki dan perempuan, serta ayah dan ibu, seluruh atau sebahagian masyarakat membencinya. Mereka berkata, 'Isteri diberikan bahagian warisan sebesar seperempat dan seperlapan, anak perempuan mendapat bahagian seperdua dan anak kecil juga mendapatkan bahagian, padahal tidak seorang pun dari golongan mereka itu yang berperang demi membela suatu kaum dan memiliki harta rampasan perang. Acuhkanlah pembicaraan ini, semoga saja Rasulullah Saw. menjadi lupa atau bila kita mengatakannya, pastilah Beliau akan mengubahnya.' Lalu sebahagian dari mereka bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah kami harus memberikan seorang budak wanita setengah bahagian harta waris yang ditinggalkan ayahnya, sedang dirinya tidak bisa memacu kuda dan tidak bisa membela kaumnya dalam peperangan? Kemudian kami memberi anak kecil harta waris pula, padahal harta itu tak berarti apa-apa baginya?’

“Orang-orang Arab di masa Jahiliah melakukan hal seperti itu, dan tidak memberikan warisan, kecuali kepada orang yang berperang. Tentunya mereka akan memberikannya kepada yang lebih besar dan seterusnya.”
Tafsir Ibnu Jarir, juz VIII, hlm. 32.

Namun setelah Islam datang dan iman mereka semakin kuat, mereka dengan segera meninggalkan adat istiadat dan kebiasaan mereka mengenai sistem pembahagian waris Arab jahilliyah tersebut, dan mereka pun membatalkan atau meniadakan hak waris bagi anak angkat, karena Allah telah berfirman di dalam Al Qur'an ul Hakiim :

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu dzihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu saja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar)".
Surah Al Ahzab (33) : ayat 4.

"Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapak-bapak mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Surah Al Ahzab (33) : ayat 5.

Maka kita patut bersyukur kepada Allah Swt. Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, yang telah menurunkan ketetapan dan peraturan sistem pembahagian waris ini dengan sangat adil, sehingga kita mendapat petunjuk yang jelas bagaimana cara membahagi harta waris secara yang Allah Swt. redhai.

Definisi Ilmu Faraid
Perkataan Faraid adalah bentuk jamak dari al-faridhah yang bermakna sesuatu yang diwajibkan, atau pembahagian yang telah ditentukan sesuai dengan kadarnya masing-masing.

Ilmu faraid atau ilmu warisan (mawaris) adalah ilmu yang mempelajari tentang perhitungan dan tatacara pembahagian harta pusaka untuk setiap ahli waris berdasarkan syariat Islam.

Keutamaan dan Kepentingan Ilmu Faraid
Ilmu faraid merupakan salah satu disiplin ilmu Fiqh di dalam Islam yang sangat utama untuk dipelajari. Dengan menguasai ilmu faraid, kita akan dapat mencegah perselisihan dan perbalahan dalam pembahagian harta warisan, sehingga orang yang mempelajari dan mengamalkannya, InsyaAllah akan mempunyai kedudukan yang tinggi dan mendapatkan pahala yang besar disisi Allah Swt.

Baginda Nabi Muhammad Saw. telah menjelaskan beberapa keutamaan dan anjuran untuk mempelajari, mengajarkan dan menjalankan ilmu faraid menerusi beberapa hadis seperti dibawah :

Dari Abdullah bin Amr bin al-Ash rhu., telah berkata ia, bahwa Nabi Saw. bersabda :
“Ilmu itu ada tiga, selain yang tiga hanyalah bersifat tambahan (sekunder), yaitu ayat-ayat muhakkamah (hukum yang jelas ketentuannya), sunnah Nabi Saw. yang dilaksanakan, dan ilmu faraid”.
Hadis riwayat imam Ibnu Majah rh.

Dari Ibnu Mas'ud rhu., telah berkata ia, bahwa Nabi Saw. bersabda :
“Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang-orang, karena aku adalah orang yang akan diambil (wafat), sedang ilmu itu akan diangkat dan fitnah akan tampak, sehingga dua orang yang bertengkar tentang pembagian warisan, mereka berdua tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan (menyelesaikan perselisihan pembagian hak waris) mereka".
Hadis riwayat imam Ahmad rh. Imam Tirmidzi rh. dan imam al-Hakim rh.

Dari Abu Hurairah rhu., telah berkata ia, bahwa Nabi Saw. bersabda :
“Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang lain, karena sesungguhnya, ilmu faraid setengahnya ilmu; ia akan dilupakan, dan ia ilmu pertama yang akan diangkat dari umatku”.
Hadis riwayat imam Ibnu Majah rh. dan imam Daraquthni rh.

Dalam riwayat lain, juga dari Abu Hurairah rhu. disebutkan :
“Pelajarilah ilmu faraid, karena ia termasuk bahagian dari agamamu dan setengah dari ilmu. Ilmu ini adalah yang pertama kali akan dicabut dari umatku".
Hadis riwayat imam Ibnu Majah rh. imam al-Hakim rh. dan imam Baihaqi rh.

Firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Aziiz :
“Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung kepada sebahagian yang lain, jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar”.
Surah Al Anfaal (8) : ayat 73.

Dari ayat dan hadis di atas, Allah Swt. dan RasulNya, telah berpesan dengan tegas kepada kita, ummat Muslimin, bahawa jika tidak kita melaksanakan pembahagian harta pusaka selaras dengan apa yang diperintahkan Allah Swt. dan RasulNya, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.

Dalil-Dalil Syara' Mengenai Ilmu Faraid
Sesungguhnya kewajiban melaksanakan ilmu faraid ke atas harta pusaka orang Islam ini telah disyariatkan oleh Allah Swt. dan ditunjuki oleh perintah RasulNya Saw. Antara perintah Allah Swt. di dalam Al Quran ul Jabbar adalah :

“Bagi lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibubapa dan kerabatnya, dan bagi perempuan (pula) ada hak bahagian dari harta peninggalan ibubapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”.
Surah An Nisa’ (4) : ayat 7.

“orang-orang yang mempunyai hubungan itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang kerabat) di dalam kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.
Surah Al Anfal (8) : ayat 75.

“dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah antara satu sama lain lebih berhak (waris mewarisi) di dalam kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin, kecuali kalau kamu mahu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama). Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah)”.
Surah Al Ahzab (33) : ayat 6.

Selain dari ayat Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Kariim, terdapat pula hadis Nabi Saw. yang menerangkan tentang hukum pembahagian harta pusaka ini. Antaranya adalah :

“Ibnu Abbas rhu. meriwayatkan bahwa Nabi Saw. bersabda. :
‘Berikanlah harta waris kepada orang-orang yang berhak. Sesudah itu, lebihannya (kepada pihak) laki-laki yang lebih dekat nasabnya”.
Hadis riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Dari ayat Allah Swt. dan hadis RasulNya di atas, jelaslah bahwa menjalankan pembahagian warisan adalah wajib dilaksanakan dengan tegas oleh ummat Muslimin. Kekacauan dan kerosakan yang terjadi didalam masyarakat Islam hari ini berpunca daripada ilmu faraid ini tidak lagi dilaksanakan dengan benar mengikut perintah Allah Swt. dan RasulNya, ataupun ia tidak lagi diamalkan, dikesampingkan dan dilupakan.

Akhiirul Kalaam
Demikianlah kuliah dan penerangan ringkas setakat ini. Amat sedikit sebenarnya perbincangan ini berbanding ilmu Allah Swt, yang Maha Luas. bersambung.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

Wallahua’lam.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: