Khamis, 31 Mac 2011

Zakat Fitrah (bahagian 2)

0 ulasan
Subject: Zakat Fitrah : Bahagian 2

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah Swt. Salawat dan Salaam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan salafus soleh.

Sebelum ini telah saya terangkan secara ringkas perihal zakat, berikutan banyak prinsip asas Zakat dan Zakat Fitrah adalah sama. Saya berasa khuatir sekiranya penerangan menjurus kepada Zakat Fitrah sahaja seperti yang diminta, ia akan menimbulkan salah fahaman dan kekeliruan antara keduanya. Mudahan Allah Swt. terus memberikan taufik dan hidayahNya kepada kita, agar kita terlepas dari salah fahaman.

B. ZAKAT FITRAH
Istilah Fitrah : Kata Fitrah adalah merujuk kepada : keadaan manusia saat baru diciptakan, yaitu suci bersih zahir dan batin serta bebas dari segala dosa. Kerana itu, zakat fitrah disyaria'tkan yang mana dengan mengeluarkan zakat ini, manusia dengan izin Allah Swt. akan kembali kepada keadaan fitrah, InsyaALLAH.

Taa'rif Zakat Fitrah
Zakat fitrah adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk diri kepada golongan orang-orang layak menerimanya mengikut syarat-syarat syara'.

Dalil Wajib Zakat Fitrah
Berkenaan zakat fitrah, Allah Swt. telah berfirman di dalam Al Qur'an ul Hakiim :-
"sungguh telah menang orang yang mengeluarkan zakat (fitrahnya) menyebut nama Tuhanmu (mengucapkan takbir, membesarkan Allah swt.) lalu ia mengerjakan sholat (hari raya i'edul fitri)".
Surah al A'la (87): ayat 14-15.

Diantara hadis dan kalam Rasulullah Saw. yang menjelaskan perihal zakat fitrah ini adalah seperti berikut :-
"dari Ibnu Abbas rhu., telah berkata ia : Rasulullah Saw. telah mewajibkan zakat fitrah untuk mensucikan orang-orang yang berpuasa dari segala perkataan keji dan sia-sia dan untuk menjadi makanan bagi orang-orang miskin. Barangsiapa menunaikan sebelum sholat, maka jadilah ia zakat yang diterima dan barangsiapa menunaikannya selepas sholat, jadilah ia suatu sadaqah sahaja".
Hadis riwayat al imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ad Daraquthni rh. Hadis ini dishohihkan oleh imam al Hakim rh., rujukan kitab Fiqhus Sunnah, Jilid 3 : 148.

Hukum Zakat Fitrah
Mengeluarkan Zakat Fitrah ini adalah WAJIB ke atas semua ummat Islam (meliputi semua jenis dan kategori orang termasuk 8 golongan asnaf itu sendiri). Dalilnya telah dinyatakan di atas dan tambahan lagi dari sabdaan Rasulullah Saw. di bawah,

"dari Ibnu Umar ra. ia berkata : Rasulullah Saw. telah mewajibkan zakat fitrah dari bulan Ramadhan satu sha' dari kurma, atau satu sha' dari sya'iir ke atas seorang hamba, seorang merdeka, laki-laki, wanita, anak kecil dan orang dewasa dari kaum muslimin".
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

"dari Umar bin Nafi' rhu. dari ayahnya dari Ibnu Umar rhu. ia berkata ; Rasulullah Saw. telah mewajibkan zakat fithrah satu sha' dari kurma atau satu sha' dari sya'iir atas seorang hamba, merdeka, laki-laki, wanita, anak kecil dan orang dewasa dari kaum muslimin dan Baginda memerintahkan agar di tunaikan / dikeluarkan sebelum manusia keluar untuk shalat i'ed.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh, imam Abu Daud rh. dan imam Nasa'i rh.

Hukum wajib ini jatuh kepada semua ummat Islam yang berkemampuan ya’ni mempunyai kelebihan (makanan atau nilai wang) untuk keperluannya sendiri pada malam hari raya I'edul Fitri (bermula dari masuk waktu Maghrib). Sesiapa yang tidak mencukupi pada dirinya maka dianggap tidak berkemampuan. Dalam hal orang yang tidak berkemampuan ini, Rasulullah Saw. telah memberikan pedoman berdasarkan sabdaanNya,

"......mulailah dengan dirimu, kemudian jika ada kelebihan maka berilah untuk ahlimu (orang dibawah tanggunganmu)".
Hadis riwayat imam An Nasai'e rh. : kitab Jami'ush Shaghir.

"apabila aku menyuruh kamu membuat sesuatu pekerjaan, maka kerjakanlah seberapa sanggupmu".
Hadis riwayat imam Bukhari rh. : kitab Al Mughni, Jilid 1 : 682.

Kelebihan Zakat Fitrah
Melalui zakat fitrah, ummat Islam boleh membersihkan dan memperbaiki dirinya dari sebarang salah dan silap sepanjang melakukan puasa Ramadhan. Membantu dan memberikan kegembiraan kepada ummat Islam yang miskin supaya dapat menyambut I'edul Fitri sama seperti orang lain. Boleh melatih diri sendiri untuk biasa berbakti dan membantu orang yang dalam kesusahan dengan niat semata-mata kerana Allah. Kesediaan mengeluar zakat adalah lambang ketaatan, kekuatan iman dan taqwa kepada perintah Allah Swt. dan tuntutan sunnah RasulNya.

Siapa Yang Wajib Keluarkan Zakat Fitrah?
Secara umum, semua dalil sohih dan qati'e menetapkan wajib ini jatuh kepada semua orang Islam yang hidup sepanjang bulan Ramadhan sehingga menempuhi 1 Syawal (bermula dari Maghrib sehingga selesai Solat I'edul Fitri). Ini termasuk juga bayi-bayi yang belum dizahirkan yaitu masih dalam kandungan ibu - hal ini adalah sunnat sahaja mengikut imam Ahmad bin Hanbal rh. (Mazahib ul Arba'ah, Jilid 4 : 171) dan saya amat menggalakkan perkara ini dipatuhi, kerana kebaikannya.

Perintah Allah Swt. dan Rasul Saw. yang tegas dalam hal zakat ini adalah sama dengan perintah Sholat yang mana ia adalah meliputi setiap individu, semua kategori ummat Islam kecuali yang gila/tak siuman. Tiada kelonggaran kecuali yang ditetapkan syara'.

Wujud pertikaian dalam hal ini berikutan, disebabkan umumnya perintah itu, bagaimana pula orang yang dalam tanggungan (seperti orang cacat, kanak-kanak, isteri tidak bekerja, orang tua, perempuan belum berkahwin, orang sedang belajar) boleh mengeluarkan zakat fitrah sedangkan hidup seharian mereka pun ditanggung orang? adakah tidak wajib zakat fitrah ke atas mereka?

Maka, adalah jawabnya tetap jua hukum wajib ke atas semua orang Islam berdasarkan perintah Allah Swt. dan RasulNya. Tiada kelonggaran padanya. Cuma, dalam hal siapa yang keluarkan zakat itu dan tatacara melaksanakan perintah itu, para fuqaha telah mempersetujui begini,

1.     Kewajiban keluarkan zakat fitrah ke atas orang yang Ditanggung, telah jatuh kepada Penanggungnya (Penanggung - boleh juga penjaga, wali, waris, bapa).
2.     Orang yang mempunyai kemampuan sendiri (kes ini dirujuk kepada lelaki yang telah cukup umur dan bekerja), hendaklah mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya sendiri.
3.     Orang yang Ditanggung itu, hendaklah membayar untuk dirinya sendiri apabila Penanggungnya enggan membayar atau, boleh juga dia membayar sendiri apabila mampu sekalipun Penanggung berkemampuan untuk membayar.

Ketetapan tentang tanggungjawab Penanggung ini adalah berdasarkan perintah hadis berikut  :-

"......mulailah dengan dirimu, kemudian jika ada kelebihan maka berilah untuk ahlimu (orang dibawah tanggunganmu)".
Hadis riwayat imam An Nasai'e rh. : kitab Jami'ush Shaghir.

"dari Ibnu Umar ra. ia berkata, telah bersabda Rasulullah saw : Berilah sedekah fitrah atas nama mereka-mereka yang menjadi tanggungan engkau".
Hadis ini status dhoif, diriwayatkan oleh  imam Baihaqi rh. dan imam Daraquthni rh.

Kesimpulan dari bab ini, zakat fitrah ini tetap wajib dikeluarkan oleh semua ummat Islam. Boleh dibuat oleh Penanggung bagi orang Ditanggungnya atau individu sendiri.

Nota : empat imam mazhab meletakkan kewajiban membayar zakat fitrah ini ke atas Penanggung mengikut kaedah warisan dan keturunan (rujukan Mazahib ul Arba'ah oleh Syeikh Abdurrahman Al Jaziri, Jilid 4 : halaman 169).

Siapa Penerima Zakat Fitrah
Orang yang layak menerima zakat fitrah itu adalah 8 golongan asnaf yang ditetapkan menerusi firman Allah swt. dalam Al Qur'an ul Salaam, Surah At Taubah (9) : ayat 60. Bermakna, golongan yang layak itu adalah sama dengan golongan asnaf yang layak menerima zakat harta dan zakat perniagaan.

Nota : imam Malik bin Anas rh. memberi ijtihad menarik dalam kes Ibnus Sabil yaitu, jika orang ibnu sabil itu bukanlah fakir miskin, tiada boleh ia menerima zakat fitrah (Mazahib ul Arba'ah, Jilid 4 : halaman 175).

Dalam hal ini, saya menggalakkan supaya zakat fitrah itu lebih utama diberi kepada asnaf Orang Fakir dan Orang Miskin, ini disebabkan I'edul Fitri adalah hari kebesaran dan disambut oleh ummat Islam dengan gembira dan meriah. Golongan fakir dan miskin ini lebih memerlukan bantuan agar dapat sama meraikan hari besar ini, selain memerlukan rezqi untuk meneruskan hidup. Hal utamakan Orang Fakir dan Orang Miskin ini bukanlah pelik kerana Rasulullah Saw. bersabda,

"telah berkata Ibnu Abbas rhu. : Rasulullah Saw. telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari segala perkataan yang keji dan buruk yang mereka lakukan dalam mereka berpuasa dan untuk menjadi makanan untuk orang yang miskin........".
Hadis riwayat imam Abu Dawud rh. dan imam Ibnu Majah rh. Hadis ini disohihkan oleh imam al Hakim rh.

Dikalangan Orang Fakir dan Orang Miskin itu pula, berilah keutamaan kepada kaum keluarga terhampir terlebih dahulu kerana hal ini telah dianjurkan oleh Rasulullah Saw. dalam hadis berikut :-

"dari Jabir rhu., bahawasanya Rasulullah Saw. telah bersabda : Apabila kamu seseorang yang fakir maka mulailah dengan dirimu sendiri. Jika ada kelebihan, berilah kepada keluargamu. Jika masih juga ada yang lebih, berilah kepada kerabat (kepada rahim). Jika masih ada lebih, maka berilah kepada sesiapa yang dikehendaki".
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Muslim rh.

Bila Boleh Keluar Zakat Fitrah
Adalah putus bahawa mengeluarkan zakat fitrah selepas Sholat I'edul Fitri tidak dikira sebagai zakat lagi tetapi sekadar menjadi sadaqah biasa. Ini berdasarkan hadis dan kalam Rasulullah Saw. sendiri yang menjelaskan seperti berikut :-

"dari Ibnu Abbas rhu., telah berkata ia : .... Barangsiapa menunaikan (zakat fitrah) sebelum solat (I’edul Fitr), maka jadilah ia zakat yang diterima dan barangsiapa menunaikannya selepas solat, jadilah ia suatu sadaqah sahaja".
Hadis riwayat al imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ad Daraquthni rh. Hadis ini disohihkan oleh imam al Hakim rh., rujukan kitab Fiqhus Sunnah, Jilid 3 : 148.

Secara contoh a'maliyah, para Sahabat Nabi saw. telah keluarkan zakat fitrah 2 hari sebelum hari raya. Tiada keterangan lain yang menunjukkan adanya a'malan para sahabat ra. mengeluarkan zakat fitrah lebih awal dari itu, inilah a'mal perbuatan sunnah yang harus dicontohi. Ini berdasarkan hadis berikut,

"dari Ibnu Umar rhu. ia berkata : Para sahabat Nabi Saw. mengeluarkan zakat fitrah (zakatul badani) satu hari atau dua hari sebelum hari raya".
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh.

Imam Muhammad bin Idris Asy Syafi'e rh. telah menerangkan bahawa zakat fitrah ini boleh diberikan bermula dari awal Ramadhan lagi (Mazahib ul Arba'ah, Jilid 4 : halamn 173). Berikutan kesulitan hidup, kekangan masa, urusan pentadbiran serta memberi kemudahan kepada masyarakat, ijtihad beliau ini amat tepat dan boleh dipraktikkan dalam konteks zaman semasa. Termasuk juga pertimbangan ke atas kes pengumpulan dan pengagihan ke kawasan yang luas dan jauh. Hukumnya adaIah harus untuk dilakukan. Namun para fuqaha menjelaskan bahawa, apa-apa bayaran zakat fitrah yang dibuat sebelum Maghrib 1 Syawal tidaklah dapat ia dikatakan zakat fitrah, melainkan setelah ia melalui 1 Syawal itu. Sekiranya seseorang meninggal dunia sebelum 1 Syawal sedangkan dia telah membayar zakat fitrah, maka amalan itu menjadi sadaqah dan amal soleh.

Serahan Kepada A'mil atau Secara Langsung
Model keluaran zakat oleh para sahabat memang dalam dua bentuk iaitu secara langsung ataupun melalui a'malah. A'mil (a'malah) adalah orang yang dilantik oleh Ulil Amri (pemerintah) untuk menguruskan zakat (mengutip, mengumpul dan mengagihkannya kepada golongan asnaf).

Contoh perbuatan Rasulullah saw. dan para sahabatNya, pengumpulan dibuat 2 hari lebih awal, dikumpul pada satu tempat dan agihan dibuat selepas Sholat I'ed. Riwayat ini menunjukkan bahawa perbuatan mengumpul ini diperbuat oleh badan zakat menerusi a'malah. Pandangan ini berdasarkan kepada perbuatan Ibnu Umar rhu. yang diberitakan oleh imam Malik bin Anas rh. berdasarkan hadis dibawah,

"dari Ibnu Umar ra. ia berkata : Rasulullah saw. menyuruh mengeluarkan zakat fitrah lalu membagi-baginya pada hari Fitri itu serta Baginda bersabda : cukupkanlah keperluan mereka atau perkayakanlah mereka dari berkeliling untuk meminta-minta pada hari ini".
Hadis riwayat imam Al Jaujazani dalam kitab al Mughni, Jilid 2 : halaman 669.

Diperbolehkan juga memberi secara langsung kepada fakir miskin dengan sebaiknya diserahkan pada hari Fitri sebelum sholat I'ed. Tujuannya supaya para fakir miskin ini dapat menggunakannya pada hari mulia ini, menggembirakan dan mencukupkan keperluan mereka. Selain itu amat molek juga kita memberi langsung kepada fakir miskin yang ada dikeliling kita, yang kita tahu dengan pasti kedhaifannya, dikalangan kaum keluarga dan orang terhampir dengan kita, agar pasti mereka mendapat bantuan zakat itu.

Aakhirul Kalaam
Demikianlah penerangan ringkas mengenai zakat (maal dan nafs) secara umum. Amat sedikit sebenarnya perbincangan ini berbanding ilmu Allah Swt, yang Maha Luas. Moga hasil usaha amat sedikit ini boleh jua memberi manfaat, meningkatkan ilmiah serta iltizam rakan-rakan. Saya menyeru, marilah kita mengeluarkan zakat fitrah, yang diwajibkan ke atas kita serta menyuburkan lagi keimanan dan keIslaman kita sepertimana firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Hakiim :-

"Orang yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah, adalah seumpama satu bibit yang menumbuhkan 7 tongkol, pada tiap-tiap tongkol 100 biji, dan Allah melipatgandakan bagi orang yang dikehendaki, dan Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 261.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

Wallahua’lam.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


Soalan 1

Subject: Zakat Fitrah : Bahagian 2

Terima kasih Tn. Hj. atas penerangan panjang lebar.

Saya ingin bertanya lanjut tentang hal begini :-
1.    Bolehkah kami kaum wanita membayar zakat fitrah secara langsung kepada amil yang datang ke tempat kerja. Adakah boleh para amil itu datang ke tempat-tempat kerja sedangkan ada ruang khusus disediakan di masjid atau pejabat agama. Ada berbagai pendapat ke atas cara kutipan begitu. Yang mengutuk pun ada.
2.    Sahkah pengeluaran zakat yang dibuat tanpa akad kerana orang ramai dan tidak sempat melafazkan akad dan berdoa.
3.    Tn. Hj. ada sebut 2 kali berkenaan zakat ke atas anak dalam kandungan (belum lahir). Ada ustaz yang mengatakan ia wajib tetapi tuan tidak mengatakan begitu.

Harap boleh memberi keterangan lanjut. 

Sekian.

Jawapan

Subject: Zakat Fitrah : Bahagian 2

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih puan, maklumbalas saya begini,

1.    Boleh para wanita yang berkemampuan membayar langsung zakat fitrah yang diwajibkan ke atas mereka kepada amil. Ini adalah kerana, membayar zakat fitrah itu adalah wajib ke atas setiap individu Muslim.

2.    Tiada salah untuk para amil pergi memungut zakat fitrah. Di kawasan perumahan, adalah biasa amil bergerak dari rumah ke rumah dan ini memudahkan para pembayar sebenarnya. Ataupun, para pembayar boleh juga membuat bayaran dimana-mana kaunter yang disediakan. Matlamatnya adalah sama iaitu membayar zakat fitrah, yang berbeza adalah kaedah sahaja. Memang ada suara sumbang mengatakan para amil bergerak ini berebut lebih banyak bahagian 1/8, saya pun ada mendengarnya. Beginilah, amil itu memberi kemudahan untuk kita membayar, maka kita bayarlah dan bersyukurlah dengannya. Soal niyat dia yang tak nampak atau kata-kata sumbang tu, biarlah Allah Swt. dan rasulNya yang memutuskan.

3.    Adalah sah membayar zakat fitrah kalaupun tidak dibuat akad bayaran atau pun berdoa selepasnya. Amalan melafazkan niyat, bersalam dan berdoa selepasnya hanyalah adat kebiasaan masyarakat kita sahaja, bukannya syarat sah bayaran zakat fitrah itu. Sekiranya, ini merupakan syarat sah (wajib), maka sudah ramai benar orang yang batal dan dikira tak membayar kerana membayar secara online.

4.    Hal bayaran zakat fitrah anak dalam kandungan, akan saya jelaskan dalam sambungan artikel ini nanti. InsyaAllah.

Mudah-mudahan saya telah membantu.

Wallahua’lam.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: