Khamis, 31 Mac 2011

Zakat Fitrah (bahagian 1)

0 ulasan
Soalan 1

Subject: Zakat dan Fitrah

Assalamu’alaikum,

Selamat berpuasa Ramadhan kepada Ustaz Mad dan rakan-rakan jamaah. Moga rahmat Allah SWT mengiringi hidup kita sentiasa. Dah kena pada masanya untuk saya tanyakan sedikit mengenai zakat fitrah.

Biarpun selalu bayar dan dengar-dengar, harap dapat ustaz beri detail lagi dari mula sampai habis. Supaya tak buat ikut-ikut saja.

Wassalam.

Warmest Regards
" Knight Malaysia "


Subject: Zakat Fitrah : Bahagian 1

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


Segala puji bagi Allah Swt. Salawat dan Salaam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.

Terima kasih Sdr Ibrahim kerana bertanya hal ini, Banyak kali saya mendapat pertanyaan seperti ini, malah hampir setiap tahun juga, berulang setiap kali Ramadhan. Penjelasan saya nanti adalah satu ringkasan dan kesimpulan dari hal yang yang amat panjang lebar dan menarik sebenarnya, supaya memberi kemudahan, cepat dan tepat untuk memahami perihal zakat (secara umum) dan zakat fitrah ini. Sementelahan pula, kesempatan amat terhad untuk bercerita panjang.

A. ZAKAT SECARA UMUM

Taa'rif Zakat
Zakat dari segi bahasa Arab mempunyai beberapa maqsud iaitu Kesuburan, Kesucian, Keberkatan dan Mensucikan. Ada juga sarjana menegaskan yang makna zakah itu adalah nama' (iaitu kesuburan dan penambahan). Abu Hassan Al Wahidi mengatakan taa'rif menarik dalam konteks bahasa : zakat adalah mensucikan harta dan memperbaikinya serta menyuburkannya. Asal maknanya adalah penambah kebajikan kepada harta yang ada.

Dari segi syara' pula ia dita'rifkan : "Memberi satu bahagian dari harta yang telah sampai nisab kepada orang fakir dan sebagainya, yang tidak bersifat dengan sesuatu halangan syara' yang tidak membolehkan kita memberikan kepadanya". Taa'rifan ini dijelaskan oleh imam Asy Syaukani rh. dalam kitab agungya, Nail al Authar, Jilid 4 : ms. 170.

Jenis Zakat
Zakat yang disyaria'tkan (wajib) itu terbahagi kepada 2 iaitu :
1. Zakat maal (harta) yang meliputi emas, perak, binatang peliharaan, tumbuhan dan tanaman, perniagaan dan perdagangan.
2. Zakat nafs (jiwa), yang disebut juga zakat fitrah iaitu zakat yang dikeluarkan bersamaan dengan selesainya mengerjakan puasa di bulan Ramadhan al Mubarak.

Dalil Wajib Zakat
Mengeluarkan zakat (harta dan fitrah) adalah wajib ke atas semua ummat Islam. Ketetapan WAJIB itu adalah berdasarkan Kitabullah dan as Sunnah rasulNya. Firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Aziiz,

"tidak diperintahkan mereka melainkan menyembah Allah, sambil mengikhlaskan ibadah dan taat kepadaNya serta berlaku condong kepada ibadah itu, dan mendirikan sholat dan memberikan zakat, itulah agama yang lurus".
Surah Al Bayyinah (98): ayat 5.

Diantara hadis dan kalam Rasulullah saw. yang menjelaskan perihal zakat ini adalah,

"dari Abu Hurairah ra. telah berkata ia, Pada suatu hari Rasulullah saw. duduk beserta para sahabatnya, lalu datanglah kepadanya seorang laki-laki dan bertanya ; Wahai Rasulullah! apakah Islam itu? Nabi saw. menjawab : Islam adalah engkau menyembah Allah sendirinya dengan tidak engkau persekutukan sesuatu denganNya, dan engkau mendirikan sholat yang difardhukan, dan engkau memberikan zakat yang difardhukan dan engkau mengerjakan puasa di bulan Ramadhan".
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Zakat Sunnat
Selain itu terdapat juga zakat sunnat lain (memberikan sara hidup, membantu anak yatim, memberi makanan dan pakaian, menanggung pelajaran, bantuan membina kediaman, bantuan perubatan, bantuan bencana dll.) seperti :-

1. Sadaqah
Firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Haniif,
"apakah mereka tidak mengetahui bahawasanyaAllah menerima taubat daripada hamba-hambaNya dan mengambil sadaqah-sadaqah dan bahawasanya Allah sangat menerima taubat hambaNya lagi sentiasa kekal rahmatNya".
Surah At Taubah (9) : ayat 104.


2. Nafaqah (infaq)
"segala mereka yang membendaharakan emas dan perak dan mereka tidak menafkahkannya ke jalan Allah, maka gembirakanlah mereka dengan azab yang memedihkan".
Surah At Taubah (9) : ayat 34.

3. A'fuw
"ambillah a'fuw (zakat) dan suruhlah yang ma'ruf dan berpalinglah dari orang-orang yang jahil (tidak beradab)".
Surah Al A'raff (7) : ayat 199.

4. Haq
"Dialah Allah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan yang dibuat panggungnya dan yang tidak dibuat, menciptakan kurma dan tumbuh-tumbuhan yang beraneka rasanya, zaitun dan buah delima yang hampir-hampir bersamaan bentuknya dan yang tidak bersamaan. Makanlah sebahagian daripada buahnya apabila dia berbuah dan berikan haqnya (zakatnya) dihari dia dituai dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan".
Surah Al An'am (6) : ayat 141.

Terdapat juga beberapa istilah lain yang perbuatannya menyamai memberi zakat sunnat itu seperti Bantuan dan Hadiah, kepada orang yang memerlukan. Berkenaan mengeluarkan zakat sunnat ini, Allah swt. memberi peringatan supaya berlaku ma'aruf (baik), tidak mengungkit, memberikan barang yang baik serta mengikhlaskan diri benar-benar kepada Allah swt. Firman Allah swt. di dalam Al Quran ul Kabiir,

"(berinfaqlah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah, mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafqahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 273.

dan, firmanNya lagi,
"hai orang-orang yang beriman, nafqahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu pilih yang buruk-buruk lalu kamu nafqahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 267.

dan, firmanNya lagi,
"hai orang-orang beriman, janganlah kamu hilangkan (pahala) sadaqahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan sipenerima), seperti orang yang menafqahkan hartanya karena riya' (menunjuk-nunjuk) kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. ...........".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 264.

Kenapa Keluarkan Zakat
Hakikatnya 2 pokok Islam yaitu sholat dan zakat adalah amat berdampingan. Tidak kurang dari 28 kali di dalam Al Qur'an ul Kabiir, Allah swt. menyebut sholat secara beriringan dengan zakat. Zakat adalah yang paling utama dalam hal harta manakala sholat adalah yang paling utama dalam hal badaniyah. Oleh itu WAJIBnya zakat ini adalah seiring sholat dan tiada kelonggaran sama sekali dalam melaksanakannya.

Hukum Orang Senghaja Tidak Keluarkan Zakat
Adalah disepakati oleh para ulama' salaf dan khalaf bahawa "sesiapa mengingkari hukum mengeluarkan zakat, ya'ni mengingkari wajibnya ia, maka dia dihukumi kufur dan terkeluar dari Islam'. Wajib dia diperangi sehingga dia kembali bertaubat, kembali menerima peraturan Allah Swt. dan rasulNya Saw.

Kebaikan Keluarkan Zakat
Zakat diharapkan akan mendatangkan kesuburan pahala, karena itulah ia memberi maksud kepada "harta yang dikeluarkan". Zakat merupakan satu penyerahan jiwa yang tulus suci kepada Allah swt. yang mahu bebas dari rasa kedekut dan dosa. Kesediaan mengeluar zakat adalah lambang ketaatan, kekuatan iman dan taqwa kepada perintah Allah Swt. dan tuntutan sunnah RasulNya.

Menginsafi diri ke atas kesusahan ummat Islam lain yang di dalam kemudharatan atau ditimpa musibah atau bencana. Menyalurkan sebahagian harta yang ada dan yang termampu, diberikan untuk menyambung hidup mereka, tanpa niat lain selain atas dasar ikhlas, tulus hati dan taqwa kepada Allah swt. jua.

Orang Yang Wajib Mengeluarkan Zakat
1. Sesiapa sahaja yang memiliki atau mempunyai apa-apa jua Maal (harta) dari jenis yang kena dizakatkan apabila cukup haul (tahun), qaul (jumlah) dan semasa perolehannya.
2. Bagi zakat nafs (fitrah), semua orang Islam yang hidup sepanjang bulan Ramadhan sehingga menempuhi 1 Syawal (bermula dari maghrib sehingga selesai Solat I'edul Fitri). Ini termasuk juga bayi-bayi yang belum dizahirkan yaitu masih dalam kandungan ibu - hal ini adalah sunnat sahaja mengikut imam Ahmad bin Hanbal rh. (Mazahib ul Arba'ah, Jilid 4 : 171) dan saya amat menggalakkan perkara ini dipatuhi, kerana kebaikannya.

Dasar Pengiraan Pengeluaran Zakat
1. Zakat Maal tertakluk kepada haul (tahun), qaul (jumlah) dan semasa perolehannya. Imam Al Abdari rh. dalam menghuraikan perkara ini serta menghuraikan ayat 141, Surah Al An'am (6) mengatakan:

"Harta-harta zakat ada 2 macam : pertama yang berwatak subur seperti biji-bijian dan buah-buahan, Maka bahagian ini wajib dikenakan zakat semasa dia telah berwujud (semasa perolehan). Kedua, yang diharap atau ditunggu-tunggu kesuburannya, seperti wang dirham, wang dinar dan barang dagangan. harta bahagian ini haruslah cukuplah setahun kita miliki (juga setelah jumlah yang cukup), demikianlah pendapat seluruh ahli fiqh".

2. Zakat Fitrah dikenakan mengikut kadar 1 gantang makanan ruji (asas) sesuatu tempat bagi setiap orang yang dikenakan zakat tersebut. Atau, kadar 1 gantang makanan ruji ini boleh ditukarkan kepada bentuk matawang yang sama nilai dengan harga satu gantang tersebut pada masa itu.

Orang yang Layak Menerima Zakat (Asnaf)
Orang-orang yang layak menerima zakat ini adalah sama bagi Zakat Harta dan Zakat Fitrah. Mereka terdiri daripada 8 golongan yang difirmankan oleh Allah swt. di dalam Al Quran ul Haaq,

"sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Surah At Taubah (9) : ayat 60.

Al imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. dalam kitabnya Tafsiirul Qur aanil A'zhiim, Jilid 4 : halaman 150-151, beliau menegaskan bahwa: Orang fakir adalah orang memerlukan tetapi sakit tidak bekerja dan tak mampu memenuhi keperluannya, Orang miskin adalah orang yang memerlukan, sihat dan bekerja tetapi masih tak mampu memenuhi keperluannya.

Orang-orang fakir adalah didahulukan untuk menerima zakat berbanding kelompok-kelompok lain kerana mereka lebih memerlukan. Dan, zakat itu tidak dihalalkan bagi orang kaya dan orang yang memiliki kekuatan (mampu mencari penghasilan).

Orang yang berhutang yang boleh diberi bahagian zakat adalah Orang yang mempunyai tanggungan denda atau hutang yang harus dipenuhi, sedangkan untuk memenuhinya ia harus mengguna habis hartanya atau, ia harus berhutang kepada orang lain, atau berhutang dan melakukan kema'siatan lalu ia bertaubat.

Seterusnya Beliau menegaskan, sesungguhnya meminta-minta (zakat) itu tidak diperbolehkan kecuali satu dari 3 macam orang; seseorang yang memiliki tanggungan, maka ia diperbolehkan meminta-minta hinga ia dapat hidup dengan normal, lalu ia menghentikan pekerjaan meminta-mintanya itu. Seseorang yang terkena musibah besar yang memusnahkan kekayaannya, maka diperbolehkan kepadanya meminta-minta sehingga ia dapat hidup dengan normal (memperolehi tempat bergantung hidup). Dan seseorang yang ditimpa kefakiran hingga ada 3 orang beraqal dari kaumnya yang menjadi saksi atas kefakirannya, maka ia diperbolehkan meminta-minta hingga ia boleh hidup normal. Hasil meminta-minta yang bukan dari ketiga macam orang ini adalah harta haram dimakan oleh orang tersebut. - Moga restu dan rahmat Allah Swt. sentiasa bersama Beliau.

Akhiirul Kalaam
Demikianlah penerangan ringkas mengenai zakat (maal dan nafs) secara umum. Amat sedikit sebenarnya perbincangan ini berbanding ilmu Allah Swt, yang Maha Luas. Moga hasil usaha amat sedikit ini boleh jua memberi manfaat, meningkatkan ilmiah serta iltizam rakan-rakan, untuk menjadi Muslim yang sejati.

B. ZAKAT FITRAH (bersambung)

Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

Wallahua’lam.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam



Soalan 2

Subject: Zakat Fitrah : Bahagian 1

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Orang Yang Wajib Mengeluarkan Zakat
1. Sesiapa sahaja yang memiliki atau mempunyai apa-apa jua Maal (harta) dari jenis yang kena dizakatkan apabila cukup haul (tahun), qaul (jumlah) dan semasa perolehannya.
2. Bagi zakat nafs (fitrah), semua orang Islam yang hidup sehingga melepasi waqtu Solat I'edul Fitri. Ini termasuk juga bayi-bayi yang belum dizahirkan yaitu masih dalam kandungan ibu.

Tuan Haji....! saya ingin bertanya sedikit kepada anta tentang tajuk diatas ini pada jawapan no 2.

Soalan saya begini, bukan kah bayaran (fitrah) yang dibayar setelah selesai solat  I'edul Fitri, ianya dikira sedekah biasa, bukan lagi dikira zakat fitrah.

Mohon maaf jika saya yang tersalah.

سكين
والسلام


Subject: Zakat Fitrah : Bahagian 1

Wassalam,

Betul, zakat fitrah yang dibayar selepas solat i'ed adalah menjadi sedekah biasa. Ada hadisnya. Akan saya nyatakan nanti dalam sambungan artikel ini.

Wassalam.

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: