Isnin, 14 Mac 2011

Siri Kuliah : Wasiat Rasulullah (bahagian 1)

0 ulasan
Segala puji bagi Allah swt., Pencipta Sekelian Alam. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du. Moga semua para sahabat dalam limpahan rahmah Allah SWT sentiasa.


Disertakan ringkasan kuliah di Taman Kijang, Kulim untuk renungan dan ilmiah kita bersama.

Wasiat Rasulullah


Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW - disampaikan pada hari wuquf, Jumaat 9 Zulhijjah Tahun 10 selepas hijrah di Lembah Uranah, Padang Arafah. Dalam manasik haji dan umrah terakhir Rasulullah. Ini adalah Haji Akbar (besar). Juga dikenali Haji Wadaa’ (Haji Perpisahan).



السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم



Firman Allah Subhaanahu Wa Taala :

‘Pada hari ini, telah Kusempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Kucukupkan kepada kamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu menjadi agama bagi kamu”.

Al Qur’an, Surah Al Maidah (5) : sebahagian ayat 3



Dari Abu Najih Al Irbadh bin Sariyah, dia berkata :

‘Rasulullah memberikan nasihat kepada kami dengan nasihat yang dapat menggetarkan hati dan membuat airmata berlinang. Kemudian kami berkata ‘Wahai Rasulullah, ini seolah-olah nasihat perpisahan, wasiatkanlah kepada kami!. Rasulullah lalu bersabda ‘Aku wasiatkan kepada kamu untuk bertaqwa kepada Allah, mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba. Sesungguhnya orang yang hidup dari kamu akan melihat perselisihan yang sangat banyak, hendaknya kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah khulafa ur rasyidin. Gigitlah ia dengan gigi taring. Jauhilah oleh kamu akan bid’ah (perkara baru dibuat-buat dalam agama) kerana setiap bid’ah itu adalah sesat”.

Hadis sahih riwayat Imam Ahmad, Imam Abu Dawud, Imam Tarmizi dan Imam Ibnu Majah rh.



‘Amma ba’du, sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah kalam Allah, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, dan seburuk-buruk perkara adalah perkara baru yang diada-adakan, dan setiap bid’ah itu adalah sesat.

Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.



Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.



Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.



Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.



Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.



Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.



Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.



Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.



Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.



Wahai manusia, dengarkanlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.



Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.



Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.



Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata ku yang telah aku sampaikan kepada kamu.



Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnah ku.



Hendaknya orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.



Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah ku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu.



--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sedikit ulangsorot Haji Wadaa’



Ini adalah manasik haji paling lengkap yang dibuat Rasulullah SAW dan menjadi contoh penuh kepada amalan ummat Islam. Baginda berangkat dari Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulqaedah bersama sekalian isterinya serta para sahabatnya seramai kira-kira 90,000 orang. Rombongan Baginda sampai di Makkah pada Ahad, 4 Zulhijjah. Baginda kemudian memasuki Masjidil Haram lalu tawaf 7 kali, solat sunnat 2 rakaat dibelakang Maqam Ibrahim, meminum air zamzam dan terus sai’e diantara bukit Safa dan Marwah 7 kali, setelah itu bertahalul. Ini adalah perlaksanaan haji Tamatu’ (bersenang-senang).



Pada 8 Zulhijjah, Baginda berihram semula, berangkat ke Mina dan bermalam (mabit – amalan ini sekarang disebut Hari Tarwiyyah). Esoknya, selepas masuk waqtu Zuhur, Baginda memasuki Lembah Uranah dan bersolat jama’ taqdim dan qasar berjamaah (Zuhur dan Asar) seterusnya menyampaikan Khutbah Arafah. Setelah masuk waqtu Asar, Baginda Baginda memasuki Jabal Rahmah (bukit rahmat) untuk berkhalwat dan bermunajat kepada Allah SWT. Selepas masuk waqtu Maghrib, Baginda bertolak ke Muzdalifah, mengerjakan solat jama’ ta’khir dan qasar (Maghrib dan Isya’) disitu dan bermalam (mabit). Selepas mengerjakan Solat Subuh, Baginda terus bergerak ke Mina, melontar jamratul aqabah (disebut juga jamratul uwla/akbar) seterusnya bertahalul awal dan menyembelih hadyu (binatang korban).



Satu hal yang saya mahu sentuh disini adalah tentang amalan Hari Tarwiyyah yang jelasnya tidak lagi diamalkan oleh jamaah Malaysia. Sedangkan amalan ini adalah sunnah Rasul SAW dan tidak pernah ditinggalkan oleh para sahabat dan salafus soleh (generasi dalam 3 kurun selepas wafat Rasulullah). Alasan utama ia ditinggalkan adalah kerana hukumnya sunnat. Realitinya, begitu banyak amalan dan doa-doa yang disuruh-suruh para jamaah melakukannya, malah kekadang memeningkan kepala pakcik makcik untuk mengingat dan menghafal atas alasan ia sunnat, kalaupun sumber kepada amalan sebegitu amat kabur sebenarnya. Adalah pelik, memberikan tumpuan kepada amalan sunnat yang kabur dasar ini sedangkan, meninggalkan amal perbuatan sahih Rasulullah sendiri. Dan janganlah pula dihalang orang yang berhasrat membuat Hari Tarwiyyah itu dengan kata-kata dan perilaku yang kurang baik. Diharapkan, pihak sepatutnya dapat mempertimbangkan hal ini dan, mudah-mudahan para dhuyufullah, bakal-bakal haji dan hajjah negara kita akan dapat melengkapkan manasik haji sepertimana dicontohkan oleh Rasulullah. InsyaAllah.



Tafsir Al Qur’an, Surah Al Maidah (5) : sebahagian ayat 3. Baik kiranya kita memahami ayat ini berdasarkan catatan para ulama’ mufassirin muktabar yang barangtentu memaknainya secara tepat berbanding kita-kita yang muta’khirin ini, yang antaranya :-



Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rohimahullah (700H-774H), menafsirkannya :

‘Ini merupakan nikmat Allah terbesar yang diberikan kepada ummat ini, tatkala Allah, menyempurnakan agama mereka sehingga mereka tidak memerlukan agama yang lain, dan tidak pula nabi lain selain dari nabi mereka, Muhammad SAW. Oleh kerana itu, Allah SWT menjadikan baginda sebagai penutup segala nabi dan mengutusnya kepada seluruh manusia dan jin sehingga tidak ada yang halal melainkan yang baginda halalkan, tidak ada yang haram kecuali yang diharamkannya, dan tidak ada agama kecuali yang disyariatkannya. Semua yang dikabarkannya adalah hak, benar dan tidak ada kebohongan serta tidak ada pertentangan sama sekali’.



‘Ali bin Abi Talhah berkata dari Ibnu Abbas : maksudnya adalah islam. Allah SWT telah mengkabarkan NabiNya dan orang-orang beriman bahawa Allah telah menyempurnakan keimanan kepada mereka sehingga mereka tidak memerlukan penambahan sama sekali. Dan Allah SWT telah menyempurnakan Islam sehingga Allah tidak akan pernah menguranginya, bahkan Allah telah meredhainya, Allah tidak akan memurkainya, selamanya’.

(Tafsiirul Qur’an ul Adzim, Ibnu Katsir. Jilid 3 : ms 18-19)    



Pusaka Tinggalan Rasulullah : Nikmat yang lengkap sempurna iaitu agama samawi (wahyu Allah SWT) dan maha suci, al Islam yang terbentuk padanya :-



A.      Iman (aqidah dan tauhid kepada Allah) – rububiyah, uluhiyah, asma’ wa sifat.

B.      Ibadah (peraturan syari’at berdasarkan Al Qur’an dan As Sunnah) – ibadat, muamalat, jinayat, faraidh, munakahat.

C.      Ihsan (taqwa, tawaddhuk, taqarrub diri kepada Allah SWT dan segala perintahnya serta akur dan taat kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW)



Dari Abu Hurairah rhu. : Pada suatu hari ketika Nabi SAW duduk bersama sahabat, tiba-tiba datang seseorang bertanya : Apakah iman? Jawab nabi “Iman adalah percaya kepada Allah dan malaikatNya, dan akan berhadapan kepada Allah, dan pada nabi utusanNya, dan percaya pada hari bangkit dari kubur. Lalu ditanya lagi apakah Islam? Jawab nabi SAW ‘ Islam adalah menyembah Allah dan tidak mempersekutukannya dengan sesuatu apa pun, dan mendirikan solat. Lalu ditanya lagi, apakah ihsan? Jawab nabi SAW ‘ihsan ialah menyembah kepada Allah seakan-akan kamu melihatnya, ketahuilah bahawa Allah melihatmu. Lalu orang itu bertanya lagi, Bilakah hari qiamat? Jawab nabi SAW ‘orang yang ditanya tidak lebih mengetahui dari orang yang bertanya, tetapi saya memberitakan kepadamu beberapa tanda akan tibanya hari qiamat yaitu budak sahaya telah melahirkan majikannya, dan jika penggembala unta dan binatang ternak lainnya telah berlumba membangunkan gedung-gedung, termasuk dalam lima macam yang tidak dapat mengetahuinya melainkan Allah, seperti yang disebut di dalam ayat :

“sesunguhnya hanya Allah yang mengetahui, bilakah hari qiamat, dan dia pula yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang didalam rahim ibu, dan tiada seorang pun yang tahu apa yang akan terjadi esok hari, dan tidak seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah maha mengetahui sedalam-dalamnya”,

Surah Luqman (31) : ayat 4.

Kemudian pergilah orang itu. Lalu Nabi SAW menyuruh sahabat : Kembalikan orang itu. Tetapi sahabat tidak melihat bekas orang itupun. Maka Nabi SAW bersabda : Itu malaikat Jibril, datang untuk mengajar agama kepada manusia’.

Hadis sahih mutafaqun alaihi (Kitab Al Lu’lu’ Wal Marjan, No. 5)



Baginda sangat berpesan kepada ummat Islam supaya mengelakkan amal perbuatan bid’ah kerana ia amat buruk dan terlarang yang natijahnya, akan merosakkan dan mencemarkan kesucian agama Islam yang telah lengkap sempurna, dari segala macam penambahan dan kepalsuan. Bid’ah yang dimaksudkan ini adalah sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Musa Al Syatibi rohimahullah (730H-790H) iaitu ‘Jalan yang direka di dalam agama, menyerupai syariat, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT’. Inilah bid’ah yang diharamkan di dalam Islam. Kitab Al I’tisom, halaman 27.



Ketegasan menolak bid’ah ini diperlakukan juga oleh para imam mujtahidin antaranya Imam Muhammad bin Idris Asy Syafi’i rohimahullah (150H-204H) yang menegaskan ‘Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat sahih disisi ulama hadis daripada Nabi SAW yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati’. Kata-kata emas beliau ini diriwayatkan oleh imam Al Hafiz Ibnu Qayyim Al Jauziyyah (691H-751H) dalam ‘Ilam Al Muwaqi’in, Jilid 2 : halaman 226.    



Baginda menuntut kepada ummat islam untuk berpegang teguh kepada Kitabullah dan Sunnah Baginda. Kunci kepada semua ini adalah kemantapan dan kesucian ilmu bagi memahami apa itu bid’ah sebenarnya, membuang semua kebatilan dan menolaknya jauh-jauh dari hidup kita. Untuk mencapai matlamat itu, ia hanya boleh diperolehi menerusi qaedah ilmu yang Baginda tetapkan. Dengan cara itulah sahaja, akan mampu mengelakkan kecelaruan fahaman dan pengambilan sumber ilmu secara silap dan palsu. Sesungguhnya junjungan mulia Nabi SAW telah pun menetapkan qaedah ilmu dan hukum itu sepertimana hadis ini,



Sabda Rasul SAW kepada Muaz bin Jabal rhu,

‘Bagaimanakah kamu akan memutuskan sesuatu perkara yang dihadapkan kepada kamu?, Muadz menjawab ‘akan saya hukumi dengan kitab Allah’, Nabi bersabda ‘sekiranya hukum itu tidak terdapat dalam kitab Allah?, Muadz menjawab ‘dengan sunnah Rasulullah’, Nabi bersabda ‘Dan bila tidak terdapat dalam sunnah Rasulullah’, Muadz menjawab ‘saya akan berijtihad mencari jalan penyelesaian’ dan saya tidak akan berputus asa’, Rasulullah menepuk dadanya (kerana bergembira) dan bersabda ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq kepada utusan Rasulullah, sesuai dengan apa yang diredhai oleh Rasulullah’

Hadis sahih riwayat imam Ahmad, imam Abu Daud, imam Tarmizi, imam Darimi dan imam Baihaqi rh.



Begitulah qaedah yang diakui Rasulullah untuk menuntut ilmu, memahaminya dan melaksanakan syariat Islam. Juga harus diingat, itulah juga kayu ukur (yardstick/parameter) kepada benar atau salah, bid’ah atau sunnah dan haq atau palsu dalam semua bentuk amal ibadat yang telah kita buat seumur hidup kita. Marilah kita merenung sejenak ke dalam diri kita, berdasarkan rasa iman dan taqwa, adakah amal perbuatan kita selama ini mengikut kayu ukur yang ditetapkan oleh Rasulullah itu? Jika tidak, bagaimana pula kita sebegitu yaqin bahawa apa yang kita buat selama ini adalah benar belaka ataupun, kita sememangnya tak pernah ambil tahu.



Disinilah wujudnya qaedah yang ketiga iaitu al Ijtihad apabila tiadanya dalil qat'ie dari Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya. Berhati-hatilah dalam pengambilan sumber ilmu dan hukum, agar tidak kita meletakkan ijtihad, pendapat, kata-kata dan fatwa-fatwa waima dari sesiapa manusia mana pun ditahap lebih tinggi, diberi keutamaan dan ditaati tanpa soal, sedangkan Allah dan Rasul-Nya telah pun menetapkan urusanNya dalam perkara itu. Dan, untuk merealisasikan qaedah ilmu ini, tiada lain lagi wajiblah kita berterusan menuntut ilmu mengikut jalan yang benar dan sahihah sepertimana yang ditetapkan oleh Rasul SAW itu, tanpa henti dan tanpa jemu.



Secara bahasa ijtihad bermaksud bersungguh-sungguh mengerahkan usaha untuk sampai ke satu perkara yang susah. Dari sudut istilah syara’ ia bermaksud bersunguh-sungguh mengerahkan usaha untuk sampai ke satu hukum syara’. Ia dilakukan menurut syarat-syarat yang antara lain :

1.   Mengetahui dalil-dalil syara’ – ayat-ayat hukum dan hadis-hadis hukum sahihah

2.   Mengetahui berkenaan sebab kesahihan dan dan kedhaifan hadis

3.   Mengenai perihal Nasikh (yang memansuhkan) dan Mansukh (yang dimansuhkan) supaya tidak tersilap memilih atau menyelahi ijma’ ulama dan fuqaha terdahulu

4.   Mengenai dalil-dalil yang mengubah hukum seperti pengkhususan (takhsis) dan perkaitan (taqyid) supaya tidak menghukum menyalahi hal itu

Rujukan : Syeikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin, Usul Al Fiqh : Al Usul Min Ilmu Al Usul, halaman 130.



Yang kita fahami sekarang iaitu Ijma’ dan qiyas adalah qaedah dalam melaksanakan ijtihad itu. Ijma’ bermaksud persetujuan para mujtahid umat ini selepas wafat Rasul SAW terhadap sesuatu hukum syara’. Manakala qiyas bermaksud menyamakan cabang (perkara yang diqiyaskan) dengan asal (yang diqiyaskan kepadanya) dalam hukum berdasarkan sebab yang merangkumi kedua-duanya.    

Syeikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin, Usul Al Fiqh : Al Usul Min Ilmu Al Usul, halaman 99 dan 104.



Demikianlah qaedah berilmu dan berhukum yang telah ditetapkan oleh Rasul SAW. Marilah kita berpegang kepadanya. Demikian itu jugalah wasiat Rasul SAW kepada kita.



Saya mengucapkan tahniah dan rasa penghargaan amat besar ke atas seluruh penduduk taman ini kerana berjaya membina dan menggerakkan surau ini atas kesungguhan dan kerjasama penuh jerih perih untuk membina surau ini secara sendiri. Amat sukar benar di zaman ini untuk menemui keadaan seperti ini lagi di saat orang biasanya suka mengharapkan bantuan sahaja. Moga-moga segala usaha tuan-puan akan diberkati Allah SWT dan surau ini akan menjadi amat makmur dalam perlaksanaan perintah Allah dan Rasul serta menjadi pusat pengembangan ilmu, dengan penuh limpah rahmatNya. Amin.



Wallahu a’lam...bersambung


Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: