Khamis, 31 Mac 2011

Ilmu Faraaid/Warisan : Kuliah Asas Siri 4

0 ulasan
Subject: Ilmu Faraid/Warisan : Kuliah 4

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah Swt. Salawat dan Salaam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan salafus soleh.

Mengikut perencanaan saya, artikel kali ini adalah siri akhir kuliah pengenalan dan asas-asas ilmu faraid dalam Islam. Mudah-mudahan siri-siri terdahulu telah pun dibaca dan diulangkaji oleh rakan-rakan. Kepada rakan-rakan yang terlepas kuliah faraid ini dahulu, moga penulisan serba ringkas ini telah membantu. Sekiranya ada yang berasa khuatir dan was-was atas sesuatu yang kurang difahami, boleh rujuk kembali kepada saya didalam kuliah-kuliah lain, atau boleh juga kepada ustaz-ustaz lain supaya mendapat penjelasan. Lebih ramai lagi yang jauh berkelayakan dan hebat berbanding saya disekeliling kita ini. Islam ini milik Allah Swt. dan dicontohkan oleh RasulNya. Kita yang  serba kekurangan ini hanya mampu menyampaikan sekadar yang Allah Swt. izinkan sahaja. Apa yang tidak kita ketahui, diketahui pula oleh orang lain, begitulah sebaliknya.

Kaedah Pengiraan Pembahagian Harta Pusaka
Pembahagian harta pusaka kepada Waris yang berhak, adalah mengikut sistem pengiraan tertentu. Dalam bab ini saya akan mengemukakan sistem pengiraan pembahagian harta pusaka berdasarkan kadar hak masing-masing Waris mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh Al Qur’an ul Haaq. Ini adalah model ringkas yang sangat asas sebagai pedoman dan pengenalan. Kadar atau nilai hak warisan yang akan diterima oleh para Waris adalah merujuk kepada ayat-ayat Al Quran sendiri iaitu :-

"Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu, bahagian seorang anak laki-laki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh seperdua (dari) harta (yang ditinggalkannya). Dan untuk dua orang ibu-bapak bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapaknya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa diantara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
Surah An Nisa’ (4) : ayat 11.

Dari ayat ini, hukum pembahagian hak warisan yang dikenalpasti dan telah ditetapkan adalah :

a.      Anak lelaki mendapat 2 bahagian, anak perempuan 1 bahagian
b.      Jika anak perempuan seorang, dia mendapat 1/2
c.      Jika anak perempuan 2 orang atau lebih lebih, mereka berkongsi 2/3
d.      Jika Simati mempunyai anak, ibubapanya masing-masing mendapat 1/6
e.      Jika Simati tiada anak, ibu mendapat 1/3 dan bapa bakinya 2/3
f.       Jika Simati tiada anak dan ayah, ibunya mendapat 1/6 dan bakinya dikongsi oleh adik beradiknya (lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian).
g.      Pembahagian faraid dibuat setelah menyelesaikan wasiyat dan membayar hutang Simati

Dalam satu ayat Allah Swt. lagi,
"Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki maupun perempuan, yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun".
Surah An Nisa’ (4) : ayat 12.

Dari ayat ini, hukum pembahagian hak warisan yang dikenalpasti dan telah ditetapkan adalah :
a.      Isteri mati tanpa anak, suami mendapat ½
b.      Isteri mati ada anak, suami mendapat ¼
c.      Pembahagian dibuat setelah menunaikan wasiyat dan membayar hutangnya
d.      Suami mati tanpa anak, isteri mendapat ¼
e.      Suami mati ada anak, isteri mendapat 1/8
f.       Pembahagian dibuat setelah menunaikan wasiyat dan membayar hutangnya
g.      Perempuan mati tanpa ibu bapa dan anak, sekiranya dia hanya ada seorang saudara lelaki seibu ataupun seorang saudara perempuan seibu, mereka itu akan mendapat 1/6. Sekiranya para saudara itu lebih dari 1 orang, mereka berkongsi keseluruhan 1/3.
h.      Pembahagian dibuat setelah menunaikan wasiyat dan membayar hutangnya.

Bagi pemahaman lanjut, dikemukakan satu kes contoh, begini :-

Seorang lelaki mati meninggalkan 1 isteri, 3 anak (1 lelaki dan 2 perempuan), ibu dan bapa serta saudara (lelaki dan perempuan).

Hak Warisan Asas, berdasarkan keterangan dan dalil seperti yang telah dinyatakan :
a.      Ayah (1/6 bahagian), ibu (1/6 bahagian) dan isteri (1/8 bahagian). Mereka merupakan Ashabul Furudh yang mesti mendapat bahagian dari warisan. Mereka tidak mendapat bahagian lebih besar kerana adanya anak lelaki.
b.      Semua anak-anak adalah Asabah dan mendapat baki dari pembahagian kepada Datuk, Nenek dan Ibu. Mereka juga mesti mendapat bahagian dari warisan.
c.      Saudara lelaki dan perempuan adalah waris Dzawil Arham. Dalam kes ini, hak warisan mereka telah terhalang (Mahjub) kerana adanya Datuk dan Anak Lelaki (menjadi Hijab)

Pengiraan pembahagian boleh dibuat menerusi 2 kaedah iaitu ;

A. Kaedah 1 : Peratusan, setiap Waris mendapat % berdasarkan hak masing-masing.

1.      Ayah    -  1/6 x 100 = 16.66 %
2.      Ibu       -  1/6 x 100 = 16.66 %                  Semua = 45.82 %
3.      Isteri    -  1/8 x 100 = 12.50 %

Anak-anak mendapat semua baki 54.18 %, anak lelaki 2 bahagian berbanding dengan anak perempuan 1 bahagian.

1.     Anak lelaki A                     =  27.09 %      
2.      Anak perempuan A           =  13.545 %     Semua = 54.18 %
3.      Anak perempuan B           =  13.545 %                 ----------------
= 100.00 %

Kaeadah peratusan ini mudah dibuat, akan tetapi boleh terjadi sukar mendapatkan nilai tepat berikutan akan melibatkan banyak angka perpuluhan bagi kes-kes ramai Waris.
 
B. Kaedah Angka Bawah Setara, satu angka bawah bulat yang nilainya boleh dikongsi sama oleh semua nilai hak Waris. Kaedah ini melibatkan kiraan pecahbahagi mengikut formula matematik.   

1.      Ayah    -  1/6         =          16 / 96
2.       Ibu       -  1/6        =          16 / 96             Semua = 44 / 96
3.      Isteri    -  1/8         =          12 / 96

Anak-anak mendapat semua baki 52 / 96, dengan anak lelaki 2 bahagian berbanding dengan anak perempuan 1 bahagian.

1.     Anak lelaki                         =  26   
2.      Anak perempuan A           =  13                Semua = 52 / 96
3.      Anak perempuan B           =  13                            ----------------
= 96 / 96

Kaedah ini lebih mudah untuk difahami hasilnya oleh orang awam memandangkan ia menggunakan angka bulat. Namun, amalan pengiraan ini hanya boleh dibuat oleh orang yang berkebolehan matematik. Selain itu, angka bulat juga boleh menjadi sangat besar apabila melibatkan kes yang ramai Waris dengan berbagai nilai hak.

Dalam amalan biasa, Kaedah Angka Bawah Setara ini paling meluas digunapakai. Nota : istilah yang digunapakai ini mungkin berbeza dengan kitab-kitab lain.

Ringkasan Isu Semasa Dalam Pembahagian Warisan
Kebelakangan ini, terdengar berbagai isu berkenaan pembahagian harta pusaka. Ini termasuk juga, beberapa kes popular di dada-dada akhbar. Kesimpulan ringkas dari penelitian ke atas isu-isu yang berlaku itu adalah berpunca daripada :-

A.            Kurang Faham Hukum Hakam Faraid/Warisan – Banyak sekali manusia yang tidak tahu atau mungkin tidak ambil pusing hal faraid ini. Mereka hanya memberi perhatian apabila keadaan menjadikan mereka terlibat. Di saat itu timbullah berbagai pandangan dan hasrat sama ada terserlah atau tersembunyi. Selalunya mereka berharap mendapat lebih bahagian dan kerana itu, mereka menuntut itu ini dan menciptakan berbagai dalil untuk memberi kelebihan kepada diri mereka sendiri. Walhal, nilai hak setiap Waris telah pun ditentukan secara tetap di dalam Islam. Apabila mereka tidak mendapat seperti yang dihajati, sistem Islam itu dituduh sebagai tidak adil.

B.            Waris Sukar Bersatu Hati – Ini adalah salah satu lagi faktor utama yang menyukarkan pengurusan dan pembahagian warisan. Kategori waris ini berbagai, ada yang terlalu mendesak, ada yang tak ambil kisah, ada yang tak mahu bekerjasama dan ada yang jauh (luar negara misalnya) dan menyukarkan pengurusan. Kerana itu, banyak kes tertangguh lama tanpa dapat diselesaikan. Satu lagi masalah besar adalah sikap saling tidak mempercayai antara Waris, dan tidak kurang juga yang bersikap memang nak membolot.

C.            Tidak Faham Proses Dan Prosedur Pembahagian – Ramai yang tak faham proses dan prosedur pembahagian sebenarnya menjadikan mereka bersikap ambil mudah. Walhal proses tertentu mesti dilalui seperti ke Pejabat Tanah, Mahkamah Syariah atau mahkamah awam. Ramai yang tidak dapat peruntukkan sedikit masa, tenaga dan kos serta bersabar bagi mengikuti semua proses dan prosedur itu. Namun begitu, sekarang ini boleh gunakan firma guaman atau firma pengurusan bertauliah.

D.            Memang Ada Hasrat Kurang Baik – Ini menjadi seperti duri dalam daging dalam kes pembahagian warisan dan juga menjadi punca perbalahan dalam keluarga sehingga boleh meruntuhkannya. Panjang kisahnya untuk dinukilkan disini. Secara mudah, saya menyeru rujuklah semua kes ke mahkamah syariah secara langsung atau menerusi firma guaman supaya keadilan dapat ditegakkan. Boleh juga dapatkan khidmat hakam/orang tengah berwibawa dan dipercayai dalam kes-kes yang memerlukan.

E.            Sedia Ada Krisis Dan Ketidakadilan Dalam Keluarga – Ini adalah satu masalah berlarutan dalam keluarga yang mengganggu gugat proses pembahagian warisan, juga menjadikannya berserabut. Antara pengalaman yang dialami adalah, wujudnya beza membeza layanan ke terhadap anak cucu. Ada kalangan anak yang membawa diri atau dikesampingkan dalam berbagai urusan sehingga memporak perandakan dan runtuhnya institusi keluarga. Nyatanya, ketidakadilan telah pun berlaku sejak hidupnya Pewaris lagi. Kepincangan ini terbawa-bawa ke dalam kes pembahagian harta pusaka.

F.            Kes Terlalu Lama Dan Ramai Generasi Waris – Ini juga kes klasik yang menyebabkan sukar sekali penyelesaian dibuat. Pembahagian boleh dibuat tetapi proses pengumpulan dan persetujuan para Waris memang amat masa, kos dan tenaga. Tidak kurang juga, kes tuntut menuntut dari masing-masing yang mengaku Waris dan proses pembuktian menerusi rekod-rekod lama akan mengambil begitu banyak masa dan kos. Ada juga kes Waris yang sah, tetapi tidak dapat dikesan hidup atau mati, seterusnya membantutkan pengurusan pembahagian harta pusaka.

G.           Kes Melibatkan Pihak Ketiga – Perkara begini terjadi dalam kes harta milik perkongsian yang mana, proses penyelesaiannya melibatkan begitu ramai pihak sama ada individu atau syarikat. Seringkali terjadi juga kerumitan disebabkan oleh proses perundangan yang berliku-liku dan berbelit-belit.

Disebabkan perkara-perkara yang dinyatakan ini, terdapat lambakan kes tidak selesai dan nilainya mencecah puluhan bilion ringgit. Ini merupakan suatu pembaziran sumber dan menyusahkan para Waris yang memerlukan. Sebagai rangkuman kepada keadaan itu, adalah diseru kepada semua pihak terlibat, supaya merendah diri dengan membuang segala bentuk kepentingan diri dan lebih berusaha menyelesaikannya.

Pembahagian Harta Semasa Hidup
Pembahagian semasa hidup oleh pemilik harta sendiri merupakan cara terbaik untuk mengatasi kekusutan yang berlaku dalam proses pembahagian harta pusaka. Sesungguhnya Allah Swt. telah berpesan di dalam Al Qur’an ul Jamiil :

‘Diwajibkan atas kamu, apabila seorang diantara kamu didatangi (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibubapa dan karib kerabatnya secara makruf, (ini adalah) kewajiban ke atas orang-orang yang bertaqwa’.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 180

‘Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antaramu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiyat untuk isteri-isterinya,……..’.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 240

Dan sabda Rasulullah Saw :
‘Tidak patut seorang Muslim yang bermalam 2 malam padahal ada padanya sesuatu yang hendak dia wasiyatkan, melainkan hendaklah ada wasiyatnya tertulis dibawah bantalnya’
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh. 

Maha Suci Allah Swt. Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui dan Maha Penetap akan sesuatu, sesungguhnya hidup dan mati itu adalah hak ketentuan Allah Swt. dan ia sentiasa dekat, boleh pada bila-bila masa dan dimana jua. Hikmahnya Allah Swt. berpesan supaya membuat wasiyat di masa hidup lagi adalah bagi mengelakkan kerumitan dan kekusutan sepertimana yang berlaku sekarang. Inilah perkara yang diingkari dan diabaikan oleh ummat manusia yang menyebabkan perkara itu berlaku.

Pembahagian semasa hidup ini boleh dilakukan menerusi beberapa cara, yaitu :-

1.            Wasiyat - beerti iqrar seseorang yang dia buat pada masa hidupnya ke atas harta milikannya untuk disempurnakan, yang dibenarkan menurut hukum syarak selepas dia mati. Wasiyat ini hanya sah bagi tidak lebih dari 1/3 jumlah semua hartanya. Tidak sah wasiyat ini sekiranya penerima adalah ahli Waris yang berhak menerima harta pusaka selepas kematiannya. Oleh itu, yang berhak menerima wasiyat ini adalah orang-orang yang bukan Waris kepada pemilik harta.

2.             Hibah – beerti pemberian atau hadiah hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara rela hati semasa hidupnya. Para Waris berhak menerima hibah daripada Pewaris semasa hidupnya lagi. Menerusi kaedah hibah ini, pemilik harta boleh memecahbahagikan harta miliknya kepada para Waris supaya tidak berlaku sebarang kerumitan selepas kematiannya. Boleh pemberian itu dikuatkuasakan terus semasa pemilik harta masih hidup atau berkuatkuasa setelah pemilik harta meninggal dunia.

Kewajiban pemilik harta dalam membuat wasiyat atau hibah adalah memastikan pembahagian itu benar-benar adil kepada Warisnya. Itulah kunci utama untuk mengelakkan apa jua perbalahan dan pertikaian. Rasulullah Saw. pernah menolak persaksian pemberian harta kerana ia tidak adil sehinggalah keadilan dibuat, sepertimana kisah dalam hadis ini :

‘Adalah an Nu’man bin Basyir bin Saad rhu. berkata : Bahawasanya ayahnya memberinya sebuah pemberian. Maka ummu an Nu’man rha. berkata : Aku tidak redha sehingga Rasulullah Saw. menyaksikannya. Lalu Basyir bin Saad pergi menemui Rasulullah Saw. dan mengkhabarkn kepada Baginda agar menjadi saksi terhadap masalah tersebut. Maka Baginda bertanya : Apakah engkau memiliki anak laki-laki?. Dia menjawab : Ya. Baginda melanjutkan : Apakah engkau memberikan hal yang sama kepada mereka?. Dia menjawab : Tidak. Baginda bersabda : Aku tidak akan menjadi saksi. Carilah saksi lain untuk masalah ini. Aku tidak akan menjadi saksi atas perbuatan zalim. Kemudian Baginda berkata lagi : Bertaqwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anak kalian. Bukankah engkau menginginkan mereka semua memberikan bakti yang sama kepadamu?. Dia menjawab : Ya. Lalu Basyir bin Saad menarik balik hibah yang diberikan kepada an Nu’man’.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Terdapat beberapa kaedah lagi iaitu Waqf, Nafaqah (nafkah), Sadaqah dan Infaq, yang boleh digunakan untuk mengagihkan harta oleh pemilik harta semasa hidup lagi. Namun begitu, cara-cara ini lebih kepada seluruh ummat Muslimin secara umum berbanding kaedah Wasiyat dan Hibah yang menjurus kepada kerabat terhampir dan di kalangan Waris sahaja. Penjelasan terperinci telah dibuat di dalam kuliah tentang kaedah-kaedah pembahagian harta ini, akan tetapi dalam penulisan ini diperincikan kaedah Wasiyat dan Hibah sahaja.        

Aakhirul Kalaam
Seorang hamba yang beriman kepada Allah Swt. dan hari qiamat, tentunya akan tunduk patuh dalam menjalankan ketetapan dari PenciptaNya, dalam apa keadaan pun. Mereka sangat yaqin dan memahami sebenar-benarnya firman Allah Swt. yang telah disampaikan-Nya di dalam Al Qur’an ul Haaq :

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata”.
Surah Al Ahzab (33) : ayat 36.

Oleh karena itu, kita harus berhati-hati sungguh dalam membahagi harta warisan ini. Jangan sampai orang yang berhak untuk mendapatkan hak menurut syariat Islam, kelak diabaikan dan sebaliknya orang tidak berhak pula yang mewarisinya. Tentunya kita tidak akan dapat membahagi harta pusaka ini dengan adil berdasarkan syariat Islam, kecuali jika kita telah mengetahui ilmunya. Oleh karena itu, saya menyeru semua rakan-rakan, hendaklah kita belajar tatacara pembahagian harta pusaka ini seterusnya mengamalkan dalam kehidupan kita. Selanjutnya, hendaklah kita membantu pihak lain yang kurang pengetahuan.

Rasulullah Saw. pernah berpesan :
‘Ilmu itu ada 3 dan selain dari itu semuanya adalah cabang, yaitu (1) Ayat yang tegas, (2) Sunnah yang sahih dan (3) Pembahagian pusaka yang adil’.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. dan imam Ibnu Majah rh.

dan sabda Baginda lagi :
‘Belajarlah Al Qur’an dan ajarkanlah dia kepada manusia, dan belajarlah ilmu Faraid dan ajarkanlah dia kepada manusia, kerana aku sesungguhnya seorang yang akan mati, dan ilmu akan terangkat, dan boleh jadi akan ada 2 orang yang berselisihan, tetapi tak akan mereka bertemu seorang pun yang mengkhabarkan kepada mereka (hukumnya)’
Hadis sahih riwayat imam Ahmad rh. imam Tamizi rh. dan imam Nasaie rh.

dan sabda Baginda lagi :
‘Belajarlah ilmu Faraid dan ajarkanlah dia kepada manusia, kerana ia itu separuh ilmu. Dan ia itu akan dilupakan, dan ia lah ilmu yang pertama yang akan tercabut dari ummatku’.
Hadis riwayat imam Ibnu Majah rh. dan imam Daruquthni rh.

Demikianlah kuliah dan penerangan ringkas berkenaan Ilmu Faraid/Warisan yang dapat saya nukilkan untuk ilmiah dan pengajaran kita bersama. Memang amat sukar juga untuk saya membuat penulisan kerana banyak perkara yang harus diringkaskan secara berhati-hati bagi memastikan maksudnya tercapai disebalik bahasa yang mudah. Tidak sedikit kerisauan di benak saya sendiri sekiranya apa-apa yang saya nukilkan ini tidak tepat dan menimbulkan kekeliruan pula. Jika berlaku keadan ini, saya sangat berbesar kiranya dapat rakan-rakan memaklumkan kepada saya untuk dibuat pembetulan. Sesungguhnya, apa yang dinukilkan ini amat sedikit berbanding ilmu Allah Swt. yang Maha Luas.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

Wallahua’lam.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: