Khamis, 31 Mac 2011

Zakat Fitrah (bahagian 3)

0 ulasan
Subject: Zakat Fitrah : Bahagian 3

Soalan.

Assalamua'laikum semua,

Buat semua rakan-rakan, saya doakan moga Ramadhann kita tahun ini akan lebih baik dari tempoh yang dulu. Begitu juga untuk Ustaz Mad yang banyak memberi bimbingan dan panduan.

Terima kasih banyak-banyak atas penjelasan yang lengkap mengenai zakat fitrah ini. Banyak perkara yang dulu tak pernah tahu ataupun tak diambil tahu kini dah faham. InsyaAllah. Mudahan lepas ni dapatlah kita bersama beramal degan ilmu, bukan pak turut saja.

Saya yang serba daif ini sekadar nak bertanya lebih sedikit, banyak sekali orang menyatakan bahawa anak dalam kandungan wajib dibayar fitrah. Kat sekolah dulu pun diberitahu macam tu. Ada juga orang yang sama macam keterangan Ustaz Mad, bahawa hukumnya sunnat muakkad yang dituntut. Apa cerita yang sebenarnya dalam hal ini. Banyak beza antara wajib dengan sunnat tu.

Harap dapat beri penjelasan sedikit lagi. Mungkin nanti ada rakan-rakan yang perlu membayar dalam tempoh terdekat jadi keliru dengan hal ini.

Sekian. Selamat berpuasa.

Warmest Regards
" Knight Malaysia "


Subject: Zakat Fitrah : Bahagian 3

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah Swt. Salawat dan Salaam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan salafus soleh.

Terima kasih kepada Sdr. Ibrahim kerana mengutarakan hal yang berat nak dijawab ini. Saya akui antara Sunnat dan Wajib itu, Ma’nawi dan A’malinya amat berbeza. Kerana itu, saya gagahi juga membuat rujukan dan bertalaaqi lanjut, biarpun memang mengambil masa yang sedia tak mencukupi ini. InsyaAllah, saya mencuba yang termampu.

Sepanjang pengajian dan fahaman saya juga, dikalangan para guru, rakan dan semua jamaah juga bertentangan pendapat mengenai hal ini. Ia bukan hal baru, malah sudah ribuan tahun. Perbicaraan hal ini terbahagi kepada 2 qaul (golongan) dengan hujah masing-masing. Baik sekali saya nyatakan asas dan pendirian setiap qaul itu, secara ringkas dan tepat, sebagai pedoman kita bersama.

Persoalan bermula dari pemahaman ke atas satu hadis ini, begini :

“dari Abdullah Ibnu Umar rhu. ia berkata : Nabi Saw. mewajibkan zakat fitri atau kataNya zakat Ramadhan bagi tiap-tiap lelaki mahupun perempuan, orang merdeka mahupun budak satu sha’ (gantang) dari kurma atau satu sha’ dari gandum. Kemudian orang-orang menyamakannya dengan setengah sha’ bagi biji gandum. Adalah Ibnu Umar rhu. bila berzakat memberikannya dengan kurma. Kemudian penduduk Madinah kesulitan mendapat kurma akhirnya mereka mengeluarkan gandum. Ibnu Umar rhu. memberikan zakatnya atas nama anak kecil mahupun dewasa hingga atas nama bayi sekalipun dan Ibnu Umar ra. memberikannya kepada orang-orang yang berhak menerimanya dan Dia mengeluarkan zakatnya itu sehari atau 2 hari sebelum (Hari Raya) I’edul Fitr”.
Hadis sohih dari riwayat imam Bukhari rh. No. 1415.

Kedua-dua qaul mensepakati hadis sohih ini. Dalam hadis ini, disebutkan antara yang diwajibkan zakat fitrah adalah anak kecil hingga bayi sekalipun. Perkataan inilah yang menjadi punca perselisihan di kalangan ulamak. Takrifan kepada anak kecil itu telah diperhalusi oleh para fuqaha meliputi :

1.  Sudah zahir (alam nyata/dunia/fana)   2. Masih kandungan ibu (alam rahim)

Manakala, yang masih dalam kandungan ibu (alam rahim) itu terbahagi kepada 2 macam yaitu,

3.  Sudah ber Roh     4. Belum ber Roh

Disepakati kedua-dua qaul bahawa wajibnya zakat fitrah itu ke atas semua manusia Muslim yang hidup pada I Syawal (I’edul Fitr). Yang dikatakan manusia itu pula, adalah yang mempunyai jisim/jasad (badani) dan roh. Tanpa jisim dan roh atau hanya ada salah satu darinya, maka bukanlah ia manusia, dan tidaklah tertakluk dalam wajibnya membayar zakat fitrah itu.

Ketetapan berkenaan Sudah ber Roh atau Belum ber Roh itu didasarkan kepada sabda Rasulullah Saw. dalam sebuah hadis,

“Sesungguhnya kejadian salah seorang kamu dikumpulkan dalam perut ibunya 40 hari, kemudian ia menjadi darah beku seperti itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi sekeping daging seperti itu juga (40 hari), kemudian Allah mengutus kepadanya seorang malaikat, lalu diperintah kepadanya 4 perkara : Rizqinya dan Amalnya dan Ajalnya, kemudian kemudian dicatat dia sebagai orang yang celaka atau yang bahagia, kemudian ditiup roh padanya”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh.

Berdasarkan hadis ini, telah ditetapkan yang pada usia 120 hari, janin dalam rahim ibu telah mempunyai roh, lengkaplah ia sebagai manusia, cuma masih di alam rahim. Dari hadis inilah, diistinbatkan hukum Wajib atau Sunnat itu apabila kandungan mencapai 120 hari atau lebih pada I Syawal (I’edul Fitr). Sebelum 120 hari itu, tidak ada pertikaian ke atasnya, tiada sebarang tuntutan mengeluarkan zakat fitrah, dan adalah ia sadaqah jua sekiranya dikeluarkan.

Kedua-dua qaul juga mensepakati bahawa perbuatan mengeluar zakat ke atas anak kecil masih dalam kandungan (alam rahim) ini pernah diperbuat oleh para sahabat Nabi Saw. berdasarkan riwayat begini,

“dari Abi Qatadah rhu., ia berkata, Bahawa Utsman bin Affan rhu. biasa mengeluarkan zakat fitrah untuk anak kecil, besar dan (anak dalam) kandungan”.
Hadis mauquf riwayat imam Ahmad bin Hanbal rh.

Dan ada lagi satu riwayat,
“dari Abi Qatadah rhu., ia berkata, Adalah mereka (Sahabat-Sahabat Nabi Saw.) suka mengeluarkan zakat fitrah untuk anak kecil, besar, hingga untuk anak dalam kandungan ibunya juga”.
Hadis mauquf riwayat imam Abdurrazaq rh. dalam kitab Al Muhalla, Jilid 6 : 132.

Intipati perbezaan pendapat dan hukum adalah begini,
Qaul 1 : Manusia yang tertakluk dalam hukum wajib itu adalah yang di alam nyata sahaja, maka sekiranya mahu dibayar zakat untuk yang di alam rahim, ia adalah sunnat. Kerana, perintah wajib zakat fitrah oleh Allah Swt. dan contoh perbuatan Rasulullah Saw. sendiri (dalil telah dinyatakan terdahulu) adalah kepada manusia yang hidup di alam nyata.

Kiranya melibatkan manusia dalam kandungan ibu (alam rahim) pasti tentu telah dinyatakan dan dicontohkan oleh Rasulullah Saw. sendiri. Perbuatan para sahabat Nabi Saw. adalah perbuatan amat mulia dan wajar dicontohi, namun tetap juga ia adalah perbuatan sebahagian sahabat dan bukannya ijma’ seluruh sahabat. Maka itu, dari segi hukum tidak ia menjadi Wajib tanpa perintah qati’e (putus) dari Allah Swt. dan RasulNya sendiri. Akan tetapi amal perbuatan itu, amat baik dibuat sepertimana dicontohkan oleh para sahabat.
 
Qaul 2 : Manusia adalah yang berjisim dan roh, lantas ia meliputi di alam nyata mahupun di alam rahim, maka tertakluklah kepada wajib zakat fitrah itu. Wajib itu amat baik kerana hikmah zakat fitrah itu dan kemuliaannya. Perbuatan para sahabat Rasul Saw. membuktikan ia adalah Wajib kerana, tanpa adanya hukum Wajib itu, tentu sekali para sahabat yang barang tentu sangat alim dan wara’, tidak akan berbuat demikian. Ada dikalangan qaul ini menyebut bahawa, mungkin ada perintah dari Rasul Saw. sendiri supaya membayar zakat fitrah anak dalam kandungan tetapi tidak diriwayatkan oleh para sahabat sebagai hadis, kerana itulah ada sahabat yang berbuat zakat fitrah untuk anak dalam kandungan.

Begitulah pendirian kedua-dua qaul itu yang saya cuba ringkaskan dari perbicaraan yang amat panjang lebar sebenarnya. Saya bentangkan untuk pengetahuan dan perkongsian ilmiah dengan rakan-rakan.

Dari segi pendirian saya sendiri, ia bukanlah Wajib dibuat namun hanya adalah sunnat yang dituntut (muakkadah) kerana itulah yang lebih kuat dan qati’e seperti yang dinyatakan oleh Qaul 1. Paling utama, tidak ia menjadi hukum Wajib tanpa perintah qati’e (putus) dari Allah Swt. dan RasulNya sendiri. Dan itulah juga pendirian imam Ahmad bin Hanbal rh. Manakala, 3 imam mazhab lain tidak menyebut tentang hal ini.

Mengenai pandangan Qaul 2 bahawa mungkin terdapat perintah Rasul Saw. tetapi tidak dicatatkan oleh para sahabat, pendapat ini saya tidak bersetuju dengannya kerana :-

1.    Ia adalah bercanggah dengan sifat kerasulan Nabi Muhammad Saw. yang diutuskan kepada semua ummat manusia, bukan untuk sebahagian malah segala pengajaran Baginda adalah secara nyata, bukan tersembunyi.

2.    Amanat terakhir Rasulullah Saw. dalam peristiwa Haji Wada’ menjelaskan bahawa Al Islam yang Baginda sampaikan telah lengkap sempurna seluruhnya dan tiada apa yang kurang dan tersembunyi lagi.

3.    Dan lagi, segala hukum hakam dalam Islam didasarkan kepada dalil yang sohih dan qati’e, bukan sangka-sangkaan atau berasaskan mungkin saja. Jika benar hukum Wajib itu ada, pasti ia ada diriwayatkan dan diamalkan oleh Rasul Saw. sendiri dan diperbuat oleh para sahabatNya sebelum Utsman bin Affan rhu. lagi.

Mudah-mudahan penjelasan saya ini menepati hasrat yang dikehendaki dan memberikan pedoman kepada rakan-rakan semua. Saya amat menggalakkan sekiranya para rakan-rakan ada mempunyai maklumat dan keterangan lain, bolehlah dimajukan ke group email ini untuk kita berkongsisama.

Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

Wallahua’lam.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

Soalan

From: mohdpoziatan@yahoo.com.my
Subject: Zakat Fitrah : Bahagian 3

Terima kasih lah Tn Hj. atas maklumat detail ni.

Sekadar nak tanya sedikit lagi, bagaimana dengan orang yang ramai adik beradik tetapi masih ada ibu bapa sangat tua yang tak mampu membayar untuk diri sendiri. Bagaimana pula dengan anak angkat, kaum keluarga yang tinggal dengan kita atau pembantu rumah yang tinggal dengan kita. Ada kawan saya bertanya.

Sekian.


Jawapan


Selamat bahagia tuan,
Skeptical benar saya bila dikatakan bertanya bagi pihak kawan, sebaiknya baik mengaku sajalah yang, sendiri mau tanya. Janganlah segan-segan.
Anyway, lawak jer.
Maklumbalas saya begini :-

1.    Ibubapa yang tua, jika ada adik beradik yang belum mampu berdikari (mungkin cacat, masih bawah umur dsb) – mana-mana anak yang mampu boleh membayar untuk mereka. Cuma dari segi amalan biasa anak lelaki sulung akan memikul tanggungjawab itu, sekiranya dia tak mampu, bolehlah dibayar oleh anak yang lain. Sebaiknya dibincangkan sesama adik beradik terlebih dahulu.

2.    Anak angkat – yang dah berkemampuan dia boleh bayar sendiri. Yang belum mampu, sebenarnya tanggungan itu jatuh kepada keluarga sebenar dia. Namun, boleh dan lebih baik bapa angkat yang membayar kerana itu adalah sebahagian dari ikat janji tanggungjawab semasa mengambil anak angkat itu. Sekiranya terjadi 2 pihak yang membayar, tak apalah, lebihan itu adalah amal soleh.

3.    Orang yang tinggal bersama termasuk pembantu rumah – Mereka boleh bayar sendiri jika mampu. Hak tanggungan itu jatuh kepada keluarga sebenar mereka sebetulnya. Jika kurang yakin sama ada telah dibayar atau tidak, baiklah tuan rumah yang membayar. Sekiranya terjadi 2 pihak yang membayar, tak apalah, lebihan itu adalah amal soleh.

Ramadhan adalah bulan mulia dan kita ummat Islam digalakkan berbuat amalan soleh. Sekiranya ada kesempatan untuk memperbanyakkan sadaqah dan memberikan rizqi kepada fakir miskin, baiklah kita buat. Mudah-mudahan Allah akan menyuburkan lagi rizqi kita dan menambah yang lebih banyak dan baik lagi.

Moga saya telah membantu.

Wallahu a’lam.

سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: